Memaparkan catatan dengan label Tingkatan 1. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tingkatan 1. Papar semua catatan

Sabtu, 24 Mac 2018

Sinopsis Novel : Formula Termodinamik [ Tingkatan 1 ]

Sinopsis Mengikut Bab

Bab 1

Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usamah, Adnin dan Zaid. Asma adalah dua pupu Amir dan Usamah. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajaran di maktab perguruan manakala Amir dan Usamah ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma. Amir mula berasa ada perasaan indah yang terbit di hatinya terhadap Asma tetapi Asma pula seperti menyimpan cerita yang sukar diungkapkan. Dalam masa yang sama Amir dan Usamah telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah.  Amir menggunakan formula Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput yang terpakai dan dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan projek tersebut.

Bab 2

Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Dia juga mahu menebus kekecewaannya ketika di Politeknik dulu walaupun dia tahu dia tidak sehebat Amir dan Usamah. Dia mahu membuktikan yang dia tidak lemah, dia bijak dan handal serta mampu menyaingi Amir dan Usamah. Aswan bertekad akan menentang Amir dan Usamah. Dia tidak akan membiarkan kedua-dua sepupu itu menempa nama di Kampung Warisan. Aswan menyuarakan hasrat tersebut kepada kawan-kawan baiknya, Fikri dan Majibon. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Fikri dan Majibon agak kurang senang dengan hasrat dan tujuan Aswan yang ingin menyaingi Amir dan Usamah sehingga berlaku sedikit percanggahan prinsip di antara mereka dengan Aswan.  Bagi Fikri dan Majibon persaingan biarlah sihat dan tidak bermusuhan.  Namun begitu, Fikri dan Majibon tidak sampai hati untuk menghampakan Aswan.  Projek tersebut akan dijalankan dengan bantuan Fikri dan Majibon namun yang menjadi masalah ialah mereka tidak mempunyai formula. Fikri dan Majibon tidak pernah belajar bidang kejuruteraan, hanya Aswan seorang pernah belajar teori kejuruteraan waktu di Politeknik.  Namun begitu, semua nota-notanya telah hilang dan banyak perkara tentang Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Walaupun dengan sedikit pengetahuan,  Aswan tetap yakin mampu menyaingi Amir dan Usamah kerana dia tidak mahu meminta bantu daripada Amir, Usamah dan Profesor Othman seperti yang disarankan oleh Fikri dan Majibon.

Bab 3

Amir dan Usamah bertungkus lumus membuat pengubahsuaian bagi memastikan  projek mesin 2 dalam 1 mereka berjalan lancar. Mesin tersebut menggunakan kuasa 6 kw, kincir angin model SAMA, iaitu singkatan Sabah, Malaysia.  Mana-mana komponen yang tidak boleh dibuat sendiri kerana kekurangan kelengkapan seperti membentuk mata pisau cangkul dihantar ke kedai besi untuk dibentuk.  Aswan, Fikri dan Majibon telah datang melihat projek mesin 2 dalam 1 yang diusahakan oleh pasangan sepupu itu.  Fikri dan Majibon sangat berminat dengan projek tersebut.  Mereka telah diberi penerangan terperinci tentang proses pengubahsuaian dan pengendalian mesin 2 dalam 1 oleh Amir , penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Am. Aswan lebih berminat melihat bilik operasi.

Bab 4

Setelah kerja-kerja pengubahsuaian mesin 2 dalam 1 siap, Zaid dan Adnin mengajak Amir dan Usamah pergi memancing di sawah untuk menenangkan fikiran.  Semasa memancing itulah Zaid dan Adnin telah bercerita tentang kecurian baja subsidi orang  Kampung Warisan dari stor dewan.  Zaid yakin bahawa Aswan dan rakan-rakannya yang telah mencuri baja tersebut.

Bab 5

Aswan sangat gembira kerana telah berjaya memperoleh formula yang diperlukan untuk melaksanakan projek impiannya, mencipta mesin menanam padi.  Mesin ini  amat relevan untuk masa depan yang dapat mengurangkan risiko generasi menjadi bongkok. Lakaran grafik yang telah disediakan oleh Aswan diperlihatkan kepada Fikri dan Majibon.  Aswan secara terperinci menerangkan cara projek itu akan dimulakan sehinggalah ke peringkat operasi.

Bab 6
Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.  Tiba-tiba sahaja storan data formulanya hilang. Dia berasa kesal kerana cuai dan tidak menyimpan storan dengan baik. Bertahun-tahun dia mengumpul data untuk menyiapkan formula tersebut dan dibantu oleh Profesor Othman.  Dia tidak tahu orang yang telah menceroboh masuk ke bilik operasi mereka. Bukan mudah untuk dia mengingati  formula tersebut.  Amir risau tidak dapat menunaikan janjinya kepada nenek  untuk membajak tapak semaian dengan mesin 2 dalam 1 tersebut.
Bab 7

Amir dan Usamah pulang ke Putatan.  Sampai sahaja di rumahnya, Amir terus ke pejabat persendirian ayahnya untuk mencari Formula Termodinamik dan melayari data Syarikat Bahagia.  Amir amat terkejut mendapati ada pencerobohan sedang berlaku pada data syarikat ayahnya.  Amir dan Usamah berusaha untuk menyekat pencerobohan tersebut dengan menerbit kod baruAdang Keselamatan Rahsia.

Bab 8

Intan, ibu Amir amat terkejut apabila diberitahu oleh Amir tentang pencerobohan data Syarikat Bahagia.  Tetapi Amir tidak berpeluang untuk menceritakan peristiwa itu kepada ayahnya kerana dia berada di Manila atas urusan perniagaan.  Amir dan Usamah pulang semula ke Kampung Warisan.  Mereka sangat gembira melihat Asma, Zaid dan Adnin sedang menolong neneknya di tapak semaian.  Adnin sedang menolak mesin 2 dalam 1 untuk menyediakan tapak semaian. Neneknya tersenyum bangga.  Amir mewarisi kepintaran anaknya, Damit.

Bab 9

Amir bangga melihat semangat bergotong royong masih menjadi amalan penduduk Kampung Warisan.  Ramai penduduk kampung datang menolong menanam padi di sawah neneknya.  Usamah bersungut tentang mesin ciptaan Aswan yang belum disiapkan lagi, jika tidak bolehlah digunakan oleh orang kampung pada musim menanam kali ini.  Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suasana hingar bingar.  Amir dan Usamah terperanjat melihat nenek jatuh ke dalam air paya.  Pak Cik Suib, ayah Asma mengangkat nenek ke batas sawah. Nenek tidak bersuara.  Amir dan Usamah berusaha memberi pertolongan kepada nenek.  Setelah sedar nenek dibawa pulang ke rumah.  Atas desakan Asma nenek kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bab 10

Nenek menjalani pembedahan kecil pada buku lalinya untuk memastikan tidak ada pendarahan dan bagi mengelakkan jangkitan kuman ke anggota lain. Semua ahli keluarga Amir, ayah, ibu dan adik-adiknya serta Usamah turut berada di hospital menemani nenek.  Nenek sangat terharu dengan layanan dan kasih sayang daripada anak cucunya.

