Sabtu, 4 Jun 2022

Kupasan Novel - Justeru Impian di Jaring (Zaid Akhtar)

 

Justeru Impian di Jaring (Zaid Akhtar)

Edisi: Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.

 

Sinopsis Justeru Impian di Jaring 

Novel Justeru Impian di Jaring mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain badminton skuad kebangsaan bernama Syahir. Dia merupakan pemain yang bercita-cita tinggi dan dapat mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Namun, dia menghadapi rintangan untuk merealisasikan matlamatnya itu apabila pihak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) telah membuat keputusan mengejut, iaitu semua pemain perlu menyertai Kejohanan Terbuka Johor sebelum layak mewakili negara ke Jakarta. Hal ini bertentangan dengan peraturan sedia ada sebelum ini, iaitu pemain yang mewakili negara akan ditentukan berdasarkan ranking dunia. Oleh itu, para pemain akan bersaing sesama sendiri bagi melayakkan diri ke Jakarta nanti. Keputusan pihak PBSM ini bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam laporan akhbar perdana pada minggu lepas. Beliau tidak mahu peristiwa di Birmingham dan di Tokyo berulang sekali lagi.

 

Haji Marzuki dan Mas Suparman adalah antara jurulatih yang banyak terlibat dalam melatih para pemain skuad kebangsaan. Haji Marzuki banyak memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh Syahir. Jurulatih ini telah banyak memberikan kata-kata perangsang kepada Syahir agar dia terus bersemangat untuk berlatih dan berjaya mewakili negara. Walaupun Haji Marzuki tidak bersetuju dengan keputusan pihak PBSM yang mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi dia masih yakin para pemainnya seperti Syahir, Bernard, Gopinath, Kam Heng, dan Wan Najlan dapat menerima hakikat tersebut dengan tenang, rasional, dan tidak mengambil keputusan yang terburu-buru.

 

Syed Amiri merupakan rakan Syahir dalam skuad kebangsaan yang sering menyindir Syahir dengan gelaran ‘ustaz selebriti’. Panggilan itu kurang disenangi oleh Syahir tetapi dia tetap tabah menerima hakikat tersebut. Pada masa yang sama, Syed Amiri sering memandang rendah terhadap keupayaan Syahir untuk melayakkan diri ke Jakarta. Mujurlah Haji Marzuki selalu menenangkan Syahir agar sentiasa berpandangan positif kerana dia yakin Syahir memiliki kelebihan yang jarang-jarang dimiliki oleh pemain lain.

 

Tindakan Engku Aiman mengungkit kekalahannya kepada pemain China suatu masa dahulu di hadapan teman-teman selatihan dan pengurus pasukan negara, Dr. Asyraf terang-terangan menzahirkan sikapnya yang sebenar terhadap Syahir. Engku Aiman kerap memuji Syed Amiri yang disifatkan paling meningkat kebelakangan itu berbanding dengan pemain-pemain lain. Semasa pulang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, Syahir sempat menemani emaknya ke pasar malam untuk membeli juadah berbuka puasa. Pada malam itu, keadaan menjadi cemas apabila Syahir mendapati emaknya terbaring lemah dalam keadaan masih bertelekung di atas katil.

 

Pemergian Syahir ke Johor penuh dengan cabaran. Dia sentiasa terfikir akan kesihatan emaknya, namun mujur ada Kak Uda yang memberikan jaminan bahawa emaknya cuma lemah sedikit dan tidak perlu dirisaukan. Haji Marzuki pula tidak dapat bersama-sama pergi ke Johor kerana belum pulih daripada demam selesema. Pada masa itu juga Syahir telah dikejutkan dengan tersiarnya gambar dia bersama-sama dengan Ratna yang dikatakan ada hubungan istimewa dengannya. Syahir terkejut kerana pada masa itu, mereka bergambar beramai-ramai dan bukannya berdua.

 

Pada peringkat suku akhir, Syahir telah bertemu dengan Syed Amiri. Pada masa itu, dia mendapat tentangan yang cukup hebat daripada Syed Amiri di samping sorakan penyokong Syed Amiri yang hebat kerana Syed Amiri ialah pemain dari negeri itu. Dalam perlawanan itu, beberapa keputusan pengadil perlawanan lebih berpihak kepada Syed Amiri menyebabkan Syahir berasa tertekan dan tidak boleh mengawal permainannya. Akhirnya, Syahir tewas di tangan Syed Amiri dan dia gagal mewakili negara ke Jakarta.

 

Syahir dibenarkan pulang ke rumah. Emaknya meminta dia menemaninya untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah di Seremban. Semasa di Seremban, Haji Marzuki menelefon Syahir lalu mengatakan bahawa Gopinath terlibat dalam kemalangan dan mengarahkan Syahir segera kembali ke kem latihan. Syahir dipilih untuk menggantikan Gopinath untuk bersaing di Jakarta. Syed Amiri menyindir Syahir dengan mengatakan bahawa Syahir perlu sujud syukur kerana dapat mewakili negara.

 

Sebelum pergi ke Jakarta, sekali lagi Syahir berhadapan dengan dugaan apabila, dia telah menerima berita tentang emaknya yang terlantar di hospital kerana menghidap strok. Hatinya berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan hasrat ke Jakarta ataupun menjaga emaknya yang sakit. Pada masa yang sama, sakit pada bahagian perutnya semakin kerap terasa. Syahir melakukan solat hajat dan solat istikharah agar diberi petunjuk dalam membuat keputusan pada detik-detik getir itu. Kak Uda memberitahu bahawa emaknya sudah beransur pulih dan menasihatinya agar pergi ke Jakarta.

Sebelum berangkat, Syahir sempat singgah di hospital untuk menjenguk emaknya.

