Memaparkan catatan dengan label Drama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Drama. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Jun 2022

Drama Berkhidmat Untuk Negara – Affix Zulkarnaen Adam

Drama Berkhidmat Untuk Negara – Affix Zulkarnaen Adam

Sinopsis Drama Berkhidmat Untuk Negara

Aiman menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Aiman sememangnya tidak berminat untuk menyertai siri PLKN itu kerana pengetahuan dan pemahamannya yang kurang tentang kebaikan menyertai PLKN kepada remaja. Keadaan ini menyebabkan Aiman mengalami konflik dalaman sama ada ingin menyertai program tersebut atau sebaliknya.

 

Aiman beranggapan bahawa program berkenaan akan menggugat ruang keselesaannya memandangkan dia berasal daripada keluarga yang berada dan hidup mewah. Aiman turut berkelakuan biadab terhadap pembantu rumahnya, iaitu Nek Sinah yang dianggap suka mengatur kehidupannya. Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri. Namun begitu, Aiman langsung tidak menghormati Nek Sinah ketika dia menjemputnya untuk makan tengah hari dengan menghalau Nek Sinah dari biliknya.

 

Di dalam kelas, Cikgu Dahari menerangkan satu demi satu tentang PLKN kepada Aiman dan rakan-rakannya Latar belakang PLKN, objektif program, maksud tersirat di sebalik logo PLKN, pemilihan peserta, dan keselamatan murid dalam program PLKN diterangkan secara jelasnya oleh Cikgu Dahari Lebih-lebih lagi, Cikgu Dahari juga merupakan tenaga pengajar sambilan PLKN yang terlibat dalam pengajaran modul PPSB, iaitu Program Penghayatan Sastera dan Budaya. Semua murid berpuas hati dengan penerangan Cikgu Dahan tentang PLKN, kecuali Aiman.

 

Aiman bermimpi seolah-olah berada dalam kem PLKN Dia terjaga daripada mimpinya lalu segera bersiap-siap untuk ke sekolah kerana terlewat bangun Setibanya di sekolah Aiman terserempak dengan rakan-rakannya Nora memberitahu bahawa nama Aman terpampang di papan kenyataan sekolah kerana terpilih untuk menyertai PLKN. Aiman tawar hati apabila mendengar berita itu. Kawan-kawannya yang lain seperti Sundarani Syuhada dan Ah Tau turut berbincang tentang PLKN. Mereka teruja kerana terpilih sebagai pelatih baharu PLKN.

 

Setelah pulang dari sekolah, Aiman mengutarakan pemilihannya sebagai pelatih baharu PLKN kepada ayahnya, Khir Ghazali. Aiman memujuk ayahnya agar menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mengecualikannya daripada PLKN. Ayah Aiman tidak bersetuju untuk membantu Aiman, sebaliknya meminta Aiman berfikir secara matang seperti orang dewasa. Ayahnya mahu Aiman menyertai PLKN dan mendapat manfaat danpada program itu. Aiman cuba mendapatkan simpati dan bantuan daripada ibunya pula. Walaupun Puan Masnah menyebelahi anaknya, namun ayah Aiman tetap berpendirian tegas.

 

Di dalam biliknya, Aiman begitu leka melayari Interet. Ketika itulah, Aiman terbaca berita tentang kejayaan senior di sekolahnya, iaitu Syufia. Dia menerima anugerah Pelatih Terbaik WIRAWATI di Kem Gerakhas, Desaru, Johor. Aiman berasa hairan apabila seniornya itu meraih kejayaan tersebut memandangkan Syufia seorang yang suka mengasingkan diri. Begitu juga, seorang lagi seniornya, Ziman yang kuat makan dan tidur kini berjaya menyertai PLKN.

 

Tema

Tema drama ini ialah kesedaran generasi muda dalam memupuk semangat cinta akan negara yang diperoleh melaka pengban mereka dalam Program Lathan Khidmat Negara (PLN)

 

Persoalan

a)       Kesediaan generasi muda mengikuti dasar kerajaan

b)      Tanggungiwab ibu bapa dalam menentukan keberkesanan Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak

c)       Kesedaran tentang kepentingan menyertai program kerajaan

d)      PLKN membentuk sikap berdikari dan jati diri generasi muda.

 

Watak dan Perwatakan

(a) Watak utama - Aiman

(b) Watak sampingan - Khir Ghazali, Masnah, Cikgu Dahan, Posmen, Nek Sinah, Syuhada, Ah Tau, Sundaran, dan sebagainya.

