Ahad, 25 April 2021

Isi Kandungan Antologi Tingkatan 3 - Bintang Hati

 



Puisi Tradisional

·         SyairBurung Nuri

·         SelokaSantap Istiadat (Za’ba)

 

Sajak

·         Sajak Kijang yang Lelah (Wan Marzuki Wan Ramli)

·         SajakPesan Ibu Beribu-ribu (Rahman Shaari)

·         Sajak Senja di Palang Besi (Pena Alam)

·         SajakBintang (Siti Zaleha M. Hashim)

 

Prosa Tradisional

·         Bahagia Sesudah Derita

 

Cerpen

·         Legasi Tapai Ubi (Ghazali Lateh)

·         Sekeping Tanah (A. Rahman C.M.)

·         Bawod (Janathan Kandok)

 

Drama

·         Tenang-tenang Air di Tasik (Norhashimah Hashim)


Share:

Tenang-tenang Air di Tasik - Norhashimah Hashim

Kupasan Drama Tenang-tenang Air di Tasik (Norhashimah Hashim)

 


Sinopsis

Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar yang memberitahu ibunya tentang kerelaannya untuk melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana dia bimbang akan keselamatan anak tunggalnya itu. Menurut ibunya lagi, tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

                Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih kumpulan peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatannya sepanjang empat hari tiga malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar merupakan seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.

Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.  

Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.

Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut membantu untuk memudahkan

ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu berkayak dengan begitu baik.

Dalam perbualan antara Muzafar, Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi wajah dan perawakan.

Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan oleh anaknya, Muzafar.  Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

 

Tema

Sikap prejudis segelintir masyarakat terhadap golongan kelainan upaya.

 

Persoalan

(a)    Keberanian melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.

(b)    Kerjasama yang utuh dalam melakukan sesuatu aktiviti.

(c)     Kasih sayang pengikat hubungan kekeluargaan.

(d)    Kepentingan sikap bertoleransi dalam melaksanakan tugas.

(e)    Kegigihan dalam mempelajari ilmu baharu.

 

Watak dan Perwatakan

Muzafar

(a)    Anak tunggal dalam keluarga.

(b)    Dia mempunyai wajah dan perawakan yang seiras dengan Muzamir.

(c)     Bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya bekas seorang pegawai.

(d)    Bekerja di sebuah tempat peranginan yang bernama Permai Resort.

(e)    Amanah dan bertanggungjawab.

(f)      Rasional dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan.

(g)    Penyayang.

(h)    Gigih dalam melakukan sesuatu perkara.

 

Muzamir

(a)    Sebaya dan seiras dengan Muzafar dari segi wajah dan perawakan.

(b)    Berasal daripada sebuah keluarga yang kaya dan ternama di Kelantan tetapi ketika berusia tiga bulan, dia telah diserahkan kepada keluarga angkat di Johor disebabkan dia dilahirkan buta.

(c)     Gigih menjalani latihan berkayak.

(d)    Mengenang budi.

(e)    Tabah dengan kecacatan matanya yang buta itu.

 

Ibu Muzafar

(a)    Balu yang kematian suami.

(b)    Seorang yang pandai bergaya moden.

(c)     Mantan pegawai dan kini bergiat aktif dalam pertubuhan sukarela Jawatankuasa Kaum Ibu.

(d)    Seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh.

(e)    Penyayang.

(f)      Pandai menyimpan rahsia.

(g)    Bersifat pilih kasih dalam membesarkan anak-anak.

(h)    Mementingkan status dan maruah keluarga.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Pengenalan – Muzafar memberitahu ibunya berkaitan dengan tugasnya yang akan melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan untuk berkayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

(b)    Perkembangan – Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan dengan baik dan mesra. Mereka terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Keesokannya, Azizi dan Muzafar mula memberi tunjuk ajar dan melatih peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul. Azizi dan Muzafar dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul dan Haris.

(c)     Perumitan – Muzamir meluahkan rasa kecewanya terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya disebabkan dia merupakan orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan sangat gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka. Muzafar mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar pulang ke rumah setelah program selama empat hari tiga malam bersama-sama dengan Muzamir dan rakan-rakannya tamat.