Bab 11

Aswan tidak lagi memberi fokus kepada projek mesin menanam padinya tetapi banyak masanya dihabiskan di hadapan komputer.  Dia tidak berpuas hati selagi pencariannya belum berhasil.  Aswan mencuba meramal beberapa nombor digital sehinggalah dapat ditembusi.  Maklumat yang ditemui beberapa hari lalu muncul semula.  Pengaliran data itu tidak dapat disekat lagi.  Aswan terpukau melihat jumlah aset syarikat tersebut.  Dia sangat teruja dan memperlihatkan data tersebut kepada Fikri dan Majibon.  Aswan bercadang memindahkan wang sejumlah RM1.3 juta itu ke dalam akaunnya.   Majibon membantah keras hasrat Aswan itu atas prinsip agama melarang mengambil hak orang lain.  Aswan kemudiannya bercadang untuk mengambil RM10,000.00 sahaja sebagai modal menjalankan projek mereka.  Fikri pula menentang hasrat Aswan dan mengingatkan mereka perlu berpegang teguh pada etika kerja serta bersaing secara sihat. Dalam masa yang sama, Amir dapat mengesan pencerobohan dan data syarikat ayahnya dibocori lagi. Usamah berusaha keras mengesan kebocoran data tersebut dan cuba menyekatnya.  Akhirnya mereka bersepakat untuk  menyiasat perkara tersebut.

Bab 12

Amir cuba menerangkan peristiwa yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepada ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Intan, ibu Amir telah menceritakan pencerobohan dan kebocoran maklumat syarikat mereka.  Pada masa yang sama Amir dan Usamah telah kembali semula ke Kampung Warisan. Nenek mereka telah beransur sihat dan akan keluar dari hospital.  Amir berasa bangga melihat mesin 2 dalam 1 ciptaan mereka digunakan oleh bapa Zaid dan orang-orang kampung untuk membajak tanah. Hasil ciptaan mereka telah dapat berbakti kepada orang kampung. Zaid dan Adnin pula telah melaporkan peristiwa yang telah dapat menjejak penjenayah  Kampung Warisan yang menyimpan barang-barang curi di sebuah pondok tidak jauh dari pangkalan. Amir telah mengatur strategi untuk memerangkap penjenayah itu.

Bab 13

Dua hari membuat persiapan dan mengatur strategi,  Amir dan rakan-rakannya bergerak selepas Isyak menuju ke pondok yang dinyatakan oleh Zaid.  Setengah jam perjalanan mereka sampai di pangkalan.  Dari situ mereka bergerak ke sebuah pondok dan bersembunyi  di tempat yang sukar dikesan oleh penjenayah. Dari situ mereka mengatur strategi untuk memerangkap penjenanyah tersebut. Akhirnya Lahop dan Oyong pemuda Kampung Warisan yang diupah menjaga pondok tersebut dapat diberkas dan dihantar ke balai polis.  Amir menemui CD yang menyimpan seribu rahsia yang sukar ditafsir.

Bab 14

Semalaman Amir tidak dapat tidur memikirkan CD yang ditemukan semasa operasi penangkapan dua orang pemuda di pondok berhampiran dengan pangkalan.  Amir dan Usamah berasa kehilangan Formula Termodinamik ada kaitan dengan CD tersebut.  Tiba-tiba ada e-melmasuk.  Orang yang tidak dikenali menghantar mesej meminta maaf.  Mereka kehairanan dan mengesyaki itulah orang yang telah mencuri formula mereka. Mereka cuba bertanya tentang penghantar e-mel itu tetapi tiada jawapan.  Kemudian Zaid datang membawa berita bahawa Asma akan berkahwin.  Adnin pula menyusul dalam keadaan basah kuyup dan mengajak mereka membantu memindahkan orang kampung kerana air telah naik melepasi satu meter.

Bab 15

Aswan , Fikri dan Majibon dibawa arus deras.  Mereka hanya berpaut pada sebatang kayu untuk menyelamatkan diri.  Aswan rasa menyesal tidak mendengar nasihat ibunya supaya tidak menghadiri majlis sambutan Krismas di rumah Majibon kerana cuaca buruk.  Dia juga mulai sedar mungkin itu adalah balasan Allah terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya.  Dalam suasana gelap malam mereka bertiga terus berpaut pada sebatang kayu sehinggalah diselamatkan oleh Amir dan rakan-rakannya.  Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usamah serta mengaku dialah yang mencuri Formula Termodinamik dan penghantar e-mel.

Bab 16

Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usamah telah  membolehkan mereka memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.   Pada hari keberangkatan, semua ahli keluarga berada di lapangan terbang.  Aswan, Fikri dan Majibon turut sama.  Asma datang mengucapkan tahniah kepada mereka berdua dengan menghulurkan sejambak mawar putih buat Usamah dan mawar merah buat Amir.

Share:

Novel Tingkatan 1 : Formula Termodinamik [Kupasan Novel]

Formula Termodinamik - Novel Bahasa Melayu Tingkatan 1 (Obasiah Haji Usman)
Negeri Yang Menggunakan Novel ini: Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pahang
Novel Tingkatan 1: Formula Termodinamik

Sinopsis Keseluruhan

Muka Belakang Novel Formula Termodinamik
       Cerita Formula Termodinamik digambarkan dengan latar kampung yang dikelilingi sawah. Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usama, Adnin dan Zaid. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajarannya di maktab perguruan manakala Amir dan Usama ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma. Amir dan Usama telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah. Amir menggunakan formula Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput terpakai dan projek ini dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan. Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Namun begitu, semua nota telah hilang dan perkara tentang Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan tiba-tiba sahaja storan formulanya hilang. Selain itu, Amir terkejut juga apabila didapati pencerobohan berlaku pada data syarikat ayahnya. Amir cuba menerangkan perkara yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepunyaan ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Amir telah mengatur strategi untuk menangkap penjenayah. Akhirnya Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usama kerana dialah yang mencuri Formula Termodinamik tersebut. Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usama telah memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.



TEMA:
Tema novel ini ialah cabaran hidup remaja dalam usaha mengubah suai mesin terpakai yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk kampung. Hal ini dibuktikan menerusi watak Amir dan Usamah yang ingin mengubah suai mesin rumput terpakai menjadi mesin mencangkul tanah dengan bantuan Profesor Othman yang meminjamkan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik. Apabila usaha tersebut diketahui oleh Aswan, lelaki tersebut ingin menyaingi rakannya itu dengan mencipta model yang sama tetapi berbeza fungsinya. Aswan melakukan jalan pintas dengan mencuri Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.


PERSOALAN :

1. Rasa kecewa apabila orang yang dikasihi akan berkahwin dengan orang lain,

contohnya Amir berasa kecewa apabila mendapat tahu Asma akan berkahwin dengan Asman menyebabkan dia terjelopok lalu tapak tangannya terluka.

2. Sikap iri hati terhadap kebolehan orang lain

contohnya Aswan berasa tergugat apabila mendapat tahu Amir dan Usamah boleh mengubah suai mesin rumput terpakai menjadi mesin mencangkul tanah. Dia juga yakin mampu mencipta mesin yang boleh berfungsi menanam padi, lalu mencuri formula Dua Hukum Popular Termodinamik.

3. Selain itu persoalan pengaruh rakan sebaya yang boleh merosakkan diri

contohnya Fikri dan Majibon berakhlak mulia, tetapi sanggup bersekongkol melakukan perbuatan yang negatif hasil persahabatannya dengan Aswan.