 

Aiman

(a)    Nama penuhnya ialah Aiman Faizullah bin Khir Ghazali

(b)    Dia merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik.

(c)     Dia berumur 17 tahun.

(d)    Seorang yang bersifat agresit.

(e)    Seorang yang suka tidur.

(f)      Seorang yang mementingkan kemewahan hidup.

(g)    Seorang yang bersikap biadab dan kurang sopan.

(h)    Seorang yang sedar akan kesilapan dan ingin berubah.

 

Khir Ghazali

(a)    Bapa kepada Aiman dan Dapnia.

(b)    Suami kepada Masnah

(c)     Beliau berpangkat Datuk

(d)    Seorang yang gigih bekerja.

(e)    Seorang yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat.

(f)      Seorang yang berpendirian tegas.

(g)    Seorang yang berpandangan jauh.

(h)    Seorang bapa yang penyayang

(i)      Seorang yang bersifat merendah diri.

 

Masnah

(a)    Ibu kepada Dapnia dan Aiman

(b)    Beliau bergelar Datin

(c)     Seorang yang penyayang.

(d)    Seorang yang sibuk dengan berbagai-bagai urusan.

(e)    Seorang yang mudah mengakui kesilapan diri.

 

Latar

 

Latar Tempat

(a)    Rumah Khir Ghazali

(b)    Sekolah.

(c)     Bilik Aiman

 

Latar Masa

(a)    Cuti hujung minggu.

(b)    Waktu tengah hari

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang mementingkan semangat patriotik/cinta akan negara.

(b)    Masyarakat yang menyayangi anggota keluarga.

(c)     Masyarakat yang berintegriti dan amanah dalam memikul tanggungjawab.

(d)    Masyarakat yang berpandangan jauh.

(e)    Masyarakat yang mempunyai pengaruh dan kedudukan dalam kalangan masyarakat.

 

Plot

(a)    Permulaan drama ini mengisahkan watak Amat menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negera sebagai pelatih baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLN)

(b)    Cerita berkembang apabila Aiman menunjukkan berbagai-bagai reaksi setelah menerima surat tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang dhantar oleh posmen itu.

(c)     Cerita sampai kepada tahap perumitan apabila berlaku konflik dalam diri Aiman kerana dia sememangnya tidak berminat untuk mengikuti siri PLKN u disebabkan pengetahuan dan pemahamannya kurang tentang kebaikan seseorang remaja mengikuti program berkenaan.

(d)    Cerita sampai kepada tahap klimaks apabila Aman cuba meminta bantuan bapanya yang mempunya pengaruh dan kedudukan itu untuk mengenalkannya daripada pelatih baharu Program Lathan Khidmat Negara Namun begitu, bapanya menolak kemahuannya tu. Bapa Aiman bertegas kepada Aiman agar mengkut PLKN tu kerana program itu banyak mengandungi kebakan yang tidak diketahui oleh Aman. Ibu Aiman menyebelahi anaknya. Dia kurang bersetuju Aiman mengikuti PLKN atas faktor keselamatan nyawa anaknya. Namun begitu, bapanya tetap teguh dengan pendiran asalnya.

(e)    Cerita sampai kepada tahap peleraian apabila Aiman tersedar akan kesilapannya yang memberikan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan PLKN itu selepas membaca berita tentang kejayaan senior-seniomya semasa mengikut kursus PLKN Aiman berjanji kepada dirinya untuk mengikuti kursus PLKN bagi membentuk dirinya supaya boleh hidup berdikari, seterusnya menyahut seruan untuk berbakti kepada tanah air yang tercinta.

 

Teknik Plot

(a)    Teknik pemerian.

Contohnya, pengarang menggambarkan sikap Aiman yang bersantai dan hanya melakukan segala kerja yang diminatinya pada cuti hujung minggu.

 

(b)    Teknik saspens.

Contohnya, pengarang menggunakan teknik saspens dengan membiarkan pembaca tertanya tanya tentang keputusan yang bakal dibuat oleh Khir Ghazali apabila anaknya, Aiman bercadang untuk menggunakan kedudukan dan pengaruh bapanya untuk mengecualikan dirinya daripada menyertai PLKN.

 

(c)     Teknik kejutan.

