Ahad, 25 Mac 2018

Novel Tingkatan 2 : Jalan Ke Puncak [Kupasan Novel]

Novel Jalan ke Puncak : Novel Bahasa Melayu Tingkatan 2 (nukilan Juri Durabi)
Novel ini bermula tahun 2016 sehingga 2019
Novel Tingkatan 2: Jalan Ke Puncak

Sinopsis Penuh Novel Jalan Ke Puncak

Novel Jalan ke Puncak mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Laiman yang berkelulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan tetapi enggan bekerja makan gaji. Laiman lebih suka bekerja sendiri dengan mengusahakan ladang tembikai. Pada mulanya hasrat bekerja sendiri ditentang oleh ayahnya kerana keluarga mereka telah banyak berkorban demi kejayaan Laiman dalam pengajiannya. Setelah usaha berkebun menampakkan hasil, ayah Laiman mulai menyokong usahanya. Laiman turut mengusahakan kolam ternakan ikan air tawar, udang harimau di samping berniaga kedai makan dan memborong hasil pertanian. Laiman dibantu oleh sepupunya Milan. Usaha gigih Laiman bukan sekadar untuk dirinya malah dia turut membantu anak-anak muda lain dengan membuka peluang pekerjaan dan mengubah mentaliti mereka. Laiman mahu bangsanya tidak hanya bergantung kepada kerajaan atau bekerja makan gaji, sebaliknya mereka perlu gigih berusaha dan berdikari jika mereka ingin hidup mewah. Laiman akhirnya menjadi usahawan tani berjaya dan contoh kepada penduduk kampung. Usahanya turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan.

SINOPSIS MENGIKUT BAB (Sila CLICK DI SINI)

TEMA Bagi Novel Jalan Ke Puncak

Novel ini membawa tema kegigihan seorang pemuda dalam membina kecemerlangan kerjaya masa depannya dengan cara berdikari. Contohnya, Laiman yang berkelulusan ijazah kejuruteraan enggan bekerja makan gaji, sebaliknya dia memilih untuk bekerja sendiri dengan mengusahakan ladang tembikai di kampungnya. Laiman turut mengusahakan kolam ikan air tawar, udang harimau, berniaga kedai makan dan menjadi peraih hasil pertanian di kampungnya. Berkat usaha gigih Laiman, akhirnya dia berjaya dalam bidang yang diceburinya dan mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan.

PERSOALAN :
1. Ketabahan menghadapi dugaan hidup
Contohnya Laiman tabah menghadapi segala rintangan terutama daripada keluarganya yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk bekerja sendiri.

2. Keberanian menceburi bidang pertanian yang berisiko tinggi
Contohnya Laiman berani menolak tawaran bekerja di jabatan kerajaan sebaliknya mengambil keputusan untuk mengusahakan ladang tembikai dan menternak ikan air tawar serta udang harimau.

3. Pengorbanan demi kejayaan ahli keluarga
Contohnya abang dan nenek Laiman telah mengorbankan wang ringgit demi membiayai pengajian Laiman di universiti.

4. Semangat setia kawan
Contohnya Milan yang merupakan kawan dan sepupu kepada Laiman sentiasa menyokong usaha Laiman untuk menjayakan projek pertanian walaupun mendapat tentangan daripada keluarganya sendiri.

5. Semangat cinta akan negara
Contohnya Laiman sentiasa menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dengan memilih untuk berdikari dan bekerja sendiri.

6. Keyakinan terhadap usaha yang dijalankan
Contohnya Laiman yakin usahanya menjadi petani moden akan membuahkan kejayaan walaupun pada peringkat awal ayahnya menentang sikapnya yang menolak tawaran kerja di Jabatan Pertanian, namun akhirnya dia berjaya menjadi petani moden sehingga kejayaannya diiktiraf oleh pihak kerajaan.

7. Sikap dengki lahir kerana perasaan cemburu
contohnya Laiman yang begitu akrab dengan Soniah telah menimbul perasaan cemburu di hati Muluk. Hal ini demikian kerana Muluk menaruh hati terhadap Soniah, namun Soniah tidak melayannya. Kes kebakaran loji minyak di Miri pada anggapan Laiman ialah hasil perbuatan Muluk.


WATAK DAN PERWATAKAN
Watak utama: Laiman (pelajar kejuruteraan yang sedang menjalani latihan industri)
Tegas diri / jati diri: Laiman berpegang kepada prinsip untuk tidak tergesa-gesa menerima sesuatu tawaran pekerjaan

Watak sampingan: Sukri, penyelia latihan industri dan rakan Laiman
Peramah: Sukri cepat mesra walaupun dia penyelia kepada Laiman, mahasiswa kejuruteraan yang sedang menjalani latihan industri

Watak imbas kembali: Chow Chin (pelajar senior Laiman di universiti, kini usahawan berjaya)
Berdikari: Chow Chin berusaha sendiri untuk membina empayar perniagaan dengan berjimat cermat dan tidak membangga diri. 


LATAR TEMPAT :
1. Bandar Miri
contohnya Laiman dan Soniah menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersiar-siar di bandar Miri. Mereka berbincang tentang rancangan masa depan Soniah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan.

2. Rumah Pak Sahok
contohnya Laiman ke rumah Pak Sahok untuk memujuknya agar mengizinkan dia menggunakan tanah rizab yang bercantum dengan tanah Pak Sahok untuk tujuan menternak ikan.

3. Tangki minyak nombor 12 milik syarikat Shell
contohnya tangki minyak yang rosak itu dibaiki oleh Laiman dengan sempurna tetapi telah terbakar menyebabkan Laiman berasa hairan.

4. Restoran di Miri
contohnya Laiman makan bersama-sama Soniah di sebuah restoran. Ketika makan, Soniah meluahkan hajatnya ingin melanjutkan pelajarannya ke universiti dalam bidang kejuruteraan, sama seperti Laiman.

5. Kebun tembikai
contohnya tempat Laiman dan Milan mengusahakan ladang seluas 15 ekar dan mereka berasa bangga apabila usaha yang dilakukan sejak dua bulan lalu telah mengeluarkan hasil.

6. Gerai Pitas
contohnya Laiman dan Milan berniaga kuih yang dipajaknya daripada orang-orang kampung untuk mengisi masa yang terluang dan mahu mencari duit sebanyak mungkin.

7. Kampung Kusilad
contohnya Kampung Kusilad merupakan tempat tinggal Laiman dan tempat dia melakukan aktiviti pertanian dan perikanan sehingga berjaya menjadi usahawan tani.

8. Universiti Kebangsaan Malaysia
contohnya tempat Soniah belajar sehingga tamat pengajiannya dalam bidang kejuruteraan.


LATAR MASYARAKAT :


  1. Masyarakat mahasiswa: Sukri, pelajar tahun tiga fakulti kejuruteraan (Unimas) 
  2. Masyarakat yang tegas diri: Laiman berpegang kepada prinsip untuk tidak tergesa-gesa menerima sesuatu tawaran pekerjaan
  3. Masyarakat yang peramah: Sukri cepat mesra walaupun dia penyelia kepada Laiman, mahasiswa kejuruteraan yang sedang menjalani latihan industri
  4. Masyarakat yang berdikari: Chow Chin berusaha sendiri untuk membina empayar perniagaan dengan berjimat cermat dan tidak membangga diri.


NILAI MURNI :
1. Keberanian
contohnya Laiman berani menjadi petani moden kerana berkeyakinan usahanya akan membuahkan kejayaan walaupun pada peringkat awal ditentang oleh ayahnya kerana menolak tawaran bekerja di Jabatan Pertanian.

2. Patriotisme
contohnya Laiman sentiasa menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dengan memilih untuk berdikari dan bekerja sendiri.

3. Berdikari
contohnya Laiman sanggup bekerja sendiri sebagai petani dengan mengusahakan tanaman tembikai, menternak ikan air tawar, dan pelbagai lagi perniagaan walaupun dia boleh memilih bekerja makan gaji di Jabatan Pertanian.

4. Kasih sayang
contohnya Pak Kiassim amat menyayangi anaknya menyebabkan dia meleteri sikap Laiman yang menolak pekerjaan sebagai pegawai di Jabatan Pertanian. Namun, dia akur akan kebolehan anaknya apabila melihat tanaman tembikai mengeluarkan hasil lalu memujuk Pak Sahok untuk memastikan tanah rizab yang bercantum dengan tanah lelaki itu boleh diusahakan oleh anaknya untuk penternakan ikan air tawar.

5. Kesyukuran
contohnya Laiman bersyukur kerana projek ikan air tawar yang diusahakannya telah membuahkan hasil dan kerajaan menghargai usaha yang dijalankan dengan menjadikan sebagai projek contoh di daerah mereka. Kemungkinan projek tersebut akan dibesarkan dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian sebagai projek yang terbesar di Sabah.


PENGAJARAN :
1. Kita perlu memiliki sikap berani untuk mengubah nasib
contohnya Laiman berani menjadi petani moden kerana berkeyakinan usahanya akan membuahkan kejayaan walaupun pada peringkat awal ditentang oleh ayahnya kerana menolak tawaran bekerja di Jabatan Pertanian.

2. Kita hendaklah memiliki jiwa patriotism
contohnya Laiman sentiasa menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dengan memilih untuk berdikari dan bekerja sendiri.

3. Kita haruslah sanggup berdikari untuk memperoleh pendapatan yang lebih lumayan
contohnya Laiman sanggup bekerja sendiri sebagai petani dengan mengusahakan tanaman tembikai, menternak ikan air tawar, dan pelbagai lagi perniagaan walaupun dia boleh memilih bekerja makan gaji di Jabatan Pertanian.

4. Kita mestilah memiliki perasaan kasih sayang terhadap darah daging sendiri
contohnya Pak Kiassim amat menyayangi anaknya menyebabkan dia meleteri sikap Laiman yang menolak pekerjaan sebagai pegawai di Jabatan Pertanian. Namun, dia akur akan kebolehan anaknya apabila melihat tanaman tembikai telah mengeluarkan hasil lalu memujuk Pak Sahok untuk rnemastikan tanah rizab yang bercantum dengan tanah lelaki itu boleh diusahakan oleh anaknya untuk penternakan ikan air tawar.

5. Kita sewajarnya bersyukur terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT
contohnya Laiman bersyukur kerana projek ikan air tawar yang diusahakannya telah membuahkan hasil dan kerajaan menghargai usaha yang dijalankan dengan menjadikan sebagai projek contoh di daerah mereka. Kemungkinan projek tersebut akan dibesarkan dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian sebagai projek yang terbesar di Sabah.
Share:

Sinopsis Jalan Ke Puncak

Sinopsis Mengikut Bab Bagi Novel Jalan Ke Puncak - Novel Tingkatan 2 (Nukilan Juri Durabi)
Novel ini digunapakai di ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG, DAN PERAK


Bab Satu: Bagaikan Mimpi
Laiman pelajar dari Sabah seakan-akan tidak percaya bahawa dirinya berada di Sarawak untuk menjalani latihan industri. Bidang yang diambilnya ialah kejuruteraan. Dia dihantar untuk membuat praktikal di sebuah syarikat minyak. Semasa menjalani latihan, dia menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan penuh minat. Di situ, dia berkawan baik dengan Sukri. Dia bercerita kepada Sukri bahawa dia akan berehat selepas tamat pengajian nanti. Jika dia menerima tawaran bekerja dari mana-mana syarikat, dia tidak akan menerimanya dengan cepat. Sukri hairan memikirkan sikap Laiman. Kebanyakan pelajar akan memikirkan pekerjaan setelah tamat belajar di universiti, tetapi Laiman hendak berehat. Laiman teringat akan kawannya yang bernama Chow Chin. Pemuda itu belajar di universiti hingga tamat pengajian. Setelah tamat belajar, dia tidak memohon pekerjaan sebaliknya membuka perniagaan kereta terpakai. Kemudian, dia menjadi ejen import eksport. Seterusnya, dia mengusahakan hotel. Kini, Chow Chin sudah menjadi jutawan baharu.
Dalam hidang pekerjaan, Laiman menjadikan Chow Chin sehagai contoh untuk diteladani. Laiman mengetahui bahawa ada juga pemuda yang gagal belajar di pusat pengajian tinggi tetapi berjaya dalam hidup. Pemuda itu bekerja di bengkel kereta milik orang lain, kemudian membuka bengkel sendiri. Laiman tertarik akan pekerjaan yang sedemikian. Pada pandangannya, orang yang berijazah atau tidak berijazah mampu maju dalam hidup jika bijak dan rajin berusaha. Perkara yang paling penting ialah pengalaman, kemahiran, dan kesungguhan. Kesemua perkara tersebut mampu membawa dirinya ke arah hidup yang lebih terjamin.

