Isnin, 10 Mei 2021

Isi Kandungan Antologi Tingkatan 4 - Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Share:

Aku Membaca Lagi (Razali Mohd. Yussof)

Aku Membaca Lagi (Razali Mohd. Yussof)



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Penyajak memandang ke langit. Penyajak berasa kerdil apabila melihat kebesaran Ilahi yang mencipta pelbagai fenomena alam.

 

Rangkap 2

Penyajak menelusuri alam yang terbentang dan menyaksikan gambaran berbagai-bagai fauna dan kejadian alam yang dicipta Ilahi untuk melengkapi hidup manusia.

 

Rangkap 3

Penyajak kembali memandang dan memahami langit. Penyajak mendapati masalah penggunaan bahasa Melayu banyak berlaku yang akhirnya semakin meruncing. Masalah penggunaan bahasa Melayu itu kini makin bertambah satu per satu.

 

Rangkap 4

Penyajak masih memahami kandungan di langit dan telah menyaksikan bulan dan bintang menangis kerana bersedih akan nasib bahasa Melayu yang dipinggirkan oleh bangsa peribumi sendiri.

 

Rangkap 5

Penyajak kembali mendongak ke langit. Kali ini, penyajak turut menyaksikan langit menangisi nasib bahasa Melayu yang kian tenat dan semakin dilupakan oleh anak bangsa.

 

Tema

Sajak ini bertemakan nasib bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan oleh anak bangsa.

 

Persoalan

(a)    Bahasa sebagai maruah bangsa.

(b)    Peranan bangsa untuk mendaulatkan bahasa.

(c)     Jati diri anak bangsa yang kian terancam.

(d)    Kesyukuran terhadap kebesaran Tuhan.

 

Bentuk Sajak

(a)    Berbentuk bebas atau tidak terikat.

(b)    Terdiri daripada lima rangkap.

(c)     Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (empat baris), rangkap ketiga (tujuh baris), rangkap keempat (empat baris), rangkap kelima (empat baris).

(d)    Bilangan katanya antara satu hingga enam patah perkataan.

(e)    Terdiri daripada empat hingga dua belas suku kata.

(f)      Rima akhir sajak ini bebas/tidak terikat; abcde, abcd, abcdedf, abcd, abcd.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(e)    Perlambangan. Contohnya, langit, pohon-pohon kayan, daun dan ranting, daun-daun.

(f)      Pemilihan kata atau diksi yang indah (puitis). Contohnya, desiran ombak dan wajah pelangi.

(g)    Repetisi. Contoh: helai demi helai (rangkap 3, baris 6).

(h)    Metafora. Contoh: wajah pelangi, lantai tanah airku.

(i)      Personifikasi. Contoh: dahan dan ranting terkulai.

(j)      Inversi. Contoh: menitis air mata langit.

(k)    Asonansi. (perulangan vokal u). Contohnya, kicauan burung.

(l)      Aliterasi. (perulangan konsonan b). Contohnya, bulan dan bintang menangis.

 

Nada

Sajak ini bernada melankolik.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Keberanian.

(c)     Kesyukuran.

(d)    Patriotik.

(e)    Kegigihan.

 

Pengajaran

(a)    Sebagai anak bangsa, kita hendaklah memikul tanggungjawab untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu yang semakin dilupakan.

(b)    Kita mestilah berani menghadapi berbagai-bagai cabaran untuk mempertahankan maruah bahasa Melayu daripada tercemar.

(c)     Kita perlulah bersyukur kepada Tuhan terhadap ciptaan pelbagai kejadian alam yang melengkapi kehidupan manusia.

(d)    Sebagai anak bangsa, kita perlulah menanamkan sifat jati diri yang kuat dalam diri masing-masing agar dapat menangkis segala bentuk ancaman yang berunsur negatif

Share:

Ahad, 9 Mei 2021

Sang Gembala Kuda (Mohd Hashim Othman)

Sang Gembala Kuda  (Mohd Hashim Othman) 



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambil menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.

 

Rangkap 2

Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.

 

Rangkap 3

Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan yang berlaku. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.

 

Rangkap 4

Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil tahu kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hanya mementingkan diri sendiri apabila kuda-kuda itu akan terus ditunggangi berulang-ulang kali tanpa rasa belas.

 

Tema

Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya.

 

Persoalan

(a)    Kekuasaan mempengaruhi gaya kepemimpinan.

(b)    Ketegasan untuk memimpin.

(c)     Penganiayaan terhadap haiwan.