Contohnya, pembaca dikejutkan dengan tindakan Datuk Khir Ghazali yang tidak mahu menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mengecualikan penyertaan anaknya, Aiman daripada PLKN itu.

 

(d)    Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Aiman dengan posmen yang menghantar surat tawaran PLKN ke rumahnya.

Contoh:

POSMEN: Ada sesiapa yang bernama Aiman Faizullah bin Khir Ghazal di rumah ini?

AIMAN: Ada, sayalah orangnya. Surat apa ini?

POSMEN: Surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Ini bermakna, adik terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara.

 

(e)    Teknik konflik.

Contohnya, konflik yang berlaku antara Aiman dengan Nek Sinah. Aiman kurang menyenangi kata gelaran yang digunakan oleh Nek Sinah terhadapnya.

 

 

Gaya Bahasa

(a)    Pengaruh bahasa Arab.

Contoh: Assalamualaikum, Waalaikumussalam.

 

(b)    Pengaruh bahasa Inggeris

Contoh: mummy, daddy.

 

(c)     Simile

Contoh: Cuti hujung minggu sudah menjadi seperti masa yang terbaik untuk Aiman bersantai dan melakukan segala perkara yang dimahukannya.

 

(d)    Metafora

Contoh: Buta sejarah betul kau ini.

 

(e)    Inversi

Contoh: Tak fahamlah saya, bang.

 

(f)      Perulangan kata atau repetisi

Contoh: Aku tak suka, tak suka.

 

(g)    Peribahasa

Contoh: hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lurus bendul, bodoh sombong, besar panjang.

 

 

Nilai

(a)    Kasih sayang. Contohnya, Datuk Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau memutuskan agar Aiman menghadiri PLKN untuk membentuk peribadi anaknya itu agar menjadi insan yang berguna kepada nusa dan negara.

(b)    Cinta akan negara/Patriotisme. Contohnya, kawan-kawan sekelas Aiman yang terdiri daripada Nora, Syuhada, Ah Tiau, dan Sundarani sangat teruja dan berbangga apabila nama mereka terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara.

(c)     Kegigihan. Contohnya, Cikgu Dahari gigih membimbing dan memberikan tunjuk ajar kepada pelatih PLKN tentang Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB).

(d)    Hemah tinggi. Contohnya, Nek Sinah bertutur dengan suara yang lemah lembut ketika mengajak Aiman makan tengah hari walaupun Aiman melayannya dengan bersikap

(e)    Berpandangan jauh. Contohnya, Datuk Khir Ghazali ingin Aiman menyertai PLKN untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni di samping memupuk semangat patriotrik dalam jiwa anaknya itu.

 

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah memupuk semangat patriotik/cinta akan negara dalam kalangan generasi muda.

(b)    Kita perlulah menjadi seorang insan yang berintegriti dan amanah dalam memikul tanggungjawab.

(c)     Kita mestilah rajin membaca bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan luas dalam satu-satu perkara.

(d)    Kita hendaklah bersabar menghadapi kerenah manusia yang biadab.

(e)    Kita perlulah berpandangan jauh dalam usaha membina kehidupan yang lebih sempurna.

(f)      Kita hendaklah gigih mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.

 

Share:

Ahad, 25 April 2021

Tenang-tenang Air di Tasik - Norhashimah Hashim

Kupasan Drama Tenang-tenang Air di Tasik (Norhashimah Hashim)

 


Sinopsis

Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar yang memberitahu ibunya tentang kerelaannya untuk melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana dia bimbang akan keselamatan anak tunggalnya itu. Menurut ibunya lagi, tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

                Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih kumpulan peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatannya sepanjang empat hari tiga malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar merupakan seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.

Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.  

Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.

Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut membantu untuk memudahkan

ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu berkayak dengan begitu baik.

Dalam perbualan antara Muzafar, Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi wajah dan perawakan.

Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan oleh anaknya, Muzafar.  Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

 

Tema

Sikap prejudis segelintir masyarakat terhadap golongan kelainan upaya.

 

Persoalan

(a)    Keberanian melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.

(b)    Kerjasama yang utuh dalam melakukan sesuatu aktiviti.

(c)     Kasih sayang pengikat hubungan kekeluargaan.

(d)    Kepentingan sikap bertoleransi dalam melaksanakan tugas.

(e)    Kegigihan dalam mempelajari ilmu baharu.

 

Watak dan Perwatakan

Muzafar

(a)    Anak tunggal dalam keluarga.