 

Di Jakarta, Syahir dapat mengharungi cabaran pada peringkat awal apabila berjaya mengalahkan pemain dari Korea Selatan, iaitu Kim Joo Hyun. Seterusnya, dia menewaskan pemain muda dari China, Xiang Yimou. Menjelang tengah hari semua pemain diwajibkan menjalani ujian air kencing yang diadakan secara tiba-tiba. Pada peringkat ketiga, Syahir juga berjaya menundukkan Eddy Heryanto, pilihan ketiga belas yang juga pemain tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya mara ke peringkat akhir setelah berjaya menumpaskan pemain dari China. Syed Amiri yang dicanangkan sebagai juara itu telah kecundang pada peringkat separuh akhir.

 

Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila Syahir berjaya melangkah ke peringkat akhir dan dijadualkan bertemu dengan pemain tuan rumah, iaitu Andri Mirnawan. Haji Marzuki dan Mas Suparman mempunyai perancangan tersendiri kerana mengakui memang sukar untuk menumpaskan pemain tuan rumah tersebut. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan Andri Mirnawan. Semasa majlis penyampaian hadiah, Syahir hampir rebah lalu dikejarkan ke hospital. Dia telah disahkan menghidap radang apendiks dan dibedah di sana. Setelah pulang ke Malaysia, Syahir ke hospital untuk menemui emaknya. Kini, dia telah bergelar juara dunia dan berazam untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.

 

Inti Pati Bab

Prolog

– Syahir telah diminta untuk mendokumentasikan cerita dirinya.

– Mungkin ada yang menganggap cerita ini adalah angan-angan, tetapi bagi dirinya cerita itu adalah impiannya sebagai manusia biasa yang mahu menjadi orang yang ternama.

– Syahir berdoa kepada Tuhan agar diberi petunjuk dan catatan itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar dokumentasi.

– Syahir sedar setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan setiap ujian yang menghalang ada nikmat yang menanti di hujung destinasi.

 

Bab 1: Ranjau Masih Berliku

– Syahir berada di luar dewan dan sedang ditemu ramah oleh rakan baiknya yang juga seorang wartawan, iaitu Azmie.

– Syahir mengharapkan agar kawannya itu tidak menulis sesuatu yang bukan-bukan. Syahir berasa amat risau kerana seboleh-bolehnya masalah yang sedia ada tidak bertambah dan berlarutan.

– Setelah ditemu ramah, Syahir masuk ke dalam dewan dan terpandang tiga orang lelaki yang berdiri di tepi gelanggang di tengah-tengah dewan sambil dikelilingi oleh sepuluh orang yang lain.

– Syahir bertanya kepada Boon Lee mengenai perjumpaan itu namun tidak dijawab, sebaliknya Boon Lee bertanya sebab dia lewat masuk.

– Boon Lee menjelaskan bahawa mereka terpaksa menyertai Kejohanan Terbuka Johor kerana prestasi pemain bukannya diukur dari segi ranking dunia tetapi dari segi prestasi semasa dan itu adalah kehendak pihak atasan PBSM.

– Keputusan itu sama sekali bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam akhbar perdana pada minggu lepas.

– Alasan Engku Imran berbuat demikian adalah kerana bimbang peristiwa yang berlaku di Birmingham dan Tokyo berulang sekali lagi.

– Syahir tidak bersetuju dan berasa kecewa dengan keputusan itu yang dianggapnya sebagai pilih kasih. Dia terpaksa bersaing dengan teman-teman senegaranya sebelum menyertai kejohanan di Jakarta.

– Engku Aiman menyindir Syahir yang dikatakan seperti artis sehingga ramai wartawan mencarinya sambil menyindirnya bahawa ranking dunia tidak menjamin prestasi semasa seperti yang terjadi di kejohanan Piala Liga dan Piala Antarabangsa dahulu.

– Kata-kata itu amat menyakiti hati Syahir. Syahir akur lalu memohon diri sambil sempat melihat senyuman sinis daripada bibir Syed Amiri.

 

Bab 2: Tidak Seindah Mimpi

– Kak Uda Syahrizah bertanya tentang keberangkatan Syahir ke Jakarta kerana dia ada terbaca bahawa nama adiknya itu ada tersenarai sebagai pemain yang terpilih ke kejohanan dunia.

– Namun, Syahir menerangkan bahawa ada perubahan drastik, iaitu dia mesti memenangi kejohanan Terbuka Johor pada hujung minggu depan sebelum terpilih ke Jakarta.

– Syahir pernah menolak tawaran menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia dan memilih untuk melanjutkan pengajian di UPM kerana lebih dekat dengan pusat latihan. Emak Syahir bertanya mengenai pengajian Syahir di UPM yang tertunda.

– Emak Syahir mengingatkan dia agar sentiasa mengutamakan kejayaan dalam pelajaran di samping bidang sukan yang diceburinya. Syahir berjanji akan mengharumkan nama negara dan itulah janjinya kepada arwah ayahnya.

– Syahir menatap potret keluarganya sambil mengimbas kembali kemarahan ayahnya apabila dia menjadi johan negeri kategori perseorangan bawah lima belas tahun ketika di tingkatan tiga.

– Ayahnya telah mematahkan raket dan menghempas piala kemenangannya kerana mahu mengendurkan semangatnya. Namun, keputusan PMR Syahir yang cemerlang telah memadamkan kemarahan ayahnya.

– Setahun kemudian, dia telah menjuarai kategori perseorangan bawah lapan belas tahun sekali gus bergelar juara remaja kebangsaan.

– Dia pernah menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh di utara semata-mata kerana mahu kekal di sekolah lama untuk mengasah bakat dan kemahirannya di bawah bimbingan Cikgu Kamaludin.

– Ketika ayahnya menjalani rawatan kemoterapi untuk melawan barah prostat tahap tiga, ayahnya telah merestui impiannya dan berpesan supaya Syahir memberikan sumbangan kepada bangsa dan agama serta memelihara syariat agama semasa bersukan.

 

Bab 3: Aku Bukan Ustaz

– Haji Marzuki dan Mas Suparman sedang melatih Bernard dan Kam Heng. Haji Marzuki bertanya kepada Syahir tentang persediaannya ke Kejohanan Terbuka Johor.