4. Mengambil jalan singkat untuk kesenangan diri sendiri sehinggakan menyusahkan orang lain

contohnya Lahop dan Oyong mencuri harta pertanian penduduk Kampung Warisan sehingga menyusahkan penduduk kampung.

Watak dan Perwatakan

1. Amir (Watak Utama)

  • Seorang yang pemaaf dan tidak berdendam. Sebagai contoh, Amir memaafkan Aswan walaupun banyak kesalahan yang dilakukan oleh Aswan terhadap dirinya.
  • Seorang yang kreatif dan inovatif. Sebagai contoh, Amir mencipta mesin 2 dalam 1 berpandukan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan menggunakan kreativiti dan inovasi.
  • Seorang yang bijaksana. Sebagai contoh, Amir membuat rancangan untuk memberkas penjenayah yang mencuri baja subsidi penduduk kampung dengan bijaksana.
  • Seorang yang penyayang. Sebagai contoh, Amir menyayangi neneknya.
  • Seorang yang bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, Amir mencipta mesin 2 dalam 1 dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya, mesin tersebut mendapat sambutan penduduk kampung.


2. Usamah (Watak Sampingan)

  • Seorang perempuan yang kreatif dan inovatif. Sebagai contoh, Usamah mencipta mesin 2 dalam 1 berpandukan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan menggunakan kreativiti dan inovasi.
  • Seorang yang penyayang.Sebagai contoh, Usamah menyayangi neneknya.
  • Seorang yang bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, Usamah mencipta mesin 2 dalam 1 dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya, mesin tersebut mendapat sambutan penduduk kampung.
  • Seorang yang kurang sabar. Sebagai contoh, Usamah berasa sangat marah apabila seorang pengguna Internet yang menghantar e-mel kepada Amir untuk meminta maaf tidak menjawab pertanyaan mereka.



LATAR TEMPAT :

1. Sebuah rumah dua tingkat

terletak di Putatan dan pejabat itu kepunyaan Damit.

2.Kampung Warisan, Papar

iaitu tempat kelahiran Amir dan Usaniah dan di kampung itulah proses mengubah suai mesin dilakukan berdasarkan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik, sehingga terhasilnya mesin 2 dalanm 1 untuk dimanfaatkan oleh para petani.

3. Tapak semaian, di Kampung Warisan,

iaitu tempat mesin 2 dalam 1 digunakan untuk menggantikan cangkul.

4. Lapangan terbang

iaitu tempat Amir dan Usamah dihantar oleh ahli keluarga mereka sebelum berlepas ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.

LATAR MASA :


  • Malam sambutan Hari Krismas, iaitu semasa berlakunya kejadian air bah yang sangat dasyat sehingga hampir meragut nyawa Aswan, Majibon, dan Fikri.
  • Selepas waktu isyak, iaitu Amir dan rakan- rakannya bersiap- siap untuk memulakan misi memerangkap dan menangkap pejenayah siber.
  • Pada pukul 12.00 tengah malam, iaitu Amir dan Usamah tiba di rumah dan terus ke pejabat persendirian Damit. Mereka meneliti komputer ayah Amir dan mendapati ada orang yang berusaha untuk memindahkan storan data Syarikat Bahagia. 
  • Pada suatu pagi, iaitu hujan lebat mencurah - curah, air naik sehingga satu meter, dan semua penduduk kampung dipindahkan ke balai raya.


LATAR MASYARAKAT 

  • Masyarakat yang berpendidikan tinggi. Contohnya, Asma menuntut maktab perguruan, manakala Amir dan Usamah pula merupakan penuntut politeknik serta bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.
  • Masyarakat yang masih mengamalkan sikap bergotong-royong.Contohnya, orang kampung bergotong-royong untuk menyiapkan sawah milik nenek Amir.
  • Masyarakat yang masih mempunyai sifat iri hati dan hasad  dengki apabila melihat kejayaan Amir dan Usamah mengubah suai mesin rumput.
  • Masyarakat golongan muda yang mengamalkan semangat kerjasama. Contohnya, Adin yang sedang menunggu keputusan SPM mengajak Amir dan Usamah untuk membantu mangsa banjir yang telah pindah di kampung mereka.
  • Masyarakat yang suka mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri. Contohnya, Aswan telah mencuri pemacu pena [pen drive] milik Amiryang mengandungi Formula Termodinamik demi kepentingan.  


NILAI MURNI :

1. Kerjasama
contohnya penduduk Kampung Warisan, Papar bergotong-royong mengusahakan padi untuk memastikan kerja-kerja pertanian dapat dilakukan dengan lebih cepat.

2. Kasih sayang
contoh Intan berasa risau dan amat bimbang akan keselamatan Amir apabila anaknya itu meninggalkan rumah tanpa memberi sebarang pesan.

3. Kejujuran
contohnya Fikri menentang hasrat Aswan memindahkan wang Syarikat Bahagia sebayak RM1.3 juta kerana menganggap perbuatan itu tidak bermoral.

4. Keberanian
contohnya Amir berani menyerbu masuk ke dalam pondok untuk menangkap penjenayah yang mencuri harta benda penduduk Kampung Warisan.


PENGAJARAN :

1. Kita hendaklah mengamalkan sikap bekerjasama

contohnya penduduk Kampung Warisan, Papar bergotong-royong mengusahakan padi untuk memastikan kerja-kerja pertanian dapat dilakukan dengan lebih cepat.

2. Kita semestinya memiliki sikap kasih sayang

contoh Intan berasa risau dan amat bimbang akan keselamatan Amir apabila anaknya itu meninggalkan rumah tanpa memberi sebarang pesan.

3. Kita sewajarnya memiliki sikap jujur

contohnya Fikri menentang hasrat Aswan memindahkan wang Syarikat Bahagia sebayak RM1.3 juta kerana menganggap perbuatan itu tidak bermoral.

4. Kita hendaklah memiliki sikap berani

contohnya Amir berani menyerbu masuk ke dalam pondok untuk menangkap penjenayah yang mencuri harta benda penduduk Kampung Warisan.


Share:

Ahad, 1 Mac 2015

Novel Tingkatan 1 - Sejambak Bakti | Latar

Latar dapat dibahagikan kepada dua iaitu latar tempat dan latar masa.