(b)    Dia mempunyai wajah dan perawakan yang seiras dengan Muzamir.

(c)     Bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya bekas seorang pegawai.

(d)    Bekerja di sebuah tempat peranginan yang bernama Permai Resort.

(e)    Amanah dan bertanggungjawab.

(f)      Rasional dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan.

(g)    Penyayang.

(h)    Gigih dalam melakukan sesuatu perkara.

 

Muzamir

(a)    Sebaya dan seiras dengan Muzafar dari segi wajah dan perawakan.

(b)    Berasal daripada sebuah keluarga yang kaya dan ternama di Kelantan tetapi ketika berusia tiga bulan, dia telah diserahkan kepada keluarga angkat di Johor disebabkan dia dilahirkan buta.

(c)     Gigih menjalani latihan berkayak.

(d)    Mengenang budi.

(e)    Tabah dengan kecacatan matanya yang buta itu.

 

Ibu Muzafar

(a)    Balu yang kematian suami.

(b)    Seorang yang pandai bergaya moden.

(c)     Mantan pegawai dan kini bergiat aktif dalam pertubuhan sukarela Jawatankuasa Kaum Ibu.

(d)    Seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh.

(e)    Penyayang.

(f)      Pandai menyimpan rahsia.

(g)    Bersifat pilih kasih dalam membesarkan anak-anak.

(h)    Mementingkan status dan maruah keluarga.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Pengenalan – Muzafar memberitahu ibunya berkaitan dengan tugasnya yang akan melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan untuk berkayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

(b)    Perkembangan – Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan dengan baik dan mesra. Mereka terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Keesokannya, Azizi dan Muzafar mula memberi tunjuk ajar dan melatih peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul. Azizi dan Muzafar dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul dan Haris.

(c)     Perumitan – Muzamir meluahkan rasa kecewanya terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya disebabkan dia merupakan orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan sangat gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka. Muzafar mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar pulang ke rumah setelah program selama empat hari tiga malam bersama-sama dengan Muzamir dan rakan-rakannya tamat.

(d)    Klimaks – Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai oleh para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan itu.

(e)    Peleraian – Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang suatu perasaan lain yang dirasainya sewaktu dia membantu Muzamir apabila kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

 

Teknik Plot

(a)    Pemerian.

(b)    Dialog.

(c)     Imbas kembali.

(d)    Imbas muka.

(e)    Monolog.

(f)      Kejutan.

(g)    Saspens.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah; Assalamualaikum.

(b)    Bahasa Inggeris. Contohnya; rafting; commando rescue; water confidence.

(c)     Metafora. Contohnya, lautan mimpi.

(d)    Sinkope. Contohnya, Habis tu, kenapa Zam tak dapat tidur?

(e)    Repetisi. Contohnya, Tidak … tidak … tidak.

(f)      Peribahasa. Contohnya, Tak ada beban, batu digalas; mati akal; ambil hati; sampai hati; jantung hati.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Rumah batu mewah.

(b)    Tasik Permai.

(c)     Pekarangan Permai Resort.

(d)    Studio, Permai Resort.

 

Latar Masa

(a)    Waktu pagi.

(b)    Waktu siang.

(c)     Waktu malam.

(d)    Empat hari tiga malam.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang mengamalkan sikap bertolak ansur dan bertoleransi dalam melaksanakan tugas.

(b)    Masyarakat penyayang terhadap ahli keluarganya.

(c)     Masyarakat yang berani melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.

(d)    Masyarakat yang bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan ekspedisi berkayak.

(e)    Masyarakat golongan berada dan ternama yang mementingkan kedudukan dan maruah keluarga.

(f)      Masyarakat golongan kelainan upaya yang gigih mempelajari ilmu baharu untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.

(g)    Masyarakat yang bertanggungjawab dalam memikul tugas.

(h)    Masyarakat yang berhemah tinggi.

 

Nilai

(a)    Kerjasama.

(b)    Baik hati.

(c)     Bertanggungjawab.

(d)    Berhemah tinggi.

(e)    Kasih sayang.

(f)      Keberanian.

(g)    Kegigihan.

(h)    Kesabaran.

(i)      Rasional.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bijak menyusun sesuatu aktiviti ketika memberi latihan kepada orang lain.

(b)    Kita mestilah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

(c)     Kita hendaklah gigih mempelajari ilmu baharu tanpa menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang.