(d)    Klimaks – Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai oleh para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan itu.

(e)    Peleraian – Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang suatu perasaan lain yang dirasainya sewaktu dia membantu Muzamir apabila kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

 

Teknik Plot

(a)    Pemerian.

(b)    Dialog.

(c)     Imbas kembali.

(d)    Imbas muka.

(e)    Monolog.

(f)      Kejutan.

(g)    Saspens.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah; Assalamualaikum.

(b)    Bahasa Inggeris. Contohnya; rafting; commando rescue; water confidence.

(c)     Metafora. Contohnya, lautan mimpi.

(d)    Sinkope. Contohnya, Habis tu, kenapa Zam tak dapat tidur?

(e)    Repetisi. Contohnya, Tidak … tidak … tidak.

(f)      Peribahasa. Contohnya, Tak ada beban, batu digalas; mati akal; ambil hati; sampai hati; jantung hati.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Rumah batu mewah.

(b)    Tasik Permai.

(c)     Pekarangan Permai Resort.

(d)    Studio, Permai Resort.

 

Latar Masa

(a)    Waktu pagi.

(b)    Waktu siang.

(c)     Waktu malam.

(d)    Empat hari tiga malam.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang mengamalkan sikap bertolak ansur dan bertoleransi dalam melaksanakan tugas.

(b)    Masyarakat penyayang terhadap ahli keluarganya.

(c)     Masyarakat yang berani melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.

(d)    Masyarakat yang bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan ekspedisi berkayak.

(e)    Masyarakat golongan berada dan ternama yang mementingkan kedudukan dan maruah keluarga.

(f)      Masyarakat golongan kelainan upaya yang gigih mempelajari ilmu baharu untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.

(g)    Masyarakat yang bertanggungjawab dalam memikul tugas.

(h)    Masyarakat yang berhemah tinggi.

 

Nilai

(a)    Kerjasama.

(b)    Baik hati.

(c)     Bertanggungjawab.

(d)    Berhemah tinggi.

(e)    Kasih sayang.

(f)      Keberanian.

(g)    Kegigihan.

(h)    Kesabaran.

(i)      Rasional.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bijak menyusun sesuatu aktiviti ketika memberi latihan kepada orang lain.

(b)    Kita mestilah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

(c)     Kita hendaklah gigih mempelajari ilmu baharu tanpa menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang.

(d)    Kita janganlah memandang rendah terhadap orang kelainan upaya.

(e)    Kita mestilah berpendirian tegas dalam membuat keputusan.

(f)      Kita perlulah menanamkan sifat sabar ketika membimbing orang kelainan upaya.

(g)    Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati.

(h)    Kita hendaklah berani mengambil keputusan untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.

(i)      Kita mestilah mengamalkan sikap kerjasama dalam menjalankan aktiviti berpasukan.

Share:

Khamis, 22 April 2021

Bawod - Janathan Kandok

Kupasan Cerpen Bawod (Janathan Kandok)


Sinopsis

Cerpen Bawod mengisahkan hubungan yang akrab antara Beluntung dengan dua ekor haiwan peliharaannya, Tuyog yang merupakan seekor kerbau dan Bawod yang merupakan seekor kambing. Cerita bermula apabila pada suatu petang hujan lebat telah turun di kampung Beluntung menyebabkan air Sungai Layong telah melepasi paras tebing dan menenggelamkan rumput-rumput di halaman rumah Beluntung yang terletak berhampiran sungai itu. Keadaan ini mengundang keresahan di jiwa Beluntung kerana memikirkan keselamatan nyawa dua ekor haiwan peliharaannya, Tuyog dan Bawod. Dalam keadaan hujan yang lebat dan angin yang kencang, Beluntung turun dari rumah untuk mencari dan menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaannya itu daripada mati lemas walaupun tindakannya itu dilarang oleh ibunya. Namun, dia berasa kecewa apabila pencariannya itu tidak berhasil.