(d)    Kepatuhan menurut perintah.

(e)    Keberanian menempuh cabaran dan rintangan.

(f)      Kebijaksanaan mengeksploitasi golongan yang lemah.

(g)    Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

(a)    Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.

(b)    Terdiri daripada empat rangkap.

(c)     Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (lima baris), rangkap ketiga (sebelas baris), rangkap keempat (lapan baris).

(d)    Jumlah patah perkataan antara tiga hingga enam patah perkataan sebaris.

(e)    Jumlah suku kata dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga lima belas suku kata.

(f)      Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama; abcdd, abcab, aabcccadecc, abaabacc.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata atau diksi yang indah (puitis). Contohnya,

rembat angkuhnya memacu takut.

(b)    Epifora. Contohnya,

perulangan kata ditunggangi (rangkap 4, baris 7 dan baris 8).

(c)     Repetisi. Contohnya,

ditunggangi dan ditunggangi (rangkap 4, baris 8).

(d)    Metafora. Contohnya, rimba perburuan, paya penindasan, cemeti durjana.

(e)    Personifikasi. Contohnya,

Rembat angkuhnya memacu takut,

Pacuannya diiring seribu keberanian.

(f)      Hiperbola. Contohnya,

Dimamah rakus kala lapar.

(g)    Sinkope. Contohnya, tak.

(h)    Imejan/Perlambangan. Contohnya, rumput, jerami, onak, lumpur.

(i)      Asonansi. (perulangan vokal i). Contohnya,

sesekali suaranya lebih gempita.

(j)      Aliterasi. (perulangan konsonan d). Contohnya,

ditunggangi dan ditunggangi!

 

Nada

Sajak ini bernada sinis.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Keberanian.

(c)     Kegigihan.

(d)    Kepatuhan.

(e)    Kebijaksanaan.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bertanggungjawab semasa melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua.

(b)    Kita mestilah berani untuk menghadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus asa.

(c)     Kita perlulah gigih berusaha untuk melaksanakan sesuatu tugas agar kejayaan dapat kita kecapi akhirnya.

(d)    Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi.

(e)    Kita hendaklah bijaksana semasa merancang serta menjalankan tugas dengan baiknya dan sempurna.

Share:

Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga)

Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga)



Maksud Rangkap

 

Rangkap 1

Sekiranya kita dapat menjaga penglihatan dengan baiknya, keinginan terhadap sesuatu perkara yang merosakkannya dapat kita hindari.

 

Rangkap 2

Sekiranya kita menjaga pendengaran dengan baiknya, sebarang berita yang tidak baik dapat kita tangkis.

 

Rangkap 3

Sekiranya kita menjaga tutur kata dengan baiknya, banyak manfaat yang akan kita peroleh.

 

Rangkap 4

Perbuatan kita yang melibatkan anggota tangan perlu dijaga agar kita tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan merosakkan iman.

 

Rangkap 5

Sekiranya kita tidak dapat mengawal nafsu makan, berbagai-bagai perkara buruk dan memudaratkan akan berlaku.

 

Rangkap 6

Hati dan nafsu syahwat perlu bijak dikawal kerana sering menyebabkan orang hilang pertimbangan.

 

Rangkap 7

Pergerakan kaki kita perlu dijaga agar kita tidak pergi ke tempat-tempat yang tidak baik.

 

Tema

Gurindam ini bertemakan kepentingan memelihara anggota diri dan budi pekerti.

 

Persoalan

(a)    Kepentingan menjaga pancaindera yang melibatkan penglihatan, pendengaran, dan pertuturan dalam kehidupan sehari-hari.

(b)    Kepentingan mengawal nafsu makan dan nafsu syahwat.

(c)     Kepentingan mengawal anggota badan terutama tangan dan kaki.

 

Bentuk Gurindam

(a)    Terdiri daripada tujuh rangkap.

(b)    Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.

(c)     Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama, iaitu antara dua hingga tujuh patah perkataan dalam sebaris.

(d)    Terdiri daripada lapan hingga lima belas suku kata sebaris.

(e)    Rima akhir gurindam ini ialah aa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata yang indah. Contohnya,

Apabila terpelihara kuping,

Khabar yang jahat tiadalah damping.

(b)    Penggunaan inversi. Contohnya,

Nescaya dapat daripadanya faedah.

Ayat sepatutnya: Nescaya dapat faedah daripadanya.

