Isnin, 10 Mei 2021

Isi Kandungan Antologi Tingkatan 4 - Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Share:

Aku Membaca Lagi (Razali Mohd. Yussof)

Aku Membaca Lagi (Razali Mohd. Yussof)



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Penyajak memandang ke langit. Penyajak berasa kerdil apabila melihat kebesaran Ilahi yang mencipta pelbagai fenomena alam.

 

Rangkap 2

Penyajak menelusuri alam yang terbentang dan menyaksikan gambaran berbagai-bagai fauna dan kejadian alam yang dicipta Ilahi untuk melengkapi hidup manusia.

 

Rangkap 3

Penyajak kembali memandang dan memahami langit. Penyajak mendapati masalah penggunaan bahasa Melayu banyak berlaku yang akhirnya semakin meruncing. Masalah penggunaan bahasa Melayu itu kini makin bertambah satu per satu.

 

Rangkap 4

Penyajak masih memahami kandungan di langit dan telah menyaksikan bulan dan bintang menangis kerana bersedih akan nasib bahasa Melayu yang dipinggirkan oleh bangsa peribumi sendiri.

 

Rangkap 5

Penyajak kembali mendongak ke langit. Kali ini, penyajak turut menyaksikan langit menangisi nasib bahasa Melayu yang kian tenat dan semakin dilupakan oleh anak bangsa.

 

Tema

Sajak ini bertemakan nasib bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan oleh anak bangsa.

 

Persoalan

(a)    Bahasa sebagai maruah bangsa.

(b)    Peranan bangsa untuk mendaulatkan bahasa.

(c)     Jati diri anak bangsa yang kian terancam.

(d)    Kesyukuran terhadap kebesaran Tuhan.

 

Bentuk Sajak

(a)    Berbentuk bebas atau tidak terikat.

(b)    Terdiri daripada lima rangkap.

(c)     Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (empat baris), rangkap ketiga (tujuh baris), rangkap keempat (empat baris), rangkap kelima (empat baris).

(d)    Bilangan katanya antara satu hingga enam patah perkataan.

(e)    Terdiri daripada empat hingga dua belas suku kata.

(f)      Rima akhir sajak ini bebas/tidak terikat; abcde, abcd, abcdedf, abcd, abcd.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(e)    Perlambangan. Contohnya, langit, pohon-pohon kayan, daun dan ranting, daun-daun.

(f)      Pemilihan kata atau diksi yang indah (puitis). Contohnya, desiran ombak dan wajah pelangi.

(g)    Repetisi. Contoh: helai demi helai (rangkap 3, baris 6).

(h)    Metafora. Contoh: wajah pelangi, lantai tanah airku.

(i)      Personifikasi. Contoh: dahan dan ranting terkulai.

(j)      Inversi. Contoh: menitis air mata langit.

(k)    Asonansi. (perulangan vokal u). Contohnya, kicauan burung.

(l)      Aliterasi. (perulangan konsonan b). Contohnya, bulan dan bintang menangis.

 

Nada

Sajak ini bernada melankolik.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Keberanian.

(c)     Kesyukuran.

(d)    Patriotik.

(e)    Kegigihan.

 

Pengajaran

(a)    Sebagai anak bangsa, kita hendaklah memikul tanggungjawab untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu yang semakin dilupakan.

(b)    Kita mestilah berani menghadapi berbagai-bagai cabaran untuk mempertahankan maruah bahasa Melayu daripada tercemar.

(c)     Kita perlulah bersyukur kepada Tuhan terhadap ciptaan pelbagai kejadian alam yang melengkapi kehidupan manusia.

(d)    Sebagai anak bangsa, kita perlulah menanamkan sifat jati diri yang kuat dalam diri masing-masing agar dapat menangkis segala bentuk ancaman yang berunsur negatif

Share:

Ahad, 9 Mei 2021

Sang Gembala Kuda (Mohd Hashim Othman)

Sang Gembala Kuda  (Mohd Hashim Othman) 



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambil menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.

 

Rangkap 2

Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.

 

Rangkap 3

Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan yang berlaku. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.

 

Rangkap 4

Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil tahu kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hanya mementingkan diri sendiri apabila kuda-kuda itu akan terus ditunggangi berulang-ulang kali tanpa rasa belas.

 

Tema

Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya.

 

Persoalan

(a)    Kekuasaan mempengaruhi gaya kepemimpinan.

(b)    Ketegasan untuk memimpin.

(c)     Penganiayaan terhadap haiwan.

(d)    Kepatuhan menurut perintah.

(e)    Keberanian menempuh cabaran dan rintangan.

(f)      Kebijaksanaan mengeksploitasi golongan yang lemah.

(g)    Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

(a)    Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.

(b)    Terdiri daripada empat rangkap.

(c)     Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (lima baris), rangkap ketiga (sebelas baris), rangkap keempat (lapan baris).

(d)    Jumlah patah perkataan antara tiga hingga enam patah perkataan sebaris.

(e)    Jumlah suku kata dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga lima belas suku kata.