– Syahir amat tidak berpuas hati kerana menganggap tidak ada gunanya mata yang dikutip dalam kejohanan-kejohanan terbuka antarabangsa jika ranking dunia BWF masih tidak digunakan untuk menentukan wakil negara ke kejohanan di Jakarta.

– Haji Marzuki bersetuju dengan pendapat Syahir kerana itu adalah kelemahan pihak atasan. Hal ini demikian kerana jika mengikut ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa, Syahir, Kam Heng, dan Bernard sudah layak bertanding secara automatik. Namun keputusan PBSM telah menyebabkan mereka terpaksa bersaing antara satu dengan yang lain.

– Haji Marzuki menasihati Syahir agar bertenang, bersikap rasional, dan tidak mengambil keputusan dengan terburu-buru.

– Syahir dan Wan Najhan singgah di Restoran 48 Jam. Mereka dikejutkan dengan kehadiran Wan Najlah yang datang untuk membeli nasi ayam.

– Wan Najlah telah mengusik Syahir dengan meminta autografnya kerana nama dan wajah Syahir tersiar dalam Mingguan Riadah dengan tajuk “Ustaz Syahir Tetap akan Pertahan Syariat dalam Bersukan”.

 

Bab 4: Meneka Resah di Wajahmu

– Syahir membelek-belek Mingguan Riadah yang memaparkan cerita tentang dirinya. Dalam wawancara itu, Syahir mengimbas kembali sahsiahnya yang memakai seluar ketat panjang yang menutup aurat.

– Syahir pernah mencetuskan kontroversi apabila membawa imej soleh. Dalam wawancara itu juga, Syahir mahu bergelar juara dunia dan memenangi pingat emas dalam Sukan Antara Benua. Dia juga digelar ‘ustaz’ kerana penampilannya.

– Namun begitu, bagi Syahir itu adalah amanat arwah ayahnya agar menjunjung syariat agama. Ada yang menganggapnya ‘kepala batu dari hulu’ tetapi diabaikannya.

– Wan Najlah juga pernah mengajukan persoalan yang sama tetapi dia tidak kisah asalkan dapat melaksanakan perintah Islam.

– Perasaan bersalah terhadap Wan Najlah menggamitnya untuk menelefon gadis itu tetapi niatnya terbantut apabila melihat jam sudah menghampiri tengah malam.

 

Bab 5: Aku Bukan Selebriti

– Syahir digelar oleh Syed Amiri sebagai ‘ustaz selebriti’. Panggilan ini tidak disukai oleh Syahir. Syahir cuba untuk membetulkan tanggapan tersebut.

– Pada masa yang sama, Syahir telah disindir oleh Syed Amiri tentang kelayakannya untuk menyertai kejohanan di Jakarta.

– Haji Marzuki memberitahu bahawa ada berita kurang baik, iaitu berdasarkan undian kejohanan nanti, Syahir akan bertemu dengan rakan sepasukannya, iaitu Syed Amiri.

– Berita itu telah menggusarkan hati Syahir kerana mereka pernah bertemu dan sudah memahami corak permainan masing-masing.

– Haji Marzuki mententeramkan Syahir. Tambahan pula dia berasa yakin bahawa Syahir dan Bernard akan ke Jakarta.

– Syahir memiliki beberapa kelebihan yang dicemburui oleh kawan dan lawannya, iaitu pukulan pancung yang dikatakan hampir menyerupai teknik legenda badminton negara.

– Syahir mengimbas kembali semasa dia mula bermain badminton di bawah bimbingan Cikgu Suhaimi dan seterusnya Cikgu Kamaludin. Dia pernah digandingkan dengan Syed Amiri tetapi tidak serasi.

– Prestasi Syahir lebih baik sehingga terpilih menyertai skuad kebangsaan, mungkin sebab itulah Syed Amiri sering menyakiti hatinya.

– Walau bagaimanapun, Syahir amat menghormati Syed Amiri kerana baginya sukan dapat merapatkan ukhuwah dan membajakan semangat perpaduan.

 

Bab 6: Seindah Akhlak Semanis Senyuman

– Syahir, Wan Najhan, dan Nik Syahnizam sampai ke rumah hampir pukul 11:00 malam setelah selesai menjalani latihan.

– Syahir menerima panggilan telefon daripada Wan Najlah. Wan Najlah memberitahu tujuannya menelefon adalah untuk meminta maaf atas sikap emosionalnya tempoh hari dan mengakui bahawa kata-kata Syahir adalah benar.

– Wan Najlah berasa kagum akan Syahir dalam mempertahankan prinsip berpakaian menutup aurat ketika bermain.

– Dia meluahkan perasaan dan keinginannya untuk menjadi seperti Syahir tetapi dia berasa takut.

– Syahir memberikan dorongan kepada Wan Najlah dengan mengaitkan dengan pelari pecut wanita Bahrian yang memenangi pingat emas dalam acara 200 meter di Sukan Asia di Doha.

– Syahir mengharapkan agar Wan Najlah dapat menguatkan semangatnya untuk merealisasikan niatnya itu.

 

Bab 7: Hidayah Itu Milik Allah

– Syahir menunggang motosikal untuk pergi ke Taman Shamelin Perkasa di Cheras. Kehadirannya telah disambut oleh Azmie di perkarangan pejabatnya.

– Tindakan Azmie menggelarnya ustaz dalam akhbar menyebabkan Syahir berasa geram atas gurauan tersebut.

– Syahir mengimbas kembali peristiwa perkenalannya dengan Azmie semasa di Kejohanan Terbuka Kelantan.

– Syahir tinggal sebilik dengan Azmie. Sambil menunggu Azmie menyiapkan kerjanya, Syahir telah didatangi oleh empat orang gadis yang ingin bersalaman dengannya hingga menyebabkan Syahir berasa kurang selesa.

