Memaparkan catatan dengan label Syair. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Syair. Papar semua catatan

Ahad, 9 Mei 2021

Syair Bidasari

Syair Bidasari



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Penyair mengajak pembaca untuk mendengar kisah seorang raja yang memerintah di Negeri Kembayat. Kisah itu ditulis oleh seorang fakir untuk dijadikan teladan dan dibuat perbandingan.

 

Rangkap 2

Di Negeri Kembayat, terdapat seorang raja yang masyhur dan bijaksana. Baginda juga merupakan seorang raja yang elok pekerti dan melayani para pedagang yang datang mendalami pengajian dalam bidang agama Islam di negerinya itu dengan adil.

 

Rangkap 3

Diceritakan juga bahawa raja tersebut sangat berkuasa pada masa itu. Baginda memerintah negara dalam suasana yang aman tanpa sedikit pun menghadapi kesukaran. Namun begitu, mereka tidak dapat menjangkakan ketentuan yang akan berlaku pada masa yang mendatang.

 

Rangkap 4

Raja yang bijaksana tersebut telah berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, permaisuri baginda telah hamil.

 

Rangkap 5

Sepanjang raja memerintah Negeri Kembayat dengan suasana yang aman damai dan gembira, akhirnya pada suatu hari, Negeri Kembayat dikejutkan dengan berita sedih apabila baginda terpaksa meninggalkan kerajaannya.

 

Rangkap 6

Dikisahkan pada suatu hari yang lain, Negeri Kembayat telah diserang oleh burung garuda yang ganas dan kuat yang terbang turun dari angkasa. Serangan ini telah banyak mendatangkan kemusnahan di Negeri Kembayat.

 

Rangkap 7

Digambarkan kisah burung garuda menyerang Negeri Kembayat dengan suaranya yang kuat bergema hingga menggemparkan rakyat dan menyebabkan negeri itu menjadi huru-hara. Rakyat jelata lari lintang-pukang menyelamatkan diri masing-masing.

 

Rangkap 8

Di istana, rakyat jelata datang untuk menghadap raja yang sedang bermesyuarat. Apabila mendengarkan keadaan di luar istana sangat bising dan gegak-gempita, baginda yang cemas dan prihatin itu berasa hairan apabila melihatkan situasi tersebut dan menanyakan rakyatnya sebab keadaan itu berlaku.

 

Tema

Tema syair ini ialah cabaran yang dihadapi oleh seorang raja sewaktu mentadbirkan negara.

 

Persoalan

(a)    Kebijaksanaan memimpin sebuah kerajaan.

(b)    Tanggungjawab seorang pemimpin.

(c)     Kasih sayang terhadap anggota keluarga.

(d)    Keadilan dan kesaksamaan.

(e)    Jangka hayat dan soal kematian di tangan Tuhan.

(f)      Musibah yang tidak boleh diramal.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Syair ini berbentuk terikat/tidak bebas.

(b)    Terdiri daripada lapan rangkap.

(c)     Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu empat baris serangkap.

(d)    Semua baris dalam setiap rangkap adalah maksud.

(e)    Bilangan katanya antara tiga hingga lima patah perkataan.

(f)      Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.

(g)    Rima akhir syair ini ialah aaaa kecuali rima akhir rangkap ketiga syair ialah aaba.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata atau diksi yang indah. Contohnya, Dengarlah tuan suatu riwayat.

(b)    Repetisi. Contohnya, Beberapa bulan beberapa hari (rangkap 4, baris 3).

(c)     Hiperbola. Contohnya, Datanglah menyambar suaranya bahana (rangkap 7, baris 1).

(d)    Simile. Contohnya, Mendengar gempar seperti perang (rangkap 8, baris 2).

(e)    Inversi. Contohnya, Dengarkan tuan suatu riwayat (rangkap 1, baris 1).

(f)      Bahasa istana. Contohnya, baginda; bertitah; permaisuri; takhta.

(g)    Kata arkaik. Contohnya, akas; ngadil; halifah; gurda.

(h)    Asonansi. (perulangan bunyi vokal u) Contohnya, Baginda duduk bersuka-sukaan.

(i)      Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s) Contohnya, Seri sultan raja bestari.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Kebijaksanaan.

(c)     Kasih sayang.

(d)    Ketaatan.

(e)    Keadilan.

 

Pengajaran

(a)    Sebagai pemimpin, kita hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dengan amanah.

(b)    Kita perlulah bijaksana semasa merangka, menyusun, dan membuat segala perancangan tugas supaya tugasan itu terhasil dengan baik dan sempurna.

(c)     Kita haruslah memupuk sifat kasih yang mendalam terhadap anggota  keluarga untuk mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

(d)    Kita mestilah taat dan patuh akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian organisasi.

