Selasa, 26 Mei 2020

Novel: Meniti Impian (Osman Ayob)

Kupasan Novel:
MENITI IMPIAN (Osman Ayob)

Edisi: Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Negeri Sembilan

Sinopsis Ringkas
[Sinopsis Mengikut Bab]
     Zahar seorang pelajar yang mempunyai keazaman dan cita-cita yang tinggi. Impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke ITM selepas menduduki peperiksaan SPM musnah. Hal ini berlaku demikian kerana dia demam sewaktu peperiksaan berlangsung. Kemiskinan menyebabkan Zahar tidak berpeluang untuk belajar semula. Zahar terpaksa memikul tanggungjawab untuk membantu dua orang adiknya yang masih bersekolah. Bapa Zahar telah meninggal dunia, sementara ibunya hanya mengambil upah menoreh getah dan menganyam tikar mengkuang bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Tanggungjawab sebagai anak sulung memaksa Zahar melupakan impiannya untuk ke menara gading seketika. Tindakannya itu telah disalahertikan oleh kawan baiknya, Suhaili. Suhaili menganggap Zahar sebagai manusia yang gagal kerana tidak berjaya ke ITM walaupun semasa di sekolah mereka telah berjanji bersama-sama untuk ke ITM.

     Bagi meringankan beban ibunya, Zahar membantu bapa saudaranya, Pak Yusuf di bengkel perabot. Pak Yusuf dapat mengesan bakat, keazaman, dan kemahiran yang dimiliki oleh anak saudaranya itu. Dia sentiasa memberi perangsang dan dorongan agar Zahar berjaya suatu masa nanti. Zahar memberitahu Pak Yusuf bahawa dia sangat berminat dalam kerja pertukangan perabot dan bercita-cita untuk memiliki bengkel perabot suatu masa nanti. Oleh itu, dia telah membuat permohonan ke IKM bagi memenuhi impiannya itu. Pak Yusuf berasa amat gembira. Pak Yusuf berharap agar Zahar dapat meneruskan warisannya sebagai tukang perabot di kampungnya nanti. 


     Impian Zahar untuk ke IKM terlaksana. Permohonannya untuk mengikuti kursus Pertukangan Perabot telah berjaya. Dia ingin berkongsi kegembiraan bersama kawan baiknya, Suhaili yang telah pun berada di tahun akhir di ITM. Suhaili memandang rendah terhadap kejayaan Zahar. Bagi Suhaili, IKM tidak akan menjanjikan masa depan yang baik untuk Zahar. Suhaili beranggapan bahawa IKM hanya melahirkan pelatih yang gagal dan akhirnya merempat. Zahar menyimpan azam untuk membuktikan bahawa lepasan IKM juga dapat mencipta kejayaan pada masa depan. Kesedihan Zahar semakin terasa apabila melihat Suhaili memasuki kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang tampan.

     Semasa di IKM, Zahar telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang dalam peperiksaan dan juga latihan amali. Di sana Zahar telah berjumpa dengan rakan-rakan baharu yang juga mempunyai cita-cita sepertinya. Kesedihan hatinya sedikit terubat apabila bertemu dengan Norimi yang mengikuti bidang Lukisan Seni Bina. Selepas enam bulan berkursus, Zahar dan rakan-rakannya telah diarahkan untuk mengikuti latihan praktikal di kilang. Zahar telah diterima menjalani latihan di kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad. 

     Kilang itu terletak di kawasan perindustrian Kamunting, Taiping. Secara kebetulan, Suhaili turut bekerja sebagai Penolong Ketua Unit Pemasaran di kilang yang sama. Suhaili berasa bersalah atas kata-katanya terhadap Zahar dahulu. Dia cuba meminta maaf dan ingin membantu Zahar untuk bekerja di kilang tersebut tetapi Zahar menolak bantuan Suhaili itu dengan tegas. Hatinya kini telah dimiliki oleh orang lain dan dia tidak mahu meminta pertolongan kepada orang yang pernah menghinanya dahulu. Sampai masanya latihan praktikal Zahar di kilang itu tamat. Zahar diberi pujian oleh pihak pengurusan kilang kerana telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.