Latar Tempat Novel Sejambak Bakti karya Rejab F.I Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan,  Perlis Sebuah sekolah yang terdapat empat buah bangunan yang bercat kuning tersergam indah. Pengetua sekolah ialah Cikgu Syamsudin. Sekolah itu mementingkan disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar. Sekolah itu terdapat kedai koperasi, bangsal ternakan ayam telur dan sebagainya. Kebanyakan pelajar daripada keluarga petani. Salah satu peristiwa yang penting yang berlaku di sekolah itu ialah Munir dirotan oleh pengetua di hadapan perhimpunan kerana melanggar pelbagai masalah disiplin. Selain itu, Koperasi Sekolah itu telah berjaya memenangi johan dalam Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah pada tahun itu. Razali telah mewakili sekolah untuk menerima piala itu. Tambahan lagi, terdapat peristiwa tenang pertemuan antara Razali dengan bapa kandungnya, iaitu Pak Ramli. Kedai koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayang Kedai koperasi itu diuruskan oleh seorang pembantu kedai, 12 orang pelajar dan empat orang guru yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah koperasi. Kedai koperasi itu menjual pelbagai bahan keperluan pelajar, seperti alat-alat tulis, baju sukan, buku dan sebagainya. Salah satu peristiwa yang berlaku di kedai koperasi itu ialah Munir telah mencerobahi kedai itu dan mencuri wang sebanyak RM200 serta sengaja menjadikan semua barangan jualan bertaburan di lantai. Bukan itu sahaja, dua orang polis telah datang ke kedai koperasi itu untuk membuat siasatan. Mereka mendapati bahawa pintu kedai tidak dikopak orang. Oleh itu, mereka mengesyaki penceroboh itu ialah pemilik kunci kedai koperasi. Akibatnya Razali telah dibawa ke balai polis untuk mendapat siasatan lanjut. Selain itu, terdapat peristiwa tentang semua ahli lembaga pengarah bekerjasama untuk mengemaskan bilik kedai koperasi itu sebagai persediaan untuk menghadapi Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah tetapi Munir tidak hadir dan bermain bola di padang. Rumah Razali Ramah Razali terdapat di kawasan sawah. Razali tinggal bersama dengan ibunya Mak Sopiah dan ayah tirinya, Pak Zakaria . Salah satu peristiwa yang berlaku di rumah itu ialah Pak Zakaria hendak menghalau Razali keluar dari rumah itu setelah mendengar fitnah daripada Munir bahawa Razali telah mencerobohi kedai koperasi dan mencuri wang. Peristiwa lain yang menarik ialah Munir datang ke rumah Razali dan meminta maaf kepada Mak Sopiah dan Pak Zakaria atas fitnahnya terhadap Razali sehingga nama keluarga mereka terjejas. Selain itu terdapat peristiwa ialah Razali meminta ibunya supaya memberitahu nama bapanya dan kedudukan bapanya ketika itu tetapi Mak Sopiah enggan memberitahu keadaan bapanya kepada Razali Pondok di tengah Sawah Pondok itu tidak jauh dari rumah Razali. Tempat itu sunyi dan lapang. Oleh itu saban hari, Razali akan mengulang kaji pelajar di pondok itu. Selain itu, dia juga mengajak Ramlah, Swee Lan dan Saridevi untuk mengulang kaji di situ. Ketika menghadapi fitnah dan dimarahi oleh bapa tirinya, Razali akan berada di pondok itu untuk menenangkan jiwanya. Di samping itu, Razali juga membantu Munir dalam pelajaran di pondok itu setelah Munir insaf akan kesalahan. Maktab Kerjasama, Petaling Jaya Razali dan wakil-wakil sekolah lain telah dipilih untuk menyertai kursus seluruah koperasi sekolah Malaysia di Maktab Kerjasama, Petaling Jaya. Razali telah mendapat banyak ilmu pengetahuan tenang koperasi dalam kursus itu. 

Latar Masa
Latar masa bagi novel ini ialah pada zaman sekarang. Terdapat latar masa pagi, petang dan malam. Latar masa pagi Peristiwa yang berlaku pada waktu pagi ialah ketika Razali dan beberapa orang kawan membuka pintu kedai koperasi, mereka terkejut kerana kedai koperasi mereka telah dicerobohi orang. Semua barangan jual bertaburan di lantai. RM200 yang disimpan di dalam laci meja juga dicuri orang. Mereka segera melaporkan peristiwa itu kepada Cikgu Zulkifli. Peristiwa yang menarik yang lain ialah Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan telah menenangi johan dalam Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah pada tahun itu. Razali telah mewakili sekolah untuk menerima piala itu. Selain itu, peristiwa yang menarik ialah Razali dapat bertemu dengan bapa kandungnya, Pak Ramli pada waktu pagi juga. Latar masa petang Peristiwa yang berlaku pada waktu petang ialah Razali telah dipukul oleh Munir, Leong dan Silvam di tengah jalan setelah pulang dari sekolah. Razali tersungkur dan mukanya berdarah. Peristiwa lain yang berlaku pada waktu petang ialah Pak Zakaria hendak menghalau Razali keluar dari rumah setelah mendengar fitnah daripada Munir dan Leong. Latar masa malam Peristiwa menarik yang berlaku pada waktu malam ialah satu lembaga hitam telah membuka pintu Kedai Koperasi Sekolah lalu masuk ke dalam kedai itu. Lembaga hitam sanggup memunggah kedai itu sehingga barang-barang di kedai itu besepah dan tunggang-langgang
Share:

Novel Tingkatan 1 - Sejambak Bakti | Nilai dan Moral

Nilai-Nilai dalam Novel Sejambak Bakti

Nilai amanah
Ahli-ahli lembaga pengarah Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan dapat menjalankan tugas masing-masing dengan penuh bertanggungjawab. Mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk meningkatkan pendapatan kedai koperasi dan berusaha untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan sekolah, seperti membina bilik bacaan.

Nilai tolong-menolong
Razali mempunyai nilai tolong-menolong. Ketika kawan-kawan menghadapi masalah dalam pelajaran, dia tidak keberatan untuk memberikan bantuan. Contohnya dia membantu Ramlah, Swee Lan, Saridevi dan Munir yang menghadapi masalah dalam pelajaran. Ramlah juga mengamalkan nilai tolong-menolong. Contohnya dia membantu Razali untuk melengkapkan minit mesyuarat.

Nilai kerjasama
Ahli lembaga pengarah koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan sentiasa mengamalkan nilai kerjasama. Contohnya, mereka bekerjasama dan bergotong-royong untuk membersihkan reban ayam, bilik bacaan dan kedai koperasi mereka sebagai persediaan untuk menyertai Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah.

Nilai kasih sayang
Mak Sopiah mengamalkan nilai kasih sayang. Dia bersikap penyayang. Dia sayang akan anak tunggalnya dan mengambil berat akan pelajaran dan perasaanya. Dia sanggup keluar dari rumah ketika suaminya hendak menghalau Razali dari rumah. Dia juga enggan memberitahu Razali tentang bapa kandungnya kerana tidak sanggup berpisah dengan Razali . Selain itu, Razali juga berpegang teguh terhadap nilai kasih sayang. Dia sayang akan emak dan tidak mahu menyakiti hati ibunya. Walaupun sangat ingin mengetahui bapa kandungnya, tetapi dia tidak mahu memaksa ibunya untuk memberitahu keadaan bapa kandungnya.

Nilai jujur dan ikhlas
Razali mengamalkan nilai jujur dan ikhlas. Dia ikhlas menerima Munir sebagai kawan setelah Munir insaf akan kesalahannya walaupun Munir pernah membulinya malah membuat fitnah terhadapnya. Dia juga bersikap jujur dan ikhlas untuk membantu pelajar lain yang menghadapi masalah dalam pelajaran.

Nilai Tabah
Sebagai anak tiri, Razali tabah menghadapi layanan Pak Zakaria yang agak teruk. Dia sentiasa sabar walaupun ditegur oleh Pak Zakaria sebagai pencuri, sombong dan suka berlagak. Dia sentiasa tabah walaupun rindu akan bapa kandungnya. Setelah balik dari balai polis, Razali tetap tabah untuk berhadapan dengan khabar angin yang mendakwa dia sebagai pencerobah kedai koperasi dan pencuri. Selain itu, Mak Sopiah juga mengamalkan nilai tabah. Dia tabah menghadapi pengalaman yang pahit, iatu dia diceraikan oleh bekas suaminya Ramli pada 16 tahun yang lalu.