(e)    Sebagai pemimpin, kita hendaklah melayani setiap orang dengan adil dan saksama tanpa membeza-bezakan darjat atau kedudukan seseorang.

(f)      Kita haruslah bersedia pada setiap masa untuk menghadapi sebarang ancaman musuh atau malapetaka yang tidak dijangka.

Share:

Selasa, 2 Mac 2021

Syair Burung Nuri

Kupasan Puisi Tradisional: Syair Burung Nuri


Maksud Setiap Rangkap

Rangkap

Maksud

1

Penyair menceritakan sebuah warkah yang ditulis oleh seorang yang dipandang hina sehinggakan kata-kata yang ditulisnya itu mungkin dianggap salah berdasarkan buah fikirannya yang kurang sempurna.

2

Menurut penyair, seseorang itu dianggap hina jika dia tidak berakal, bersikap kurang sopan, berakhlak rendah, dan hidup dalam keadaan miskin.

3

Penyair juga memohon maaf sekiranya perkara yang ditulis daripada perasaan kecewanya itu menghasilkan kata-kata yang kurang menarik dalam warkah tersebut.

4

Penyair menulis lembaran yang jelas tentang adab kepada pasangan yang sedang bercinta agar mereka tidak kecewa dan menjadikan surat sebagai saluran meluahkan perasaan.

5

Penyair menceritakan nasib malang yang ditempuhinya secara berulang kali sehingga boleh membawa kemudaratan dan menyebabkan dirinya sentiasa dalam keadaan sedih dan kecewa.

6

Penyair mengisahkan kehidupannya terumbang-ambing tanpa arah tuju, tidak terurus hingga melupakan makan dan minum.

7

Namun penyair tersedar bahawa tiada guna hidup dalam kekecewaan sehingga boleh menyebabkan kehidupannya menjadi hancur.

8

Penyair sedar apabila berada dalam keadaan yang sangat kecewa boleh menyebabkan fikirannya tidak waras. Sekiranya dituruti perasaan kecewa itu, penyair berfikir lebih baik mati daripada hidup dalam keadaan sebegitu.

 

Tema

Adab dalam kehidupan seseorang.

 

Persoalan

(a)    Kepentingan memiliki ilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

(b)    Kekecewaan yang boleh merosakkan kehidupan seseorang.

(c)     Kebijaksanaan dalam mengawal diri ketika bercinta.

(d)    Rasional dalam berfikir dan membuat tindakan.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Terdiri daripada lapan rangkap.

(b)    Berisi empat baris dalam setiap rangkap.

(c)     Semua baris merupakan maksud.

(d)    Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.

(e)    Terdiri daripada sepuluh hingga tiga belas suku kata sebaris.

(f)      Bentuknya terikat.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Inversi. Contohnya, Dituliskan sahifah supaya nyata.

(b)    Simile. Contohnya, Laksana cermin jatuh ke batu.

(c)     Sinkope. Contohnya, Sajak dan nazam banyak tak kena.

(d)    Repetisi. Contohnya, Hanyutlah badan ke sana ke mari.

(e)    Asonansi. Contohnya, Bermula warkah surat rencana. (perulangan vokal a).

(f)      Aliterasi. Contohnya, Gundahlah fikir tiada tertentu. (perulangan konsonan t).

 

Nilai

(a)    Kesedaran.

(b)    Merendah diri.

(c)     Rasional.

(d)    Hemah tinggi.

 

Pengajaran

(a)    Kita sepatutnya bersikap merendah diri .

(b)    Kita haruslah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.

(c)     Kita janganlah mementingkan percintaan dalam kehidupan.

(d)    Kita tidak boleh berputus asa.

(e)    Kita janganlah bertindak mengikut kata hati.

Share:

Isnin, 11 Mei 2020

Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)

Kupasan puisi tradisional:
Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)