(f)      Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama; abcdd, abcab, aabcccadecc, abaabacc.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata atau diksi yang indah (puitis). Contohnya,

rembat angkuhnya memacu takut.

(b)    Epifora. Contohnya,

perulangan kata ditunggangi (rangkap 4, baris 7 dan baris 8).

(c)     Repetisi. Contohnya,

ditunggangi dan ditunggangi (rangkap 4, baris 8).

(d)    Metafora. Contohnya, rimba perburuan, paya penindasan, cemeti durjana.

(e)    Personifikasi. Contohnya,

Rembat angkuhnya memacu takut,

Pacuannya diiring seribu keberanian.

(f)      Hiperbola. Contohnya,

Dimamah rakus kala lapar.

(g)    Sinkope. Contohnya, tak.

(h)    Imejan/Perlambangan. Contohnya, rumput, jerami, onak, lumpur.

(i)      Asonansi. (perulangan vokal i). Contohnya,

sesekali suaranya lebih gempita.

(j)      Aliterasi. (perulangan konsonan d). Contohnya,

ditunggangi dan ditunggangi!

 

Nada

Sajak ini bernada sinis.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Keberanian.

(c)     Kegigihan.

(d)    Kepatuhan.

(e)    Kebijaksanaan.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bertanggungjawab semasa melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua.

(b)    Kita mestilah berani untuk menghadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus asa.

(c)     Kita perlulah gigih berusaha untuk melaksanakan sesuatu tugas agar kejayaan dapat kita kecapi akhirnya.

(d)    Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi.

(e)    Kita hendaklah bijaksana semasa merancang serta menjalankan tugas dengan baiknya dan sempurna.

Share:

Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga)

Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga)



Maksud Rangkap

 

Rangkap 1

Sekiranya kita dapat menjaga penglihatan dengan baiknya, keinginan terhadap sesuatu perkara yang merosakkannya dapat kita hindari.

 

Rangkap 2

Sekiranya kita menjaga pendengaran dengan baiknya, sebarang berita yang tidak baik dapat kita tangkis.

 

Rangkap 3

Sekiranya kita menjaga tutur kata dengan baiknya, banyak manfaat yang akan kita peroleh.

 

Rangkap 4

Perbuatan kita yang melibatkan anggota tangan perlu dijaga agar kita tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan merosakkan iman.

 

Rangkap 5

Sekiranya kita tidak dapat mengawal nafsu makan, berbagai-bagai perkara buruk dan memudaratkan akan berlaku.

 

Rangkap 6

Hati dan nafsu syahwat perlu bijak dikawal kerana sering menyebabkan orang hilang pertimbangan.

 

Rangkap 7

Pergerakan kaki kita perlu dijaga agar kita tidak pergi ke tempat-tempat yang tidak baik.

 

Tema

Gurindam ini bertemakan kepentingan memelihara anggota diri dan budi pekerti.

 

Persoalan

(a)    Kepentingan menjaga pancaindera yang melibatkan penglihatan, pendengaran, dan pertuturan dalam kehidupan sehari-hari.

(b)    Kepentingan mengawal nafsu makan dan nafsu syahwat.

(c)     Kepentingan mengawal anggota badan terutama tangan dan kaki.

 

Bentuk Gurindam

(a)    Terdiri daripada tujuh rangkap.

(b)    Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.

(c)     Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama, iaitu antara dua hingga tujuh patah perkataan dalam sebaris.

(d)    Terdiri daripada lapan hingga lima belas suku kata sebaris.

(e)    Rima akhir gurindam ini ialah aa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata yang indah. Contohnya,

Apabila terpelihara kuping,

Khabar yang jahat tiadalah damping.

(b)    Penggunaan inversi. Contohnya,

Nescaya dapat daripadanya faedah.

Ayat sepatutnya: Nescaya dapat faedah daripadanya.

(c)     Penggunaan bahasa kiasan. Contohnya,

Apabila perut terlalu penuh,

Keluarlah fiil yang tidak senonoh.

(d)    Penggunaan kata ganda. Contohnya, cita-cita, Bersungguh-sungguh.

(e)    Penggunaan bahasa Arab. Contohnya, fiil.

(f)      Asonansi (perulangan bunyi vokal a).  Contohnya,

Daripada segala berat dan ringan.

(g)    Aliterasi (perulangan bunyi konsonan d). Contohnya,

Nescaya dapat daripadanya faedah.

 

Nilai

(a)    Rasional.

(b)    Hemah tinggi.

(c)     Kebijaksanaan.

(d)    Kesederhanaan.

(e)    Kebersihan fizikal dan mental.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bijak menggunakan anggota pancaindera untuk melakukan kebaikan dan perkara-perkara yang positif.

(b)    Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik.

(c)     Kita hendaklah tidak terlalu menurut kehendak nafsu dan hati yang berkemungkinan mendorong kita untuk melakukan perkara yang buruk.

(d)    Kita haruslah bijak mengawal anggota tubuh badan agar terhindar daripada perkara yang tidak baik.