Nilai tanggungjawab
Sebagai pengetua, Cikgu Syamsudin mengamalkan nilai tanggungjawab. Beliau menjalankan tugasnya sebagai pengetua dengan penuh tanggungjawab. Beliau sentiasa menjaga disiplin sekolah itu dan menggalakkan pelajar menyertai pertandingan untuk mengharumkan nama sekolah. Selain itu, ahli-ahli lembaga pengarah juga menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, seperti Razali, Cikgu Zulkifli, Ramlah, Swee Lan dan Saridevi.
Share:

Novel Tingkatan 1 - Sejambak Bakti | Watak dan Perwatakan

Perwatakan bagi watak-watak dalam novel Sejambak Bakti

Razali
Razali merupakan watak utama dalam novel Sejambak Bakti. Razali ialah anak kepada Mak Sopiah dan anak tiri kepada Pak Zakaria. Sebagai penolong setiausaha lembaga pengarah Koperasi sekolah, Razali sentiasa menjalankan tugasnya dengan amanah. Sebagai pelajar, Razali sangat rajin dan belajar bersungguh-sungguh. Dia sering mengulang di pondok yang terletak di tengah sawah.

Dia juga bersikap suka membantu. Contohnya dia telah membantu Ramlah, Swee Lan, dan Saridevi dalam pelajaran. Selain itu, Razali juga sayang dan hormat kepada ibunya. Contohnya walaupun sangat ingin mengetahui keadaan ayah kandungnya, Razali tidak sanggup menyakiti hati ibunya semasa ibunya enggan memberitahukan ayahnya.

Razali juga bersikap sedia memaafkan. Misalnya ketika Munir meminta maaf kepadanya, Razali segera bersalam dengannya dan memeluk badan Munir sebagai tanda memaafkan segala kesalahan Munir terhadapnya. Razali juga bersikap ikhlas. Dia sanggup menerima Munir sebagai sahabat walaupun Munir pernah memukulnya dan membuat fitnah terhadapnya, malahan sanggup membantu Munir dalam pelajaran setelah Munir insaf akan kesalahannya.


Munir
Munir berasal daripada keluarga yang berada. Dia juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah koperasi sekolah. Munir bersikap sombong dan angkuh. Dia suka memacu motosikal di jalan raya. Munir merupakan ahli lembaga pengarah yang tidak bertanggungjawab. Contohnya dia sanggup ponteng dalam tugas di kedai koperasi sekolah dan bermain bola di padang. Munir juga bersikap pendendam dan iri hati. Contohnya dia cemburu apabila melihat Ramlah sering bersama dengan Razali. Dia sanggup memukul Razali di tengah jalan ke rumah. Dia juga membuat fitnah bahawa Razali telah mencerobohi kedai koperasi. Bagaimanapun Munir telah insaf akan kesalahan dirinya setelah dirotan di depan perhimpunan. Dia telah meminta maaf kepada Razali dan keluarga Razali.


Mak Sopiah
Ibu kepada Razali dan isteri kepada Pak Zakaria. Dia juga bekas isteri kepada Pak Ramli. Dia telah bercerai dengan Pak Ramli 16 tahun yang lalu, iaitu Razali baru berumur satu tahun. Mak Sopiah bersikap penyayang. Dia sangat sayang akan anaknya Razali. Sebagai contoh, dia sangat membela Razali malah mengikut Razali keluar dari rumah jika suaminya hendak menghalau Razali keluar dari rumah itu. Dia tidak mahu memberitahu keadaan ayah kandung Razali kepada Razali kerana tidak mahu Razali meninggalkannya. Mak Sopiah juga seorang yang mesra. Contohnya dia melayani kawan-kawan Razali dengan ramah-tamah dan menghilangkan minuman dan pisang goreng untuk mereka.


Cikgu Zulkifli
Cikgu Zulkifli ialah guru yang bertanggungjawab terhadap Koperasi Sekolah. Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah, Cikgu Zulkifli sentiasa memberikan perhatian dan bantuan untuk memajukan kegiatan koperasi sekolah. Beliau seorang guru yang dedikasi dan bertanggungjawab. Beliau sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menguruskan perniagaan kedai koperasi dan projek ternakan ayam telur di sekolah itu. Cikgu Zulkifli juga seorang guru yang mengambil berat terhadap pelajaran dan tingkah laku pelajar. Contohnya dia sentiasa memberikan nasihat kepada Munir supaya bersikap positif terhadap pelajar dan tugas dalam koperasi sekolah.


Cikgu Syamsudin
Cikgu Syamsudin merupakan pengetua Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Cikgu Syamsudin bersikap tegas dan sentiasa mengambil berat akan disiplin pelajar. Oleh itu beliau sanggup mengambil keputusan untuk merotan dan merotan di hadapan perhimpunan pelajar terhadap Munir yang sering melanggar peraturan sekolah. Beliau berbuat demikian demi meningkatkan disiplin pelajar. Beliau sentiasa prihatin terhadap kokurikulum pelajar. Contohnya, beliau memberikan sokongan yang sepenuh terhadap kegiatan koperasi sekolah dan penyertaan Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah.


Pak Zakaria
Pak Zakaria ialah bapa tiri kepada Razali dan suami kepada Mak Sopiah. Dia bersikap prejudis. Contohnya, dia sering menganggap bahawa anak tirinya bersikap sombong dan angkuh. Semasa melihat keadaan Razali yang telah dipukul, dia terus mendakwa bahawa Razali suka bergaduh dengan orang lain. Apabila diberitahu oleh Munir dan Leong, Pak Zakaria terus mempercayai kata-kata mereka, iaitu Razali telah mencerobohi kedai koperasi dan mencuri wang di dalam kedai koperasi itu. Tanpa usul periksa, Pak Zakaria hendak menghalau Razali keluar dari rumah. Bagaimanapun dia juga bersikap sedia memaafkan, iaitu dia terus memaafkan Munir apabila Munir meminta maaf atas kesalahannya yang memfitnah Razali sehingga nama keluarga merekaterjejas.


Ramlah
Ramlah seorang gadis yang bersikap sopan dan lemah lembut. Keayuannya telah memikat hati Munir. Sebagai ahli lembaga pengarah koperasi sekolah, Ramlah aktif menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab. Dia seorang pelajar yang suka membantu orang. Contohnya dia telah membantu Razali untuk membuat minit mesyuarat lembaga pengarah koperasi sekolah. Selain itu, Ramlah seorang pelajar yang tekun dalam pelajaran. Oleh itu, dia dan Swee Lan serta Saridevi meminta Razali supaya dapat berulang kaji tentang pelajaran yang tidak difahami. Dia juga bersikap setia kawan. Contohnya dia percaya sepenuhnya terhadap Razali bahawa Razali tidak terlibat dalam kes kecurian dalam kedai koperasi sekolah.


Selain itu terdapat watak-watak samping yang lain seperti:
Swee Lan , Saridevi, Harun, Norlela, Cikgu Robeah, Cikgu Hassan, Leong, Silvam, Cikgu Saiful, Pak Ramli, Encik Ali dan sebagainya.
Share:

Novel Tingkatan 1 - Sejambak Bakti | Sinopsis

Novel  Sejambak Bakti karya Rejab F.I  merupakan novel  baharu bagi Tingkatan Satu Zon Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor bermula dari tahun 2015.