Bab Dua: Sesal
Laiman bersiar-siar ke Lutong selepas waktu pejabat. Kerjanya telah selesai. Pengurusnya berpuas hati dengan kecekapan dan sikap Laiman. Ramai yang memuji Laiman. Di pekan Lutong, Laiman terjumpa rakan sekerjanya Soniah. Mereka berbincang hal kerja. Soniah telah bertanya Laiman tentang Muluk. Bagi Laiman, Muluk seorang pemuda yang bersikap aneh. Dia tidak pernah berbual dengan pemuda itu. Apabila Laiman bertanya lebih lanjut tentang Muluk, Soniah enggan menjawab, seolah-olah Soniah sedang menyembunyikan sesuatu mengenai Muluk. Akhirnya Laiman membiarkan persoalan tentang Muluk begitu sahaja tanpa sebarang jawapan daripada Soniah.

Bab Tiga:
Sukri, ketua jabatan yang menyelia Laiman telah menerima berita bahawa sebuah tangki minyak yang dibaiki oleh Laiman telah terbakar. Ketika kejadian Laiman berada di Kuching untuk bertemu kawan sekuliahnya yang sedang menjalani latihan di sebuah jabatan kerajaan sambil mengambil buku-buku rujukan yang disimpannya sewaktu sampai di Kuching dahulu. Kebakaran dapat dipadamkan tiga jam kemudian oleh anggota bomba dan pekerja-pekerja di situ. Perkara yang menjadi persoalan kini ialah punca kebakaran tersebut. Sukri berpendapat Laiman tidak wajar dipersalahkan kerana ketika kejadian berlaku, Laiman tiada di situ. Sukri juga memikirkan kerugian dan nasib Laiman yang akan dikenakan tindakan oleh pengurus syarikat. Keesokan harinya, Sukri memaklumkan kejadian tersebut kepada Laiman. Laiman sangat yakin kerja yang dilakukannya cukup rapi dan dia tidak percaya kejadian itu boleh terjadi. Akhirnya Sukri membuat andaian bahawa peristiwa itu terjadi mungkin disebabkan oleh pembuatan khianat. Perkara tersebut mengingatkan Laiman tentang perbualannya bersama Sonia seminggu yang lalu.

Bab Empat:
Laiman dan Soniah menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersiar-siar di Bandar Miri. Mereka berbincang tentang rancangan masa depan Soniah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan. Bagi Laiman, bidang kejuruteraan amat mencabar dan tidak sesuai dengan Soniah kerana risiko untuk menjalakan tugas cari gali minyak memakan masa berbulan-bulan lamanya. Bagi Soniah, dia suka akan cabaran dan menjadi seorang jurutera merupakan impiannya. Soniah turut bertanyakan tentang kejadian kebakaran yang berlaku kepada Laiman. Laiman berharap kejadian tersebut tidak menjejaskan perjalanan kuliahnya di universiti. Sewaktu Laiman dan Soniah sedang bersiar-siar, Laiman menyedari kehadiran Muluk yang memerhatikan gerak-geri mereka.

Bab Lima:
Setelah pulang dari universiti, Laiman berubah.

Bab Enam
Laiman kini mengusahakan tanaman tembikai di kampung halamannya di Sabah. Walaupun hanya bekerja sebagai petani, Laiman tidak peduli. Dia ingin manyahut seruan kerajaan supaya siswazah berdikari dan tidak bergantung kepada kerajaan. Baginya rezeki ada dimana-mana asalkan rajin berusaha. Laiman juga merancang untuk mengusahakan projek ternakan lebah madu dan ikan air tawar. Laiman masih diusik kenangan setahun lalu ketika dia menjalani latihan di Sarawak. Terbongkar juga akhirnya punca kejadian kebakaran tangki minyak. Rupa-rupanya Muluk cemburu akan Laiman kerana menyangka Laiman menjalin hubungan cinta dengan Soniah. Oleh sebab cintanya tidak berbalas, Muluk menaruh dendam dan berniat menyusahkan sesiapa sahaja yang mendampingi Soniah. Muluklah yang membakar tangki minyak. Akibat perbuatannya itu, Muluk menerima hukuman.

Bab Tujuh
Laiman ditegur oleh ayahnya Pak Kiassim kerana menolak tawaran bekerja di jabatan pertanian. Ayahnya kesal kerana selama ini dia telah banyak berkorban untuk pengajian Laiman di Universiti, tetapi Laiman tidak memanfaatkan kelulusan yang dimilikinya untuk bekerja terutama dengan jabatan kerajaan sebaliknya Laiman pulang ke kampung untuk menjadi petani. Laiman begitu tertekan kerana cita-cita dan impiannya tidak difahami oleh ayahnya. Laiman ingin membuka mata penduduk kampung supaya gigih berusaha tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti mana yang dilakukannya bersama sepupunya Milan. Laiman mendapat sokongan daripada sepupunya dalam usahanya itu.

Bab Lapan
Rancangan Laiman untuk mengusahakan tanah paya berhampiran tanah sawah milik Pak Sahok untuk dijadikan kolam ternakan ikan tidak dipersetujui Pak Sahok. Walaupun tanah paya itu tidak termasuk dalam geran Pak Sahok, namun Pak Sahok ada mengusahakan sebahagian paya itu untuk dijadikan sawah. Laiman tidak berputus asa. Dia terus memujuk Pak Sahok. Sementara itu kebun tembikainya mula berbuah. Laiman dibantu oleh Milan untuk mengusahakan kebun itu. Dia juga berazam untuk meneruskan projek ternakan lebah madu. Laiman bercadang untuk mengambil anak-anak muda kampung itu untuk bekerja dengan mereka.

Bab Sembilan
Pak Sahok tetap berkeras dan tidak membenarkan Laiman untuk melaksanakan projek di kawasan tanah miliknya walaupun ditawarkan untuk berkongsi  pendapatan daripada projek ternakan ikan air tawar itu. Laiman terpaksa mengalah dan cuba memikirkan tempat lain yang lebih sesuai. Namun Laiman dan Milan masih buntu. Pada masa yang sama ayahnya mula menyedari hasil usaha Laiman telah mendatangkan hasil. Kejayaan tanaman tembikai Laiman mula menjadi buah mulut penduduk kampung. Pak Kiassim menawarkan diri untuk berbincang dengan Pak Sahoh berkaitan projek ternakan ikan air tawar di tanah paya berhampiran tanahnya. Laiman berasa terharu. Dia meminta maaf kerana selama ini dia tidak dapat memenuhi hasrat ayahnya supaya bekerja sebagaimana siswazah lain.

Bab Sepuluh
Kejayaan projek Laiman mendapat perhatian banyak pihak termasuk Jabatan Pertanian yang menawarkan pelbagai bantuan. Pak Sahoh pula telah bersetuju dan memberikan kebenaran kepada Laiman menggunakan tanah paya untuk projek ternakan ikan air tawar dan udang harimau. Hasil jualan buah tembikai akan dijadikan modal untuk projek tersebut. Ramai anak muda yang mahu bekerja dengan Laiman untuk menjayakan projek yang akan dilaksanakan itu. Kolam telah mula dikorek, dan dua orang pekerjanya telah dihantar untuk mengikuti latihan khusus dalam bidang penternakan. Sementara itu kebun tembikai diserahkan kepada ayahnya untuk diusahakan. Pada masa yang sama, Soniah sesekali menghubungi Laiman melalui surat. Kini Soniah melanjutkan pelajarannya di universiti.

Bab Sebelas
Laiman dimaklumkan oleh Milan bahawa dua orang pekerja mereka iaitu Kadek dan Muali yang dihantar untuk mengikuti latihan dalam bidang ternakan air tawar telah membuat keputusan untuk mengusahakan projek ternakan mereka sendiri. Mereka enggan membantu projek Laiman dan Milan. Laiman sangat terkejut. Pada mulanya dia amat marah tetapi dia yakin banyak lagi orang kampung yang berkebolehan. Ayah Laiman mulai menyedari erti pengorbanan Laiman yang enggan bekerja dengan kerajaan walaupun Laiman mempunyai ijazah. Dia mula memahami Laiman telah bersusah payah mencari projek untuk yang akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang menganggur.

Bab
Dua Belas
Keengganan Muali dan Kedek untuk bekerja setelah dihantar untuk mengikuti latihan sudah tidak menjadi masalah lagi bagi Laiman. Abangnya Mail menyokong usaha yang dibuat oleh Laiman dan menasihati adiknya itu agar melakukan kerja bersungguh-sungguh tanpa menghiraukan cakap-cakap orang kampung terhadapnya.

Bab
Tiga Belas
Sementara Laiman dan Milan menunggu hasil dari kolam penternakan mereka yang dijaga oleh enam orang pekerja, Laiman dan Milan menjalankan kerja-kerja sambilan yang lain seperti menjaja kuih, meraih pisang dan kelapa. Pendapatan mereka disimpan di bank untuk kegunaan masa depan mereka.

Bab
Empat Belas
Laiman masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya sekarang. Tidak lama lagi kolam ternakannya akan mengeluarkan hasil. Laiman berterima kasih kepada Pak Sahok kerana mengizinkannya menggusahakan tanah di sebelah tanah Pak Sohok. Kini Laiman dan Milan telah muncul sebagai usahawantani termuda yang berjaya. Mereka turut membeli lori yang dapat memudahkan urusan mereka mengangkut hasil tanaman, ternakan dan perniagaan mereka.

Bab
Lima Belas
Laiman merenung kembali susah payahnya selama ini untuk sampai ke tahap itu. Nama Laiman disebut-sebut sebagai contoh kepada anak-anak muda. Dia turut bersedia membimbing mereka yang ingin berjaya sepertinya. Dia ingin melihat bangsanya berjaya. Kerjanya kini sebagai seorang penternak, pengusaha kedai makan dan pemborong yang berjaya walaupun memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan. Laiman masih mengingati Soniah yang telah tamat pengajiannya. Laiman sedar dia menyimpan perasaan terhadap gadis itu. Berita Soniah akan berhijrah ke Sabah untuk bekerja di syarikat pakciknya amat mengujakan Laiman. Dia berhasrat untuk mencurahkan isi hatinya kepada Soniah.

Share:

Sabtu, 24 Mac 2018

Novel Tingkatan 1: Destinasi Impian [Kupasan Novel]

Novel Tingkatan 1 ( Destinasi Impian) - karya Mohd Ismail Sarbini
Novel ini digunapakai di negeri-negeri berikut: WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan

SINOPSIS KESELURUHAN :
Novel Tingkatan 1 - Destinasi Impian

       Cerita ini bermula dengan situasi perjalanan mengayuh basikal oleh Johari, Firdaus dan Azlina. Perjalanan mereka dari Kampung Bukit Kapar ke Pantai Morib Baru adalah untuk menyahut cabaran datuk. Jarak perjalanan mereka sejauh 50 kilometer. Firdaus sentiasa merungut sepanjang perjalanan kerana destinasi mereka sangat jauh dan dia berasa letih. Johari dan Azlina memberikan dorongan semangat dan pelbagai nasihat agar perjalanan mereka diteruskan. Tujuan Johari mengajak Firdaus dan Azlina adalah untuk mengajar mereka supaya mereka menjadi lasak, berdikari dan berani. Firdaus berasa bangga kerana berjaya mengayuh basikal hingga Pantai Morib Baru. Kawan-kawan Firdaus berasa bangga atas kemampuan dan kejayaan Firdaus mengayuh basikal. Akhirnya, Firdaus insaf dan sedar serta tidak bersikap angkuh.

SINOPSIS MENGIKUT BAB [KLIK DI SINI]


TEMA :
Novel ini membawa tema masalah dan konflik seorang remaja yang menghadapi cabaran dalam hidup. Firdaus seorang individu yang berada dalam keadaan dicabar dan mencabar. Bukan mudah untuk menghadapi cabaran dan bukan semua orang suka dicabar. Firdaus seorang anak muda yang dicabar oleh orang yang akrab dalam keluarga

PERSOALAN :
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini, antaranya:

i.    Jiwa remaja yang mudah memberontak
Contoh: Firdaus seorang anak muda yang cepat mengalah dan tidak tahan menerima cabaran. Akibatnya dia selalu sahaja merungut dan memberontak apabila mengalami kesusahan.

ii.   Keprihatinan dan kemurahan hati terhadap insan lain.
Contoh: Johari sentiasa membantu sepupunya apabila ditimpa kemalangan. Beliau cepat-cepat datang memberi bantuan kepada Firdaus dan Azlina ketika jatuh dari basikal.

iii. Keberanian mengharungi rintangan
Contoh:  Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai daya juang yang tinggi dan penyabar.

iv.  Keinsafan setelah sedar dari kesilapan
Contoh: Firdaus akhirnya menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari kesalahannya.

v.   Usaha dan kerjasama menghasilkan kejayaan
Contoh: Johari, Firdaus dan Azlina berjaya mengayuh basikal dan sampai ke destinasi Pantai Morib Baru. Mereka berjaya kerana usaha yang gigih dan bekerjasama semasa dalam perjalanan.

Contoh persoalan:
         
            Berdasarkan novel,Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini. Di antaranya, ialah Jiwa remaja yang mudah memberontak
Firdaus seorang anak muda yang cepat mengalah dan tidak tahan menerima cabaran. Akibatnya dia selalu sahaja merungut dan memberontak apabila mengalami kesusahan. Selain itu, Keberanian mengharungi rintangan juga salah satu persoalan dalam novel ini.  Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai daya juang yang tinggi dan penyabar. Persoalan terakhir ialah keinsafan setelah sedar dari kesilapan. Firdaus akhirnya menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari kesalahannya.


WATAK DAN PERWATAKAN :

Firdaus : Watak utama

  • Tinggi lampai, berambut keriting halus, berhidung mancung, dan berkulit putih.
  • Tingkah laku agak keperempuanan.
  • Seorang yang gemar duduk di rumah berbanding dengan melakukan aktiviti luar.
  • Suka menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen dan melakukan kerja-kerja perempuan.
  • Selalu dimanjakan.
  • Gemar membaca cerita-cerita bintang filem dan penyanyi.
  • Cepat marah apabila kepenatan.
  • Suka berdendam.
  • Meminati Mazlinda.

Azlina : Watak sampingan

  • Gadis berusia 16 tahun.
  • Bertubuh kurus dan tinggi lampai.
  • Olahragawati Sekolah Menengah Kapar.
  • Adik kepada Firdaus.
  • Suka mencabar Firdaus.
  • Seorang yang kuat semangat.
  • Sentiasa riang dan cergas.
  • Suka akan cabaran.
  • Mempertahankan abangnya yang selalu diejek oleh rakan-rakan.
  • Suka mengkritik dan tidak mudah melenting apabila dikritik.


Johari :

  • Sepupu Azlina dan Firdaus.
  • Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia.
  • Suka berbasikal.
  • Suka membaca.
  • Suka akan cabaran.
  • Suka memberi nasihat kepada sepupunya.


Mazlinda :

  • Rakan sekelas Firdaus.
  • Diminati oleh Firdaus dalam diam-diam.
  • Anak orang berada.
  • Berpura-pura tidak pandai berenang.
  • Menyelamatkan Firdaus yang lemas di Pantai Morib.

Sazali dan Mokhsin :

  • Rakan sekelas Firdaus.
  • Suka mengejek Firdaus.
  • Turut memberikan sokongan kepada Firdaus dengan menunggu ketibaan Firdaus di Pantai Morib.

Gaya Bahasa :

1. Peribahasa
Bagaikan langit dengan bumi.
Aku tersenyum. Ternyata perbezaan antara Azlina dengan Firdaus semenjak meninggalkan rumah tadi, bagaikan langit dengan bumi.
Macam kacang lupakan kulit.
“Abang ni macam kacang lupakan kulit. Tak tahu mengenang budi orang.” 
2. Simile
Debar di dadaku bagaikan hempasan ombak di pantai sana.
Aku tersenyum. Aku berasa bangga bagaikan setitik minyak jatuh ke permukaan air mengembang seluas-luasnya dalam hatiku.
3. Hiperbola
Makin kuat gelak ketawa kami. Dan aku berasa seluruh kepenatan yang menggayuti tubuhku hilang serta-merta. Mengapa?
4. Metafora
Tetapi, bukankah aku lebih hebat kerana Mazlinda ke sini semata-mata kerana mahu menyambutku! Gunung kebanggaan di hatiku menjadi semakin tinggi.
5. Sinkope
“Kalau abang nak berjalan sampai ke Morib pun saya boleh temankan.”
Azlina tergelak memandangku, kemudian memandang abangnya.


LATAR MASA :

  • Pukul 7:00 pagi
  • Pukul 2:30 petang
  • Pukul 3:00 petang
  • Pukul 3:30 petang
  • Hari Sabtu bulan Jun



LATAR MASYARAKAT : 

  • Masyarakat yang gemar membaca
  • Masyarakat yang tidak mempercayai kata-kata orang lain melainkan melihat dengan sendiri.
  • Masyarakat lelaki yang bertingkah laku lembut.
  • Masyarakat yang sentiasa menjadi bahan usikan.
  • Masyarakat yang tegas.
  • Masyarakat yang prihatin.


LATAR TEMPAT :

  • Gerai air tebu
  • Tepi jalan
  • Tapak perkhemahan
  • Di bawah pokok ru


NILAI : 
(i) Cinta akan bahasa kebangsaan
Azlina cinta akan bahasa kebangsaan. Dia sanggup memberhentikan basikalnya dan mengambil gambar beberapa papan tanda yang mempunyai kesalahan bahasa.

(ii) Keberanian
Mazlinda berani menyelamatkan Firdaus yang kelemasan di lautan.

(iii) Keprihatinan
Johari prihatin memberikan bantuan kepada Azlina semasa Azlina luka akibat terjatuh dari basikalnya.

(iv) Bertanggungjawab
Johari dan Azlina rasa bertanggungjawab untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran Firdaus agar menjadi lelaki yang sejati.

(v) Semangat setia kawan
Rakan-rakan Firdaus sanggup mendirikan khemah di Pantai Morib bagi menyambut Firdaus yang telah berjaya menghabiskan kayuhannya.

Contoh Nilai :

            Berdasarkan novel,Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini terdapat beberapa nilai dipaparkan dalam novel ini. Di antaranya, nilai  cinta akan bahasa kebangsaan .Azlina cinta akan bahasa kebangsaan. Dia sanggup memberhentikan basikalnya dan mengambil gambar beberapa papan tanda yang mempunyai kesalahan bahasa. Seterusnya, nilai kedua ialah nilai bertanggungjawab. Johari dan Azlina rasa bertanggungjawab untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran Firdaus agar menjadi lelaki yang sejati. Nilai terakhir dalam movel ini  ialah nilai semangat setia kawan . Rakan-rakan Firdaus sanggup mendirikan khemah di Pantai Morib bagi menyambut Firdaus yang telah berjaya menghabiskan kayuhannya.


PENGAJARAN

·         Kita janganlah mempunyai perasaan hasad dengki dalam diri.
·         Kita janganlah menghina sesama sendiri.
·         Kita hendaklah berani menyahut cabaran.
·         Kita haruslah insaf atas kesalahan yang telah kita lakukan.
·         Kita janganlah berdendam terutamanya kepada adik-beradik.
·         Kita janganlah bercakap bohong.

Contoh pengajaran:

Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini terdapat beberapa pengajaran dipaparkan dalam novel ini. Diantaranya ialah kita hendaklah berani menyahut cabaran. Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai daya juang yang tinggi dan penyabar. Selain itu, kita haruslah insaf atas kesalahan yang telah kita lakukan. Firdaus akhirnya menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari kesalahannya. Pengajaran terakhir dalam novel ini ialah kita hendaklah prihatin dan murah hati terhadap insan lain. Johari sentiasa membantu sepupunya apabila ditimpa kemalangan. Beliau cepat-cepat datang memberi bantuan kepada Firdaus dan Azlina ketika jatuh dari basikal.

Share:

Sinopsis Novel Tingkatan 1: Destinasi Impian

Sinopsis
Bab 1

Johari, Firdaus dan Azlina mengayuh basikal dari Kampung Bukit Kapar ke Pantai Morib Baru kerana menyahut cabaran datuk. Jarak perjalanan  tersebut sejauh 50 kilometer. Firdaus sentiasa merungut sepanjang perjalanan kerana destinasinya jauh dan berasa letih. Johari dan Azlina memberi dorongan semangat dan pelbagai nasihat agar perjalanan mereka diteruskan. Tanpa kerelaan diri, Firdaus terpaksa meneruskan perjalanan tersebut.

Bab 2

Firdaus terus merungut dan berasa menyesal sepanjang perjalanan. Beliau berasa letih kerana lama mengayuh basikal. Kepanasan cahaya matahari yang begitu lama menambahkan lagi keletihan Firdaus.  Firdaus menyatakan kekesalan kerana menyertai Johari dan Azlina dan menganggap perjalanan sebagai perjalanan gila.

Bab 3

Azlina adik kepada Firdaus sangat berani dan tabah. Walaupun sebagai seorang perempuan, dia mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi. Meskipun berasa letih, Azlina tetap ingin meneruskan perjalanan kerana mengikut sepupunya Abang Johari. Johari sentiasa memberi nasihat dan dorangan kepada Azlina sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjalanan.



Bab 4

Johari mempunyai hasrat tersirat sebab Firdaus dan Azlina perlu menyertai perjalanan berbasikal. Tujuan Johari agar dapat mengajar Firdaus dan Azlina supaya tabah dan kuat menghadapi cabaran. Selain itu, Johari mengharap agar Firdaus dan Azlina menjadi seorang  yang lasak, berdikari dan berani.

Bab 5

Firdaus berdendam terhadap adiknya, Azlina. Johari yang memainkan peranan untuk mengubah sikap Firdaus. Johari berjanji  pada dirinya untuk menghentikan perasaan api dendam dan benci akan Firdaus terhadap adiknya, Azlina. Johari tidak menduga bagaimana Firdaus boleh mendendami adiknya sendiri, Azlina.

Bab 6

Firdaus mula berasa bangga kerana perjalanan  mengayuh basikal telah berakhir kerana berjaya sampai ke destinasi Pantai Morib Baru. Firdaus tidak terduga kerana dapat berkayuh basikal sejauh 50 kilometer. Firdaus berasa bangga atas kejayaannya sampai ke Pantai Morib Baru. Firdaus gembira kerana ketibaannya telah disambut oleh kawan-kawannya Sazali, Mokhsin, Salim dan Mazlinda. Kawan-kawan Firdaus berasa bangga atas kemampuan dan kejayaan Firdaus mengayuh basikal.

Bab 7

Firdaus sampai di Pantai Morib Baru dan bergembira dengan kawan-kawannya. Johari dan Azlina sengaja membicarakan tindakan Firdaus menghabiskan masa bersama dengan rakan-rakan. Johari dan Azlina turut gembira dan bangga kerana Firdaus akhirnya berjaya sampai ke destinasi perjalanan, Pantai Morib Baru.
Bab 8

Azlina berbual-bual dengan Kasmadiana tentang perjalanan berbasikal di pantai. Kasmadiana memuji ketabahan dan kemampuan Azlina berbasikal sejauh 50 kilometer. Azlina memberitahunya bahawa dia mengikuti Abang Johari dan menyahut cabaran datuknya. Kasmadiana memberitahu bahawa abangnya Karman bersama Johari dan Tamrin merancang hendak mengelilingi Malaysia dengan berbasikal. Semasa perbualan, mereka didatangi oleh Sazali dan Moksin bertanya sama ada benar kenyataan yang diberikan oleh Firdaus bahawa dia sampai dahulu ke Pantai Morib. Azlina menafikan dan mengatakan bahawa mereka berdua telah ditipu.

Bab 9

Firdaus bermimpi semasa tidur dalam khemah. Dalam mimpi itu, Firdaus banyak mendapat pujian daripada Mazlinda. Selain itu, dia merasa bertuah kerana dapat berjumpa dengan kawan pujaannya Mazlinda. Moksin dan Sazali telah mengetahui kisah sebenar dan cuba mendapat kepastian daripada Firdaus. Firdaus cuba menafikan tetapi setelah dipaksa, akhirnya dia  mengaku bahawa dia telah berbohong. Dalam mimpi itu, Firdaus telah lemas dan menjerit meminta tolong sehingga terjaga. Firdaus menerima sindiran tajam daripada Mazlinda, Johari dan Azlina. Mulai saat itu, Firdaus telah sedar dan insaf.

Bab 10

Johari membawa berita tentang Firdaus yang ingin pulang sendiri. Azlina terkejut dengan tindakan abangnya dan merasa bimbang. Johari cuba menenangkan Azlina dan memberi penjelasan bahawa Firdaus mampu, yakin dan boleh berdikari selepas pengalaman yang dilalui.

Bab 11

Firdaus membuat keputusan untuk pulang sendiri. Dia mengetahui Johari dan Azlina telah pulang dahulu. Kesempatan itu digunakan oleh Firdaus dan rakan-rakannya untuk mandi manda di pantai. Semasa mandi, Firdaus betul-betul lemas kerana cuba menyelamatkan  Mazlinda yang pura-pura lemas. Firdaus telah diselamatkan oleh Mazlinda kerana dia sebenarnya pandai berenang. Peristiwa itu telah menyedarkan dan menginsafkan Firdaus agar tidak bercakap bohong dan bersikap angkuh lagi.


Bab 12
Firdaus tersedar daripada pengsan dan  mendapati  Azlinadan Johari berada di sisinya. Rakan-rakan Firdaus datang untuk menziarahinya. Akhirnya,Firdaus menerima nasihat yang diberikan oleh Johari.
Share:

Novel Tingkatan 1: Pelari Muda [Kupasan Novel]

Novel Tingkatan 1: Pelari Muda
Novel Pelari Muda oleh Ghazali Ngah Azia
Negeri yang menggunapakai novel ini adalah Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah

SINOPSIS KESELURUHAN :
Cerita ini mengisahkan pengalaman watak utama iaitu Kamarul seorang pelajar tingkatan 5 yang berjaya dalam acara sukan olahraga. Beliau perah terpilih mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Brunei. Kamarul terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Bangkok dua bulan lagi. Dia dilatih oleh Encik Kadir. Kejayaan ini telah menjadikan Kamarul dikenali ramai, disanjung dan popular. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan ini sikap Kamarul pada pandangan kawan-kawannya sudah berubah. Kamarul bersikap sombong, ego, menjauhkan diri daripada kawan-kawan, malah tidak berdisiplin menjalani latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Akibat sikapnya yang rendah moral itu, Kamarul ditegur oleh kawan baiknya Saridah. Teguran Saridah menjadi punca dia menyepikan diri daripada Saridah. Kamarul juga menunjukkan sikap tidak menghormati jurulatihnya. Teguran-teguran yang diberikan oleh Encik Kadir dibalas dengan jawapan dan tindakan yang tidak bermoral. Suatu hari, dalam perjalanan balik daripada latihan Kamarul dilanggar kereta. Dia dimasukkan ke hospital. Sepanjang berada di hospital, Encik Kadir dan Saridah tetap menziarahi Kamarul. Sikap bertanggungjawab Encik Kadir dan keprihatinan Saridah menjadikan titik mula Kamarul insaf dan berubah sikap. Setelah sembuh daripada kecederaan, Kamarul menjalani semula latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Hubungan Kamarul dengan Encik Kadir bertambah baik. Hasrat Kamarul untuk mewakili nergara telah direstui pihak sekolah. Kamarul dan delegasi Malaysia berlepas ke Bangkok untuk menyertai kejohanan sukan SEA ke-14 di Bangkok. Di Bangkok, Kamarul mengambil kesempatan bertemu De Wega, atlit sukan lari Filipina yang terkenal. Berita tentang Kamarul sebagai atlit Malaysia tersiar dalam media massa di Bangkok. Dalam acara lari 100m dan 400m kejohanan tersebut Kamarul berjaya meraih pingat emas. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan daripada Encik Kadir dan rakan-rakan, termasuk rakan-rakan sekelasnya di Malaysia. Kamarul mengucapkan terima kasih atas bimbingan yang diberikan oleh Encik Kadir dan menjadi pendorong kejayaan. Kamarul terkejut dan terharu apabila Encik Kadir menyatakan hasrat untuk
bersara. Setelah kejohanan Sukan SEA tamat, Kamarul dan delegasi Malaysia berangkat pulang ke Malaysia membawa kejayaan cemerlang untuk negara, sekolah dan untuk dirinya sendiri. Di lapangan terbang Kamarul telah disambut meriah dengan ucapan tahniah daripada ibu bapa dan rakan-rakannya.
Sinopsis Mengikut Bab [Klick di SINI]
Cover Belakang Pelari Muda

TEMA :
Tema novel ini ialah kesombongan seorang remaja apabila mendapat sanjungan daripada media menyebabkannya tidak lagi berdisiplin dalam latihan. Hal ini dibuktikan menerusi watak utama, Kamarul yang meraih kejayaan cemerlang dalam sukan MSSM dan seterusnya terpilih dalam Sukan SEA di Brunei. Media banyak memaparkan kehebatan Kamarul menyebabkan dia menjadi sombong dan tidak mahu berlatih lagi di bawah kelolaan Encik Kadir. Hubungan dengan rakannya, Saridah juga renggang gara-gara sikapnya yang angkuh. Namun, dia akhirnya insaf apabila prestasinya menurun dan rakan pelatihnya, Sures berjaya mengalahnya dalam sesi kecerdasan.

PERSOALAN :
1. Hubungan dua jiwa remaja yang ada pasang surut
contohnya Kamarul berkawan rapat dengan rakan sekolahnya, Saridah dan Saridah pula amat menyayanginya, namun sikap Kamarul yang angkuh setelah terkenal menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin.

2. Komitmen jurulatih untuk memastikan pelatih yang dibimbing menjadi juara
contohnya Encik Kadir berterusan melatih Kumar, Sures, dan Rajip untuk memastikan mereka meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok. Encik Kadir juga melatih Kamarul dengan sabar sehingga Kamarul meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter walaupun pada peringkat awal Kamarul tidak berdisiplin, angkuh, dan suka berlatih sendiri.
3. Kekurangan kasih sayang menyebabkan anak bersikap dingin terhadap keluarga sendiri
contohnya Saridah kurang mendapat perhatian daripada keluarganya; emaknya sibuk dengan persatuan wanita, ayahnya sibuk dengan hal kerja di pejabat, dan kakaknya lebih mengutamakan tunangnya, menyebabkan Saridah lebih selesa menghabiskan masa bersama-sama Juriah dan mengharapkan perhatian daripada Kamarul.

4. Disiplin penentu kejayaan
contohnya Encik Kadir dan atlet Filipina, De Wega menasihati Kamarul tentang pentingnya disiplin jika ingin menjadi atlet yang berjaya.


Plot Binaan Plot 
(a) Permulaan
Kamarul bersiap-siap hendak ke sekolah. Kamarul tidak gembira kerana hubungannya dengan Saridah semakin renggang. Dalam perjalanan ke sekolah, Kamarul teringat akan Cikgu Zainal, guru sukan yang mula-mula mengesan bakatnya dalam bidang olahraga. 

(b) Perkembangan
Kamarul telah banyak berubah kerana sudah terkenal. Kamarul enggan berlatih dengan Encik Kadir kerana baginya latihan yang diberikan oleh Encik Kadir amat membosankannya. Kamarul enggan bergaul dengan kawankawan sekolah. Kamarul juga enggan menjalani latihan sukan sekolah.

(c) Klimaks
Kamarul susah hati. Tahap kecergasannya semakin menurun. Kamarul bergaduh dengan Encik Kadir kerana dia kerap ponteng latihan. Akibat terlalu runsing, Kamarul melintas jalan raya tanpa menoleh ke kiri. Kamarul dilanggar kereta. Kamarul melambung ke udara kemudian terhempas di tengah-tengah jalan. Kamarul pengsan lalu di bawa ke hospital. 

(d) Peleraian
Kamarul mendapat dua pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter dan 400 meter dalam Sukan SEA ke- 14 di Bangkok. Kamarul menerima ucapan tahniah daripada Encik Kadir dan rakan-rakannya di Malaysia. Kamarul bertukar-tukar cenderamata dengan De Wega. Kamarul dan atlet-atlet yang lain pulang ke Malaysia.
Teknik Plot
Teknik Pemerian Dalam Pelari Muda
WATAK DAN PERWATAKAN
Kamarul Baharuddin 
(a) Kamarul Baharuddin ialah watak utama dalam novel ini. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia. 
(d) Kamarul berkawan rapat dengan Saridah. Mereka mula berkawan rapat semasa sukan MSSM. 
(e) Seorang yang angkuh dan sombong kerana kejayaan dan kepopularannya. 
(f) Seorang yang tidak berdisiplin. 
(g) Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun. 
(h) Tidak mengenang budi – Kamarul enggan berlatih bawah bimbingan Encik Kadir kerana telah bosan. 
(i) Buruk sangka – Encik Kadir sengaja mendendanya berlari lapan kali pusing keliling padang untuk membalas dendam. 
(j) Insaf akan kesalahannya – Kamarul menyesal bersikap kurang ajar dengan Encik Kadir dan bersikap sombong dengan kawan-kawan sekolah setelah dia dilanggar kereta. 
Saridah 
(a) Saridah ialah kawan baik Kamarul. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Seorang pelari pecut. 
(d) Berkawan baik dengan Kamarul dan Juriah. 
(e) Menyukai Kamarul dan amat mengambil berat tentang Kamarul. Seorang yang bersopan santun. 
(f) Seorang yang peramah dengan orang tua. 
(g) Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun. 

Mak Jah 
(a) Ibu kepada kamarul dan isteri kepada Encik Baharudin. 
(b) Seorang ahli perniagaan yang berjaya. 
(c) Penyayang – Menyayangi Saridah kerana dia tidak mempunyai anak perempuan. 
(d) Prihatin – Menasihati Kamarul supaya berbaik-baik dengan Saridah. 

Sures Menon 
(a) Sures ialah ahli sepasukan dengan Kamarul. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia. 
(d) Berazam untuk menewaskan catatan masa Kamarul.
(e) Seorang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh. 
(f) Seorang yang berdisiplin. 
(g) Seorang yang amanah – Buktinya, dia menyampaikan pesanan Encik Kadir kepada Kamarul. 

Juriah 
(a) Juriah ialah kawan baik Saridah. 
(b) Berusia 17 tahun. 
(c) Sentiasa membantu Saridah dalam susah dan senang. 
(d) Seorang yang selalu bergurau. 

Encik Kadir 
(a) Encik Kadir ialah jurulatih untuk atlet olahraga kontinjen Malaysia. 
(b) Seorang yang tegas. 
(c) Penyabar. 
(d) Seorang yang tidak berputus asa dan mengambil berat akan atlet-atletnya. 
(e) Seorang yang bertimbang rasa. 

De Wega 
(a) De Wega ialah pelari pecut Filipina yang diminati Kamarul. 
(b) Berusia 34 tahun. 
(c) Seorang yang peramah dan rendah diri. 
(d) Seorang buruh kereta api sebelum menjadi pelari pecut. 
(e) Seorang yang berdisiplin. 
(f) Seorang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. 
(g) Pemurah dalam memberi nasihat



LATAR TEMPAT :
1. Pusat Sukan Kampung Pandan
Kompleks tersebut merupakan tempat Kamarul dan rakan-rakannya seperti Sures berlatih di bawah kendalian Encik Kadir sehinggalah berjaya membentuk Kamarul menjadi atlet yang berjaya dan meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok.

2. Stadium Nasional, Bangkok
Tempat berlangsungnya Sukan SEA yang ke-14 dan di tempat itulah Kamarul berjaya meraih pingat emas menerusi acara 100 meter dan 400 meter.

3. Hospital
tempat Kamarul menerima rawatan selama empat hari, gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Stadium Merdeka
tempat Kamarul dan Saridah menyertai Sukan MSSM. Di situlah jugalah mereka saling mengenali seterusnya hubungan tersebut berpanjangan sehinggakan timbul perasaan sayang di jiwa Saridah terhadap lelaki itu.

5. Kantin sekolah
tempat Saridah dan Juriah bersembang tentang hubungannya dengan Kamarul yang renggang dan Juriah pula menasihati Saridah agar melupakan Kamarul sebaliknya memberi fokus terhadap SPM.

LATAR MASYARAKAT

  1. Masyarakat yang sombong dan angkuh apabila mendapat kejayaan dan populariti.
  2. Masyarakat yang berdisiplin. 
  3. Masyarakat yang tidak menepati janji dan masa. 
  4. Masyarakat yang lemah kerana cinta. 
  5. Masyarakat yang gigih berusaha. 
  6. Masyarakat atlet yang gigih menjalani latihan. 
  7. Masyarakat pelajar. 
  8. Masyarakat yang bertanggungjawab.


LATAR MASA
1   waktu sarapan pagi
2   waktu rehat persekolahan


GAYA BAHASA :
(a) Diksi
Penggunaan kata dalam bahasa Inggeris. Antaranya, one, two, three, airport, dan sorry. 
(b) Peribahasa
(i) jauh hati
(ii) kilas ikan di air aku tahu jantan betinanya 
(c) Sinkope
(i) “Kamu nak ke mana ni?” tegur Mak Jah.
(ii) “Tak bersampul?” kata Juriah sambil mengeyitkan mata. 
(d) Simile
(i) Kamarul bagaikan seekor kuda yang dipacu punggungnya memecut sekuat tenaga.
(ii) Daunnya bergerak-gerak seperti diusik-usik.
(e) Personifikasi
(i) Hatinya dicengkam dengan seribu kemarahan.
(ii) Cermin jendela Airbus kelihatan merenek-renek dilanda tempias hujan. 
(f) Repetisi
Mengharapkan emak di rumah, emak lebih sibuk dengan persatuan wanitanya. 
(g) Anafora
Maafkan aku, Saridah! Maafkan aku, Cikgu Zainal! Maafkan aku, Encik Kadir! Maafkan aku, kawan-kawan! (hal. 82 – 83)


NILAI MURNI :
1. Kesyukuran
contohnya Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecahkan rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

2. Patriotisme
contohnya Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

3. Kasih sayang
contohnya Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selama empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Baik hati
contohnya Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

5. Keberanian
contohnya Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.


PENGAJARAN :

1. Kita hendaklah melahirkan rasa syukur jika memperoleh sesuatu kejayaan atau anugerah
contohnya Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecah rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

2. Kita perlu mempunyai semangat patriotism
contohnya Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

3. Kita sewajarnya mempunyai perasaan kasih sayang
contohnya Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selamat empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

4. Kita sepatutnya menghargai jasa
contohnya Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

5. Kita seharusnya mempunyai keberanian menghadapi cabaran
contohnya Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.
Share:

Sinopsis Novel : Pelari Muda [ Tingkatan 1 ]

Sinopsis Bab demi Bab :

Bab 1

Setelah pulang berjoging Kamarul menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa. Perubahan sikap Kamarul disedari ibunya Mak Jah. Mak Jah mengesyaki perubahan itu kerana pergaduhan dengan Saridah. Sangkaan Mak Jah itu benar, apabila Kamarul mengakui bahawa berlaku sedikit salah faham dengan Saridah. Saridah menegur sikap Kamarul yang menjauhkan diri daripadanya dan juga kawan-kawan lain setelah Kamarul menjadi terkenal sebagai atlit sukan lumba lari 100 m di peringkat antarabangsa. Kamarul berasa resah mengenangkan pertengkaran yang berlaku itu dan mencari Saridah untuk memohon maaf.

Bab 2

Sures kecewa kerana Kamarul mungkir janji untuk hadir pada sesi latihan di Pusat Sukan Kampung Pandan. Sikap Kamarul telah menimbulkan tanda tanya Sures. Encik Kadir selaku jurulatih pula risau dengan prestasi Kamarul. Latihan pada petang itu dijalankan seperti biasa. Oleh sebab, Kamarul tidak hadir, acara 100 m terpaksa dibatalkan. Setelah tamat latihan, Sures pulang ke rumah. Sewaktu sampai di laman rumah, Saridah datang bertemu Sures bertanyakan tentang Kamarul. Sures pula musykil dengan punca masalah yang berlaku di antara Saridah dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, Saridah berharap masalah yang dihadapinya tidak diperbesar-besarkan.

Bab 3

Saridah berada di perpustakaan dan berharap dapat berjumpa dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, dia kecewa kerana Kamarul tidak muncul. Saridah berasa kecewa dan merasakan dirinya dipersalahkan atas sikap dingin Kamarul. Dalam keadaan sedih dan resah itu muncul kawan rapatnya, Juriah dan bertanya tentang masalah Saridah. Setelah diberitahu Saridah, Juriah meminta Saridah tidak terlalu memikirkan tentang Kamarul, sebaliknya percaya masih ada masa untuk Saridah memperbaiki persahabatannya dengan Kamarul. Saridah tidak terus pulang ke rumah walaupun loceng tamat persekolahan hari itu telah berbunyi, sebaliknya dia berseorangan di dalam bilik darjah memikirkan masalahnya dengan Kamarul. Saridah membuat keputusan untuk menulis surat kepada Kamarul. Juriah yang menjengok ke bilik itu terkejut mendapati Saridah belum pulang ke rumah. Kesempatan Juriah datang ke situ, Saridah meminta pertolongan Juriah untuk menyampaikan surat yang dituliskan itu kepada Kamarul

Bab 4

Mak Jah memerhatikan gelagat anaknya ketika Kamarul hendak keluar berjoging. Mak Jah terbayang keresahan yang dialami Kamarul. Apabila Kamarul mula hendak pergi, Mak Jahpun memberikan surat yang diterima kepada Kamarul. Kamarul pula berasa musykil tentang pengirim surat itu tetapi tidak dinyatakan oleh Mak Jah pengirimnya. Sambil berlari, Kamarul membaca surat yang diterima itu. Kamarul terkejut kerana surat itu datangnya daripada Saridah. Hatinya terharu dengan kejujuran Saridah menulis. Kamarul terus berjoging masuk ke Stadium Merdeka. Melihat suasana stadium yang luas itu, Kamarul terbayang dirinya sedang beraksi dan penonton pula bersorak dengan bersemangat menjerit-jeritkan namanya. Khayalan Kamarul kemudiannya terganggu dan dia meraung sekuat hati ke dalam stadium dan kemudiannya berlari keluar dari stadium dengan perasaan sayu mengingatkan Saridah.

Bab 5

Saridah kecewa kerana Juriah yang ditunggu tidak datang pada masa yang dijanjikan. Dalam jemu menunggu Saridah teringat Kamarul yang juga tidak datang menemuinya di perpustakaan. Sewaktu menatap sekeping gambar dalam album di bilik rumahnya, Saridah teringat kenangan manis bertemu Kamarul sewaktu menyertai sukan MSSM di Stadium Merdeka. Kenangan itu amat menyentuh perasaan Saridah, kerana hubungan baik dengan Kamarul berpanjangan dari padang permainan ke bilik darjah hingga ke rumah. Saridah teringat kemesraan ibu bapa Kamarul terhadapnya. Walau bagaimanapun, setelah Kamarul terkenal dan glamour sebagai atlit sukan, sikapnya terhadap Saridah mula berubah. Perubahan inilah yang membuatkan Saridah kecewa dan sedih.

Bab 6

Encik Kadir menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemerosotan prestasi Kamarul. Manakala prestasi Sures kian cemerlang. Encik Kadir sangat bangga akan pencapaian prestasi Sures. Dia mahu semua pelatihnya mengatasi rekod terpantas yang dibuat oleh pelari sukan negara lain. Encik Kadir memanggil Kamarul bertanya tentang masalah yang dihadapi Kamarul, tetapi Kamarul tidak menceritakan masalahnya, sebaliknya menunjukkan respon yang angkuh terhadap Encik Kadir. Kamarul memberitahu bahawa dia boleh berlatih sendiri dan tidak perlu latihan daripada orang lain. Sikap Kamarul ini amat memeranjatkan Encik Kadir.

Bab 7

Kamarul melepaskan kemarahan kepada Encik Kadir setelah membaca kenyataan Encik Kadir dalam akhbar. Sikap itu ditegur oleh Mak Jah. Pada ketika itu juga Kamarul menerima panggilan telefon daripada Saridah. Saridah menyatakan kemaafannya dan mendoakan kejayaan Kamarul di Bangkok nanti. Pada sebelah petang di sekolah, Saridah bertemu dengan Juriah. Mereka berbual-bual di kantin begitu lama. Saidah meluahkan perasaan hatinya yang terpendam terhadap Kamarul untuk dikongsi bersama-sama dengan Juriah. Juriah memahami perasaan yang dialami Saridah dan memberi kata nasihat supaya Saridah lebih mengutamakan pelajaran. Setelah lama berbual-bual, merekapun pergi ke padang sekolah.

Bab 8

Kamarul dipanggil oleh Cikgu Zainal ke bilik guru. Sebelum keluar, berlaku sedikit perang mulut antara Kamarul dengan Adibah, Ketua Kelas apabila Kamarul cuba keluar kelas sebelum loceng berbunyi. Sikap angkuh Kamarul menimbulkan rasa tidak puas hati Adibah. Apabila loceng berbunyi, Kamarul terus pergi menemui Cikgu Zainal. Cikgu Zainal memberitahu bahawa Kamarul diberi kebenaran untuk bercuti bagi mewakili negara. Cikgu Zainal mengucapkan syabas kepada Kamarul dan menasihati Kamarul supaya memberi perhatian terhadap peperiksaan SPM di samping kegiatan sukan yang diceburinya.

Bab 9

Kamarul menjalani latihan seperti biasa bersama-sama dengan Sures dan rakan-rakan pelatih lain. Sures menunjukkan prestasi yang cemerlang, manakala Kamarul masih tidak berjaya mencapai rekod lamanya. Encik Kadir tidak berpuas hati dengan pencapaian Kamarul. Beliau menasihati Kamarul agar lebih serius dan berdisiplin menjalani latihan. Kamarul tidak menunjukkan sikap patuh, sebaliknya Kamarul berpendapat tanpa disiplin pun dia boleh berjaya. Encik Kadir memberikan sebutir pingat yang pernah dimenanginya sebagai pendorong Kamarul. Namun, Kamarul tidak mahu menerima pingat itu dan bertindak melemparkannya di hadapan Encik Kadir. Encik Kadir terkejut dengan tindakan Kamarul. Dalam perjalanan pulang, Kamarul teringat-ingat perbuatan terhadap Encik Kadir. Terbayang juga dalam ingatan akan sikap angkuh dan menyoal diri sendiri dengan sikapnya itu. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan ketika melangkah menyeberangi jalan raya, Kamarul dilanggar sebuah kenderaan.

Bab 10

Kamarul dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialami dengan ditemani ibunya Mak Jah. Saridah dan Encik Kadir datang menziarahi Kamarul tetapi dia masih tidur di katil. Sebelum beredar Encik Kadir menenangkan Mak Jah dengan harapan kesihatan Kamarul segera pulih. Setelah sedar, Kamarul dapati Saridah ada di sisinya. Mereka bertanya khabar dan Saridah menyampaikan salam daripada Encik Kadir dan
Sures. Dalam pada itu, Saridah masih berharap kesalahannya yang lalu dimaafkan Kamarul. Doktor memberitahu bahawa kecederaan Kamarul tidak serius dan boleh balik ke rumah. Kunjungan kawan-kawan ke hospital membuatkan Kamarul berasa terharu, terutama pada Saridah dan Encik Kadir. Kamarul mengelamun tentang sikap buruknya terhadap Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan kawan-kawan yang lain. Timbul keinsafan dalam dirinya dan mula timbul keazaman untuk serius dalam latihan. Encik Kadir datang menyebabkan lamunan Kamarul terganggu. Encik Kadir memberitahu bahawa dia akan membawa Kamarul balik ke rumah. Kamarul berasa terharu dengan keikhlasan Encik Kadir tetapi dalam masa yang sama dia ceria dan gembira kerana dapat keluar dari hospital.

Bab 11

Pihak KOAM mengeluarkan kenyataan akhbar meletakkan harapan yang tinggi pada Kamarul dalam sukan SEA di Bangkok. Kenyataan ini membuatkan Kamarul resah. Walau bagaimanapun, Kamarul telah bersedia untuk berlatih bersungguh-sungguh. Kedatangan Kamarul di pusat latihan menggembirakan Encik Kadir. Encik Kadir menguji kepantasan Kamarul, namun prestasi Kamarul masih tidak memuaskan hati Encik Kadir. Namun, Encik Kadir meyakinkan Kamarul bahawa prestasinya akan meningkat apabila kesihatannya kembali normal. Di rumah, Kamarul menilik gambar-gambar atlet sukan olahraga yang terkenal. Daripada situ, beliau berazam untuk membuat catatan terbaik sebagaimana tokoh-tokoh atlet yang berjaya itu.

Bab 12

Suasana di lapangan terbang sebelum Kamarul dan atlet lain berlepas ke Bangkok. Dalam keriuhan dan suara kawan-kawan yang memberi semangat, Kamarul masih tercari-cari Saridah yang masih tidak muncul. Keresahan Kamarul menjadi usikan kawan-kawannya Adibah dan Fazilah. Tidak lama kemudian Saridah sampai di situ dan disambut riang oleh Kamarul. Saridah dengan mesra mengucapkan selamat jalan dengan harapan semoga Kamarul berjaya.

Bab 13

Kontinjen Malaysia sampai di Bangkok. Kamarul dan Sures tinggal sebilik. Mereka seronok kerana inilah kali pertama mereka ke Bangkok. Kamarul masih dilanda perasaan muram kerana bimbang akan kecergasannya yang belum mencapai tahap terbaik. Walau bagaimanapun, ia ditenangkan oleh Sures dengan kata-kata semangat dan keyakinan untuk berjaya. Kamarul dan atlet lain menjalani latihan kepantasan di gimnasium A. Seusai latihan Kamarul mencari De Wega, atlit Filipina yang diminatinya. Pertemuan dengan De Wega amat mengembirakan Kamarul. Mereka berkenalan dan berbual panjang tentang publisiti De Wega, tentang semangat kesukanan, disiplin dan pengalaman diri. Banyak maklumat yang diperoleh oleh Kamarul daripada De Wega dan banyak pula pengajaran yang meningkatkan semangatnya. Kamarul berasa gembira dengan pertemuan itu dan semangatnya untuk berjaya semakin berkobar-kobar.

Bab 14

Berita tentang Kamarul muncul dalam televisyen dan akhbar di Bangkok. Kamarul terkejut mendengar hal itu apabila diberitahu oleh Abdul Rahman. Pada sebelah petang berlangsung upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-14. Kamarul dan Sures menyertai perbarisan kontingen Malaysia. Pertandingan acara bermula selepas itu. Pada hari pertama, Malaysia telah memenangi beberapa pingat emas, perak dan gangsa. Encik Kadir dan penolong jurulatihnya memberi perangsang dan semangat kepada Kamarul dan atlit Malaysia yang lain. Encik Kadir memberikan Kamarul sebutir pingat emas yang pernah dimenanginya sebagai perangsang Kamarul. Kamarul menerima dan mengikatnya di pinggang. Acara 100m bermula. Kamarul berjaya meraih kejayaan menewaskan peserta lain termasuk atlit Filipina, De Wega yang diminatinya. Pada sebelah petang, Kamarul memenangi satu lagi pingat emas menerusi acara 400m. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada rakan-rakan atlit dan pegawai-pegawai, termasuk ucapan tahniah daripada rakan-rakan di Malaysia terutamanya Saridah. Encik Kadir berasa puas dengan kejayaan Kamarul. Kamarul terkejut apabila Encik Kadir memberitahu cadangannya
untuk bersara selepas kejohanan sukan ini. Kamarul terharu dan terkilan apabila diberitahu Encik Kadir sepatutnya bersara pada tahun ini tetapi menangguhkannya demi kejayaan sukan SEA ini.

Bab 15

Kejohanan Sukan SEA Ke-14 di Bangkok telah berakhir. Malaysia menduduki tepat kedua. Di hotel penginapan, Kamarul dikunjungi De Wega. De Wega mengucapkan tahniah kepada Kamarul. De Wega memberi nasihat dan kata perangsang kepada Kamarul. Kemudian Kamarul memberikan cenderamata kepada De Wega sebagai kenang-kenangan. Demikian juga De Wega turut memberikan cenderamata berupa sebutir pingat emas yang pernah dimenangi dalam sukan SEA di Brunei kepada Kamarul. Penerbangan pulang atlit Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Subang Kuala Lumpur dan disambut meriah oleh emak, ayah,kakak, Saridah dan beberapa orang kawan-kawannya. Semua mengucapkan tahniah atas kejayaan Kamarul.

Tema :

Cerita dalam novel ini membawa tema keinsafan yang membawa kajayaan.
Moral menjadi isu utama yang dibebankan pada watak Kamarul. Kejayaan menjadi atelit sukan olahraga yang terkenal di peringkat sukan SEA di Brunei telah merubah sikap Kamarul menjadi seorang yang rendah moralnya, kerana bersikap angkuh, sombong dan ego dengan kawan-kawan, bersikap tidak sopan dan biadap terhadap jurulatihnya Encik Kadir, melawan cakap dan bersikap tidak mengenang berbudi. Walau bagaimanapun, kemalangan telah menjadikan Kamarul insaf. Keinsafan adalah titik yang merubah sikap buruk Kamarul kepada sikap yang baik dan bermoral. Dengan moral yang baik itu juga Kamarul kembali bersemangat berusaha untuk berjaya dalam pertandingan dan akhirnya dia berjaya mencapai cita-cita membawa kejayaan dalam sukan SEA di Bangkok. Keinsafan menjadi asas kejayaan dan sokongan padu jurulatih serta kawan-kawannya.
Share:

Novel Tingkatan 1: Sejambak Bakti [ Kupasan Novel ]

SINOPSIS

Novel Sejambak Bakti ini mengisahkan usaha sekumpulan murid dan guru Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan membangunkan koperasi sekolah. Dalam usaha mereka membangunkan koperasi sekolah, terselit pelbagai kisah suka dan duka dan konflik sesama sendiri. Nilai-nilai murni dalam novel ini dipaparkan dengan jelas oleh penulis, antaranya sikap amanah, bertanggungjawab dan jujur dalam sesuatu pekerjaan, terutama sekali apabila murid menguruskan koperasi sekolah. Peranan guru sebagai pendorong dan pemberi nasihat kepada murid dalam novel Sejambak Bakti dipaparkan sebagai panduan kepada murid supaya dapat memilih nilai positif dalam kehidupan seharian.

Novel Tingkatan 1: Sejambak BaktiKisah bermula dengan situasi yang digambarkan di koperasi sekolah sewaktu Harun, Swee Lan dan Saridevi bertugas sebagai Ahli Lembaga Pengarah koperasi. Kedai koperasi itu dikendalikan oleh Lembaga Pengarah dan ditubuhkan kira-kira lima tahun yang lalu. Seorang pembantu kedai tersebut bersama-sama tiga orang ahli lembaga pengarah begitu sibuk melayani pembeli-pembeli yang berkehendakkan layanan segera. Mereka melayani pembeli-pembeli dengan sabar dan baik. Meskipun didesak dan disindir, senyuman masih juga terukir di bibir. Semasa pembeli sedang sibuk membeli barang keperluan sekolah, seorang daripada murid yang berasak-asak di situ cuba mengambil sebatang pen dan terus memasukkan pen tersebut ke dalam saku seluarnya. Harun menegur perbuatan tersebut dan murid itu  tersengih selamba dan segera mengeluarkan wang untuk membayar harga pen yang diambilnya. Saridevi mengingatkan rakan-rakan yang bertugas agar betul-betul mengawasi tindak tanduk pembeli.

Tidak lama kemudian, Mesyuarat Lembaga Pengarah diadakan untuk memilih jawatankuasa. Dalam mesyuarat ini Razali terpilih sebagai Naib Setiausaha. Pemilihan Razali sebagai Naib Setiausaha ini telah menimbulkan perasaan cemburu dan dendam dalam hati  Munir. Dia turut disokong oleh dua orang kawannya iaitu Leong dan Silvam. Mereka merancang untuk membalas dendam terhadap Razali. Mereka jengkel melihat Razali yang mesra dengan Ramlah, Swee Lan dan Saridevi. Cita-cita dan harapan seseorang itu terpendam di lubuk hati. Dia akan berusaha dengan pelbagai cara untuk mencapai cita-citanya itu. Demikian juga Munir, Silvam, dan Leong. Sebenarnya mereka mempunyai cita-cita dan harapan yang sama. Disebabkan itulah tiga serangkai itu begitu baik perhubungannya seperti isi dengan kuku. Jika sungai, seperti aur dengan tebingnya. Sewaktu pulang dari sekolah hari itu, tiga serangkai tadi menunggu Ramlah, Swee Lan, dan Saridevi keluar dari kedai koperasi. Ketika gadis-gadis itu sampai di tempat mereka menunggu, Munir memberanikan diri menegur Ramlah dan mengajaknya menonton filem. Ramlah menolak dengan baik. Tetapi Munir sakit hati dengan sikap Ramlah yang tidak menerima ajakannya.

Kedai Koperasi ini membuat perancangan untuk memajukan perniagaan tidak terhad kepada jualan sahaja . Dengan kerjasama PIBG sekolah, mereka membina bangsal ternakan ayam telur itu terletak di hujung kawasan Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Bangsal itu diperbuat daripada kayu, beratapkan daun nipah. Panjangnya kira-kira 50 meter dan lebar 20 meter. Bangsal itu dibina oleh PIBG sekolah tersebut secara gotong-royong. Ahli Lembaga Pengarah Koperasi sekolah itu amat berbangga dan berterima kasih terhadap sokongan tersebut. Ibu bapa pula menyedari sokongan itu patut diberikan untuk menanam semangat berkoperasi dan berniaga kepada anak-anak mereka. Zaman sekarang, berniaga dan berkoperasi merupakan sumber kehidupan yang lumayan, tidaklah mengharapkan jawatan-jawatan kerajaan semata-mata. Razali, Cikgu Zulkifli, Cikgu Hassan, Swee Lan, Saridevi, dan beberapa orang ahli lembaga pengarah yang lain, begitu sibuk menjalankan tugas masing-masing.
Pada waktu yang sama, di suatu tempat lain pula, Ramlah, Cikgu Robeah, Rozita, Harun, Silvam, dan Leong serta beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah Koperasi sekolah itu sedang mengemaskan bahan bacaan di dalam sebuah bilik. Bilik itu telah dikhaskan oleh pengetua sebagai tempat membaca bahan-bahan bacaan ringan seperti akhbar, majalah, dan risalah. Bilik itu dinamakan bilik bacaan. Murid-murid sekolah itu sama ada pada waktu rehat atau pada waktu petang dapat membaca bahan-bahan tersebut untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Bilik tersebut dikelolakan oleh ahli koperasi sekolah. Cikgu Zulkifli bertanyakan tentang Munir yang tiada di situ. Silvam memberitahu cikgu, Munir berada di padang bermain bola. Cikgu Zulkifli menggelengkan kepala.

Cikgu Zulkifli ke padang mencari Munir. Munir berjalan longlai keluar dari padang. Dia berhenti  berteduh di bawah pokok ru sambil mengelap peluhnya. Dari arah bangunan sekolah kelihatan Cikgu Zulkifli berjalan menuju ke tempat Munir berehat. Cikgu Zulkifli memberikan nasihat kepada Munir. Sepatutnya dia menolong menjalankan kegiatan koperasi sekolah kita. Munir telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Munir berjanji tak ponteng lagi.

Munir bukan sahaja tidak menjalankan tugas di koperasi, malahan dia juga selalu mengacau rakannya di dalam kelas sewaktu cikgu sedang mengajar. Kisah kelemahan disiplin Munir bukan sahaja diketahui oleh Cikgu Zulkifli dan ahli lembaga pengarah koperasi sekolah itu, malah guru-guru yang lain termasuk juga Cikgu Saiful. Akan tetapi Cikgu Zulkiflilah yang begitu kecewa kerana Munir merupakan ahli lembaga pengarah koperasi. Cikgu Zulkifli khuatir sekiranya disiplin Munir tidak dibaiki mungkin banyak ahli koperasi dan murid yang lain akan bersungut. Disebabkan itulah Cikgu Zulkifli berunding dengan guru kaunseling atau guru kerjaya sekolah itu, Cikgu Muniam supaya menyiasat dan membimbing Munir. Hari itu Munir dipanggil oleh Cikgu Muniam ke bilik kerjaya. Dia bersama-sama Cikgu Zulkifli menunggu Munir di situ.

Munir tidak puas hati kerana dia telah dipanggil untuk sesi kaunseling. Dia beranggapan Razali yang telah membuat aduan kepada cikgu kaunseling. Petang itu mereka bertigamembuat rancangan untuk memukul Razali. Mereka melihat Razali sedang mengayuh basikal melalui jalan itu menuju ke arah mereka. Jalan itu ialah jalan menuju ke rumah Razali. Razali menggunakan basikal untuk berulang-alik ke sekolah. Mereka menunggu kedatangan Razali dengan reaksi yang penuh dendam untuk bersemuka dengannya. Sesaat mereka rasakan sehari kerana Razali mengayuh basikalnya dengan perlahan. Dia mengayuh dengan tenang seperti hari-hari biasa. Akhirnya sampailah Razali di tempat yang ditunggu oleh Munir dan rakan-rakannya. Razali kehairanan melihat anak-anak muda itu menahannya. Dia turun dari basikalnya. Dia melihat wajah- wajah itu seperti hendak memukulnya. Petang itu Razali telah dipukul dengan teruk . Kejadian itu menimbulkan kemarahan kepada Pak Zakarian, ayah tiri Razali yang memang tidak suka akan Razali. Dia mengatakan Razali memang suka bergaduh. Mak Sopiah, ibu Razali memenangkan anaknya.

Di sekolah, Pengetua telah mendapat aduan tentang perbuatan Munir yang memukul Razali. Cikgu Syamsudin ( Pengetua ) telah memanggil mereka bertiga ke Bilik Pengetua. Cikgu Syamsudin merotan punggung Muniir sebanyak dua kali. Pukulannya agak kuat menyebabkan muka Munir berkerut menahan kesakitan. Kemudian, rotan itu singgah di punggung Leong dan Silvam pula. Masing-masing dikenakan rotan sekali. Cikgu Syamsudin memberikan amaran, jika mereka bersalah lagi, jawatan sebagai ahli lembaga pengarah koperasi sekolah ini akan dilucutkan.


Pada masa yang sama Cikgu Zulkifli membawa berita gembira buat Razali. Cikgu membaca surat yang ditujukan kepada Razali. Razali  telah terpilih mengikuti kursus koperasi bersama-sama dengan wakil koperasi-koperasi sekolah seluruh Malaysia. Kursus ini akan diadakan pada 24 Julai yang akan datang, bertempat di bangunan Maktab Kerjasama Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. Semua ahli lembaga koperasi mengucapkan tahniah kepada Razali.

Sekembalinya dari kursus, Razali telah diminta untuk melaporkan hasil kursus di dalam mesyuarat koperasi. Razali bangun dan terus berucap, menyampaikan pengetahuan yang diperoleh tentang koperasi ketika menghadiri kursus itu. Koperasi merupakan suatu badan yang boleh menggembleng penyatuan ahli dalam sesuatu institusi atau golongan tertentu untuk meningkatkan daya usaha dan pendapatan. Sesebuah koperasi merupakan tunjang bagi sesuatu kelompok masyarakat yang ingin membangunkan institusinya.

Pengetua mengumumkan koperasi sekolah akan bertanding dalam Pertandingan Koperasi Terbaik anjuran ANGKASA. Persetujuan untuk turut bersama-sama dalam pertandingan koperasi sekolah-sekolah itu amat menggembirakan mereka. Setiap pertandingan mesti ada persediaannya. Kalah atau menang bukanlah sesuatu yang menjadi matlamat sehingga menimbulkan kekecohan. Yang penting usaha bersungguh-sungguh untuk memajukan koperasi itu, seperti pendapat Swee Lan dalam mesyuarat yang lalu. Di samping membuat persediaan pertandingan tersebut secara tidak langsung koperasi mereka juga akan lebih teratur dan kemas. Demikianlah juga matlamat pertandingan yang diadakan oleh pihak ANGKASA terhadap koperasi-koperasi sekolah itu. Setiap petang, ahli lembaga pengarah bergilir-gilir mengurus projek yang telah dilaksanakan oleh mereka. Bangsal ternakan ayam mereka sentiasa dijaga rapi. Begitu juga dengan bilik bacaan.

Dalam diam Munir merancang untuk membuat kacau. Dia mencuri kunci bilik koperasi ketika semua orang sibuk bergotong royong. Pada malamnya dia menceroboh masuk ke dalam koperasi dan menyepah-nyepahkan barang. Pada esoknya, semua ahli lembaga koperasi yang bertugas terkejut. Alat tulis seperti pensel, pen, pembaris, dan getah pemadam berselerak memenuhi lantai. Pakaian sukan pula seperti baju dan seluar berlonggok dan terperonyok di atas meja dan di atas lantai. Mereka hanya mampu menggelengkan kepala. Perasaan kesal dan kecewa menyelubungi diri mereka. Mengapa tidak? Dua minggu lagi koperasi mereka akan diadili. Para hakim akan datang untuk melihat pengurusan koperasi itu.

Dua orang anggota polis yang berpakaian kemas masuk ke kedai koperasi. Mereka mengambil tindakan segera setelah dilaporkan oleh Cikgu Zulkifli mengenai perkara tersebut. Kedua-dua orang anggota polis itu terus memeriksa bangunan kedai koperasi seperti pintu, dinding, tingkap, atap, dan sebagainya. Ternyata tidak terdapat tempat yang rosak atau lubang yang boleh dimasuki. Setelah mereka puas hati memeriksa bangunan itu, lantas mereka keluar menemui Cikgu Zulkifli dan Razali yang menunggu di luar bangunan.

Munir membuat fitnah dengan mengatakan Razali yang menceroboh koperasi. Munir juga memberitahu Pak Zakaria. Razali dimarah dengan teruk dan dihalau dari rumah. Mak Sopiah membela Razali. Berlaku ketegangan dalam keluarga Razali. Razali sangat berdukacita dengan nasibnya yang malang. Dia mengenang nasibnya yang tidak mengenalinya bapa kandungnya.

Cikgu Zulkifli dan Cikgu Syamsudin menyusun strategi untuk menangkap penceroboh koperasi. Selepas itu, Cikgu Zulkifli bergegas ke pejabat untuk membuat pengumuman. Cikgu Zulkifli memegang pembesar suara itu. Suaranya bergema ke seluruh bangunan. Semua guru diminta memeriksa beg dan pakaian murid seorang demi seorang. Guru lelaki memeriksa murid lelaki. Guru perempuan pula memeriksa murid perempuan.

Akhirnya penceroboh sebenar dapat ditangkap. Munir didapati bersalah dan dikenakan hukuman rotan di perhimpunan sekolah. Mengikut keputusan mesyuarat guru disiplin sekolah itu, Munir akan dirotan di hadapan perhimpunan sebanyak tiga kali. Hukuman itu terpaksa dilakukan demi menjaga disiplin sekolah itu. Diharapkan dengan hukuman itu akan menginsafkan Munir daripada melakukan lagi perkara-perkara yang tidak baik. Diharapkan tindakan itu menjadi peringatan kepada murid yang lain. Sebelum hukuman itu dijalankan, kedua-dua ibu bapa Munir diberitahu terlebih dahulu. Mereka memberikan keizinan dengan harapan disiplin Munir akan berubah kerana ternyata di rumah juga kelakuannya tidak terkawal, meskipun ayahnya cuba membentuk perangainya.

Selepas itu Munir berubah sikap. Tiba-tiba dalam suasana yang amat memilukan itu, Munir menghampiri Razali dan menghulurkan tangannya. Razali menyambut tangan itu. Mereka bersalaman. Munir memohon maaf kepada Razali. Razali mengangguk-angguk. Ketika itu juga tidak tertahan rasa pilu di hatinya, segera pula dia memeluk tubuh Munir. Mereka berpelukan. Air mata Razali juga berderaian di pipinya. Semua murid dan guru yang menyaksikan peristiwa itu turut terharu. Setelah sekian lama mereka berpelukan, lalu kedua-duanya berjalan masuk ke dalam barisan semula.

Dia menyesal akan kenakalan sikapnya terhadap Razali. Dia telah dikenakan hukuman gantung persekolahan. Peperiksaan sudah hampir menjelang tetapi dia digantung persekolahan. Razali menawarkan diri untuk membantu mengajar Munir pada sebelah petang.

Munir telah kembali ke sekolah setelah menjalani hukuman. Selama itu pula dia dapat mengikuti pelajaran di sekolah melalui Razali, anak muda yang kehilangan ayah itu. Budi dan bakti Razali tidak akan dilupakan oleh Munir buat selama-lamanya. Pada hari itu juga tiga orang hakim Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah dari ANGKASA datang menghakimi Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Mereka disambut oleh pengetua, Cikgu Zulkifli, dan Razali. Ketiga-tiga orang hakim itu masuk ke kedai koperasi. Mereka meneliti barang jualan, buku-buku akaun, baucar, resit, dan sebagainya. Pada hari itu, saat yang sungguh bermakna apabila Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Koperasi Terbaik.  Ibu bapa turut hadir pada hari itu untuk menyaksikan penyampaian hadiah.

Tidak disangka-sangka, pada hari itu juga Razali akan dapat bertemu ayah kandungnya yang telah lama dicari-carinya. Ayah kandungnya juga merupakan ayah Ramlah. Suasana yang cukup mengharukan itu disebut oleh Cikgu Syamsudin sebagai jasa koperasi yang sangat besar dalam mempertemukan dua orang insan yang terpisah selama 16 tahun.

Sinopsis Mengikut Bab

TEMA :
Tema novel ini ialah kegigihan sekumpulan remaja memajukan kedai koperasi sekolah. Hal in dibuktikan menerusi watak Razali yang bertugas sebagai Penolong Setiausaha. Dia dibantu oleh Ramlah, Harun, Swee Lan, dan Saridevi sehingga koperasi sekolah mereka diumum sebagai koperasi terbaik di peringkat kebangsaan. Walaupun mendapat cabaran seperti kedai koperasi diceroboh sebanyak dua kali, namun mereka tetap bersiap siaga dengan dibantu oleh Cikgu Zulkifli untuk memastikan koperasi mereka boleh menyertai pertandingan.


PERSOALAN :

1. Setia kawan dalam menjalani kehidupan remaja
contoh Ramlah tetap menyokong dan memberi semangat ketika Razali menghadapi dugaan seperti dituduh menceroboh kedai koperasi.

2. Perasaan dendam menyebabkan hilang pertimbangan akal

contohnya Munir yang mendendami Razali gara-gara tidak dapat menjalinkan hubungan dengan Ramlah sehinggakan sanggup memukul dan memfitnah Razali menceroboh koperasi sekolah.

3. Menyimpan rahsia kerana takut kehilangan orang yang disayangi
contohnya Mak Sopiah sanggup merahsiakan ayah kandung Razali kerana tidak mahu anaknya itu meninggalkannya kelak jika Razali mengetahui ayah kandungnya yang sebenar.

4. Pengaruh rakan sebaya yang boleh merosakkan hidup remaja
contohnya Silvam dan Leong mengikut sahaja kata-kata Munir supaya membelasah Razali menyebabkan mereka berdua dijatuhi hukuman rotan oleh pengetua.

Latar Tempat & Latar Masa

Watak dan Perwatakan

Nilai dan Moral


Soalan Format PT3 – Aspek Pengajaran
Model Soalan
Terdapat banyak pengajaran yang boleh kita peroleh dalam sesebuah novel untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan.  Berdasarkan novel yang telah anda kaji dalam tingkatan 1, jelaskan pengajaran-pengajaran  yang terdapat dalam novel tersebut.   [10 markah]

Model Jawapan:
               Novel yang telah saya kaji dalam tingkatan 1 ialah novel Sejambak Bakti, karya Rejab F.I.  Terdapat banyak pengajaran yang diperoleh dalam novel ini. Pengajaran yang kita peroleh boleh dijadikan pedoman dalam mengharungi kehidupan ini.
                Antara pengajarannya ialah , Kita hendaklah bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu tugas supaya mencapai kejayaan.  Contohnya, Cikgu Syamsudin dan semua ahli lembaga pengarah telah bekerjasama memajukan koperasi sekolah dan projek ternakan ayam. Akhirnya sekolah mereka telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah.
                Pengajaran yang seterusnya ialah, Kita janganlah sesekali menyimpan dendam terhadap orang lain. Contohnya, Munir berdendam dengan Razali kerana Razali telah dilantik menjadi Setiausaha Koperasi dan disukai oleh kawan-kawan terutama Ramlah.
                Selain itu terdapat juga pengajaran bahawa Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada kita.  Contohnya, Razali dan ahli lembaga pengarah koperasi sekolah menengah Teknik Sri Kayangan yang lain melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh tanggungjawab untuk memajukan koperasi sekolah mereka.
Share:

Sinopsis Novel : Formula Termodinamik [ Tingkatan 1 ]

Sinopsis Mengikut Bab

Bab 1

Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usamah, Adnin dan Zaid. Asma adalah dua pupu Amir dan Usamah. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajaran di maktab perguruan manakala Amir dan Usamah ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma. Amir mula berasa ada perasaan indah yang terbit di hatinya terhadap Asma tetapi Asma pula seperti menyimpan cerita yang sukar diungkapkan. Dalam masa yang sama Amir dan Usamah telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah.  Amir menggunakan formula Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput yang terpakai dan dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan projek tersebut.

Bab 2

Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Dia juga mahu menebus kekecewaannya ketika di Politeknik dulu walaupun dia tahu dia tidak sehebat Amir dan Usamah. Dia mahu membuktikan yang dia tidak lemah, dia bijak dan handal serta mampu menyaingi Amir dan Usamah. Aswan bertekad akan menentang Amir dan Usamah. Dia tidak akan membiarkan kedua-dua sepupu itu menempa nama di Kampung Warisan. Aswan menyuarakan hasrat tersebut kepada kawan-kawan baiknya, Fikri dan Majibon. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Fikri dan Majibon agak kurang senang dengan hasrat dan tujuan Aswan yang ingin menyaingi Amir dan Usamah sehingga berlaku sedikit percanggahan prinsip di antara mereka dengan Aswan.  Bagi Fikri dan Majibon persaingan biarlah sihat dan tidak bermusuhan.  Namun begitu, Fikri dan Majibon tidak sampai hati untuk menghampakan Aswan.  Projek tersebut akan dijalankan dengan bantuan Fikri dan Majibon namun yang menjadi masalah ialah mereka tidak mempunyai formula. Fikri dan Majibon tidak pernah belajar bidang kejuruteraan, hanya Aswan seorang pernah belajar teori kejuruteraan waktu di Politeknik.  Namun begitu, semua nota-notanya telah hilang dan banyak perkara tentang Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Walaupun dengan sedikit pengetahuan,  Aswan tetap yakin mampu menyaingi Amir dan Usamah kerana dia tidak mahu meminta bantu daripada Amir, Usamah dan Profesor Othman seperti yang disarankan oleh Fikri dan Majibon.

Bab 3

Amir dan Usamah bertungkus lumus membuat pengubahsuaian bagi memastikan  projek mesin 2 dalam 1 mereka berjalan lancar. Mesin tersebut menggunakan kuasa 6 kw, kincir angin model SAMA, iaitu singkatan Sabah, Malaysia.  Mana-mana komponen yang tidak boleh dibuat sendiri kerana kekurangan kelengkapan seperti membentuk mata pisau cangkul dihantar ke kedai besi untuk dibentuk.  Aswan, Fikri dan Majibon telah datang melihat projek mesin 2 dalam 1 yang diusahakan oleh pasangan sepupu itu.  Fikri dan Majibon sangat berminat dengan projek tersebut.  Mereka telah diberi penerangan terperinci tentang proses pengubahsuaian dan pengendalian mesin 2 dalam 1 oleh Amir , penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Am. Aswan lebih berminat melihat bilik operasi.

Bab 4

Setelah kerja-kerja pengubahsuaian mesin 2 dalam 1 siap, Zaid dan Adnin mengajak Amir dan Usamah pergi memancing di sawah untuk menenangkan fikiran.  Semasa memancing itulah Zaid dan Adnin telah bercerita tentang kecurian baja subsidi orang  Kampung Warisan dari stor dewan.  Zaid yakin bahawa Aswan dan rakan-rakannya yang telah mencuri baja tersebut.

Bab 5

Aswan sangat gembira kerana telah berjaya memperoleh formula yang diperlukan untuk melaksanakan projek impiannya, mencipta mesin menanam padi.  Mesin ini  amat relevan untuk masa depan yang dapat mengurangkan risiko generasi menjadi bongkok. Lakaran grafik yang telah disediakan oleh Aswan diperlihatkan kepada Fikri dan Majibon.  Aswan secara terperinci menerangkan cara projek itu akan dimulakan sehinggalah ke peringkat operasi.

Bab 6
Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.  Tiba-tiba sahaja storan data formulanya hilang. Dia berasa kesal kerana cuai dan tidak menyimpan storan dengan baik. Bertahun-tahun dia mengumpul data untuk menyiapkan formula tersebut dan dibantu oleh Profesor Othman.  Dia tidak tahu orang yang telah menceroboh masuk ke bilik operasi mereka. Bukan mudah untuk dia mengingati  formula tersebut.  Amir risau tidak dapat menunaikan janjinya kepada nenek  untuk membajak tapak semaian dengan mesin 2 dalam 1 tersebut.
Bab 7

Amir dan Usamah pulang ke Putatan.  Sampai sahaja di rumahnya, Amir terus ke pejabat persendirian ayahnya untuk mencari Formula Termodinamik dan melayari data Syarikat Bahagia.  Amir amat terkejut mendapati ada pencerobohan sedang berlaku pada data syarikat ayahnya.  Amir dan Usamah berusaha untuk menyekat pencerobohan tersebut dengan menerbit kod baruAdang Keselamatan Rahsia.

Bab 8

Intan, ibu Amir amat terkejut apabila diberitahu oleh Amir tentang pencerobohan data Syarikat Bahagia.  Tetapi Amir tidak berpeluang untuk menceritakan peristiwa itu kepada ayahnya kerana dia berada di Manila atas urusan perniagaan.  Amir dan Usamah pulang semula ke Kampung Warisan.  Mereka sangat gembira melihat Asma, Zaid dan Adnin sedang menolong neneknya di tapak semaian.  Adnin sedang menolak mesin 2 dalam 1 untuk menyediakan tapak semaian. Neneknya tersenyum bangga.  Amir mewarisi kepintaran anaknya, Damit.

Bab 9

Amir bangga melihat semangat bergotong royong masih menjadi amalan penduduk Kampung Warisan.  Ramai penduduk kampung datang menolong menanam padi di sawah neneknya.  Usamah bersungut tentang mesin ciptaan Aswan yang belum disiapkan lagi, jika tidak bolehlah digunakan oleh orang kampung pada musim menanam kali ini.  Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suasana hingar bingar.  Amir dan Usamah terperanjat melihat nenek jatuh ke dalam air paya.  Pak Cik Suib, ayah Asma mengangkat nenek ke batas sawah. Nenek tidak bersuara.  Amir dan Usamah berusaha memberi pertolongan kepada nenek.  Setelah sedar nenek dibawa pulang ke rumah.  Atas desakan Asma nenek kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bab 10

Nenek menjalani pembedahan kecil pada buku lalinya untuk memastikan tidak ada pendarahan dan bagi mengelakkan jangkitan kuman ke anggota lain. Semua ahli keluarga Amir, ayah, ibu dan adik-adiknya serta Usamah turut berada di hospital menemani nenek.  Nenek sangat terharu dengan layanan dan kasih sayang daripada anak cucunya.

Bab 11

Aswan tidak lagi memberi fokus kepada projek mesin menanam padinya tetapi banyak masanya dihabiskan di hadapan komputer.  Dia tidak berpuas hati selagi pencariannya belum berhasil.  Aswan mencuba meramal beberapa nombor digital sehinggalah dapat ditembusi.  Maklumat yang ditemui beberapa hari lalu muncul semula.  Pengaliran data itu tidak dapat disekat lagi.  Aswan terpukau melihat jumlah aset syarikat tersebut.  Dia sangat teruja dan memperlihatkan data tersebut kepada Fikri dan Majibon.  Aswan bercadang memindahkan wang sejumlah RM1.3 juta itu ke dalam akaunnya.   Majibon membantah keras hasrat Aswan itu atas prinsip agama melarang mengambil hak orang lain.  Aswan kemudiannya bercadang untuk mengambil RM10,000.00 sahaja sebagai modal menjalankan projek mereka.  Fikri pula menentang hasrat Aswan dan mengingatkan mereka perlu berpegang teguh pada etika kerja serta bersaing secara sihat. Dalam masa yang sama, Amir dapat mengesan pencerobohan dan data syarikat ayahnya dibocori lagi. Usamah berusaha keras mengesan kebocoran data tersebut dan cuba menyekatnya.  Akhirnya mereka bersepakat untuk  menyiasat perkara tersebut.

Bab 12

Amir cuba menerangkan peristiwa yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepada ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Intan, ibu Amir telah menceritakan pencerobohan dan kebocoran maklumat syarikat mereka.  Pada masa yang sama Amir dan Usamah telah kembali semula ke Kampung Warisan. Nenek mereka telah beransur sihat dan akan keluar dari hospital.  Amir berasa bangga melihat mesin 2 dalam 1 ciptaan mereka digunakan oleh bapa Zaid dan orang-orang kampung untuk membajak tanah. Hasil ciptaan mereka telah dapat berbakti kepada orang kampung. Zaid dan Adnin pula telah melaporkan peristiwa yang telah dapat menjejak penjenayah  Kampung Warisan yang menyimpan barang-barang curi di sebuah pondok tidak jauh dari pangkalan. Amir telah mengatur strategi untuk memerangkap penjenayah itu.

Bab 13

Dua hari membuat persiapan dan mengatur strategi,  Amir dan rakan-rakannya bergerak selepas Isyak menuju ke pondok yang dinyatakan oleh Zaid.  Setengah jam perjalanan mereka sampai di pangkalan.  Dari situ mereka bergerak ke sebuah pondok dan bersembunyi  di tempat yang sukar dikesan oleh penjenayah. Dari situ mereka mengatur strategi untuk memerangkap penjenanyah tersebut. Akhirnya Lahop dan Oyong pemuda Kampung Warisan yang diupah menjaga pondok tersebut dapat diberkas dan dihantar ke balai polis.  Amir menemui CD yang menyimpan seribu rahsia yang sukar ditafsir.

Bab 14

Semalaman Amir tidak dapat tidur memikirkan CD yang ditemukan semasa operasi penangkapan dua orang pemuda di pondok berhampiran dengan pangkalan.  Amir dan Usamah berasa kehilangan Formula Termodinamik ada kaitan dengan CD tersebut.  Tiba-tiba ada e-melmasuk.  Orang yang tidak dikenali menghantar mesej meminta maaf.  Mereka kehairanan dan mengesyaki itulah orang yang telah mencuri formula mereka. Mereka cuba bertanya tentang penghantar e-mel itu tetapi tiada jawapan.  Kemudian Zaid datang membawa berita bahawa Asma akan berkahwin.  Adnin pula menyusul dalam keadaan basah kuyup dan mengajak mereka membantu memindahkan orang kampung kerana air telah naik melepasi satu meter.

Bab 15

Aswan , Fikri dan Majibon dibawa arus deras.  Mereka hanya berpaut pada sebatang kayu untuk menyelamatkan diri.  Aswan rasa menyesal tidak mendengar nasihat ibunya supaya tidak menghadiri majlis sambutan Krismas di rumah Majibon kerana cuaca buruk.  Dia juga mulai sedar mungkin itu adalah balasan Allah terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya.  Dalam suasana gelap malam mereka bertiga terus berpaut pada sebatang kayu sehinggalah diselamatkan oleh Amir dan rakan-rakannya.  Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usamah serta mengaku dialah yang mencuri Formula Termodinamik dan penghantar e-mel.

Bab 16

Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usamah telah  membolehkan mereka memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.   Pada hari keberangkatan, semua ahli keluarga berada di lapangan terbang.  Aswan, Fikri dan Majibon turut sama.  Asma datang mengucapkan tahniah kepada mereka berdua dengan menghulurkan sejambak mawar putih buat Usamah dan mawar merah buat Amir.

Share:

Popular Posts

Pages