(c)     Penggunaan bahasa kiasan. Contohnya,

Apabila perut terlalu penuh,

Keluarlah fiil yang tidak senonoh.

(d)    Penggunaan kata ganda. Contohnya, cita-cita, Bersungguh-sungguh.

(e)    Penggunaan bahasa Arab. Contohnya, fiil.

(f)      Asonansi (perulangan bunyi vokal a).  Contohnya,

Daripada segala berat dan ringan.

(g)    Aliterasi (perulangan bunyi konsonan d). Contohnya,

Nescaya dapat daripadanya faedah.

 

Nilai

(a)    Rasional.

(b)    Hemah tinggi.

(c)     Kebijaksanaan.

(d)    Kesederhanaan.

(e)    Kebersihan fizikal dan mental.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bijak menggunakan anggota pancaindera untuk melakukan kebaikan dan perkara-perkara yang positif.

(b)    Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik.

(c)     Kita hendaklah tidak terlalu menurut kehendak nafsu dan hati yang berkemungkinan mendorong kita untuk melakukan perkara yang buruk.

(d)    Kita haruslah bijak mengawal anggota tubuh badan agar terhindar daripada perkara yang tidak baik.

Share:

Syair Bidasari

Syair Bidasari



Maksud Rangkap

Rangkap 1

Penyair mengajak pembaca untuk mendengar kisah seorang raja yang memerintah di Negeri Kembayat. Kisah itu ditulis oleh seorang fakir untuk dijadikan teladan dan dibuat perbandingan.

 

Rangkap 2

Di Negeri Kembayat, terdapat seorang raja yang masyhur dan bijaksana. Baginda juga merupakan seorang raja yang elok pekerti dan melayani para pedagang yang datang mendalami pengajian dalam bidang agama Islam di negerinya itu dengan adil.

 

Rangkap 3

Diceritakan juga bahawa raja tersebut sangat berkuasa pada masa itu. Baginda memerintah negara dalam suasana yang aman tanpa sedikit pun menghadapi kesukaran. Namun begitu, mereka tidak dapat menjangkakan ketentuan yang akan berlaku pada masa yang mendatang.

 

Rangkap 4

Raja yang bijaksana tersebut telah berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, permaisuri baginda telah hamil.

 

Rangkap 5

Sepanjang raja memerintah Negeri Kembayat dengan suasana yang aman damai dan gembira, akhirnya pada suatu hari, Negeri Kembayat dikejutkan dengan berita sedih apabila baginda terpaksa meninggalkan kerajaannya.

 

Rangkap 6

Dikisahkan pada suatu hari yang lain, Negeri Kembayat telah diserang oleh burung garuda yang ganas dan kuat yang terbang turun dari angkasa. Serangan ini telah banyak mendatangkan kemusnahan di Negeri Kembayat.

 

Rangkap 7

Digambarkan kisah burung garuda menyerang Negeri Kembayat dengan suaranya yang kuat bergema hingga menggemparkan rakyat dan menyebabkan negeri itu menjadi huru-hara. Rakyat jelata lari lintang-pukang menyelamatkan diri masing-masing.

 

Rangkap 8

Di istana, rakyat jelata datang untuk menghadap raja yang sedang bermesyuarat. Apabila mendengarkan keadaan di luar istana sangat bising dan gegak-gempita, baginda yang cemas dan prihatin itu berasa hairan apabila melihatkan situasi tersebut dan menanyakan rakyatnya sebab keadaan itu berlaku.

 

Tema

Tema syair ini ialah cabaran yang dihadapi oleh seorang raja sewaktu mentadbirkan negara.

 

Persoalan

(a)    Kebijaksanaan memimpin sebuah kerajaan.

(b)    Tanggungjawab seorang pemimpin.

(c)     Kasih sayang terhadap anggota keluarga.

(d)    Keadilan dan kesaksamaan.

(e)    Jangka hayat dan soal kematian di tangan Tuhan.

(f)      Musibah yang tidak boleh diramal.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Syair ini berbentuk terikat/tidak bebas.

(b)    Terdiri daripada lapan rangkap.

(c)     Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu empat baris serangkap.

(d)    Semua baris dalam setiap rangkap adalah maksud.

(e)    Bilangan katanya antara tiga hingga lima patah perkataan.

(f)      Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.

(g)    Rima akhir syair ini ialah aaaa kecuali rima akhir rangkap ketiga syair ialah aaba.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Pemilihan kata atau diksi yang indah. Contohnya, Dengarlah tuan suatu riwayat.