Keesokan harinya, pada awal-awal pagi, Beluntung telah turun ke tanah mencari haiwan-haiwan peliharaannya berbekalkan lampu suluh. Namun, Beluntung berasa sedih kerana dia masih gagal menemukan haiwannya itu dan menyangkakan haiwannya itu telah mati lemas. Setelah dia selesai membasuh kakinya di sungai, dia akhirnya menemukan haiwan-haiwan peliharaannya itu berdekatan dengan pokok nangka yang rimbun. Beluntung berusaha memanaskan badan kambingnya, Bawod yang kesejukan dengan menyalakan unggun api dan memberikan kambingnya itu makan pucuk ubi kayu. Akhirnya, kambingnya dapat diselamatkan daripada mati kesejukan.

Beluntung menggunakan khidmat kerbaunya, Tuyog yang ditungganginya setiap hari untuk ke sekolah. Dia terpaksa menggunakan khidmat kerbaunya untuk meredah air sungai yang agak dalam. Sesampainya di sekolah, Beluntung akan menambat kerbaunya, Tuyog pada pohon kelapa di halaman sekolahnya. Beluntung gigih ke sekolah memandangkan dia akan menghadapi peperiksaan darjah enam yang tinggal dua bulan sahaja lagi. Beluntung tekun belajar tatkala Cikgu Rambayut mengajarkan mata pelajaran Ilmu Alam di kelasnya. Sewaktu rehat, Beluntung akan pergi mendapatkan kerbaunya, Tuyog yang tertambat pada pohon kelapa.

Beluntung sering menjadi bahan ejekan kawan-kawannya seperti Basil kerana tindakannya membawa kerbau yang ditungganginya, Tuyog ke sekolah. Beluntung tidak mengendahkan usikan dan ejekan kawan-kawannya kerana sememangnya dia amat memerlukan khidmat kerbaunya untuk membawanya ke sekolah disebabkan jalan berlumpur dan beberapa batang sungai perlu diharungi.

Seperti biasa, suatu pagi dalam keadaan masih hujan renyai-renyai, Beluntung tekad ke sekolah dengan menunggang kerbaunya, Tuyog dengan memakai baju hujan. Tetapi, pada kali ini, kambingnya, Bawod turut mengekorinya hingga ke sekolah walaupun terpaksa meredah hujan yang lebat dan mengharungi air sungai. Kegigihan Bawod menyuntik suatu semangat kepada Beluntung untuk belajar bersungguh-sungguh demi peperiksaan darjah enam yang kian hampir. Pada waktu rehat, Beluntung menuju ke tempat Bawod dan Tuyog ditambat namun dia melihat kambingnya telah tiada. Rupa-rupanya, kambingnya telah masuk ke dalam bilik darjahnya sehingga menyebabkan dia diusik lagi oleh kawan-kawan sekelasnya. Beluntung menambat kambingnya, Bawod pada sebatang pohon.

Ketika di dalam kelas, Beluntung mendengar suara kerbaunya menguak dan disusuli dengan suara kambingnya. Dia menyangkakan kerbaunya diganggu oleh anjing, tetapi sangkaannya meleset apabila dia mendapati leher kerbaunya telah terjerut tali. Setelah membuka ikatan tali yang melilit leher Tuyog, Beluntung kembali ke kelasnya. Beluntung berasa kesabarannya tercabar apabila Basil telah membuang buku-bukunya ke lantai. Berlaku pertengkaran kecil antara mereka. Cikgu Rambuyat meminta Basil memungut buku Beluntung semula dan memohon maaf. Beluntung tidak mahu berkelahi dengan Basil kerana dia bertekad untuk fokus dalam pelajarannya dan menjadi salah seorang pelajar terbaik di SRK Timbang Pasir. 