(d)    Kita janganlah memandang rendah terhadap orang kelainan upaya.

(e)    Kita mestilah berpendirian tegas dalam membuat keputusan.

(f)      Kita perlulah menanamkan sifat sabar ketika membimbing orang kelainan upaya.

(g)    Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati.

(h)    Kita hendaklah berani mengambil keputusan untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.

(i)      Kita mestilah mengamalkan sikap kerjasama dalam menjalankan aktiviti berpasukan.

Share:

Ahad, 28 Februari 2021

Bukan Gila - Sharif Shaary

Kupasan Drama Bukan Gila (Sharif Shaary)


Sinopsis Bukan Gila

Azmir sedang dirawat di wad pesakit jiwa Hospital Besar. Sewaktu berada di wad tersebut, Azmir telah berkhayal akan kehadiran kekasihnya, iaitu Ani. Azmir meminta Ani membawanya keluar dari situ tetapi Ani memberitahu Azmir bahawa mereka bahagia di tempat itu.

Kemudian, Azmir berkhayal lagi tentang kehadiran ayahnya. Beliau bertanyakan khabar Azmir tetapi Azmir memanggil Ani untuk mengusir ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa beliau sayang akan Azmir tetapi Azmir menganggap ayahnya berbohong lalu berlaku pertelingkahan antara Azmir dengan ayahnya. Kemudian, Azmir berkhayal tentang Pak Haji yang datang melawatnya dan memberi salam. Azmir bertengkar pula dengan Pak Haji tentang namanya yang bukan nama orang Melayu dan sikap manusia yang dikatakan oleh Azmir bercakap lain tetapi berbuat lain.

Ani muncul semula. Azmir bertanya tentang sebab Ani masih di sisinya. Sewaktu itu, Azmir dan Ani bercakap tentang cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa cinta Ani masih bersifat luaran.

Selepas memeriksa Azmir, doktor membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad. Kesempatan itu diambil oleh Azmir untuk keluar dari wad Hospital Besar. Azmir tiba di lokasi sekumpulan pelakon drama yang sedang berlatih drama yang bertajuk Sasau. Azmir mengatakan bahawa pelakon-pelakon drama Sasau itu sesat. Malah, Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem dalam kehidupan, iaitu sistem prorakyat.

Sewaktu Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem tersebut kepada para pelakon drama yang sedang berlatih itu, kepalanya berasa sakit. Setelah sakitnya reda, Azmir memberitahu pelakon-pelakon tersebut bahawa syarahannya dan penyakitnya adalah betul. Azmir menjelaskan bahawa dia datang untuk membetulkan pelakon-pelakon itu bahawa tidak ada yang sasau tetapi yang ada ialah ketidakbenaran, kepalsuan, dan kepura-puraan. Azmir juga ditanya tentang gila. Sebaliknya, Azmir menjelaskan bahawa bukan gila tetapi suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya. Kemudian, Azmir menghantuk-hantukkan kepalanya sehingga berdarah. Azmir menjelaskan bahawa tindakannya menghantukkan kepala itu adalah bukan disebabkan dia gila tetapi akibat menderita suatu kesakitan yang tidak tertanggung dan tidak terucap oleh kata-kata.

Doktor datang lagi dan menjelaskan kedudukan sebenar Azmir. Doktor membawa Azmir pulang ke wad pesakit jiwa semula. Setelah itu, Arif dan rakan-rakan pelakon mengunjungi ibu bapa Azmir. Ibu bapa Azmir menjelaskan bahawa Azmir berkeadaan begitu sejak tingkatan enam dan semakin teruk ketika di universiti. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar bersama-sama membantu Azmir. Arif memberitahu ibu bapa Azmir bahawa Azmir memerlukan kasih sayang, semangat, dan perangsang, bukannya cemuhan atau penghinaan. Pelakon II memberitahu mereka bahawa dia melihat Azmir sedang menghadapi suatu penderitaan yang sudah tidak tertanggung. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar segera mengunjungi Azmir sebelum terlambat.

Di wad pesakit jiwa, Azmir berkhayal dan mengimbas kembali tentang kisah cintanya dengan Ani dan kisah hidupnya. Ketika dia sedang berkhayal, dia menjadi lemah dan rebah ke lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad. Kematiannya dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Berita itu membuatkan Ani berasa bersalah dan bersikap kejam terhadap Azmir.

