Kupasan Drama Tenang-tenang Air di Tasik (Norhashimah Hashim)
Sinopsis
Drama ini
dimulakan dengan tindakan Muzafar yang memberitahu ibunya tentang kerelaannya
untuk melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan
betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu
Muzafar tidak bersetuju dengan tindakannya kerana dia bimbang akan keselamatan
anak tunggalnya itu. Menurut ibunya lagi, tindakannya itu akan menambahkan
beban dan menyusahkannya kelak.
Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih kumpulan
peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti.
Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatannya sepanjang empat hari tiga
malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan apabila
Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan orang cacat
penglihatan sedangkan ibu Muzafar merupakan seorang wanita yang disegani
sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan
jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya
sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.
Para
pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang cacat
penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang
tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta
berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih
para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara memberi
serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa
orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.
Pada
malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan
mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan
Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini
demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang
rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran
itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan
keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan
gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran
mereka.
Seterusnya,
Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik
Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada
Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya
sepanjang ekspedisi tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris
dan Chee Keong yang turut membantu untuk memudahkan
ekspedisi berkayak merentasi
Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya
terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang
tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga
mereka mampu berkayak dengan begitu baik.
Dalam
perbualan antara Muzafar, Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah
sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di
Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia
tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek
mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi
menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi
wajah dan perawakan.
Muzafar
pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama
empat hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur
apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya
ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai
bersama-sama para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu Muzafar tergamam
apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir melalui tayangan
video yang ditayangkan oleh anaknya, Muzafar. Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak
mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik
Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal
apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas
dia mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi
tentang perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik.
Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan
sebelum Muzamir berangkat pulang.
Tema
Sikap prejudis segelintir masyarakat terhadap golongan
kelainan upaya.
Persoalan
(a) Keberanian
melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.
(b) Kerjasama
yang utuh dalam melakukan sesuatu aktiviti.
(c) Kasih
sayang pengikat hubungan kekeluargaan.
(d) Kepentingan
sikap bertoleransi dalam melaksanakan tugas.
(e) Kegigihan
dalam mempelajari ilmu baharu.
Watak dan Perwatakan
Muzafar
(a) Anak
tunggal dalam keluarga.
(b) Dia
mempunyai wajah dan perawakan yang seiras dengan Muzamir.
(c) Bapanya
sudah meninggal dunia manakala ibunya bekas seorang pegawai.
(d) Bekerja
di sebuah tempat peranginan yang bernama Permai Resort.
(e) Amanah
dan bertanggungjawab.
(f) Rasional
dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
(g) Penyayang.
(h) Gigih
dalam melakukan sesuatu perkara.
Muzamir
(a) Sebaya
dan seiras dengan Muzafar dari segi wajah dan perawakan.
(b) Berasal
daripada sebuah keluarga yang kaya dan ternama di Kelantan tetapi ketika
berusia tiga bulan, dia telah diserahkan kepada keluarga angkat di Johor
disebabkan dia dilahirkan buta.
(c) Gigih
menjalani latihan berkayak.
(d) Mengenang
budi.
(e) Tabah
dengan kecacatan matanya yang buta itu.
Ibu Muzafar
(a) Balu
yang kematian suami.
(b) Seorang
yang pandai bergaya moden.
(c) Mantan
pegawai dan kini bergiat aktif dalam pertubuhan sukarela Jawatankuasa Kaum Ibu.
(d) Seorang
wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran
terbuka, dan berpandangan jauh.
(e) Penyayang.
(f) Pandai
menyimpan rahsia.
(g) Bersifat
pilih kasih dalam membesarkan anak-anak.
(h) Mementingkan
status dan maruah keluarga.
Plot
Binaan Plot
(a) Pengenalan
– Muzafar memberitahu ibunya berkaitan dengan tugasnya yang akan melatih
sekumpulan peserta cacat penglihatan untuk berkayak dengan betul sebelum mereka
menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibu Muzafar tidak
bersetuju dengan tindakannya kerana tindakannya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya
kelak.
(b) Perkembangan
– Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta yang
cacat penglihatan dengan baik dan mesra. Mereka terdiri daripada 36 orang tetapi
enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Keesokannya, Azizi dan Muzafar
mula memberi tunjuk ajar dan melatih peserta tersebut tentang cara-cara
berkayak dengan betul. Azizi dan Muzafar dibantu oleh beberapa orang
sukarelawan seperti Nurul dan Haris.