– Tiba-tiba Syahir menerima panggilan telefon daripada Wan Najhan yang mengatakan bahawa kem latihan pemain wanita menjadi gempar apabila Wan Najlah memakai tudung dan seluar trek panjang. Berita ini amat menggembirakan Syahir dan dia tidak menjangkakannya.

– Empat orang gadis tadi menghampiri Syahir dan meminta kebenaran untuk bergambar bersama-sama dengannya dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana musim lepas. Atas permintaan mereka, akhirnya Syahir bersetuju untuk bergambar beramai-ramai.

 

Bab 8: Jangan Ada Pilih Kasih

– Syahir cuba mengawal emosinya apabila Engku Aiman menyelar permainannya yang dikatakan tidak konsisten, kelam-kabut, dan mudah terikut-ikut rentak lawan.

– Syahir mengambil positif komentar itu walaupun selama ini dia mempunyai rekod yang cemerlang ketika berdepan dengan pasukan China kerana tiga daripada empat pemain utamanya pernah ditewaskan oleh Syahir.

– Engku Aiman telah mengungkit kekalahan Syahir kepada Han Xuanze dari China. Ketiadaan Haji Marzuki yang sakit telah memberi peluang kepada ketua jurulatih itu untuk mengutuk Syahir.

– Syed Amiri pula dipuji-puji sebagai pemain yang paling meningkat belakangan ini berbanding pemain-pemain lain.

– Sikap pilih kasih Engku Aiman itu telah menguatkan azam Syahir untuk membuktikan bahawa tindakan PBSM yang mewajibkan penyertaan pemain-pemain utama dalam kejohanan Terbuka Johor adalah satu kesilapan.

– Syahir pulang ke Bandar Baru Bangi kerana sesi latihan telah dibatalkan. Dia mahu meluangkan masa bersama-sama dengan emaknya pada petang dan malam itu.

– Selepas solat maghrib, Syahir tertidur di atas sofa di hadapan televisyen. Dia terjaga semula setelah hampir pukul 10:00 malam.

– Selepas solat isyak, Syahir mahu mengejutkan emaknya, tetapi dia mendapati emaknya terbaring dengan masih memakai telekung di atas katil. Hal ini menyebabkan Syahir berasa sangat cemas.

 

Bab 9: Hijrah Najlah

– Pemergian Syahir ke Johor Bharu direstui oleh emaknya walaupun dia berasa serba salah kerana terpaksa meninggalkan emaknya yang sedang sakit itu.

– Penyakit darah tinggi emaknya amat merisaukannya. Begitu juga tanpa kehadiran jurulatihnya, Haji Marzuki yang belum pulih daripada demam selesema.

– Dalam kejohanan Terbuka Johor, semua pemain skuad kebangsaan mendapat bye pada pusingan pertama.

– Syahir telah berjaya menewaskan Zainuz Zamani dari Pahang, Jaya Rangga dari Sarawak, dan layak ke peringkat suku akhir.

– Syed Amiri bermain dengan agak lincah, sangat agresif, dan bertenaga, tambahan pula dia bermain di hadapan penyokong-penyokongnya.

– Syahir sempat meninjau gelanggang paling kanan dan melihat Wan Najlah yang tampil bertudung sedang menentang pemain berbangsa Cina dalam kejohanan itu.

– Syahir bersyukur atas perubahan itu dan mengharapkan agar perubahan itu berkekalan.

– Dalam perjalanan pulang ke hotel, Dr. Asyraf telah memanggilnya. Dia mendapat tahu bahawa Syahir ada hubungan dengan artis terkenal sambil menunjukkan berita itu dalam tabloid hiburan yang terpampang gambar Syahir dan Ratna.

– Syahir amat terkejut dan kehairanan kerana mereka tidak pernah bergambar berdua tetapi berenam. Dr. Asyraf menasihati Syahir agar tidak mengabaikan karier sebagai pemain badminton.

 

Bab 10: Selamat Tinggal Jakarta

– Perlawanan antara Syahir dengan Syed Amiri berlanjutan sehingga ke set penentuan.

– Syahir menang tipis dalam set pertama namun tewas dalam set kedua.

– Syahir bertungkus-lumus untuk menundukkan Syed Amiri, namun keputusan pengadil perlawanan yang berat sebelah telah menjejaskan lagi tumpuannya dan akhirnya dia kecundang.

– Usai perlawanan, mereka berjabat tangan, namun Syed Amiri sengaja menyindirnya kerana tidak dapat bersama-sama menyertai kejohanan di Jakarta.

– Syahir reda dan memohon kepada Allah agar menguatkan dirinya daripada menyeranah pegawai-pegawai kejohanan yang bersekongkol untuk memenangkan Syed Amiri. Impian Syahir untuk pergi ke Jakarta telah musnah.

 

Bab 11: Tuhan, Berilah Aku Kekuatan

– Setelah pulang dari Johor, Syahir menjalani latihan seperti biasa meskipun dia tidak berjaya ke Jakarta.

– Wan Najlah yang menyaksikan kejohanan di Johor mengakui bahawa perlawanan tersebut berat sebelah, tetapi bagi Syahir itu adalah rezeki Syed Amiri.

– Gosip cinta antara Syahir dengan Ratna menyebabkan Wan Najlah seakan-akan cemburu walaupun Syahir sudah memberikan penjelasan.

– Haji Marzuki memberikan kata-kata semangat kepada Syahir agar tidak patah semangat dengan melupakan kekalahannya itu dan mengabaikan fitnah mengenai dirinya.

– Syahir berasa benci terhadap kebejatan birokrasi, politik dalaman yang sering mengganggu kemajuan sukan negara.

– Jelas sekali, selain gilakan nama dan pangkat, mereka kerap mengambil kesempatan atas kekayaan yang dimiliki oleh persatuan.

– Haji Marzuki amat mengharapkan agar Syahir tidak mengulangi kesilapannya yang tidak dapat mengawal kesabarannya hingga  hilang konsentrasi lalu terlepas set kedua.