 

Tema

Drama “Bukan Gila” bertemakan ketabahan seorang anak muda yang terpaksa melawan penyakit barah otak bersendirian.

 

Persoalan

(a)    Penghargaan anak terhadap ibu bapanya.

(b)    Penghargaan terhadap manusia budiman seperti petani, nelayan, serta buruh yang telah membangunkan kesejahteraan rakyat dan negara.

(c)     Kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.

(d)    Sikap tidak ambil peduli masyarakat terhadap kesusahan dan kesakitan orang lain.

(e)    Kebenaran hanya bersifat luaran dan terbit dalam kata-kata.

(f)      Kepentingan wang dalam kehidupan.

 

Watak dan Perwatakan

Azmir

(a)    Menghidap penyakit barah otak.

(b)    Mengalami sakit jiwa.

(c)     Menerima rawatan pesakit jiwa di Hospital Besar.

(d)    Bersikap gila-gila sejak tingkatan enam.

(e)    Gagal menghabiskan tahun akhir pengajiannnya di universiti.

(f)      Enggan mengikut nasihat ibunya.

(g)    Bercinta dengan Ani tetapi Ani telah meninggalkannya sewaktu dia berhadapan dengan penyakit barah otak.

(h)    Mampu bercakap loghat Indonesia.

 

Arif

(a)    Pengarah drama Sasau.

(b)    Prihatin terhadap keadaan Azmir.

(c)     Menasihati ibu Azmir berkaitan dengan kasih sayang ibu terhadap anaknya.

(d)    Berjiwa besar, iaitu sanggup belajar daripada Azmir untuk membantunya membikin drama Sasau.

 

Doktor Razi

(a)    Merawat Azmir yang dikatakan menghidap sakit jiwa.

(b)    Tidak memahami penyakit yang dialami oleh Azmir.

(c)     Bersikap baik terhadap Azmir kerana telah membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad.

 

Ibu Azmir

(a)    Beliau mengesan sikap gila-gila Azmir sejak anaknya itu di tingkatan enam.

(b)    Tidak mampu mengurus Azmir.

(c)     Tidak menjaga anaknya kerana Azmir lebih suka tinggal di rumah neneknya.

(d)    Berasa malu dengan sikap anaknya yang gila-gila.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Wad pesakit jiwa, Hospital Besar.

(b)    Pentas.

 

Latar Masa

(a)    Waktu siang.

(b)    Waktu latihan.

(c)     Waktu tingkatan enam.

(d)    Waktu belajar di universiti.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang prihatin terhadap keadaan sebenar yang dihadapi oleh orang lain.

(b)    Masyarakat yang tidak setia.

(c)     Masyarakat yang tidak ambil peduli akan orang lain.

(d)    Golongan ibu dan bapa yang tidak memberikan kasih sayang yang cukup kepada anak mereka.

(e)    Masyarakat yang menderita sakit secara bersendirian.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Plot drama ini disusun secara kronologi.

(b)    Pengenalan – Azmir berada di wad pesakit jiwa di Hospital Besar seorang diri dan berada dalam khayalan.

(c)     Perkembangan – Azmir sentiasa berkhayal akan kehadiran Ani, kekasihnya yang sudah meninggalkannya kerana Azmir dikatakan gila. Azmir juga berkhayal akan kehadiran ayahnya yang menziarahinya di wad. Azmir bertelingkah dengan ayahnya kerana dia beranggapan ayahnya tidak sayangkannya. Kemudian, Azmir berkhayal pula tentang Pak Haji melawatnya di wad. Dia bertengkar dengan Pak Haji tentang namanya dan sikap manusia yang tidak bertindak seperti yang dikatakan oleh mereka. Azmir kembali berkhayal bahawa Ani datang mengunjunginya. Azmir mempertikaikan kata-kata cinta Ani terhadap dirinya. Selepas itu, doktor melawat Azmir di wad. Doktor memeriksa Azmir dan membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad.

(d)    Perumitan – Arif dan pelakon-pelakon lain ingin memantapkan kefahaman tentang tajuk drama mereka, iaitu Sasau. Tiba-tiba Azmir datang dan mencelah sewaktu Arif dan pelakon-pelakon lain membuat latihan drama. Azmir mempertikaikan dialog drama Sasau yang mengagungkan kuasa. Azmir mengatakan bahawa sistem terbaik ialah sistem yang prorakyat. Para pelakon berbincang dengan Azmir tentang sistem tersebut. Tiba-tiba Azmir berasa sakit dan meminta pelakon memicit kepalanya.