Rangkap
Maksud
1
Penyair telah tamat mengarang kitab supaya dapat dijadikan panduan.
2
Ayah berharap agar anaknya akan menjaga tingkah laku dan menjadi insan yang berakhlak mulia.
3
Ayah menasihati anaknya agar tidak bersikap malas.
4
Menurut ayah lagi, jika anaknya itu menjadi raja, dia hendaklah bertindak dengan betul dan rajin bekerja.
5
Ayah menasihati anaknya supaya rajin berbuat kebajikan.
Dalam masa yang sama, hati perlulah ikhlas dan bersih.
6
Ayah menasihati anaknya supaya tidak malas menuntut ilmu. Ilmu yang dituntut itu perlulah ilmu yang betul seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
7
Ayah menasihati anaknya agar rajin mengaji dan hal ini perlu diberi keutamaan daripada hal yang lain. Hukum syarak pula tidak boleh dilanggar kerana akan menyebabkannya mendapat malu.
8
Sebarang tindakan perlu didasarkan kepada ilmu pengetahuan agar membawa kebaikan. Ayah juga menasihati anaknya agar berhati-hati dalam melakukan setiap perkara agar tidak terjerumus dalam perkara yang membawa kemudaratan.
9
Ilmu itu banyak manfaatnya kerana dengan ilmu, perkara
yang benar dengan yang tidak benar dapat dibezakan.
Dengan adanya ilmu, pemimpin dapat mengetahui sama ada rakyat benar atau salah dan dapat menjatuhkan hukuman yang adil kepada mereka.
10
Selanjutnya, jika ilmu pengetahuan itu dianggap remeh, hal ini tentu akan membawa masalah kepada anaknya jika menjadi pemerintah. Jika ada rakyat yang datang untuk menyatakan masalah, anaknya tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan.
11
Anaknya tidak tahu untuk menjatuhkan hukuman dan tidak
mahu pula berdiam sahaja. Anaknya itu cuma mampu
berpeluk tubuh dan menyebut nama Allah SWT.
12
Akhirnya, anaknya tidak dapat berkata apa-apa. Setelah penat duduk dan bangun, anaknya itu akan menyembunyikan diri di dalam istana.
13
Orang yang ingin mendapatkan pengadilan akan menjadi
marah kerana perbicaraan belum pasti dapat dilakukan.
14
Sebarang hukuman tidak boleh diambil mudah. Jalan
yang terbaik ialah kembali merujuk hukum syarak untuk
mendapatkan ketenangan hati.
15
Jika perbicaraan tidak dijalankan mengikut hukum, maka
pemimpin pasti akan dikeji oleh rakyat.
16
Jika perbicaraan dijalankan mengikut hukum Allah, maka
kejian atau pujian daripada rakyat bawahan tidak perlulah
dihiraukan oleh mereka.
17
Ayah berpesan lagi, jika anaknya menjadi menteri, dia
digalakkan untuk berdamping dengan orang yang berilmu
supaya dapat memudahkan segala kerja.
18
Ketua haruslah memerhatikan tingkah laku pegawai
bawahannya supaya penyelewengan tidak berlaku.


Tema
Nasihat bapa kepada anak tentang kepentingan menuntut ilmu pengetahuan jika anaknya dilantik sebagai raja/menteri supaya dapat memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.


Persoalan
(a) Setiap pemimpin diwajibkan menuntut ilmu pengetahuan.
(b) Kerja kebajikan harus dilakukan dengan penuh keikhlasan.
(c) Ilmu yang dituntut mestilah ilmu yang benar seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
(d) Pengadilan dan perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan ilmu pengetahuan supaya tidak tersilap dalam menjatuhkan hukuman.
(e) Ketaatan dan kepatuhan rakyat terhadap pemimpin.


Bentuk dan Ciri-ciri Syair
(a) Terdiri daripada lapan belas rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lapan hingga empat belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya terikat.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Inversi. Contohnya, nasihat kebajikan ayahanda beri; Kerja
kebajikan janganlah malas.

(b) Anafora. Contohnya, Hendak menghukumkan tiada tahu,
hendak diam hati tak mahu,

(c) Bahasa Arab. Contohnya, ikhlas; syarak; batil; Allahu; Allah.

(d) Responsi. Contohnya, Kerja kebajikan janganlah malas, zahir dan batin janganlah culas,

(e) Simile. Contohnya, seperti air di dalam gelas.

(f) Sinkope. Contohnya, tak.

(g) Asonansi. Contohnya, Segala perbuatan dengan berilmu
      (perulangan vokal e).

(h) Aliterasi. Contohnya, maka kebajikan boleh bertemu
     (perulangan konsonan b).

(i) Rima akhirnya sama, iaitu aaaa.


Nilai
(a) Keadilan.
(b) Berilmu.
(c) Keikhlasan.
(d) Kepatuhan.
(e) Kebijaksanaan.
(f) Bertawakal.
(g) Hati-hati.
(h) Persaudaraan.
(i) Kerajinan.
(j) Berakhlak mulia.


Pengajaran
(a) Pemerintah haruslah bersikap adil dan tidak boleh bertindak zalim terhadap rakyat.
(b) Seorang pemimpin mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup agar dapat memudahkan urusan pentadbiran.
(c) Kita hendaklah menuntut ilmu yang benar dan menghindarkan diri daripada menuntut ilmu yang sesat.
(d) Kita mestilah rajin melakukan setiap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita.
(e) Kita hendaklah ikhlas dalam melakukan setiap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita.
(f) Sebagai anak kita perlulah patuh akan nasihat ibu dan bapa agar hidup beroleh keberkatan.
(g) Kita hendaklah berani menegakkan kebenaran.
(h) Kita haruslah bertawakal dan berserah kepada Allah setelah membuat apa-apa keputusan.


Share:

Popular Posts

Pages