Share:

Syair Bidasari

Syair Bidasari



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Penyair mengajak pembaca untuk mendengar kisah seorang raja yang memerintah di Negeri Kembayat. Kisah itu ditulis oleh seorang fakir untuk dijadikan teladan dan dibuat perbandingan.

 

Rangkap 2

Di Negeri Kembayat, terdapat seorang raja yang masyhur dan bijaksana. Baginda juga merupakan seorang raja yang elok pekerti dan melayani para pedagang yang datang mendalami pengajian dalam bidang agama Islam di negerinya itu dengan adil.

 

Rangkap 3

Diceritakan juga bahawa raja tersebut sangat berkuasa pada masa itu. Baginda memerintah negara dalam suasana yang aman tanpa sedikit pun menghadapi kesukaran. Namun begitu, mereka tidak dapat menjangkakan ketentuan yang akan berlaku pada masa yang mendatang.

 

Rangkap 4

Raja yang bijaksana tersebut telah berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, permaisuri baginda telah hamil.

 

Rangkap 5

Sepanjang raja memerintah Negeri Kembayat dengan suasana yang aman damai dan gembira, akhirnya pada suatu hari, Negeri Kembayat dikejutkan dengan berita sedih apabila baginda terpaksa meninggalkan kerajaannya.

 

Rangkap 6

Dikisahkan pada suatu hari yang lain, Negeri Kembayat telah diserang oleh burung garuda yang ganas dan kuat yang terbang turun dari angkasa. Serangan ini telah banyak mendatangkan kemusnahan di Negeri Kembayat.

 

Rangkap 7

Digambarkan kisah burung garuda menyerang Negeri Kembayat dengan suaranya yang kuat bergema hingga menggemparkan rakyat dan menyebabkan negeri itu menjadi huru-hara. Rakyat jelata lari lintang-pukang menyelamatkan diri masing-masing.

 

Rangkap 8

Di istana, rakyat jelata datang untuk menghadap raja yang sedang bermesyuarat. Apabila mendengarkan keadaan di luar istana sangat bising dan gegak-gempita, baginda yang cemas dan prihatin itu berasa hairan apabila melihatkan situasi tersebut dan menanyakan rakyatnya sebab keadaan itu berlaku.

 

Tema

Tema syair ini ialah cabaran yang dihadapi oleh seorang raja sewaktu mentadbirkan negara.

 

Persoalan

(a)    Kebijaksanaan memimpin sebuah kerajaan.

(b)    Tanggungjawab seorang pemimpin.

(c)     Kasih sayang terhadap anggota keluarga.

(d)    Keadilan dan kesaksamaan.

(e)    Jangka hayat dan soal kematian di tangan Tuhan.

(f)      Musibah yang tidak boleh diramal.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Syair ini berbentuk terikat/tidak bebas.

(b)    Terdiri daripada lapan rangkap.

(c)     Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu empat baris serangkap.

(d)    Semua baris dalam setiap rangkap adalah maksud.

(e)    Bilangan katanya antara tiga hingga lima patah perkataan.

(f)      Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.

(g)    Rima akhir syair ini ialah aaaa kecuali rima akhir rangkap ketiga syair ialah aaba.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata atau diksi yang indah. Contohnya, Dengarlah tuan suatu riwayat.

(b)    Repetisi. Contohnya, Beberapa bulan beberapa hari (rangkap 4, baris 3).

(c)     Hiperbola. Contohnya, Datanglah menyambar suaranya bahana (rangkap 7, baris 1).

(d)    Simile. Contohnya, Mendengar gempar seperti perang (rangkap 8, baris 2).

(e)    Inversi. Contohnya, Dengarkan tuan suatu riwayat (rangkap 1, baris 1).

(f)      Bahasa istana. Contohnya, baginda; bertitah; permaisuri; takhta.

(g)    Kata arkaik. Contohnya, akas; ngadil; halifah; gurda.

(h)    Asonansi. (perulangan bunyi vokal u) Contohnya, Baginda duduk bersuka-sukaan.

(i)      Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s) Contohnya, Seri sultan raja bestari.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Kebijaksanaan.

(c)     Kasih sayang.

(d)    Ketaatan.

(e)    Keadilan.

 

Pengajaran

(a)    Sebagai pemimpin, kita hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dengan amanah.

(b)    Kita perlulah bijaksana semasa merangka, menyusun, dan membuat segala perancangan tugas supaya tugasan itu terhasil dengan baik dan sempurna.

(c)     Kita haruslah memupuk sifat kasih yang mendalam terhadap anggota  keluarga untuk mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

(d)    Kita mestilah taat dan patuh akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian organisasi.

(e)    Sebagai pemimpin, kita hendaklah melayani setiap orang dengan adil dan saksama tanpa membeza-bezakan darjat atau kedudukan seseorang.

(f)      Kita haruslah bersedia pada setiap masa untuk menghadapi sebarang ancaman musuh atau malapetaka yang tidak dijangka.

Share:

Popular Posts

Pages