Sang Gembala Kuda (Mohd Hashim Othman)
Maksud Rangkap
Rangkap 1
Sang gembala kuda ialah
seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh
merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambil
menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.
Rangkap 2
Sementara itu, rumput dan
jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika
lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan
kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.
Rangkap 3
Dengan kuasa yang ada padanya
dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan
yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan yang
berlaku. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai
penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang
segala penipuan.
Rangkap 4
Sang gembala kuda ialah
seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa
mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar
kejayaan tanpa mengambil tahu kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hanya
mementingkan diri sendiri apabila kuda-kuda itu akan terus ditunggangi berulang-ulang
kali tanpa rasa belas.
Tema
Sajak ini bertemakan kekuasaan
penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda
tunggangannya.
Persoalan
(a) Kekuasaan
mempengaruhi gaya kepemimpinan.
(b) Ketegasan
untuk memimpin.
(c) Penganiayaan
terhadap haiwan.
(d) Kepatuhan
menurut perintah.
(e) Keberanian
menempuh cabaran dan rintangan.
(f) Kebijaksanaan
mengeksploitasi golongan yang lemah.
(g) Pasrah
dan reda akan ketentuan Ilahi.
Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Sajak
ini berbentuk bebas atau tidak terikat.
(b) Terdiri
daripada empat rangkap.
(c) Bilangan
barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (lima baris),
rangkap ketiga (sebelas baris), rangkap keempat (lapan baris).
(d) Jumlah
patah perkataan antara tiga hingga enam patah perkataan sebaris.
(e) Jumlah
suku kata dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga lima belas suku
kata.
(f) Rima
akhir sajak ini bebas/tidak sama; abcdd, abcab, aabcccadecc, abaabacc.
Gaya Bahasa dan Keindahan
Bunyi
(a) Pemilihan
kata atau diksi yang indah (puitis). Contohnya,
rembat angkuhnya memacu takut.
(b) Epifora.
Contohnya,
perulangan kata ditunggangi (rangkap 4, baris 7 dan baris 8).
(c) Repetisi.
Contohnya,
ditunggangi dan ditunggangi (rangkap 4, baris 8).
(d) Metafora.
Contohnya, rimba perburuan, paya penindasan, cemeti durjana.
(e) Personifikasi.
Contohnya,
Rembat angkuhnya memacu takut,
Pacuannya
diiring seribu keberanian.
(f) Hiperbola.
Contohnya,
Dimamah rakus kala lapar.
(g) Sinkope.
Contohnya, tak.
(h) Imejan/Perlambangan.
Contohnya, rumput, jerami, onak, lumpur.
(i) Asonansi.
(perulangan vokal i). Contohnya,
sesekali suaranya lebih gempita.
(j) Aliterasi.
(perulangan konsonan d). Contohnya,
ditunggangi dan ditunggangi!
Nada
Sajak ini bernada sinis.
Nilai
(a) Tanggungjawab.
(b) Keberanian.
(c) Kegigihan.
(d) Kepatuhan.
(e) Kebijaksanaan.
Pengajaran
(a) Kita
hendaklah bertanggungjawab semasa melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh
ketua.
(b) Kita
mestilah berani untuk menghadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus
asa.
(c) Kita
perlulah gigih berusaha untuk melaksanakan sesuatu tugas agar kejayaan dapat
kita kecapi akhirnya.
(d) Kita
sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah
organisasi.
(e) Kita
hendaklah bijaksana semasa merancang serta menjalankan tugas dengan baiknya dan
sempurna.
0 ulasan:
Catat Ulasan