Sinopsis bagi Novel Sejambak Bakti

Bab 1 Kisah di Kedai Koperasi
Kedai Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan telah ditubuhkan kira-kira lima tahun yang lalu. Pada pagi itu, terdapat seorang pembantu kedai dan tiga orang ahli lembaga pengarah sedang sibuk melayani pembeli-pembeli dengan sabar dan baik. Sebagai ahli lembaga pengarah yang bertugas sebagai jurujual telah menegur seorang pelajar lelaki yang cuba mencuri sebatang pen. Cikgu Zulkifli masuk ke kedai itu dan memberitahu ahli lembaga pengarah bahawa pada petang, mesyuarat lembaga pengarah kali pertama tahun itu akan diadakan. Norlela sebagai pembantu kedai juga dijemput hadir dalam mesyuarat itu.


Bab 2 Mesyuarat Melaksanakan Harapan
Di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan, mesyuarat Lembaga Pengarah telah diadakan. Sebanyak 11 orang murid dan empat orang guru yang dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah dengan empat orang guru manakala pengetua sekolah, Cikgu Syamsudin telah menjadi Pengerusi Koperasi sekolah itu. Encik Sulaiman selaku Pegawai Pembangunan Koperasi turut hadir dalam mesyuarat itu. Pengetua mengucap tahniah kepada Razali kerana dipilih sebagai penolong setiausaha. Menurut pengetua, penubuhan koperasi sekolah bertujuan untuk menggalakkan sikap berjimat cermat dan menolong diri sendiri dan antara ahli. Beliau menyeru supaya semua ahli lembaga pengarah dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah.

Seterusnya Cikgu Zulkifli membentangkan usul mesyuarat yang lalu, iaitu pertama, koperasi hendak berusaha menternak ayam telur. Kedua, koperasi akan menjual barang-barang makanan dan keperluan lain selain alat tulis, pakaian sukan dan buku-buku. Ketiga, koperasi hendak menubuhkan sebuah bilik bacaan. Ketiga-tiga usul itu diterima oleh ahli lembaga pengarah dengan sebulat suara.


Bab 3 Perjanjian Membalas Dendam
Munir berasa kesal kerana tidak dipilih sebagai penolong setiausaha lembaga pengarah koperasi sekolah. Dia merungut kepada kawannya Leong dan Silvam. Sebagai ahli lembaga pengarah, mereka berasa tidak puas hati atas kemenangan Razali dipilih sebagai penolong setiausaha. Apabila ternampak Ramlah sedang membantu Razali untuk menyiapkan minit mesyuarat, Munir cemburu dan menyindir Razali sengaja mendekati Ramlah.


Bab 4 Persiapan Kedai Operasi
Pada pagi itu, Norlela dan beberapa orang ahli lembaga pengarah sibuk melayani pelajar di kedai koperasi. Razali mendapati bahawa Munir, Silvam dan Leong tidak datang untuk bertugas di kedai koperasi itu. Swee Lan, Ramlah, Harun, Saridevi dan Razali terpaksa menggantikan tugas mereka. Cikgu Zulkifli berasa kesal atas sikap Munir dan kawannya. Razali menyenaraikan barangan yang hendak dijual di kedai koperasi. Mereka juga hendak menyediakan bilik bacaan dan akhbar dan majalah. Ayah Swee Lan, Encik Aik Hong telah memberikan potongan harga untuk kedai koperasi atas barangan yang akan dijual di koperasi itu. Mereka juga mendapat bantuan daripada Encik Aziz selaku tauke kedai buku dengan potongan harga buku sebagai 20% kepada koperasi sekolah itu.


Bab 5 Cita-cita dan Harapan
Sebelum pulang, Munir, Leong dan Silvam sedang menunggu Ramlah, Swee Lan dan Saridevi untuk mengajak mereka menonton tayangan gambar. Bagaimanapun Ramlah dan kawan-kawannya menolak ajakan itu. Munir berasa marah dan menganggap bahawa Razalilah yang menyebabkan Ramlah tidak suka akannya. Dia ingin mengajar Razali.

Keesokan hari, Munir cuba mendekati Ramlah yang sdang menyusun rak buku di kedai koperasi, lalu memberi Ramlah sepucuk surat kepadanya. Ramlah menolak dan meminta bantuan daripada Razali. Razali menegur Munir. Munir, Leong dan Silvam meninggalkan kedai koperasi itu. Ramlah juga memberitahukan hal itu kepada Cikgu Zulkifli.


Bab 6 Persiapan
Razali, Cikgu Zulkifli, Cikgu Hassan, Swee Lan, Saridevi dan beberapa orang ahli lembaga pengarah sibuk membersihkan reban-reban ayam . Sebaliknya Ramlah, Cikgu Robeah, Rozita, Harun, Sivam dan Leong sibuk mengemaskan bilik bacaan kerana minggu depan Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi Bahagain Sekolah akan melawat ke koperasi mereka. Koperasi sekolah telah memperuntukkan RMm 30 untuk membeli akhbar dan majalah dalam bilik baca itu. Ketika mereka sibuk menjalankan tugas pembersihan, Munir bermain bola di padang. Cikgu Zulkifli pergi ke padang dan mendapati Munir telah dihalau keluar dari padang kerana bermain bola dengan kasar. Cikgu Zulkifli menasihati Munir agar melaksanakan tugasnya sebagai ahli lembaga pengarah koperasi sekolah. Munir berjanji bahawa dia tidak ponteng tugas lagi. Cikgu Zulkifli juga memberikan amaran kepada Munir supaya tidak tulis surat kepada Ramlah lagi. Munir berjanji bahawa dia tidak melakukan hal itu lagi.


Bab 7  Semangat
Encik Mansur selaku Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi , Bahagian Fungsi Sekolah-sekolah telah melawat ke Kedai Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri, reban ayam telur dan bilik baca. Beliau memberikan pujian atas usaha dan kerjasama semua ahli lembaga pengarah koperasi sekolah itu. Dalam ucapan, beliau berharap agar koperasi sekolah dapat menyemaikan minat berniaga, semangat bekerjasama, bersatu padu dalam kalangan generasi muda.


Bab 8. Mempelajari Ilmu Perdagangan
Di Tingkatan 5C1, Cikgu Saiful, guru mata pelajaran Perdagangan telah membincangkan kepentingan prinsip akaun kepada ahli perniagaan, tetapi Munir asyik mengganggu pelajar lain. Akhirnya Cikgu Saiful menahan Munir di dalam kelas untuk menyalin semua catat sebelum pulang. Ramlah, Swee Lan, Saridevi, dan Rozita hendak pergi ke rumah Razali untuk mengulang kaji tentang prinsip akaun. Ketika Munir turut dari tangga, dia ternampak Ramlah dan kawan-kawannya bersama dengan Razali dengan muka yang masam.


Bab 9 Kerja Rumah
Rumah Razali di pinggir sawah. Kedatangan Ramlah dan kawan-kawannya disambut oleh ibu Razali , Mak Sopiah dengan mesra. Mak Sopiah menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Bagaimanapun Razali mengajak mereka mengulang kaji di pondok yang terletak di tengah sawah. Ternyata di situ sungguh nyaman dan sunyi. Mak Sopiah turut menghidangkan minuman dan pisang goreng untuk mereka di pondok itu.