(e)    Klimaks – Azmir menghantuk-hantukkan kepala ke lantai sehingga berdarah. Azmir berguling-guling di lantai kerana kesakitan dan darah masih mengalir di pipinya. Arif dan pelakon-pelakon lain membantu Azmir. Selepas itu, doktor membawa Azmir ke hospital semula. Arif cuba menerangkan kepada doktor bahawa Azmir sedang menderita suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya. Doktor mengatakan bahawa orang gila sememangnya pandai berkata-kata.

(f)      Peleraian – Arif dan pelakon-pelakon lain mengunjungi ibu bapa Azmir di rumah. Mereka menerangkan keadaan Azmir kepada Arif. Arif menjelaskan bahawa Azmir bukan buat-buat gila tetapi sedang menderita suatu penderitaan. Pelakon 1 meminta ibu bapa Azmir agar memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya. Arif mencadangkan ibu bapa Azmir berjumpa dengan Azmir di hospital sebelum terlambat. Di wad pesakit jiwa, Azmir mengimbau kenangan lalu antaranya dengan Ani. Akhirnya, Azmir semakin lemah dan jatuh ke lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad yang dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Ani berasa bersalah dan bersikap kejam terhadap Azmir.

 

Teknik Plot

(a)    Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Azmir dengan Ani semasa Azmir berkhayal akan kehadiran kekasihnya itu ketika dirawat di wad pesakit jiwa, Hospital Besar.

(b)    Teknik imbas kembali. Contohnya, bapa Azmir teringat akan waktu penyakit gila-gila Azmir berlaku.

(c)     Teknik monolog. Contohnya, Azmir bercakap seorang diri di wad pesakit jiwa.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contoh: Assalamualaikum; Astaghfirullah; bertafakur.

(b)    Bahasa Inggeris. Contoh: realistik; sensitif; profesionalisme; rasional; realiti.

(c)     Hiperbola. Contoh: Saban hari manusia membunuh kemanusiaan; Sebuah cinta ialah sebuah sengketa.

(d)    Imbuhan pinjaman bahasa Inggeris. Contoh: prorakyat; pascaperang.

(e)    Metafora. Contoh: angin kemudaan; angkasa kewujudan; padang kehidupan.

(f)      Repetisi. Contoh: Hukum. (Sinis). Hukum pada hari ini hanya wujud pada nama saja. Orang sering melanggar hukum. Hukum kata ada kasih sayang.

(g)    Simile. Contoh: sistem yang baik adalah bagaikan segala nilai dan norma; Boleh jadi lakonannya tu realistik, macam betul-betul.

 

Nilai

(a)    Nilai keprihatinan. Contohnya, Arif, iaitu pengarah drama Sasau prihatin akan kesakitan dan penderitaan yang ditanggung oleh Azmir. Arif juga memahami bahawa Azmir tidak gila.

(b)    Nilai kesetiaan. Contohnya, Azmir setia dengan cintanya terhadap Ani sehingga dia terbayang-bayang Ani datang kepadanya walaupun hakikatnya, Ani telah meninggalkannya.

(c)     Nilai bertanggungjawab. Contohnya, Doktor Razi bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya dengan mencari dan membawa Azmir ke wad pesakit jiwa semula.

(d)    Nilai ilmu pengetahuan. Contohnya, Arif sanggup belajar daripada Azmir yang dikatakan gila bagi memantapkan drama “Sasau”.

(e)    Nilai menghargai. Contohnya, Azmir menghargai petani, nelayan, dan buruh yang telah banyak memberi sumbangan demi kesejahteraan hidup orang lain.

(f)      Nilai kasih sayang. Contohnya, bapa Azmir menziarahi Azmir yang dirawat di wad pesakit jiwa.

(g)    Nilai ketabahan. Contohnya, Azmir tabah melawan penyakit barah otak secara sendirian sahaja.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita dapat membantu mereka.

(b)    Kita hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan khianat.

(c)     Kita haruslah bertanggungjawab terhadap semua tugas agar kita dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

(d)    Kita mestilah berilmu dan berpengetahuan untuk memahami kebenaran dan kesalahan.

(e)    Kita haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak.

(f)      Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup agar kita tidak berputus asa atau mengalami kekecewaan dalam hidup.

Share:

Popular Posts

Pages