(b)    Repetisi. Contohnya, Beberapa bulan beberapa hari (rangkap 4, baris 3).

(c)     Hiperbola. Contohnya, Datanglah menyambar suaranya bahana (rangkap 7, baris 1).

(d)    Simile. Contohnya, Mendengar gempar seperti perang (rangkap 8, baris 2).

(e)    Inversi. Contohnya, Dengarkan tuan suatu riwayat (rangkap 1, baris 1).

(f)      Bahasa istana. Contohnya, baginda; bertitah; permaisuri; takhta.

(g)    Kata arkaik. Contohnya, akas; ngadil; halifah; gurda.

(h)    Asonansi. (perulangan bunyi vokal u) Contohnya, Baginda duduk bersuka-sukaan.

(i)      Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s) Contohnya, Seri sultan raja bestari.

 

Nilai

(a)    Tanggungjawab.

(b)    Kebijaksanaan.

(c)     Kasih sayang.

(d)    Ketaatan.

(e)    Keadilan.

 

Pengajaran

(a)    Sebagai pemimpin, kita hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dengan amanah.

(b)    Kita perlulah bijaksana semasa merangka, menyusun, dan membuat segala perancangan tugas supaya tugasan itu terhasil dengan baik dan sempurna.

(c)     Kita haruslah memupuk sifat kasih yang mendalam terhadap anggota  keluarga untuk mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

(d)    Kita mestilah taat dan patuh akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian organisasi.

(e)    Sebagai pemimpin, kita hendaklah melayani setiap orang dengan adil dan saksama tanpa membeza-bezakan darjat atau kedudukan seseorang.

(f)      Kita haruslah bersedia pada setiap masa untuk menghadapi sebarang ancaman musuh atau malapetaka yang tidak dijangka.

Share:

Ahad, 25 April 2021

Isi Kandungan Antologi Tingkatan 3 - Bintang Hati

 



Puisi Tradisional

·         SyairBurung Nuri

·         SelokaSantap Istiadat (Za’ba)

 

Sajak

·         Sajak Kijang yang Lelah (Wan Marzuki Wan Ramli)

·         SajakPesan Ibu Beribu-ribu (Rahman Shaari)

·         Sajak Senja di Palang Besi (Pena Alam)

·         SajakBintang (Siti Zaleha M. Hashim)

 

Prosa Tradisional

·         Bahagia Sesudah Derita

 

Cerpen

·         Legasi Tapai Ubi (Ghazali Lateh)

·         Sekeping Tanah (A. Rahman C.M.)

·         Bawod (Janathan Kandok)

 

Drama

·         Tenang-tenang Air di Tasik (Norhashimah Hashim)


Share:

Tenang-tenang Air di Tasik - Norhashimah Hashim

Kupasan Drama Tenang-tenang Air di Tasik (Norhashimah Hashim)

 


Sinopsis

Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar yang memberitahu ibunya tentang kerelaannya untuk melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana dia bimbang akan keselamatan anak tunggalnya itu. Menurut ibunya lagi, tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

                Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih kumpulan peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatannya sepanjang empat hari tiga malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar merupakan seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.

Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.  

Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.

Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut membantu untuk memudahkan

ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu berkayak dengan begitu baik.

Dalam perbualan antara Muzafar, Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi wajah dan perawakan.

Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan oleh anaknya, Muzafar.  Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

 

Tema

Sikap prejudis segelintir masyarakat terhadap golongan kelainan upaya.

 

Persoalan

(a)    Keberanian melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.

(b)    Kerjasama yang utuh dalam melakukan sesuatu aktiviti.

(c)     Kasih sayang pengikat hubungan kekeluargaan.

(d)    Kepentingan sikap bertoleransi dalam melaksanakan tugas.

(e)    Kegigihan dalam mempelajari ilmu baharu.

 

Watak dan Perwatakan

Muzafar

(a)    Anak tunggal dalam keluarga.

(b)    Dia mempunyai wajah dan perawakan yang seiras dengan Muzamir.

(c)     Bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya bekas seorang pegawai.

(d)    Bekerja di sebuah tempat peranginan yang bernama Permai Resort.

(e)    Amanah dan bertanggungjawab.

(f)      Rasional dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan.

(g)    Penyayang.

(h)    Gigih dalam melakukan sesuatu perkara.

 

Muzamir

(a)    Sebaya dan seiras dengan Muzafar dari segi wajah dan perawakan.

(b)    Berasal daripada sebuah keluarga yang kaya dan ternama di Kelantan tetapi ketika berusia tiga bulan, dia telah diserahkan kepada keluarga angkat di Johor disebabkan dia dilahirkan buta.

(c)     Gigih menjalani latihan berkayak.

(d)    Mengenang budi.

(e)    Tabah dengan kecacatan matanya yang buta itu.

 

Ibu Muzafar

(a)    Balu yang kematian suami.

(b)    Seorang yang pandai bergaya moden.

(c)     Mantan pegawai dan kini bergiat aktif dalam pertubuhan sukarela Jawatankuasa Kaum Ibu.

(d)    Seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh.

(e)    Penyayang.

(f)      Pandai menyimpan rahsia.

(g)    Bersifat pilih kasih dalam membesarkan anak-anak.

(h)    Mementingkan status dan maruah keluarga.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Pengenalan – Muzafar memberitahu ibunya berkaitan dengan tugasnya yang akan melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan untuk berkayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.

(b)    Perkembangan – Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat penglihatan dengan baik dan mesra. Mereka terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Keesokannya, Azizi dan Muzafar mula memberi tunjuk ajar dan melatih peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul. Azizi dan Muzafar dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul dan Haris.

(c)     Perumitan – Muzamir meluahkan rasa kecewanya terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya disebabkan dia merupakan orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan sangat gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka. Muzafar mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar pulang ke rumah setelah program selama empat hari tiga malam bersama-sama dengan Muzamir dan rakan-rakannya tamat.

(d)    Klimaks – Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai oleh para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan video yang ditayangkan itu.

(e)    Peleraian – Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang suatu perasaan lain yang dirasainya sewaktu dia membantu Muzamir apabila kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.

 

Teknik Plot

(a)    Pemerian.

(b)    Dialog.

(c)     Imbas kembali.

(d)    Imbas muka.

(e)    Monolog.

(f)      Kejutan.

(g)    Saspens.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah; Assalamualaikum.

(b)    Bahasa Inggeris. Contohnya; rafting; commando rescue; water confidence.

(c)     Metafora. Contohnya, lautan mimpi.

(d)    Sinkope. Contohnya, Habis tu, kenapa Zam tak dapat tidur?

(e)    Repetisi. Contohnya, Tidak … tidak … tidak.

(f)      Peribahasa. Contohnya, Tak ada beban, batu digalas; mati akal; ambil hati; sampai hati; jantung hati.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Rumah batu mewah.

(b)    Tasik Permai.

(c)     Pekarangan Permai Resort.

(d)    Studio, Permai Resort.

 

Latar Masa

(a)    Waktu pagi.

(b)    Waktu siang.

(c)     Waktu malam.

(d)    Empat hari tiga malam.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang mengamalkan sikap bertolak ansur dan bertoleransi dalam melaksanakan tugas.

(b)    Masyarakat penyayang terhadap ahli keluarganya.

(c)     Masyarakat yang berani melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.

(d)    Masyarakat yang bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan ekspedisi berkayak.

(e)    Masyarakat golongan berada dan ternama yang mementingkan kedudukan dan maruah keluarga.

(f)      Masyarakat golongan kelainan upaya yang gigih mempelajari ilmu baharu untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.

(g)    Masyarakat yang bertanggungjawab dalam memikul tugas.

(h)    Masyarakat yang berhemah tinggi.

 

Nilai

(a)    Kerjasama.

(b)    Baik hati.

(c)     Bertanggungjawab.

(d)    Berhemah tinggi.

(e)    Kasih sayang.

(f)      Keberanian.

(g)    Kegigihan.

(h)    Kesabaran.

(i)      Rasional.

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah bijak menyusun sesuatu aktiviti ketika memberi latihan kepada orang lain.

(b)    Kita mestilah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

(c)     Kita hendaklah gigih mempelajari ilmu baharu tanpa menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang.

(d)    Kita janganlah memandang rendah terhadap orang kelainan upaya.

(e)    Kita mestilah berpendirian tegas dalam membuat keputusan.

(f)      Kita perlulah menanamkan sifat sabar ketika membimbing orang kelainan upaya.

(g)    Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati.

(h)    Kita hendaklah berani mengambil keputusan untuk membuktikan keupayaan diri yang sebenar.

(i)      Kita mestilah mengamalkan sikap kerjasama dalam menjalankan aktiviti berpasukan.

Share:

Popular Posts

Pages