Pada suatu pagi, Beluntung telah menyertai Pesta Lumba Kerbau peringkat Kampung Layong. Dia menunggangi Tuyog ketika menyertai perlumbaan itu. Dia berjaya memenangi perlumbaan itu dengan memperoleh hadiah sebanyak RM10.00. Dia memutuskan untuk membeli seekor kambing lain dengan menggunakan wang kemenangannya itu supaya kambingnya, Bawod mempunyai kawan. Sebelum dia pergi ke Pesta Lumba Kerbau, bapanya berpesan kepadanya agar menambat Bawod pada pohon nangka. Pagi itu, bapa dan ibunya tidak turut pergi ke pesta itu hingga mengundang pertanyaan di hati Beluntung.  Beluntung mengenang kembali peristiwa yang berlaku pada seminggu yang lalu. Bapanya berasa amat girang apabila Beluntung berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan darjah enam. Lebih membanggakan bapanya, hanya dua orang anak Kampung Layong yang mempunyai sijil darjah enam tetapi mereka sekadar lulus sahaja berbanding dengan Beluntung yang lulus dengan cemerlang. Beluntung turut teringat akan kata-kata bapanya perihal dirinya boleh menjadi seorang guru apabila besar kelak.

Beluntung berasa hairan apabila melihat banyak orang kampung berada di rumahnya dan di sungai berhampiran dengan rumahnya selepas dia pulang dari Pesta Lumba Kerbau. Beluntung mencari ibunya di dapur dan mendapati ibunya sedang memasak sambil tertawa riang bersama jiran. Selepas memeluk ibunya, dia mencari bapanya dan mendapati bapanya duduk tenang sahaja sambil sesekali tergelak mendengar perbualan rakan-rakannya di halaman rumah. Beluntung tersenyum apabila bapanya memaklumkan kehadiran ramai orang kampung ke rumah mereka kerana bapanya akan mengadakan kenduri kesyukuran. Namun begitu, Beluntung terkejut hingga menyebabkan dia tersungkur dan pengsan buat seketika akibat tersadung tunggul kayu sewaktu berlari mendapatkan kambingnya. Bawod sudah disembelih untuk dijadikan lauk kenduri bagi meraikan kejayaan cemerlangnya dalam peperiksaan darjah enam. Beluntung menangis apabila kambing peliharaan yang dianggap sebagai sahabat baiknya itu telah mati disembelih. Orang kampung memujuk Beluntung. Begitu juga dengan bapanya yang memeluk Beluntung dan berasa kesal atas tindakannya yang tidak berbincang lebih dahulu dengan anaknya itu.

 

Tema

Persahabatan yang utuh antara manusia dengan haiwan peliharaannya.

 

Persoalan

(a)    Kegigihan seorang murid dalam mengejar impian.

(b)    Kedaifan hidup di luar bandar bukan suatu penghalang untuk bersaing dalam dunia pendidikan.

(c)     Pengorbanan dan kesetiaan antara dua ekor haiwan.

(d)    Kekuatan kasih sayang pengikat kebahagiaan sesebuah keluarga.

(e)    Kesetiaan haiwan peliharaan terhadap tuan.

 

Watak dan Perwatakan

 

Beluntung

(a)    Anak tunggal dalam keluarganya.

(b)    Berumur dua belas tahun dan bersekolah dalam darjah enam di Sekolah Rendah Kerajaan Timbang Pasir.

(c)     Dia mempunyai dua ekor haiwan peliharaan, iaitu Tuyog dan Bawod.

(d)    Penyayang dan prihatin terhadap haiwan peliharaannya.

(e)    Bersikap rasional dalam membuat keputusan.

(f)      Gigih dalam menuntut ilmu.

(g)    Penyabar apabila diejek oleh kawan-kawan sekelasnya.

(h)    Bijak dalam pelajaran.

(i)      Seorang yang patuh akan arahan bapanya.

 

Bawod

(a)    Seekor kambing peliharaan Beluntung.

(b)    Bersifat seperti manusia apabila bersahabat baik dengan Tuyog, seekor kerbau.

(c)     Sangat setia kepada tuannya, Beluntung dan kepada Tuyog, seekor kerbau.

(d)    Seekor kambing yang penakut akan air hujan dan air sungai.

(e)    Bersifat gigih apabila sanggup meredah air sungai.

(f)      Bawod menjadi haiwan sembelihan untuk kenduri kesyukuran.

 

Tuyog

(a)    Seekor kerbau peliharaan Beluntung.

(b)    Tuyog dijadikan haiwan tunggangan Beluntung ke sekolah pada setiap hari.

(c)     Bersifat seperti manusia apabila bersahabat baik dengan Bawod, seekor kambing.

(d)    Sangat setia kepada tuannya, Beluntung.

(e)    Kerbau yang suka berendam dalam air sungai.

(f)      Kerbau yang gagah dan pantas berlari.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Pengenalan – Cerpen ini dimulakan dengan kisah Beluntung yang berasa cemas dan resah apabila haiwan-haiwan peliharaannya, seekor kambing dan seekor kerbau disangkakan mati lemas akibat limpahan air sungai di halaman rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Layong.

(b)    Perkembangan – Penulis memerihalkan kisah Beluntung yang gigih ke sekolah dengan menunggang kerbau peliharaannya, Tuyog walaupun terpaksa meredah hujan lebat dan jalan berlumpur kerana peperiksaan darjah enam kian hampir.

(c)     Perumitan – Beluntung dicemuh dan dipermainkan oleh kawan-kawannya kerana dia telah membawa kerbau peliharaannya ke sekolah. Dia dicemuh dan dikatakan berbau kerbau. Keadaan menjadi lebih tegang apabila pada suatu hari, kawan sekelasnya, iaitu Basil telah mencampakkan buku-bukunya ke lantai hingga menyebabkan tercetus pertengkaran kecil.

(d)    Klimaks – Beluntung berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan darjah enam. Selain itu, Beluntung juga berjaya menjuarai perlumbaan kerbau dalam Pesta Lumba Kerbau peringkat kampungnya. Ketika pulang dari Pesta Lumba Kerbau, Beluntung kehairanan apabila mendapati banyak orang kampung berada di rumahnya. Beluntung gembira apabila mengetahui bapanya akan mengadakan kenduri kesyukuran sebagai meraikan kejayaannya dalam peperiksaan darjah enam.

(e)    Peleraian – Beluntung terkejut apabila mendengar Bawod menjerit-jerit. Ketika dia menuju ke arah Bawod itu, kakinya telah tersepak tunggul kayu lalu menyebabkan dia pengsan seketika. Setelah sedar dari pengsan, Beluntung menangis semahu-mahunya apabila mendapati Bawod, kambing peliharaan yang dianggap sebagai sahabatnya itu telah disembelih untuk dijadikan lauk kenduri kesyukuran itu.

 

Teknik Plot

(a)    Pemerian.

(b)    Dialog.

(c)     Imbas kembali.

(d)    Imbas muka.

(e)    Kejutan.

(f)      Saspens.

 

Gaya Bahasa

(a)    Personifikasi. Contohnya, Cahaya itu merayapi kawasan sekitar.

(b)    Simile. Contohnya, Dia memandang kecewa ke halaman rumah yang sudah kelihatan seperti tasik kecil.

(c)     Sinkope. Contohnya, Hisyy …, asyik tanya saja.

(d)    Inversi. Contohnya, Di hadapannya, Tuyog tertambat pada pohon nangka.

(e)    Repetisi. Contohnya, Bawod takut akan air, takut akan hujan.

(f)      Peribahasa. Contohnya, Bapa tentu senang hati.

Latar

Latar Tempat

(a)    Rumah Beluntung.

(b)    Kelas darjah enam.

(c)     Sekolah Rendah Kerajaan Timbang Pasir.

(d)    Bawah pohon kelapa, halaman sekolah.

(e)    Padang Kampung Layong.

(f)      Tebing sungai.

 

Latar Masa

(a)    Waktu awal pagi.

(b)    Waktu pagi.

(c)     Waktu rehat.

(d)    Waktu siang.

(e)    Seminggu yang lalu.

(f)      Dalam tempoh dua bulan.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang patuh dan taat akan suruhan kedua-dua ibu bapa.

(b)    Masyarakat penyayang terhadap ahli keluarganya.

(c)     Masyarakat yang berani menyertai pertandingan walaupun berdepan dengan saingan yang lebih hebat.

(d)    Masyarakat pendidik yang amanah dan bertanggungjawab dalam memikul tugas.

(e)    Masyarakat kampung yang bermuafakat dan bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

(f)      Masyarakat kampung yang berpendidikan rendah.