– Perkara itulah yang menyebabkan dia terlepas peluang untuk beraksi dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

– Haji Marzuki memberikan keizinan kepada Syahir untuk bercuti selama beberapa hari dan pulang untuk menenangkan fikirannya.

– Syahir pulang ke Bandar Baru Bangi. Emaknya mengajaknya pergi ke rumah Mak Usu Sapiah yang baru empat bulan kematian suami.

– Syahir memandu ke Seremban. Dalam perjalanan, emaknya menyindir Syahir bahawa dia tidak mahu bermenantukan artis.

– Kak Uda pula mengusik Syahir dengan pemain badminton wanita yang bertudung, iaitu Wan Najlah.

– Syahir tertidur kerana terlalu penat memandu. Kak Uda mengejutkan Syahir apabila telefonnya berbunyi.

– Panggilan telefon daripada Haji Marzuki yang memberitahu bahawa Gopinath mengalami kemalangan amat mengejutkan Syahir.

 

Bab 12: Sabar Masih Bersisa

– Rancangan Syahir bersama-sama keluarganya untuk pergi ke Selatan dan kemudian singgah di rumah Mak Alang serta menziarahi pusara arwah datuk dan opah di Segamat terpaksa dibatalkan.

– Dia terpaksa balik semula ke Kuala Lumpur atas permintaan Haji Marzuki. Syahir sempat menziarahi Gopinath di Hospital Kuala Lumpur.

– Persoalan dalam fikiran Syahir terjawab apabila Haji Marzuki menerangkan bahawa dia berkeras dengan pihak atasan semata-mata mahu Syahir menggantikan tempat Gopinath.

– Berita itu sangat mengejutkan Syahir. Haji Marzuki amat berharap agar Syahir bermain dengan bersungguh-sungguh kerana dia telah berjanji kepada pihak PBSM, malah dia menyasarkan Syahir atau Bernard sekurang-kurangnya akan ke peringkat separuh akhir.

– Syahir meneruskan latihan dengan penuh semangat bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.

– Kehebatan Syed Amiri yang luar biasa semasa di kejohanan Terbuka Johor telah menyebabkan namanya disebut-sebut sebagai bintang yang bakal menyinar dalam kejohanan di Jakarta pada minggu depan.

– Engku Aiman masih dengan sikap yang sama, iaitu selalu mengungkit kekalahan mereka. Syahir juga tidak dapat melupakan peristiwa dia tewas di Tokyo. Dia telah dipersalahkan dan dihentam teruk selama berhari-hari kerana dikatakan sebagai punca kekalahan skuad negara.

– Setelah tamat latihan dan taklimat, Syed Amiri sempat menyindir Syahir agar membuat sujud syukur kerana berpeluang pergi ke Jakarta.

– Syahir cuba bertenang dan berdoa kepada Tuhan agar dikuatkan hatinya.

 

Bab 13: Panggilan Menjelang Dinihari

– Keputusan undian untuk kejohanan di Jakarta tidak menyebelahi Syahir berbanding dengan rakan-rakan sepasukannya yang lain.

– Dia terpaksa berhadapan dengan para pemain muda dari Korea Selatan, Indonesia, dan China yang tidak pernah ditentangnya sebelum ini.

– Haji Marzuki menasihatinya agar tidak memikirkan tentang undian tersebut. Haji Marzuki meyakinkan Syahir bahawa dia perlu bertenang dan yakin kerana setiap orang ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.

– Kekuatan Syahir ialah kemampuan untuk mempengaruhi lawannya mengikut rentaknya dan pukulan junam serta pancung yang sukar diatasi oleh pihak lawan. Manakala kelemahan Syahir pula ialah dia sering bermain mengikut emosi, cepat hilang sabar serta gagal mengawal emosi.

– Keyakinan dalam diri Syahir semakin bertambah dengan kata-kata semangat daripada Haji Marzuki.

– Pada masa yang sama, dia telah bertemu Dr. Haikal, iaitu kaunselor psikologi yang ditugaskan untuk meningkatkan psikologi pemain.

– Syahir mengambil angin malam di sekitar taman tasik untuk mencari ketenangan. Syahir duduk di sebuah bangku kosong berhampiran dengan tebing.

– Tiba-tiba telefonnya berdering. Dia menerima satu panggilan yang mengejutkan daripada Kak Uda yang mengatakan bahawa emaknya pitam di rumah Abang Long.

 

Bab 14: Istikharah Sebelum Keberangkatan

– Jam sudah menunjukkan pukul 3:00 pagi, namun Syahir masih belum membuat keputusan sama ada mahu pergi ke Jakarta atau tidak.

– Dia mengimbas kembali pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu dihadapinya sebelum dia layak ke Jakarta. Bermula dengan keputusan kontroversi pihak atasan, kesihatan emaknya yang membimbangkan, dan terpaksa menahan malu akibat fitnah wanita yang mencemarkan imej baiknya di akhbar.

– Abang Long seolah-olah tidak membenarkannya pergi kerana emaknya sedang sakit. Begitu juga dengan Kak Ngah.

– Tiba-tiba dia berasa sakit pada bahagian tengah perut, lantas dia merapatkan lututnya ke dada. Dia berasa seperti mahu putus asa.

– Rakan-rakannya berasa hairan apabila melihat Syahir masih belum bersiap. Mereka mengatakan bahawa mereka sudah banyak kali menghubungi Syahir tetapi tidak dijawab. Syahir mengatakan bahawa dia mahu ke hospital untuk melawat emaknya yang mengalami strok.

– Syahir berwuduk lalu menunaikan solat hajat dan solat istikharah. Dia juga berdoa agar emaknya dipanjangkan umur dan dikembalikan kesihatannya serta dia diberi pilihan yang tepat dalam membuat keputusan.

– Syahir menelefon Kak Uda. Kak Uda membenarkan Syahir pergi ke Jakarta dan mengatakan bahawa dia sudahpun mengambil cuti untuk menjaga emaknya.

– Berita itu amat menggembirakan hati Syahir. Syahir sempat menziarahi emaknya sebelum berangkat ke Jakarta.