Bab 10 Pengakuan
Munir dipanggil ke bilik kerjaya. Cikgu Zulkifli dan Cikgu Muniam selaku guru kaunseling dan guru kerjaya sekolah telah meminta Munir memberikan penjelasan tentang sikapnya yang suka mengganggu pelajar lain di dalam kelas dan selalu ponteng ketika menjalankan tugas di kedai koperasi. Munir tidak mengakui tuduhan itu. Setelah diberi nasihat, Munir mengaku tidak akan berbuat demikian lagi. Cikgu Zulkifli berharap agar Munir akan sedar akan kesalahannya.


11. Melepaskan Dendam
Pada petang itu, Munir, Leong dan Silvam menunggang motosikal lalu singgah di tepi jalan yang menuju ke arah rumah Razali. Mereka menunggu kedatangan Razali. Ketika ternampak Razali, mereka terus memukul Razali sehingga Razali tersungkur dan mukanya berdarah. Setelah mereka meninggalkan tempat itu, Ramlah, Swee Lan dan Saridevi menunggang basikal ke situ. Setelah mengetahui perlakuan Munir, mereka ingin melaporkan perkara itu kepada Cikgu Zulkifli, tetapi Razali enggan berbuat demikian kerana takut kalau berita itu sampai pada ayah tirinya.


12. Kasih Seorang Ibu
Ketika Razali sampai di rumah, Mak Sopiah amat terkejut melihat keadaan anaknya. Razali pun menyatakan perlakuan Munir terhadapnya. Kebetulan ayah tiri Razali, Pak Zakaria telah pulang. Apabila ternampak keadaan Razali, Pak Zakaria terus menyalahkan Razali sebagai anak yang sombong dan angkuh sehingga bergaduh dengan orang lain. Mak Sopiah terus mempertahankan anaknya. Pada petang itu, setelah makan, Razali membaca di pondok yang terletak di sawah itu. Dia kecewa atas layanan ayah tirinya. Razali terus bertanya kepada ibunya siapa ayahnya yang sebenarnya. Bagaimanapun, Mak Sopiah enggan memberitahu Razali tentang ayahnya kerana tidak mahu mengingat kembali kenangan pahit itu.


13. Dendam Membawa Padah
Keesokan hari, Munir, Leong dan Silvam disuruh ke bilik pengetua kerana terdapat aduan bahawa mereka dituduh memikul Razali. Setelah disoal siasat, Cikgu Syamsudin mengambil keputusan untuk merotan Munir, Leong dan Silvam di dalam bilik pengetua.


14. Berita Gembira
Cikgu Zulkifli mengumumkan bahawa Razali telah dipilih untuk menyertai kursus koperasi di Petaling Jaya. Ahli lembaga pengarah koperasi sekolah yang lain telah memberikan ucapan tahniah kepada Razali. Pada suatu petang, Cikgu Zulkifli, Mak Sopiah, Harun, Swee Lan dan Ramlah telah tiba di stesen bas untuk menghantar Razali yang akan menaiki bas ke Petaling Jaya.


15 . Budi Baik Dikenang juga.
Razali bersama-sama dengan peserta kursus seluruh koperasi sekolah Malaysia telah menghadiri kursus di Maktab Kerjasama, Petaling Jaya selama satu minggu. Penceramah itu telah menyatakan bahawa generasi muda harus menyedari peranan koperasi dan dapat menjadi pemimpin koperasi yang berjaya di negara kiga. Selepas kursus, para peserta dibawa melawat ke Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia di Kuala Lumpur dan tempat-tempat di sekitar Kuala Lumpur. Razali berasa amat terhutang budi kepada Jabatan pembangunan Koperasi Malaysia kerana memilih mereka untuk menghadiri kursus tersebut.


16. Kesan Kunjungan
Setelah seminggu kemudian, Razali balik ke sekolah semula. Dalam mesyuarat koperasi sekolah, Razali telah memberikan laporan ringkas tentang pengetahuan yang diperoleh daripada kursus itu. Cikgu Syamsudin juga mengemukakan usul, iaitu sama ada mereka akan menyertai pertandingan untuk memilih koperasi yang maju, berjaya dan baik pentadbirannya yang dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA). Swee Lan memberikan cadangan supaya mereka masuk pertandingan itu. Akhirnya semua ahli lembaga pengarah bersetuju atas cadangan itu. Cikgu Hassan mengharapkan semua ahli lembaga pengarah berusaha dan menunjukkan semangat untuk memajukan koperasi mereka pada tahun itu.


17. Semakin Jauh Terbang Burung
Untuk membuat persediaan tentang pertandingan itu, semua ahli lembaga pengarah bergilir-gilir mengurus projek mereka. Bangsal ternakan ayam dan bilik bacaan mereka sentiasa dijaga rapi. Baik guru penasihat mahupun pelajar sebagai ahli lembaga pengarah telah sibuk mengemaskan kedai koperasi mereka. Sebaliknya Munir, Leong dan Silvam ada di padang untuk bermain bola tanpa menjalankan tugas mereka. Atas arahan pengetua, Munir, Leong dan Silvam balik ke kedai koperasi. Ketika Munir berada di meja setiausaha, dia terlihat anak kunci terletak di situ lalu diambil dan ditelitinya anak kunci itu. Setelah itu, mereka bertiga tidak berpuas hati terhadap Razali kerana Razali menjadi tumpuan pelajar perempuan, terutama Ramlah. Munir ingin membuat sesuatu terhadap Razali lagi.


18. Malang Tidak Diduga
Pada malam itu , ada lembaga hitam membuka pintu dan menceroboh kedai koperasi itu. Keesokan hari, apabila Razali membuka pintu kedai koperasi itu dengan kuncinya, dia dan kawan-kawannya terkejut kerana semua barangan jualan mereka bertaburan di lantai dan wang sebanyak RM200 juga dicuri orang. Mereka segera melaporkan hal itu kepada Cikgu Zulkifli . Cikgu Zulkifli mengambil keputusan untuk melaporkan kejadian itu kepada pengetua dan pihak polis.


19. Misteri Kedai Koperasi
Dua orang anggota polis telah datang ke kedai koperasi sekolah untuk membuat siasatan. Mereka mendapati pintu kedai itu tidak ada kesan dikopak orang. Mereka mendapati bahawa hanya Razali dan pengetua memiliki kunci koperasi itu. Oleh itu Razali dan Cikgu Zulkifli telah dibawa ke balai polis untuk membuat siasatan lanjut. Semua guru dan ahli lembaga pengarah tidak percaya bahawa Razali terlibat dalam kes itu. Munir, Leong dan Silvam telah membuat sindiran bahawa Razali yang terlibat dalam kes itu. Cikgu Zulkifli, Cikgu Robeah, dan Cikgu Hassan telah berbincang dengan pengetua tentang kes itu. Cikgu Hassan bercadang supaya mereka cuba merangkap pencuri itu. Mereka bimbang bahawa kes itu akan mengganggu persiapan mereka untuk masuk pertandingan.


