Syair Bidasari
Maksud Rangkap
Rangkap 1
Penyair mengajak pembaca untuk
mendengar kisah seorang raja yang memerintah di Negeri Kembayat. Kisah itu
ditulis oleh seorang fakir untuk dijadikan teladan dan dibuat perbandingan.
Rangkap 2
Di Negeri Kembayat, terdapat
seorang raja yang masyhur dan bijaksana. Baginda juga merupakan seorang raja yang
elok pekerti dan melayani para pedagang yang datang mendalami pengajian dalam
bidang agama Islam di negerinya itu dengan adil.
Rangkap 3
Diceritakan juga bahawa raja
tersebut sangat berkuasa pada masa itu. Baginda memerintah negara dalam suasana
yang aman tanpa sedikit pun menghadapi kesukaran. Namun begitu, mereka tidak
dapat menjangkakan ketentuan yang akan berlaku pada masa yang mendatang.
Rangkap 4
Raja yang bijaksana tersebut
telah berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, permaisuri baginda telah hamil.
Rangkap 5
Sepanjang raja memerintah
Negeri Kembayat dengan suasana yang aman damai dan gembira, akhirnya pada suatu
hari, Negeri Kembayat dikejutkan dengan berita sedih apabila baginda terpaksa
meninggalkan kerajaannya.
Rangkap 6
Dikisahkan pada suatu hari
yang lain, Negeri Kembayat telah diserang oleh burung garuda yang ganas dan
kuat yang terbang turun dari angkasa. Serangan ini telah banyak mendatangkan
kemusnahan di Negeri Kembayat.
Rangkap 7
Digambarkan kisah burung
garuda menyerang Negeri Kembayat dengan suaranya yang kuat bergema hingga menggemparkan
rakyat dan menyebabkan negeri itu menjadi huru-hara. Rakyat jelata lari
lintang-pukang menyelamatkan diri masing-masing.
Rangkap 8
Di istana, rakyat jelata
datang untuk menghadap raja yang sedang bermesyuarat. Apabila mendengarkan
keadaan di luar istana sangat bising dan gegak-gempita, baginda yang cemas dan
prihatin itu berasa hairan apabila melihatkan situasi tersebut dan menanyakan
rakyatnya sebab keadaan itu berlaku.
Tema
Tema syair ini ialah cabaran yang dihadapi oleh seorang
raja sewaktu mentadbirkan negara.
Persoalan
(a) Kebijaksanaan
memimpin sebuah kerajaan.
(b) Tanggungjawab
seorang pemimpin.
(c) Kasih
sayang terhadap anggota keluarga.
(d) Keadilan
dan kesaksamaan.
(e) Jangka
hayat dan soal kematian di tangan Tuhan.
(f) Musibah
yang tidak boleh diramal.
Bentuk dan Ciri-ciri Syair
(a) Syair
ini berbentuk terikat/tidak bebas.
(b) Terdiri
daripada lapan rangkap.
(c) Bilangan
baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu empat baris serangkap.
(d) Semua
baris dalam setiap rangkap adalah maksud.
(e) Bilangan
katanya antara tiga hingga lima patah perkataan.
(f) Terdiri
daripada sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.
(g) Rima
akhir syair ini ialah aaaa kecuali rima akhir rangkap ketiga syair ialah aaba.
Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Pemilihan
kata atau diksi yang indah. Contohnya, Dengarlah tuan suatu riwayat.
(b) Repetisi.
Contohnya, Beberapa bulan beberapa hari (rangkap 4,
baris 3).
(c) Hiperbola.
Contohnya, Datanglah menyambar suaranya bahana (rangkap 7, baris 1).
(d) Simile.
Contohnya, Mendengar gempar seperti perang (rangkap 8, baris 2).
(e) Inversi.
Contohnya, Dengarkan tuan suatu riwayat (rangkap 1, baris 1).
(f) Bahasa
istana. Contohnya, baginda; bertitah; permaisuri; takhta.
(g) Kata
arkaik. Contohnya, akas; ngadil; halifah; gurda.
(h) Asonansi.
(perulangan bunyi vokal u) Contohnya, Baginda duduk bersuka-sukaan.
(i) Aliterasi.
(perulangan bunyi konsonan s) Contohnya, Seri sultan raja bestari.
Nilai
(a) Tanggungjawab.
(b) Kebijaksanaan.
(c) Kasih
sayang.
(d) Ketaatan.
(e) Keadilan.
Pengajaran
(a) Sebagai
pemimpin, kita hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat
dengan amanah.
(b) Kita
perlulah bijaksana semasa merangka, menyusun, dan membuat segala perancangan
tugas supaya tugasan itu terhasil dengan baik dan sempurna.
(c) Kita
haruslah memupuk sifat kasih yang mendalam terhadap anggota keluarga untuk mewujudkan sebuah keluarga
yang bahagia dan harmoni.
(d) Kita
mestilah taat dan patuh akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian
organisasi.
(e) Sebagai
pemimpin, kita hendaklah melayani setiap orang dengan adil dan saksama tanpa
membeza-bezakan darjat atau kedudukan seseorang.
(f) Kita
haruslah bersedia pada setiap masa untuk menghadapi sebarang ancaman musuh atau
malapetaka yang tidak dijangka.
0 ulasan:
Catat Ulasan