– Dia meminta ampun serta restu daripada emaknya dan mengatakan bahawa pemergiannya adalah untuk mengharumkan nama negara dan bangsa.

– Walaupun emak Syahir tidak berdaya untuk menjawab, namun daripada kerlipan mata emaknya, Syahir yakin emaknya merestui.

 

Bab 15: Sehangat Jakarta

– Ini adalah kali keempat Syahir menjejakkan kaki di bumi Indonesia.

– Haji Marzuki membisikkan kata-kata semangat agar Syahir membawa pulang pingat emas dalam kejohanan itu.

– Berdasarkan undian yang dibuat oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa, Syahir diletakkan sebagai pilihan kedua belas, Kam Heng pilihan keenam, Bernard dan Syed Amiri masing-asing sebagai pilihan kesepuluh dan kedua puluh empat.

– Syahir berjaya menewaskan pemain muda dari Korea Selatan walaupun berasa agak gugup.

– Pada pusingan kedua, Syahir bertemu dengan pemain muda dari China, iaitu Xiang Yimou yang menggantikan Lee Kang kerana tercedera.

– Syahir telah berjaya melepasi pusingan ini. Ujian air kencing diadakan secara tiba-tiba pada waktu tengah hari.

– Haji Marzuki mengarahkan Syahir pulang ke hotel untuk berehat.

– Pada hari Khamis malam Jumaat, Syahir telah menentang Eddy Heryanto yang merupakan pilihan ketiga belas dalam kejohanan itu.

– Sorakan penyokong Indonesia menggamatkan keadaan. Ternyata perancangan Haji Marzuki menjadi lalu Syahir berjaya melepasi halangan itu.

– Teman-teman seperjuangan mengucapkan tahniah kepada Syahir termasuklah Syed Amiri dengan wajah yang kurang ceria. Syahir tidak pernah lupa untuk menelefon emaknya dan bertanyakan khabar.

– Dia berdoa kepada Tuhan agar emaknya pulih seperti sedia kala.

 

Bab 16: Sejarah Bakal Tercipta

– Syahir terkejut apabila mengetahui bahawa Syed Amiri telah kecundang pada peringkat separuh akhir.

– Syahir berjaya menundukkan Han Xuanze dan akhirnya berjaya melangkah ke peringkat akhir dan bertemu pula dengan Andri Mirnawan dari Indonesia.

– Selesai solat maghrib, Syahir menghubungi Kak Uda untuk mengetahui tahap kesihatan emaknya.

– Kak Uda mengharapkan agar Syahir tidak terlalu risau dan mendoakan kejayaan adiknya itu.

– Kak Uda memaklumkan bahawa emaknya sudah boleh menggerakkan tangan dan gembira apabila melihat gambar kemenangan Syahir pada peringkat separuh akhir.

– Perlawanan akhir perseorangan wanita berlangsung lebih dahulu dan lazimnya pemain-pemain China yang mendominasi kategori tersebut.

– Haji Marzuki mengatakan bahawa sebenarnya dia sudah berjanji akan meletakkan jawatan sebagai jurulatih kecuali jika Syahir menjuarai kejohanan antarabangsa itu.

– Syahir berasa terharu lalu berjanji akan bermain dengan bersungguh-sungguh dan berharapkan agar Haji Marzuki akan kekal menjadi jurulatihnya.

 

Bab 17: Tidak Pernah Menyerah

– Tepat pukul 8:20 malam waktu tempatan, Syahir turun ke gelanggang. Haji Marzuki sempat berpesan kepada Syahir agar dia terus berselawat untuk meredakan gemuruh. Syahir kagum akan Andri Mirnawan.

– Pada pukul 8:30 malam, perlawanan telah dimulakan. Sorakan penonton daripada penyokong Indonesia menjadikan suasana gegak-gempita.

– Pada mulanya Syahir gagal mencari rentak apabila ketinggalan dengan mata 8 –12. Haji Marzuki sempat memberitahunya agar Syahir menyerang di sebelah kiri Andri.

– Akhirnya, dia dapat memperlahankan tempo permainan. Taktik Haji Marzuki menjadi apabila Syahir berjaya menamatkan set pertama dengan kemenangan 21–16.

– Pada set kedua, penguasaan Syahir jelas kelihatan. Tekanan tiba-tiba dirasai apabila pengadil perlawanan menimbulkan kontroversi dan menjejaskan prestasi Syahir.

– Syahir agak goyah dan acap kali melakukan kesilapan dan konsentrasinya terjejas. Dia memandang Haji Marzuki di luar gelanggang. Dia faham akan isyarat itu yang mahu dia bersabar dan tidak menurut emosi.

– Syahir berzikir untuk menenangkan diri. Dia menjeling Haji Marzuki yang mengarahkannya yang bermain di jaring dan menggunakan teknik pukulan junam.

– Taktiknya menjadi sehinggalah berjaya mengikat kedudukan menjadi 19 –19. Syahir dapat mengutip mata yang terakhir apabila pukulan kilas Andri terkandas di jaring.

– Akhirnya, Syahir berjaya menumpaskan Andri Mirnawan. Syahir berlari lalu memeluk Haji Marzuki dan Mas Suparman yang kegirangan di tepi gelanggang. Teman-temannya juga meluru memeluk Syahir.

– Semasa majlis penyampaian hadiah berlangsung, Syahir mengalami kesakitan di bahagian bawah kanan abdomen lagi.

– Syahir hilang suara dan daya imbangan, mujurlah Andri Mirnawan sempat menahan tubuhnya yang hampir rebah.

 

Epilog

– Sebelum pulang ke Malaysia, Syahir dibedah di Jakarta dan terlantar di hospital selama beberapa hari.

– Dia didapati menghidap apendisitis atau radang apendiks. Sebelum ini, dia memang sudah mengalami kesakitan tetapi sengaja dirahsiakan kerana mahu memburu impian untuk meraih gelaran juara dalam sukan badminton.