20 Tindakan Ayah Tiri
Ketika Pak Zakaria hendak pulang ke rumah, Munir dan dan Leong menunggung motosikal ke arahnya. Mereka memberitahu Pak Zakaria bahawa Razali terlibat dalam kes kecurian kedai koperasi sekolah sehingga disiasat oleh pihak polis. Pak Zakaria amat marah akan peristiwa . Apabila ternampak kepulangan Razali, Pak Zakaria yang berada di beranda terus memarahi Razali sebagai pencuri yang memalukannya. Dia hendak menghalau Razali keluar dari rumahnya. Mak Sopiah segera keluar dan membela Razali. Dia percaya kata-kata Razali lalu mengatakan bahawa jika Razali dihalau, dia akan mengikut Razali keluar dari rumah itu juga. Dengan geram, pak Zakaria mencapai basikalnya lalu menunggangnya dengan tergesa-gesa.


21. Hidup yang Dirundung Malang
Razali berlegar-legar di tengah sawah. Dia cuba mencari ketenangan di pondok sawah itu. Dia berasa sedih atas nasib yang malang. Dia tidak tahu di mana ayahnya. Dia asyik termenung tenang fitnah yang dilemparkan terhadapnya. Mak Sopiah cuba menenangkan jiwa Razali. Sekali lagi, Razali meminta ibunya supaya memberitahu keadaan ayahnya. Mak Sopiah menangis dan merayu Razali supaya tidak meninggalkannya. Mak Sopiah tetap enggan memberitahu Razali siapa ayahnya kerana tidak mahu membangkit peristiwa pahit pada masa dahulu. Razali memeluk ibunya dan berjanji bahawa dia tiak akan menyakiti hati ibunya lagi.


22. Misteri Berakhir
Cikgu Zulkifli bergegas ke kedai koperasi kerana diberitahu oleh SweeLan danMarzuki bahawa kedai koperasi dicerobohi lagi. Pengetua , Cikgu Syamsudin sangat marah atas kejadian itu dan mengambil keputusan untuk memeriksa beg dan pakaian murid satu demi satu. Akhirnya Cikgu Hassan berjaya mengesan murid yang menceroboh kedai koperasi itu, iaitu Munir. Dari beg sekolah Munir, Hassan telah mendapat kunci yang sama dengan nombor kunci kedai koperasi mereka dan sehelai wang kertas RM10.00 yang terdapat huruf ‘K’ seperti yang ditulis oleh Cikgu Hassan. Cikgu Zulkifli sangat kesal atas perlakuan Munir. Ketika ditanya oleh Cikgu Syamsudin, Munir mengakui bahawa dialah menceroboh kedai koperasi untuk memfitnah Razali kerana tidak suka Ramlah yang sering mendekati Razali. Cikgu Syamsudin mengambil keputusan untuk menghukum Munir. Beliau akan mengadakan mesyuarat dengan guru-guru disiplin untuk menentukan hukuman yang sepatutnya.


23. Hukuman
Mengikut keputusan mesyuarat guru disiplin sekolah itu, Munir akan dirotan di hadapan perhimpunan sebanyak 3 kali. Kedua-dua ibu bapa Munir juga diberitahu dahulu dan mendapat kebenaran dengan harapan disiplin Munir akan berubah. Cikgu Muniam telah mengumumkan kesalahan yang dilakukan oleh Munir. Munir akan dirotan oleh Pengetua sendiri dan digantung persekolahannya selama seminggu. Ketika tampil ke depan, tiba-tiba Munir menghulurkan tangan dan meminta maaf kepada Razali. Razali mengangguk-angguk lalu memeluk tubuh Munir. Mereka berpelukan. Air mata Razali berderaian. Semua warga sekolah terharu. Cikgu Syamsudin mengingatkan semua pelajar supaya peristiwa itu sebagai pengajaran.


24. Memasuki Dunia Baharu
Ketika selesai menunaikan solat, Munir tiba di halaman rumah Razali. Munir datang untuk meminta maaf kepada Pak Zakaria dan Mak Sopiah. Dia mengakui kesalahannya dan membuat fitnah sehingga menjejaskan nama baik keluarga Razali. Pak Zakaria memaafkan Munir yang telah insaf akan kesalahannya. Selain itu, Munir juga datang untuk meminta Razali supaya boleh mengajarnya memandangkan peperiksaan SPM semakin menjelang. Razali tidak keberatan untuk membantu Munir dalam pelajaran. Munir terharu atas budi Razali dan merasai dirinya menjadi orang baharu dalam hidupnya. Dia telah mendapat seorang sahabat baharu.


25. Harapan Berbunga Indah
Pada suatu hari, tiga orang hakim Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah dari ANGSAKA datang untuk menghakimi Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Mereka meneliti barang jualan, buku-buku akaun dan sebagainya di kedai koperasi. Kemudian mereka juga meninjau projek ternakan ayam telur dan bilik bacaan yang disediakan oleh koperasi sekolah itu.

Pada pagi itu, mua murid Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan berbaris dalam perhimpunan. Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri hadir bersama, termasuk beberapa orang ibu bapa yang dijemput khas. Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri Perlis dijemput untuk berucap dan seterusnya menyampaikan hadiah. Beliau mengumumkan bahawa Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah pada tahun itu. Razali dipilih untuk menerima piala daripada pengarah itu. Semua guru dan pelajar bertepuk tangan dengan gembira. Razali juga dijulang oleh empat orang ahli lembaga pengarah dan diarak mengelilingi perhimpunan itu.

Setelah perhimpunan tamat, Mak Sopiah dan Pak Zakaria ternampak seorang lelaki tua dan dapat mengesan lelaki itu ialah Ramli. Mereka bersalaman. Cikgu Syamsudin berasa ada sesuatu rahsia dalam pertemuan itu. Beliau segera menjemput mereka ke bilik pejabatnya, termasuk pengarah.


26. Terbuka Rahsia
Encik Ramli mula membuka rahsia antara mereka. Menurut Ramli , dia tinggal di Melaka, anaknya Ramlah tinggal bersama dengan abangnya seorang polis di kampung. Ramli mengatakan bahawa Mak Sopiah ialah bekas isterinya. Kira-kira 16 tahun yang lalu, dia telah bercerai dengan Mak Sopiah dan meninggalkan anak lelaki . Ketika itu, dia sebagai tentera di Seremban. Selepas itu, Pak Zakaria telah mengambil Mak Sopiah sebagai isteri. Setelah tamat tempoh perkhidmatan sebagai tentera, Pak Zakaria telah membawa Mak Sopiah dan Razali tinggal di situ. Sebaliknya Ramli balik ke Melaka dan berkahwin dengan seorang janda beranak tiga di Melaka. Selama ini, Pak Ramli tidak tahu tempat Razali dan ibunya berada. Mak Sopiah mengatakan bahawa dia tidak mahu memberitahu Razali tempat ayahnya berada kerana takut Razali akan meninggalkannya.

Razali dan Ramlah dipanggil ke pejabat Pengetua, Razali diberitahu bahawa ayah yang dicarinya selama ini ialah ayah kepada Ramlah yang berada di bilik itu. Setelah mendengar penjelasan ayah tirinya, Razali segera menerpa dan mencium tangan Pak Ramli. Ramlah terkejut kerana Razali ialah saudaranya. Mereka tersenyum riang melihat pertemuan itu. Encik Ali, Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri mengatakan bahawa sungguh besar jasa koperasi sekolah kerana dapat mempertemukan anak dengan ayahnya. Rupa-rupanya bersempena dengan kejayaan koperasi, Razali dapat bertemu dengan ayahnya yang dicari-carinya selama ini. Mereka bersama-sama ketawa dengan riang.
Share:

Popular Posts

Pages