(g)    Masyarakat murid yang gigih dan tekun menuntut ilmu.

 

Nilai

(a)    Berdikari.

(b)    Baik hati.

(c)     Tanggungjawab.

(d)    Kerjasama.

(e)    Kebijaksanaan.

(f)      Kasih sayang.

(g)    Kegigihan.

(h)    Keberanian.

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah bersifat penyayang terhadap sesama insan.

(b)    Kita hendaklah sentiasa bersyukur atas kejayaan yang diperoleh.

(c)     Kita hendaklah amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

(d)    Kita perlulah rajin dan gigih dalam menuntut ilmu demi kejayaan masa depan.

(e)    Kita mestilah berani menyertai sebarang aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada diri.   

(f)      Kita hendaklah gigih dalam menempuh sebarang cabaran dan rintangan demi kejayaan masa depan.

(g)    Sebagai seorang anak, kita mestilah patuh dan taat akan suruhan kedua-dua ibu bapa.   

(h)    Kita mestilah berhemah tinggi dan berbuat baik terhadap jiran sekampung.

(i)      Kita mestilah mempunyai perasaan simpati dan belas kasihan.

 

Share:

Rabu, 21 April 2021

Sekeping Tanah - A Rahman CM

Kupasan Cerpen Sekeping Tanah - A. Rahman C.M.

Sinopsis Cerpen Sekeping Tanah

Cerpen ini dimulakan dengan tindakan Hisyam yang pergi menemui abangnya, Harun untuk berbincang mengenai sebidang tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka di bandar. Menurut Hisyam, dia bercadang untuk membangunkan tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya di bandar itu kerana kakaknya, Halimah juga bersetuju dengan cadangannya. Hal ini demikian kerana Halimah sudah berasa tidak selesa menetap di rumah pusaka itu dengan keluarganya kerana bimbang akan menimbulkan masalah apabila dia meninggal dunia.

Hisyam menyatakan cadangan kepada abangnya tentang hasratnya untuk menubuhkan sebuah syarikat keluarga yang boleh membangunkan tanah pusaka itu dengan membina kondo. Harun mempersoalkan cadangan adiknya itu atas faktor kewangan dan faktor tahap pendidikan yang dicapai oleh adiknya itu. Hisyam menegaskan bahawa mereka bolehmembuat pinjaman bank dan urusan pinjaman wang tersebut boleh diuruskan oleh kakaknya, Halimah yang merupakan seorang pengurus bank.

Selepas Hisyam gagal memujuk abangnya untuk mengekalkan tanah pusaka itu, pada malamnya, dia telah ke rumah pusaka untuk menemui kakaknya, Halimah. Hisyam memberitahu tentang kedegilan abangnya yang mendesaknya supaya menjualkan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka itu. Selepas perbincangan diadakan, Hisyam dan Halimah bersepakat untuk membangunkan tanah yang terletak di bandar itu tetapi mereka merahsiakan hal itu daripada pengetahuan abangnya, Harun. Bagi melicinkan proses untuk membangunkan tanah pusaka itu, mereka telah menubuhkan sebuah syarikat atas nama Binajaya Sdn. Bhd. dan melantik seorang peguam untuk membeli tanah pusaka mereka yang telah dijual itu sebelum dibangunkan semula.

Sebulan kemudian, Harun, Hisyam dan Halimah menurunkan tandatangan menjual tanah pusaka dengan harga RM 6 625 000.00 kepada Binajaya Sdn. Bhd. di hadapan pegawai pentadbiran tanah dan seorang peguam. Harun gembira menerima cek bernilai RM 2 650 000.00. Begitu juga dengan Hisyam yang menerima jumlah yang sama dan Halimah pula menerima RM 1 325 000.00. Rumah pusaka bapa mereka telah didermakan kepada sebuah keluarga di Sungai Pencala.

Pada minggu itu juga tertegak papan tanda bahawa di atas tapak tanah itu akan dibina sebuah kondo mewah setinggi 25 tingkat. Hati Harun terdetik apabila melihat nama adiknya, Hisyam bin Sulaiman tertera pada papan kenyataan tapak kondo itu sebagai pengurus Binajaya Sdn. Bhd. Namun begitu, dia tidak membuat apa-apa tindakan kerana ingin melihat dahulu perkembangannya dan berfikir mungkin nama itu bukan adiknya.

Setelah tiga tahun setengah projek kondo mewah itu dibina, sebahagian besar pembeli kondo mewah itu mengambil kunci rumah masing-masing. Harun tergamam apabila melihat adiknya, Hisyam dan Halimah yang sebenarnya menguruskan projek pembinaan Kondo Jaya itu. Mereka menyerahkan kunci rumah kediaman mewah itu kepada para pembeli. Harun berasa dirinya ditipu dan dipermainkan oleh adik-adiknya.

                Pada malamnya, Harun telah menelefon Hisyam untuk meluahkan rasa kecewanya kerana ditipu dan dipermainkan oleh adik-adiknya. Hisyam menjelaskan perkara yang sebenar kepada abangnya, berhubung pembinaan Kondo Jaya di atas tapak tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka itu. Harun berasa terpukul dengan tindakannya tiga tahun setengah yang lalu.

Hisyam menyerahkan jawatan Pengurus Syarikat Binajaya Sdn. Bhd. kepada Halimah memandangkan kakaknya berpendidikan tinggi dan telah meletakkan jawatannya di bank. Hisyam pula bercadang untuk memandu teksi kerana kerjaya itu sudah sebati dengan kehidupannya.

 

Tema

Konflik adik-beradik dalam mempertahankan harta pusaka warisan keluarga.

 

Persoalan

(a)    Keberanian mengambil risiko untuk kesejahteraan masa depan.

(b)    Kerjasama dan kolaboratif dalam menjayakan projek usahasama.

(c)     Kebijaksanaan merancang masa depan.

(d)    Keutuhan integriti dalam memikul tanggungjawab.

(e)    Kepentingan pendidikan untuk mengubah kehidupan seseorang.

 

Watak dan Perwatakan

 Hisyam/Hisyam bin Sulaiman

(a)    Anak bongsu daripada tiga beradik.

(b)    Bekerja sebagai pemandu teksi di sebuah bandar raya.

(c)     Mempunyai tiga orang anak, iaitu Zaki, Linda dan Nora.

(d)    Patuh akan arahan dan pesanan abang sulungnya.

(e)    Bersikap rasional dan berpandangan jauh dalam membuat keputusan.

(f)      Berhemah tinggi.

(g)    Penyayang terhadap ahli keluarganya.

(h)    Bersikap amanah dan jujur ketika dia menguruskan Syarikat Binajaya Sdn. Bhd.

(i)      Merendah diri.

(j)      Berani dalam membuat keputusan.

 

Harun

(a)    Anak sulung daripada tiga beradik.

(b)    Bapa kepada dua orang anak lelaki, Saleh dan Musa.

(c)     Penyayang dan bertanggungjawab terhadap anak-anaknya.

(d)    Bijak berhujah.

(e)    Berpendirian tegas.

(f)      Bersifat sensitif.

 

Halimah

(a)    Anak kedua daripada tiga beradik.

(b)    Dia bertugas sebagai pengurus sebuah bank. Selepas meletakkan jawatannya di bank, dia menjadi pengurus baharu Syarikat Binajaya Sdn. Bhd.

(c)     Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan.

(d)    Patuh akan arahan abangnya.

(e)    Berhemah tinggi apabila berbicara dengan abangnya.

(f)      Bijak dan teliti dalam melakukan kerja.

(g)    Berpandangan jauh.

(h)    Prihatin dan bersimpati terhadap kesusahan abangnya.

(i)      Amanah dalam memikul tanggungjawab untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Binajaya Sdn. Bhd. daripada adiknya, Hisyam.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Permulaan – Cerpen ini dimulakan dengan hasrat Hisyam yang ingin membangunkan sebidang tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya di bandar kerana memikirkan potensi tanah pusaka itu.

(b)    Perkembangan – Hisyam berbincang dengan abangnya, Harun dan kakaknya, Halimah berhubung cadangannya untuk membangunkan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka di bandar. Namun begitu, Harun tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam yang dianggap menyusahkan dan rumit. Harun bertegas meminta Hisyam menjual tanah pusaka itu. Sementara itu, Hisyam dan Halimah bersepakat menjual tanah pusaka itu tetapi kemudiannya membeli tanah itu semula untuk dibangunkan.

(c)     Klimaks – Harun tergamam melihat adiknya, Hisyam dan Halimah yang sebenarnya menguruskan projek pembinaan Kondo Jaya itu. Mereka menyerahkan kunci rumah kediaman kepada para pembeli. Harun berasa dirinya ditipu dan dipermainkan oleh adik-adiknya.

(d)    Peleraian – Hisyam menjelaskan perkara yang sebenar kepada abangnya, Harun berhubung pembinaan Kondo Jaya di atas tapak tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka itu. Hisyam menyerahkan jawatan pengurus Syarikat Binajaya Sdn. Bhd. kepada Halimah. Halimah bersetuju untuk menerima jawatan tersebut. Hisyam pula bercadang untuk memandu teksi kerana kerjaya itu sudah sebati dengan kehidupannya.

 

Teknik Plot

(a)    Pemerian.

(b)    Dialog.

(c)     Imbas kembali.

(d)    Monolog.

(e)    Kejutan.

(f)      Saspens.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contohnya, Astaghfirullah.

(b)    Kata ganda. Contohnya, dalam-dalam; mati-mati; bulat-bulat; dan angan-angan.

(c)     Metafora. Contohnya, mata batinnya.

(d)    Sinkope. Contohnya, Tak boleh. Kamu saja, Syam.

(e)    Repetisi. Contohnya, Dia cabar saya. Dia hina saya.

(f)      Peribahasa. Contohnya, tukar tangan; perah otak.

(g)    Perlambangan. Contohnya, Pisau di tangan abang.

(h)    Personifikasi. Contohnya, Hatinya teringin sangat untuk membuat panggilan telefon kepada adiknya itu tetapi otaknya melarang.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Rumah Harun.

(b)    Rumah Halimah.

(c)     Rumah Hisyam.

(d)    Pejabat Tanah.

(e)    Sebidang tanah pusaka di bandar.

(f)      Kondo Jaya.

 

Latar Masa

(a)    Waktu petang.

(b)    Waktu tengah hari.

(c)     Waktu malam.

(d)    Sebulan selepas urusan pinjaman bank diluluskan.

(e)    Setelah tiga tahun setengah.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang bijak merancang masa depan.

(b)    Masyarakat penyayang terhadap ahli keluarganya.

(c)     Masyarakat yang berani mengambil risiko untuk kesejahteraan masa depan.   

(d)    Masyarakat yang bersatu hati dalam menjayakan projek usahasama.

(e)    Masyarakat yang berpendidikan tinggi.

(f)      Masyarakat kota yang gigih mencari rezeki.

(g)    Masyarakat yang menghormati orang yang lebih tua.

(h)    Masyarakat yang terlibat dalam gejala negatif.

 

Nilai

(a)    Amanah.

(b)    Baik hati.

(c)     Hormat-menghormati.

(d)    Kebijaksanaan.

(e)    Kasih sayang.

(f)      Keberanian.

(g)    Kegigihan.

(h)    Hemah tinggi.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bijak merancang masa depan demi kesenangan hidup dan keluarga.

(b)    Kita mestilah mengamalkan sikap amanah dan jujur dalam menjalankan tugas.

(c)     Kita perlulah menjaga hak keluarga dengan sebaik-baiknya.

(d)    Kita janganlah mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang boleh merosakkan maruah dan diri.

(e)    Kita perlulah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.

(f)      Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati.

(g)    Kita hendaklah berani mengambil risiko demi kesejahteraan kehidupan masa depan.   

(h)    Kita mestilah bersatu hati dalam menjayakan satu-satu projek usahasama.

(i)      Kita hendaklah rajin menuntut ilmu supaya menjadi masyarakat yang berpendidikan tinggi.   

(j)      Kita hendaklah gigih mencari rezeki untuk menyara keluarga

Share:

Popular Posts

Pages