– Syahir pulang dengan kejayaan, iaitu daripada seorang pemain biasa, kini bergelar juara dunia.

– Syahir pergi ke hospital dan melihat Kak Uda, Kak Ngah, dan Abang Long sudah menanti. Syahir memeluk emaknya.

– Medal emas yang dimenanginya diserahkan ke jemari emak yang masih lemah. Ahli keluarganya berasa bangga akan kejayaan Syahir. Selepas itu, Syahir berazam untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.

 

Tema

Ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi segala dugaan dan rintangan sebelum bergelar juara dunia.

 

Persoalan

(a)    Ketaatan terhadap pesanan yang telah diamanahkan.

(b)    Keberanian untuk menyatakan pendapat.

(c)     Sikap pilih kasih dalam sesuatu tindakan.

(d)    Perasaan simpati terhadap nasib orang lain.

(e)    Sikap memandang rendah terhadap keupayaan orang lain.

(f)      Kasih sayang seorang anak terhadap ibu.

(g)    Kesabaran dalam mengharungi cabaran ketika menjalankan tugas.

 

Watak dan Perwatakan

 

Syahir

(a)    Pemain badminton skuad kebangsaan.

(b)    Anak bongsu daripada lima orang adik beradik.

(c)     Mahasiswa di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang.

(d)    Seorang yang tabah menghadapi dugaan hidup.

(e)    Seorang yang tetap pendirian.

(f)      Penyayang.

(g)    Penyabar.

(h)    Taat akan pesanan.

(i)      Menurut tunjuk ajar dan nasihat.

 

Kak Uda Syahrizah/Kak Uda

(a)    Kak Uda Syahrizah ialah kakak kepada Syahir.

(b)    Dia merupakan pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

(c)     Seorang yang penyayang.

(d)    Seorang yang memahami.

(e)    Seorang yang suka mengusik.

 

Haji Marzuki

(a)    Jurulatih perseorangan badminton skuad kebangsaan.

(b)    Berpandangan positif.

(c)     Pandai menyelami perasaan orang lain.

(d)    Berani mengambil keputusan.

(e)    Bertanggungjawab.

 

Syed Amiri

(a)    Pemain badminton skuad kebangsaan.

(b)    Seorang yang suka menyindir.

(c)     Seorang yang memandang rendah kebolehan orang lain.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Permulaan – Syahir merupakan salah seorang pemain badminton skuad kebangsaan. Dia ditemu ramah oleh rakan baiknya, iaitu Azmie. Perbualan antara mereka berdua gak lama hingga menyebabkan dia lewat masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh ketua jurulatih, iaitu Engku Aiman. Syahir diberitahu bahawa mereka terpaksa menyertai Kejohanan Terbuka Johor. Peraturan dan kehendak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) mewajibkan mereka menyertai kejohanan tersebut terlebih dahulu untuk menentukan sama ada mereka layak mewakili negara ke Jakarta atau tidak.

(b)    Perkembangan – Syahir sebagai seorang pemain badminton menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran sebelum layak ke Jakarta. Berita kurang menyenangkan daripada pihak PBSM telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemain, terutamanya Syahir. Hal ini demikian kerana, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Dalam peraturan baru itu, Engku Aiman mengatakan bahawa ranking dunia tidak akan menjamin prestasi semasa.

(c)     Perumitan/Konflik – Haji Marzuki dan Mas Suparman terpaksa akur dengan keputusan PBSM dan terus melatih pemain skuad kebangsaan, terutamanya Syahir dan Bernard yang dikatakan memiliki potensi dalam permainan. Syahir sering menjadi bahan sindiran dan ejekan oleh Syed Amiri dan Engku Aiman tidak menyukainya. Pada suatu hari, Syahir pergi ke pejabat rakan baiknya, Azmie di Taman Shamelin Perkasa. Di sana, dia didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana untuk bergambar bersama-sama. Pada mulanya dia menolak, tetapi Syahir terpaksa akur apabila diberi alasan untuk bergambar beramai-ramai. Kesan daripada peristiwa itu, Syahir digosipkan bercinta dengan Ratna apabila gambar mereka berdua tersiar dalam akhbar. Perjalanan Syahir untuk mewakili negara ke Jakarta semakin rumit apabila dia berhadapan dengan masalah emaknya yang sakit sebelum dia ke Johor. Semasa Kejohanan Terbuka Johor, Syahir telah ditewaskan oleh Syed Amiri menyebabkan harapannya untuk menyertai Kejohanan Dunia di Jakarta tidak kesampaian.

(d)    Klimaks – Syahir dikehendaki menggantikan Gopinath ke Jakarta kerana rakannya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun dia terpaksa menghadapi rintangan apabila diberitahu bahawa emaknya menghidap strok, Syahir tabah melangkahkan kaki ke Jakarta bagi memikul harapan jurulatih dan negara. Syahir yang berjaya ke peringkat akhir akan bertemu dengan Andri Mirnawan, iaitu wakil tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan wakil Indonesia itu walaupun menghadapi kesukaran seperti keputusan pengadil yang berat sebelah, sokongan padu daripada para penyokong Andri, dan kesakitan pada bahagian perut yang dialaminya.

(e)    Peleraian – Syahir hampir rebah semasa majlis penyampaian hadiah dan segera dikejarkan ke hospital. Syahir telah disahkan menghidap Apendisitis atau radang apendiks dan telah dibedah di Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Syahir amat bersyukur dan menganggap bahawa kemenangan itu adalah untuk bangsa, agama, dan negara. Sebaik-baik tiba di Malaysia, Syahir melawat emaknya di hospital dan menyerahkan pingat yang dimenanginya kepada emaknya. Azam Syahir yang seterusnya ialah mewakili negara ke Sukan Olimpik pula.

 

Teknik Plot

(a)    Dialog.

Contohnya, perbualan antara Syahir dengan Azmie. Syahir meminta rakan baiknya itu agar tidak menulis perkara yang tidak sepatutnya dalam Mingguan Riadah itu nanti.