(c) Perumitan
– Muzamir meluahkan rasa kecewanya terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang
memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya disebabkan dia merupakan orang
kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak
tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia
berasa bersyukur dan sangat gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan
itu bersedia menerima kehadiran mereka. Muzafar mengetahui kisah sedih Muzamir yang
berasal dari sebuah keluarga yang ternama dan kaya di Kelantan tetapi
diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika dia berusia tiga bulan
disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar pulang ke rumah setelah
program selama empat hari tiga malam bersama-sama dengan Muzamir dan
rakan-rakannya tamat.
(d) Klimaks
– Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak
merentasi Tasik Permai oleh para peserta yang cacat penglihatan tersebut. Ibu
Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir
melalui tayangan video yang ditayangkan itu.
(e) Peleraian
– Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video
peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi
akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang
seolah-olah menyimpan suatu rahsia dan selepas dia mengetahui latar belakang
Muzamir. Muzafar menceritakan kepada Azizi tentang suatu perasaan lain yang dirasainya
sewaktu dia membantu Muzamir apabila kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan
air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.
Teknik Plot
(a) Pemerian.
(b) Dialog.
(c) Imbas
kembali.
(d) Imbas
muka.
(e) Monolog.
(f) Kejutan.
(g) Saspens.
Gaya Bahasa
(a) Bahasa
Arab. Contohnya, Insya-Allah; Assalamualaikum.
(b) Bahasa
Inggeris. Contohnya; rafting; commando rescue; water
confidence.
(c) Metafora.
Contohnya, lautan mimpi.
(d) Sinkope.
Contohnya, Habis tu, kenapa Zam tak dapat tidur?
(e) Repetisi.
Contohnya, Tidak … tidak … tidak.
(f) Peribahasa.
Contohnya, Tak ada beban, batu digalas; mati akal; ambil hati; sampai hati;
jantung hati.
Latar
Latar Tempat
(a) Rumah
batu mewah.
(b) Tasik
Permai.
(c) Pekarangan
Permai Resort.
(d) Studio,
Permai Resort.
Latar Masa
(a) Waktu
pagi.
(b) Waktu
siang.
(c) Waktu
malam.
(d) Empat
hari tiga malam.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat
yang mengamalkan sikap bertolak ansur dan bertoleransi dalam melaksanakan
tugas.
(b) Masyarakat
penyayang terhadap ahli keluarganya.
(c) Masyarakat
yang berani melakukan aktiviti yang mencabar keupayaan sebenar seseorang.
(d) Masyarakat
yang bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan ekspedisi berkayak.
(e) Masyarakat
golongan berada dan ternama yang mementingkan kedudukan dan maruah keluarga.
(f) Masyarakat
golongan kelainan upaya yang gigih mempelajari ilmu baharu untuk membuktikan
keupayaan diri yang sebenar.
(g) Masyarakat
yang bertanggungjawab dalam memikul tugas.
(h) Masyarakat
yang berhemah tinggi.
Nilai
(a) Kerjasama.
(b) Baik
hati.
(c) Bertanggungjawab.
(d) Berhemah
tinggi.
(e) Kasih
sayang.
(f) Keberanian.
(g) Kegigihan.
(h) Kesabaran.
(i) Rasional.
Pengajaran
(a) Kita
hendaklah bijak menyusun sesuatu aktiviti ketika memberi latihan kepada orang
lain.
(b) Kita
mestilah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
(c) Kita
hendaklah gigih mempelajari ilmu baharu tanpa menjadikan kekurangan diri
sebagai penghalang.
(d) Kita
janganlah memandang rendah terhadap orang kelainan upaya.
(e) Kita
mestilah berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
(f) Kita
perlulah menanamkan sifat sabar ketika membimbing orang kelainan upaya.
(g) Kita
hendaklah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati.
(h) Kita
hendaklah berani mengambil keputusan untuk membuktikan keupayaan diri yang
sebenar.
(i) Kita
mestilah mengamalkan sikap kerjasama dalam menjalankan aktiviti berpasukan.
0 ulasan:
Catat Ulasan