     Selepas menamatkan kursusnya di IKM, Zahar kembali ke kampung. Dia menyatakan keinginannya untuk membuka sebuah bengkel perabot di kampung kepada ibunya, Pak Yusuf, dan rakan-rakan lamanya. Mereka sangat gembira kerana impian Zahar akhirnya terlaksana. Dengan bantuan pinjaman kewangan daripada MARA sebanyak RM 10,000 dan juga sumbangan daripada Pak Yusuf sebanyak RM5,000, Zahar telah berjaya membuka bengkel perabotnya. Kini, segala Impian Zahar tercapai. Zahar berjaya membuktikan kepada Suhaili bahawa belajar di IKM juga mampu untuk mengubah nasib seseorang. Bengkel perabotmilik Zahar menjadi makin terkenal apabila kisah perjalanan hidupnya untuk mencapai impiannya itu tersiar dalam akhbar. Norimi mengirim surat kepada Zahar dan itu ialah tanda bahawa dia akan dapat melangsungkan hubungan dengan gadis tersebut. Bapa saudara Zahar, Pak Yusuf juga mengharapkan Zahar akan berjodoh dengan Norimi.


Tema
Semangat dan kesungguhan pelatih IKM dalam usaha untuk mencapai kejayaan.


Persoalan
(a) Kasih sayang dalam keluarga.
(b) Cinta dalam kalangan remaja.
(c) Rela berkorban demi keluarga.
(d) Ketabahan dalam menghadapi kesusahan hidup.
(e) Kemiskinan penduduk kampung yang tinggal di kawasan pedalaman.
(f) Hubungan yang mesra antara kaum.
(g) Kepentingan pelajaran dalam kehidupan.
(h) Sikap rajin membawa kejayaan.


Watak dan Perwatakan
Zahar
(a) Anak sulung kepada Mak Kiah.
(b) Mempunyai dua orang adik lelaki, iaitu Halim dan Zakri.
(c) Ayahnya telah meninggal dunia.
(d) Seorang yang gigih dan rajin.
(e) Bercita-cita tinggi.
(f) Tidak mudah berputus asa.
(g) Bertanggungjawab.
(h) Penyayang.
(i) Setia.
(j) Taat akan perintah agama.
(k) Beradab dan berbudi pekerti mulia.
(l) Seorang yang berprinsip.

Pak Yusuf
(a) Bapa saudara Zahar, adik kepada emak Zahar, Mak Kiah.
(b) Mempunyai isteri bernama Mak Temah dan dua orang anak yang masih menuntut di universiti.
(c) Memiliki sebuah bengkel pertukangan perabot.
(d) Seorang yang lemah lembut dan bertimbang rasa.
(e) Berumur dalam lingkungan 60-an dan masih kuat bekerja.
(f) Seorang yang prihatin.
(g) Baik hati.
(h) Pemurah.

Mak Kiah
(a) Emak kepada Zahar.
(b) Sudah kematian suami.
(c) Mempunyai tiga orang anak, iaitu Zahar, Halim, dan Zakri.
(d) Sudah tua dan sering sakit.
(e) Mengambil upah menoreh getah dan menganyam tikar mengkuang.
(f) Seorang yang penyayang.
(g) Mementingkan pelajaran anak-anaknya.

Mak Temah
(a) Isteri kepada Pak Yusuf.
(b) Badannya agak berisi.
(c) Rajin memasak.
(d) Patuh kepada suami.
(e) Sentiasa memberi dorongan kepada Zahar untuk berjaya.

Suhaili
(a) Bekas teman sekelas Zahar.
(b) Anak kepada Pak Karim, Ketua Kampung Caruk Petitih.
(c) Bekas pelajar di ITM.
(d) Pernah bekerja di sebuah kilang di Petaling Jaya dan kemudian menjadi Penolong Ketua Unit Pemasaran di kilang perabot di Kamunting, Perak.
(e) Merupakan seorang yang cantik, pendiam, tetapi mesra dengan orang yang mengenalinya.
(f) Pernah menjadi buah hati Zahar.
(g) Ego.
(h) Mementingkan pelajaran.
(i) Sedar akan kesalahannya.

Norimi
(a) Berasal dari Johor.
(b) Sama-sama menyertai kursus di IKM bersama Zahar.
(c) Seorang yang lemah lembut, cantik, dan menarik.
(d) Mengambil jurusan seni bina di IKM.
(e) Menjalin hubungan yang istimewa dengan Zahar.
(f) Berbudi pekerti mulia.
(g) Seorang yang rajin dan cemerlang dalam peperiksaan sewaktu di IKM


Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – Zahar terpaksa melupakan hasratnya untuk belajar di tingkatan enam kerana masalah kewangan. Bapanya sudah meninggal dunia. Emaknya pula sudah tua dan sering sakit. Dua orang adiknya masih bersekolah. Bagi membantu meringankan beban emaknya, Zahar menolong bapa saudaranya, Pak Yusuf di bengkel pertukangan perabot. Walaupun demikian, Zahar tetap menyimpan azam untuk berjaya pada masa depan.

(b) Perkembangan – Permohonan Zahar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pertukangan Perabot di IKM telah berjaya. Ibu Zahar, Mak Kiah sangat gembira. Zahar berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakannya, Bakar dan Rahim. Bakar menyuruh Zahar memberitahu Suhaili tentang hal tersebut. Semasa di sekolah dahulu, hubungan Zahar dengan Suhaili begitu rapat. Namun begitu, sejak Suhaili menyambung pelajaran di ITM keadaan tersebut terus berubah.

(c) Perumitan/Konflik – Zahar menghadapi konflik dengan Suhaili, iaitu bekas teman sekolahnya. Zahar berasa kecewa dan terluka apabila Suhaili memperlekehkan hasratnya untuk menyambung pelajaran di IKM dalam bidang Pertukangan Perabot. Kata-kata Suhaili membuat Zahar sedih dan terluka. Kekecewaannya bertambah apabila melihat Suhaili menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang tampan.

(d) Klimaks – Zahar mendapat tawaran membuat latihan praktikal di kilang Usaha Bersatu Sdn. Bhd. di kawasan perindustrian Kamunting, Taiping, Perak. Sikapnya yang rajin menyebabkan dia menjadi pelatih yang cemerlang. Di sana dia telah bertemu dengan Suhaili yang secara kebetulan turut bekerja di situ. Suhaili cuba memberikan pertolongan kepada Zahar tetapi demi prinsip, dia telah menolaknya mentah-mentah. Suhaili yang telah putus cinta cuba berbaik-baik semula dengan Zahar tetapi hati Zahar telah terpikat kepada Norimi. Akhirnya, Suhaili berasa malu dan kesal atas perbuatan dan katakatanya dahulu terhadap Zahar. Zahar telah memaafkannya dan cuba melupakan segala kenangan antara mereka berdua.

(e) Peleraian – Zahar berjaya menamatkan latihan praktikalnya dengan cemerlang. Selepas tamat belajar dia berjaya juga memenuhi impiannya selama ini untuk menjadi pengusaha perabot yang terkenal. Bermodalkan pinjaman daripada MARA dan sumbangan daripada Pak Yusuf, Zahar akhirnya berjaya membuka sebuah bengkel pertukangan perabot di atas tanah milik emaknya. Bengkel perabotnya menjadi terkenal di seluruh tanah air selepas rencana tentang bengkel tersebut disiarkan dalam akhbar.


Teknik Plot
(a) Pemerian.
      Contohnya, pengarang telah memerihalkan keadaan Zahar yang sedang bersiap-siap untuk menghadiri program suai kenal pada hari pertama dia mendaftarkan diri di IKM.

(b) Dialog.
      Contohnya, perbualan Zahar dengan Pak Yusuf.

(c) Imbas kembali.
      Contohnya, Zahar teringat pertemuannya dengan Suhaili di City Point, Alor Setar.

(d) Kejutan.
      Contohnya, Zahar menolak tawaran Suhaili yang mahu menolongnya mendapatkan pekerjaan tetap di kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad.

(e) Saspens.
      Contohnya, pembaca tertanya-tanya perkara yang akan dilakukan oleh Suhaili apabila mengetahui Zahar sedang menjalani latihan praktikal di kilang tempatnya bekerja.

(f) Monolog dalaman.
     Contohnya, Zahar berkata dalam hatinya bahawa kata-kata Pak Yusuf itu benar tetapi Pak Yusuf tidak tahu betapa lukanya hati Zahar.


Latar
Latar Tempat
(a) Kampung Caruk Petitih, Sik, Kedah.
(b) Bengkel perabot Pak Yusuf.
(c) Masjid.
(d) Rumah Zahar.
(e) Rumah Pak Karim.
(f) City Point.
(g) IKM Sungai Petani.
(h) Bengkel pertukangan perabot di IKM.
(i) Padang bola sepak di IKM Alor Setar.
(j) Padang bola sepak di IKM Sungai Petani.
(k) Kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad.
(l) Bilik pejabat Suhaili.

Latar Masa
(a) Waktu siang.
(b) Waktu malam.
(c) Hari Selasa.
(d) Masa lampau.
(e) Enam bulan.
(f) Tiga minggu.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat kampung yang hidup miskin.
(b) Masyarakat yang menjalankan kegiatan perniagaan.
(c) Masyarakat yang penyayang.
(d) Masyarakat yang mempunyai keazaman yang tinggi.
(e) Masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni.
(f) Masyarakat yang pemurah.
(g) Masyarakat yang berdikari dan rajin berusaha.
(h) Masyarakat yang mempunyai cita-cita untuk berjaya.
(i) Masyarakat yang ego.
(j) Masyarakat yang mengamalkan ajaran agama.


Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa daerah.
      Contohnya, mencerlungkan; gontai.

(b) Bahasa Inggeris.
      Contohnya, No problem chief; tension; traffic jam; girlfriend.

(c) Metafora.
      Contohnya, bara keazaman; tunggul nostalgia; obor semangat; kotak fikiran.

(d) Personifikasi.
      Contohnya:
      (i)    Petang yang semakin muram
      (ii)   Debaran memukul dada
      (iii)  Lidah api sedang menjelir memamah punggung kawah
      (iv)  Warna senja mulai memamah suasana.

(e) Hiperbola.
      Contohnya; Nadanya menikam jantung; Segugus debaran menggoncang dadanya; Perdu hati
Zahar bagaikan bergayut dengan sebeban debaran.

(f) Sinkope.
     Contohnya, nak; tak.

(g) Peribahasa.
      Contohnya, macam isi dengan kuku; berat mulut; berat tulang.

(h) Simile.
      Contohnya, bagaikan tidak mahu mengalah; lidahnya seperti dikelukan; bagaikan mengundang
kembali kenangan masa lampau; bagai api membakar semangat.


Nilai
(a) Kerajinan. Contohnya, Pak Yusuf rajin mengusahakan bengkel perabotnya walaupun usianya telah mencecah 60-an.
(b) Kerjasama. Contohnya, rakan-rakan Zahar bekerjasama membina bengkel perabot Meniti Impian.
(c) Ketabahan. Contohnya, Zahar tabah meneruskan cita-citanya walaupun hidupnya dihimpit kemiskinan.
(d) Kesetiaan. Contohnya, Zahar tetap setia kepada Norimi, walaupun Suhaili cuba berbaik-baik dengannya semula.
(e) Kesyukuran. Mak Kiah bersyukur kerana Zahar berjaya mencapai impiannya untuk belajar di IKM.
(f) Hormat-menghormati. Contohnya, pelatih junior menghormati pelatih senior walaupun mereka telah ditegur secara keras sewaktu minggu orientasi.
(g) Mengenang budi. Contohnya, Zahar mengenang budi Pak Yusuf yang telah banyak membantunya selama ini.
(h) Kesabaran. Contohnya, Zahar bersabar apabila dihina oleh Suhaili.
(i) Jimat cermat. Contohnya, Zahar berjimat cermat dalam menggunakan wang elaun berjumlah RM200.00 yang diterimanya pada setiap bulan.


Pengajaran
(a) Kita tidak seharusnya menghina orang yang lebih rendah daripada kita. Contohnya, Suhaili menghina Zahar sewaktu Zahar memberitahu Suhaili tentang niatnya untuk menyambung pelajaran di IKM.
(b) Kita hendaklah berjimat cermat dan tidak boros berbelanja. Contohnya Zahar berjimat cermat menggunakan wang elaunnya.
(c) Kita hendaklah setia dalam perhubungan. Contohnya, Zahar setia kepada Norimi walaupun Suhaili cuba berbaik-baik dengannya semula.
(d) Kita mestilah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita. Contohnya, Zahar gigih berusaha untuk membuka bengkel perabot di kampungnya.

Share:

3 ulasan:

  1. woii otak kau letak kat mane ni budak2 nak belajar

    BalasPadam
  2. Salam...admin boleh tolong bagi satu contoh peristiwa bagi latar masyarakat yang masyarakat kampung yang hidup miskin?

    BalasPadam

Popular Posts

Pages