(b)    Monolog.

Contohnya, Syahir bermonolog mempertikaikan kemenangan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor adalah kerana pengadil perlawanan turut bersekongkol untuk memberikan kemenangan kepada Syed Amiri.

(c)     Imbas Kembali.

Contohnya, emak telah mengingatkan semula tentang pesanan arwah ayah Syahir kepada Syahir.

(d)    Imbas muka.

Syahir berasa serba salah untuk meneruskan perjuangannya di Jakarta setelah mendapat berita bahawa emaknya diserang strok. Syahir mula membayangkan keadaan yang akan berlaku sekiranya emaknya meninggal dunia semasa dia berada di Jakarta.

(e)    Saspens.

Contohnya, semasa pertarungan antara Syahir dengan Syed Amiri, pembaca tertanya-tanya pemain yang akan memenangi perlawanan badminton tersebut. Hal ini demikian kerana pertarungan antara mereka sangat sengit, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang berat sebelah.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Bandar Baru Bangi.

(b)    Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang.

(c)     Gelanggang latihan badminton.

(d)    Restoran 48 jam.

(e)    Taman Shamelin Perkasa.

(f)      Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama.

 

Latar Masa

(a)    Waktu pagi.

(b)    Waktu malam.

(c)     8.30 pagi.

(d)    11.10 malam.

(e)    Selepas solat maghrib.

(f)      Selepas waktu asar.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang tabah mengharungi liku-liku kehidupan.

(b)    Masyarakat yang sentiasa ingat akan pesanan.

(c)     Masyarakat yang berani mengemukakan pendapat.

(d)    Masyarakat yang gigih berusaha.

(e)    Masyarakat yang bersikap pilih kasih.

(f)      Masyarakat yang sabar menghadapi dugaan.

 

Gaya Bahasa

(a)    Metafora.

Contohnya, Tidak semena-mena wajah arwah abah pula yang hadir di layar minda.

(b)    Peribahasa.

Contohnya, datang tidak bersambut, pulang biarlah berhantar; berpeluk tubuh; makan hati; kepala batu.

(c)     Simile.

Contohnya, “Kadang-kadang terasa macam bola, disepak dilambung ke sana ke mari.”

(d)    Sinkope.

Contohnya, “Saya tak sedap hati nak pergi, kak.”

(e)    Personifikasi.

Contohnya, Ada keresahan mengintai dalam nubari.

(f)      Hiperbola.

Contohnya, Peluang kini terbuka luas untuk saya mematikan bulu tangkis dengan smash tajam membunuh ke lantai kejat gelanggangnya.

 

Nilai

(a)    Kegigihan.

Contohnya, Syahir dan rakan-rakannya gigih berlatih untuk mengharungi kejohanan Terbuka Johor dan Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

(b)    Bertanggungjawab.

Contohnya, Haji Marzuki dan Mas Suparman telah melatih pemain badminton skuad kebangsaan dengan penuh tanggungjawab.

(c)     Keberanian.

Contohnya, tindakan Wan Najlah memakai tudung dan seluar panjang semasa berlatih di kem latihan wanita telah membuktikan bahawa dia berani melakukan perubahan untuk menutup aurat seperti yang pernah dikatakan kepada Syahir.

(d)    Kasih sayang.

Contohnya, Kak Uda sanggup menjaga emak yang menghidap strok dengan mengambil cuti.

(e)    Simpati.

Contohnya, Syahir bersimpati terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel.

(f)      Keyakinan.

Contohnya, Haji Marzuki telah berjanji kepada pihak PBSM bahawa dia akan meletakkan jawatan sebagai jurulatih sekiranya Syahir gagal menjuarai kejohanan dunia kerana dia yakin Syahir akan berjaya memenanginya.

(g)    Ketegasan.

Contohnya, Syahir tetap dengan pendiriannya untuk menutup aurat semasa bermain badminton walaupun sesetengah pihak tidak bersetuju pada mulanya dan ada yang melabelkan dia sebagai muslim yang konservatif serta ‘kepala batu dari hulu.’

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah mengingati pesanan yang baik yang disampaikan oleh seseorang.

Contohnya, Syahir sentiasa mengingati pesanan arwah ayahnya agar memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara serta memelihara syariat dalam bersukan.

(b)    Kita haruslah berani untuk menyatakan pendapat.

Contohnya, Syahir berani menyatakan pendapatnya bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan pihak PBSM yang tidak menggunakan ranking dunia dalam pemilihan pemain bagi kejohanan dunia di Jakarta. PBSM telah menukarkannya kepada prestasi semasa Kejohanan Terbuka Johor untuk pemilihan mewakili negara.

(c)     Kita mestilah berpendirian teguh dalam melakukan sesuatu.

Contohnya, Syahir tetap dengan pendiriannya untuk menutup aurat semasa bermain badminton walaupun sesetengah pihak tidak bersetuju pada mulanya dan ada yang melabelkan dia sebagai muslim yang konservatif serta ‘kepala batu dari hulu.’

(d)    Kita hendaklah berfikiran positif terhadap sesuatu perkara.

Contohnya, Syahir hanya tersenyum dan mengambil positif kritikan Engku Aiman yang mempertikaikan permainannya yang dikatakan agak lembap, kelam-kabut, dan mudah terikut-ikut rentak lawan. Engku Aiman menganggap Syahir tidak mampu melawan pemain dari China.

(e)    Kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap orang lain.

Contohnya, Engku Aiman dan Syed Amiri telah memandang rendah akan keupayaan Syahir untuk mara ke Kejohanan Badminton Kebangsaan di Jakarta.

(f)      Kita tidak seharusnya bersikap pilih kasih dalam kehidupan.

Contohnya, Engku Aiman menganggap Syed Amiri sebagai anak emas dan sentiasa memuji keupayaan pemain itu manakala pemain-pemain badminton yang lain dianggap tidak sehebat Syed Amiri, terutamanya Syahir.

 

 

 

 

Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages