Sabtu, 4 Jun 2022

Kupasan Novel - Chot (Azizi Haji Abdullah)

Chot (Azizi Haji Abdullah)

Edisi: Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan

 

Sinopsis Chot

 

Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Chot sangat rapat kerana Alias amat mengharapkan Chot untuk membantunya menyara kehidupannya dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.

 

Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.

 

Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.

 

Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.

 

Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Dia telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.

 

Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot”. Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

 

 

Inti Pati Bab

Chot Tidak Ada

– Pada waktu pagi, Alias telah dikejutkan oleh ibunya untuk bangun, mandi dan bersembahyang subuh sebelum bersiap-siap hendak ke sekolah.

– Alias meminta keizinan daripada ibunya untuk pergi ke sekolah namun dia mendapati Chot tiada. Hal ini menyebabkan Alias berasa tidak menentu dan terus mencari Chot di sekitar perdu pokok langsat di tepi rumahnya dan di sekeliling kampung walaupun sedar dia akan lewat datang ke sekolah.

– Alias berlari-lari hingga sampai di simpang jalan tempat Som menunggunya. Dia memberitahu Som bahawa Chot hilang.

– Alias menyuruh Som pergi ke sekolah dahulu kerana dia mahu meneruskan usaha mencari Chot di sekeliling kampung.

– Chot yang merupakan seekor beruk itu adalah nyawanya serta punca pendapatannya untuk ke sekolah dan untuk perbelanjaan ibunya.

 

Pastilah Tidak Datang

– Setibanya di sekolah, Som melihat rakan-rakannya yang lain sedang berbaris di perhimpunan. Cikgu Sunan merupakan guru bertugas pada minggu itu dan dia dibantu oleh pengawas sekolah.

– Som masuk ke dalam barisan darjah lima. Dia masih tertanya-tanya sama ada Alias akan datang ke sekolah ataupun tidak. Tambahan pula, Cikgu Sunan sedang memerhatikan barisan kelasnya pada masa itu.

– Semasa di perhimpunan, semua murid mengaminkan doa yang dibaca oleh Ketua Pengawas. Cikgu Sunan menegur sikap murid yang tidak menghayati doa yang dibacakan pada setiap awal minggu.

– Cikgu Sunan digambarkan sebagai seorang guru yang sangat garang. Dia memarahi murid yang bermain-main di sekitar keretanya dan mencalarkan kereta Volvo miliknya.

– Sikap murid yang membuang sampah dan berbuat bising di dalam kelas semasa ketiadaan guru juga telah ditegur oleh Cikgu Sunan.

– Cikgu Sunan pernah bertanya kepada Som dan Alias ketika mereka pulang dari sekolah kelmarin apabila mendapati terdapat kesan calar pada pintu depan keretanya itu. Som berasa hairan akan sikap Cikgu Sunan yang sering bertanya kepada Alias setiap kali berlakunya perkara yang tidak baik.

– Som bergerak mengikut barisan menuju ke kelasnya. Som berasa susah hati kerana dia pasti Alias tidak akan datang ke sekolah.

 

Chot Terus Menghilang

– Alias telah mencari Chot di merata-rata tempat termasuk di sekitar kebun Pak Din, kebun pisang Mak Miah, ke hujung kampung, pinggir sungai, dan di tepi sawah tetapi masih tidak menemuinya. Alias memanggil nama Chot berulang-ulang kali. Alias sedar, jika Chot tidak dijumpai dia pasti akan susah nanti.

– Dalam perjalanan, Alias telah bertembung dengan Salleh dan Hamad yang sedang membawa raga berisi kelapa masak pada belakang basikal mereka.

– Alias sempat bertanya kepada Salleh dan Hamad tentang beruknya itu, tetapi diketawakan oleh mereka. Mereka menyuruh Alias mengurung beruknya di dalam kelambu bagi mengelakkan Chot hilang.

– Alias mengambil keputusan untuk ke sekolah apabila menyedari waktu sudah lewat dan dia sanggup dimarahi oleh Cikgu Sunan.

 

Kena Marah, Diejek

– Cikgu Sunan sedang mengajar mata pelajaran Matematik di dalam kelas Som. Sebanyak dua puluh soalan Matematik telah diberi dan semua murid dikehendaki untuk menyalin dan menjawab soalan tersebut.

– Cikgu Sunan berjalan di dalam kelas sambil memerhatikan murid yang sedang menjawab soalan. Som berasa takut sekiranya Cikgu Sunan bertanya tentang Alias. Tiba-tiba Alias muncul di depan pintu kelas dengan memberi salam tetapi tidak dijawab oleh Cikgu Sunan.

– Alias dipanggil oleh Cikgu Sunan untuk bertanyakan sebab dia lewat tiba di sekolah. Alias berasa takut untuk memberitahu hal yang sebenar kepada Cikgu Sunan.

– Cikgu Sunan berasa marah kerana pertanyaannya yang berulang kali itu tidak mendapat jawapan daripada Alias.

– Akhirnya Alias berterus terang dengan mengatakan beruknya telah hilang dan dia mencari beruknya itu di sekeliling kampung sebelum ke sekolah.

– Cikgu Sunan mengatakan bahawa Alias lebih mementingkan beruknya berbanding pelajaran. Alias memberitahu bahawa dia amat menyayangi beruknya itu. Jawapan Alias itu menyebabkan Cikgu Sunan berasa marah hingga menjerit memarahi Alias.

– Pandangan Alias menjadi berpinar-pinar hingga dia terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Telinga kanan Alias terkena bucu meja murid. Alias bangun semula. Dia berasa sakit yang berdenyut-denyut dalam telinganya.

– Cikgu Sunan keluar dari kelas itu dengan perasaan marah dan kesal. Semasa rehat, semua murid berebut-rebut ke kantin namun Alias masih berdiri di tempat tadi untuk menunggu arahan daripada Cikgu Sunan.

– Setelah dibenarkan keluar, Alias hanya duduk di bawah pokok bidara yang rendang. Dia makan sebungkus nasi lemak yang diberi oleh Som. Som bersimpati kepada Alias yang sudah pasti akan diejek oleh kawan-kawannya apabila masuk ke kelas nanti.

 

Chot Sembunyi di Pokok Cenerai

– Alias tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas kerana telinganya sakit. Dia hanya melihat papan tulis sambil menahan kesakitan dan sedaya-upaya tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

– Selepas loceng sekolah yang menandakan waktu pulang berbunyi, Alias dan Som diarahkan oleh Cikgu Sunan untuk membuang pasir-pasir di getah tempat pemijak kaki keretanya.

– Alias tidak berasa marah akan Cikgu Sunan, sebaliknya berbangga kerana Cikgu Sunan menyuruh mereka melakukan tugas itu dan bukannya murid lain.

– Som berasa geram kepada Alias kerana masih mahu mengambil hati Cikgu Sunan walaupun sudah jatuh akibat dimarahi oleh cikgunya itu.

– Dalam perjalanan pulang ke rumah, Som ternampak daun pokok cenerai bergoyang-goyang. Som melihat Chot sedang mengintai-intai di celah-celah ranting dan daun pokok itu.

– Som memberitahu Alias tentang hal tersebut. Alias berasa sangat gembira dan memanggil Chot serta memujuknya supaya turun dari pokok. Chot mengikut Alias pulang ke rumahnya.

 

Denyut Semakin Terasa

– Alias segera ke pokok langsat untuk mengambil tiga biji pisang untuk Chot. Dia juga mengikat semula rantai Chot yang terputus dengan menggunakan dawai buruk sepanjang sejengkal.

– Alias bercakap dengan Chot sambil menasihati agar Chot tidak memutuskan rantai itu lagi pada masa akan datang.

– Ibu Alias yang sedang tidur menyedari Alias sudah pulang. Ibunya sudah lama menghidap sakit lumpuh.

– Kehadiran Mak Su Kiah yang datang membawa sepinggan nasi dan semangkuk gulai telah mematikan hasrat Alias untuk memasak. Mak Su Kiah ialah jiran sebelah rumah Alias yang sudah kematian suami.

– Mak Su Kiah seorang yang mengambil berat terhadap kehidupan Alias dan ibunya. Kebaikan yang dilakukan oleh Mak Su Kiah itu menyebabkan ibu Alias berasa amat terhutang budi kepadanya.

– Alias sempat bertanya kepada Mak Su Kiah tentang kelapa masak kerana petang itu dia dan Chot akan pergi memetik kelapa. Alias bergantung harapan kepada Chot untuk mencari rezeki setelah kematian ayahnya lima tahun yang lalu akibat terjatuh dari pokok kelapa.

– Tiba-tiba Alias terasa lubang telinganya berdengung-dengung dan semakin sakit. Dia perlu membawa Chot memetik buah kelapa kerana barang-barang dapur seperti beras, ikan kering gelama, dan minyak masak sudah hampir habis.

 

Nak Ambil Hati Chot

– Alias mengambil keputusan untuk membenarkan Chot berehat. Dia telah menukar rantai leher Chot. Chot melompat ke atas bahu kanan Alias tetapi Alias mengalih kedudukan beruknya itu ke bahu kirinya. Dia bimbang Chot tersentuh cuping telinganya yang sakit.

– Alias dan Chot lalu di hadapan rumah Som dan mengharapkan Som akan mengikut mereka ke sungai. Namun demikian, hasratnya tidak tercapai kerana Som tidak kelihatan di rumahnya itu.

– Setibanya di sungai, Chot enggan mengikut Alias untuk mandi kerana takut akan air. Chot ditambat pada tiang kayu tempeneh sementara dia mandi. Namun tidak lama kemudian, Alias membuka ikatan rantai pada Chot lalu memandikannya.

– Som datang sambil membawa sebiji pisang bunga untuk diberikan kepada Chot. Selesai mandi, Alias menambat Chot semula pada tiang kayu tempeneh.

– Dalam perjalanan pulang ke rumah, Som bertanya kepada Alias sama ada dia pergi ke sekolah keesokannya atau tidak. Alias menyatakan ketidakpastiannya dengan memberikan alasan bahawa dia kurang sihat.

– Som mengetahui sebenarnya Alias berasa sakit akibat telinganya terkena bucu meja pada tengah hari itu. Alias berharap agar Som tidak memberitahu hal tersebut kepada orang lain.

 

Sakit Semakin Menjadi-jadi

– Alias dilahirkan di Kampung Dingin. Pekerjaan penduduk di sana adalah tidak tetap, ada yang menjadi penoreh, mencari buluh, dan mencari pucuk ulam. Penduduk kampung tidak akan melakukan apa-apa kegiatan pada waktu malam melainkan sesetengahnya belajar bersilat.

– Menjelang jam 10 malam, Alias selesai membaca al-Quran juzuk yang ketiga. Som tidak datang ke rumahnya untuk mengaji bersama-sama Alias pada malam itu.

– Alias masih berasa sakit pada telinga kanannya. Alias meniarap di sisi ibunya sambil membuat kerja Matematik yang diarahkan oleh Cikgu Sunan.

– Alias berhasrat untuk memberitahu ibunya bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah keesokannya, tetapi niatnya itu dibatalkan kerana tidak mempunyai alasan yang kukuh.

– Denyutan di telinga Alias semakin kuat dan Alias berasa seperti ada benda berair yang hendak meleleh keluar dari telinganya itu. Alias menyimpan buku latihannya ke dalam beg. Alias tidur di sebelah ibunya sambil menahan kesakitan.

– Alias membayangkan Cikgu Alias berdiri di hadapan kelas sambil bertanyakan sebab dia tidak hadir ke sekolah. Lamunannya terhenti apabila ibunya memadamkan lampu pelita minyak tanah. Akhirnya Alias tertidur dalam kesakitan.

 

Bersama-sama Chot Memetik Kelapa

– Pada pagi itu Alias bangun lewat walaupun sudah dikejutkan oleh ibunya. Hal ini demikian kerana telinganya masih berasa sakit. Dia ingin memberitahu perkara itu kepada ibunya tetapi tidak tahu alasan yang boleh diberikan.

– Alias mengambil keputusan untuk tidak pergi ke sekolah kerana ingin memetik buah kelapa bersama-sama dengan Chot. Ibu Alias menasihatinya agar tidak kerap ponteng sekolah.

– Alias sememangnya tidak mahu ponteng sekolah dan dia mahu belajar bersungguh-sungguh. Cikgu Sunan juga pernah memujinya dalam mata pelajaran Matematik.

– Mak Su Kiah menegur Alias yang sudah bersedia untuk pergi memetik kelapa bersama dengan Chot. Mak Su Kiah akan menghantar nasi ke rumah Alias pada tengah hari nanti. Dia juga berasa simpati akan kesusahan hidup yang ditanggung oleh Alias dan ibunya.

 

Sakit Telinga Semakin Menjadi-jadi

– Alias memetik buah kelapa di kebun Pak Din bersama-sama dengan Chot. Pak Din digambarkan sebagai seorang yang sangat baik. Oleh itu, Som juga menjadi baik seperti ayahnya.

– Pak Din gemar memilih Alias untuk menguruskan buah kelapa di kebunnya walaupun terdapat pemanjat pokok kelapa lain seperti Said Capik di kampung itu. Hal ini demikian kerana dia bersimpati terhadap Alias.

– Alias memilih pokok kelapa yang sesuai lalu mengarahkan Chot supaya memanjat pokok tersebut. Alias mempelajari cara untuk mengarahkan Chot memanjat dan memetik kelapa daripada arwah ayahnya.

– Alias merasakan telinganya semakin berdenyut kuat dan mendapati ada nanah busuk yang keluar dari telinganya. Dia berfikir sama ada dia mampu meneruskan kerja memetik buah kelapa ataupun tidak. Hal ini demikian kerana dia bimbang keadaan telinganya itu menjadi lebih teruk. Namun demikian, lias teringat akan barang-barang di dapur rumahnya yang sudah hampir habis.

– Alias mengambil keputusan untuk berehat selama lima belas minit sambil cuba membaca buku sekolah yang dibawanya.

– Tiba-tiba muncul Budin, Kamal, dan Talib yang meminta buah kelapa muda. Alias tidak mengendahkan permintaan itu kerana Pak Din menyuruh dia memetik buah kelapa tua sahaja.

– Kamal mengambil sebiji kelapa milik Pak Din yang agak muda lalu menakik-nakik buah kelapa itu untuk diminum. Alias tidak dapat menghalang perbuatan Kamal.

– Selepas ketiga-tiga pemuda kampung itu beredar, Alias merungkai tali yang menambat Chot. Alias tidak berdaya untuk mengangkut dan mengumpulkan lapan biji kelapa yang telah dipetik kerana telinganya semakin sakit. Alias mengambil keputusan untuk pulang bersama-sama dengan Chot.

 

Dapat Upah Memetik Kelapa

– Setibanya di rumah, Alias terdengar ibunya batuk-batuk dari dalam rumah. Ibunya menganggap tindakan Alias memetik buah kelapa pada pagi itu adalah kerana Alias mahu membalas dendam terhadap Chot yang bertindak melarikan diri.

– Alias mencadangkan agar ibunya minum air kelapa untuk mengurangkan batuknya. Sebaik-baik sahaja Alias hendak menuruni tangga rumahnya, Mak Su Kiah datang membawa nasi dan lauk untuk Alias dan ibunya.

– Alias pergi ke rumah Pak Din untuk meminta Pak Din membelikan ubat batuk untuk ibunya dan memberitahu jumlah buah kelapa yang telah dipetik.

– Semasa menunggu Pak Din, Som menceritakan tentang Cikgu Sunan yang bertanyakan sebab Alias tidak hadir ke sekolah. Som menasihati Alias agar hadir ke sekolah dan membawa wang sebanyak tiga ringgit untuk derma PIBG.

– Pak Din memberi Alias sebanyak lima belas ringgit sebagai upah dia memetik buah kelapa.

 

Ibu Sudah Tahu

– Selepas berjumpa dengan Pak Din, dia singgah di kedai Ah Chai untuk membeli beras, gula, kopi, ikan gelama, dan dua biji pisang untuk Chot.

– Alias menceritakan perihal Pak Din yang memberikan upah sebanyak lima belas ringgit sebagai upah memetik kelapa kerana ibunya berasa hairan apabila dia mempunyai wang sebanyak itu. Dia juga memberitahu bahawa Pak Din akan membelikan ubat batuk untuk ibunya.

– Ibu Alias terhidu bau busuk dan mendapati bau busuk tersebut datang daripada telinga Alias yang bernanah. Dia menyuruh Alias menyapukan minyak angin pada telinganya.

– Alias berasa bimbang sekiranya bau busuk tersebut akan menyebabkan Som tidak mahu berkawan dengannya dan rakan-rakannya yang lain sudah pasti akan mengejeknya nanti. Namun Alias yakin bahawa Chot akan tetap berkawan dengannya.

 

Terus Tidak ke Sekolah

– Sudah seminggu Alias tidak hadir ke sekolah sejak telinganya bengkak dan bernanah. Namun demikian, dia akan pergi ke rumah Som untuk menyalin nota dan kerja rumah.

– Alias membuat pelbagai andaian kerana sedar bau busuk itu akan menyebabkan dia diejek oleh kawan-kawannya, termasuklah Cikgu Sunan.

– Dia bimbang jika Cikgu Sunan menyuruhnya pergi ke klinik di pekan yang jauh itu dan risau sekiranya dia tidak dapat hadir pada hari peperiksaan disebabkan nanah di telinganya yang meleleh.

 

Pertanyaan yang Mendebarkan

– Cikgu Sunan bertanya kepada Som tentang sebab Alias sudah lebih seminggu tidak hadir ke sekolah memandangkan rumah Alias berdekatan dengan rumahnya.

– Cikgu Sunan menasihati murid-murid di dalam kelasnya supaya tidak bersikap seperti Alias yang sering bersama-sama dengan beruknya.

– Cikgu Sunan juga menuduh Som yang dikatakan berkawan dengan Alias dan lama-kelamaan akan menjadi seperti kawannya itu hingga menyebabkan Som berasa malu.

– Tiba-tiba Guru Besar datang dan memanggil Cikgu Sunan ke biliknya.

 

Guru Besar Mulai Bimbang

– Guru Besar mendapati Alias tidak hadir lebih dari lima hari berdasarkan rekod buku kedatangan kelas. Dia bertanyakan hal itu kepada Cikgu Sunan. Cikgu Sunan menyatakan bahawa dia tidak mengetahui sebabnya walaupun sudah bertanya kepada Som.

– Guru Besar sedia maklum perihal Alias sebagai seorang murid yang miskin dan kematian ayah. Namun dia tidak mengetahui perihal ibu Alias yang sakit lumpuh dan perihal Alias mempunyai seekor beruk kerana perkara tersebut dirahsiakan.

– Guru Besar amat sayang akan Alias berbanding dengan Cikgu Sunan. Dia mengarahkan Cikgu Sunan agar menyiasat hal tersebut.

– Tiba-tiba mereka digemparkan dengan kehadiran beruk di belakang hutan sekolah. Ada yang menyangkakan beruk itu ialah beruk Alias dan ada pula yang mengarahkan agar beruk itu ditembak.

– Som mengatakan beruk itu bukanlah beruk Alias kerana dia amat mengenali Chot. Akhirnya, semua murid diarahkan untuk beredar dan Cikgu Sunan meminta Som menunjukkan rumah Alias pada hari esok atau lusa.

 

Salah Sangka

– Alias dan Chot tidak kelihatan di rumah menyebabkan ibunya tertanya-tanya akan ketiadaan anaknya itu. Kebiasaannya, Alias akan memberitahu ibunya apabila hendak ke mana-mana.

– Mak Su Kiah datang membawa nasi dan gulai untuk mereka. Tiba-tiba Miah dan Budin datang ke rumah Alias dengan membawa setandan pisang emas yang sudah rosak.

– Dalam keadaan marah-marah, Miah menuduh Chot telah merosakkan pisang di kebunnya lalu meminta ganti rugi.

– Ibu Alias berasa sedih dan mempertahankan Chot yang tidak akan melakukan perkara itu. Pak Din juga datang ke rumah Alias dan cuba untuk mententeramkan keadaan. Dia berjanji untuk menggantikan pisang yang rosak itu.

– Alias baru sahaja pulang setelah membeli ubat sakit telinganya di pekan. Dia tidak menyangka rantai Chot akan putus sekali lagi.

– Tiba-tiba, Kamal, iaitu rakan Budin muncul dan memberitahu tentang beruk yang merosakkan pisang itu telah mati ditembak.

– Alias terkejut mendengar berita itu dan terus berlari untuk mendapatkan kepastian tentang hal tersebut.

– Di pertengahan jalan, Alias terserempak dengan Som yang memberitahunya bahawa beruk yang mati ditembak itu bukannya Chot.

 

Chot Sudah Balik

– Pada malam itu, Som sahaja yang mengaji, manakala Alias masih berdukacita atas kehilangan Chot buat kali kedua.

– Alias sedar akan kesalahannya yang terlupa memberikan pisang kepada Chot semasa dia pergi ke pekan. Alias memikirkan sudah tentu dia akan mengalami kesusahan kerana ketiadaan Chot.

– Som meminta Alias membantunya membuat latihan Matematik. Som tahu jika Alias tidak mahu ke sekolah, sudah pasti dia tidak akan menduduki peperiksaan akhir nanti. Som cuba untuk memujuk Alias ke sekolah tetapi dia enggan kerana mahu mencari Chot.

– Bau busuk dari telinga Alias yang bernanah menyebabkan Som berasa kurang selesa. Alias berasa tersinggung apabila merasakan seolah-olah Som menghinanya.

– Alias menuruni tangga rumah untuk memanggil Pak Din kerana Som mahu pulang ke rumahnya.

– Tiba-tiba mereka terdengar suara Chot di atas pokok langsat. Alias berasa sangat gembira kerana Chot sudah pulang.


Cikgu Sunan Tunjuk Baik

– Tempat duduk Alias telah lama kosong sejak peristiwa dia jatuh terlentang di dalam kelas beberapa hari yang lalu.

– Som bimbang akan dimarahi oleh Cikgu Sunan sekiranya dia tidak dapat menjawab soalan Matematik yang ditanya oleh Cikgu Sunan.

– Som turut bimbang sekiranya Cikgu Sunan bertanya tentang ketidakhadiran Alias kepadanya kerana dia tinggal berdekatan dengan rumah Alias.

– Som telah menyuruh Alias menulis surat untuk mengatakan bahawa dia sakit tetapi tidak dipedulikan oleh Alias. Cikgu Sunan telah memuji-muji Som kerana berjaya membuat latihan yang telah diberikan.

– Cikgu Sunan meninggalkan kelas darjah lima kerana mahu berjumpa dengan Guru Besar. Som diejek oleh rakan-rakannya di dalam kelas yang mengatakan bahawa Som dapat menjawab soalan Matematik disebabkan Som berkawan dengan Alias.

– Som pergi ke tandas kerana berasa malu. Cikgu Sunan menunggu Som di luar tandas dan memintanya untuk menunjukkan rumah Alias selepas tamat waktu persekolahan nanti.

– Som berasa serba salah kerana takut akan dimarahi oleh Alias dan bimbang perkara yang tidak diingini berlaku.

– Cikgu Sunan tidak dapat mengajar seperti biasa kerana ada sesuatu yang merungsingkan fikirannya. Dia juga mendapat tahu bahawa telinga Alias bengkak dan bernanah.

 

Demi Kesayangan…

– Som pulang dari sekolah dengan menumpang kereta Volvo Cikgu Sunan kerana cikgunya itu mahu ke rumah Alias.

– Dalam perjalanan ke rumah Alias, Cikgu Sunan telah mengetahui latar belakang Alias yang tinggal bersama-sama dengan ibunya yang lumpuh dan seekor beruk bernama Chot daripada Som.

– Som tidak mahu ke rumah Alias bersama-sama dengan Cikgu Sunan kerana bimbang akan dimarahi oleh Alias lalu mengambil keputusan untuk turun di suatu titi.

– Setelah sampai di rumah Alias, Cikgu Sunan melihat kedaifan kehidupan Alias dan ibunya.

– Cikgu Sunan memberitahu tentang kedatangannya kepada ibu Alias adalah untuk bertanya sebab Alias tidak hadir ke sekolah sedangkan peperiksaan sudah semakin hampir.

– Cikgu Sunan berasa bersalah kerana telah menengking Alias sehingga menyebabkan Alias jatuh terlentang di dalam kelas dan menyebabkan telinga kanan Alias bengkak dan bernanah.

– Dia berasa menyesal kerana tidak memasukkan nama Alias dalam senarai penerima bantuan pakaian juga.

– Alias pulang ke rumah sambil membawa dua biji kelapa tua dan sebuah buku kerja. Alias menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Cikgu Sunan.

– Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.

– Chot berang melihat keadaan itu lalu menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan.

– Alias yang terkejut cuba mententeramkan Chot dan melepaskan gigitannya pada lengan Cikgu Sunan tetapi tidak berjaya.

– Alias mengambil lembing lalu merodok lembing itu pada perut Chot menyebabkan Chot terkulai dan mati.

– Alias berasa sangat sedih lalu memeluk Chot. Dia mengatakan bahawa dia tidak mampu lagi untuk bersekolah kerana dia tidak dapat menyara kehidupannya dan ibunya tanpa bantuan Chot.

– Cikgu Sunan berjanji akan membiayai persekolahan Alias sehingga Alias memasuki universiti.

 

Penghormatan Terakhir

– Alias telah mengorek lubang sedalam kira-kira dua kaki untuk menanam Chot yang telah dibalut dengan kain buruk.

– Ibu Alias, Pak Din, Mak Su Kiah, dan Som berasa sedih melihat Alias yang menanam Chot di bawah pokok langsat, tempat Chot ditambat sewaktu Chot hidup.

– Alias mengambil papan sepanjang satu kaki lalu mencacakkannya seperti batu nisan. Pada papan itu tertulis, “Tunggu aku di pintu universiti, Chot”. Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

 

 

Tema

Kasih sayang yang terjalin sesama makhluk ciptaan Tuhan.

 

Persoalan

(a)    Tanggungjawab seorang anak terhadap ibu.

(b)    Ketaatan terhadap agama.

(c)     Sikap telalu mengikut emosi membawa keburukan.

(d)    Simpati terhadap nasib orang lain.

(e)    Kesetiaan dalam persahabatan.

(f)      Kesungguhan dalam menuntut ilmu.

(g)    Penyesalan atas kesilapan yang telah dilakukan.

 

Watak dan Perwatakan

Alias

(a)    Berumur 11 tahun.

(a)    Tinggal bersama-sama dengan ibunya yang lumpuh di Kampung Dingin.

(b)    Bijak.

(c)     Sayang akan haiwan peliharaan.

(d)    Tidak berdendam.

(e)    Bertanggungjawab.

(f)      Sanggup berkorban.

(g)    Mementingkan pelajaran.

 

Chot

(a)    Seekor beruk peliharaan Alias.

(a)    Bermata bening, berbulu cering, berekor pendek, dan bergigi putih tajam.

(b)    Tinggal di dalam kotak sabun di atas pokok langsat.

(c)     Beruk yang bijak.

(d)    Takut akan air.

(e)    Setia pada tuannya.

(f)      Beruk yang garang dan ganas.

 

Som

(a)    Berumur 11 tahun.

(b)    Anak bongsu Pak Din.

(c)     Mementingkan persahabatan.

(d)    Pandai menyimpan rahsia.

(e)    Tekun belajar.

(f)      Simpati terhadap rakan.

(g)    Bijak mengawal perasaan.

 

Cikgu Sunan

(a)    Cikgu Sunan memiliki tubuh yang tinggi dan bermisai.

(b)    Dia mempunyai sebuah kereta Volvo.

(c)     Cikgu Sunan berasal dari bandar.

(d)    Dia sudah lima tahun mengajar di sekolah Alias.

(e)    Seorang yang tegas.

(f)      Seorang yang panas baran.

(g)    Seorang guru yang rajin.

(h)    Seorang yang memandang hina terhadap orang lain.

(i)      Seorang yang menghargai jasa orang lain.

(j)      Seorang yang sedar akan kesilapan.

 

Plot

Binaan Plot

 

(a)    Permulaan – Alias merupakan seorang kanak-kanak yang berumur 11 tahun dan tinggal bersama-sama ibunya yang lumpuh. Sebelum pergi ke sekolah, Alias menapis air ketul-ketul ubi kayu. Jika tidak membawa bekalan, dia hanya membawa air kopi sahaja. Kehidupan Alias sangat miskin. Dia hanya memiliki sebuah beg yang telah koyak dan lusuh yang dihadiahkan oleh Tok Penghulu tiga tahun yang lalu. Alias memiliki seekor beruk kesayangan yang bernama Chot.

(b)    Perkembangan – Semasa Alias hendak ke sekolah, dia mendapati Chot hilang lalu mengambil keputusan untuk mencari Chot di sekeliling kampung. Dia menyedari bahawa dia akan lewat datang ke sekolah dan dimarahi oleh Cikgu Sunan. Usahanya untuk mengesan Chot pada pagi itu telah gagal.

(c)     Perumitan/Konflik – peristiwa bermula semasa Alias berada di sekolahnya. Oleh sebab Alias lewat datang ke sekolah, dia telah dipanggil oleh Cikgu Sunan yang bertanyakan sebab kelewatannya itu. Semasa ditanya, Alias hanya mendiamkan diri kerana takut untuk menjawab pertanyaan Cikgu Sunan. Namun setelah didesak, Alias mengatakan bahawa dia mencari beruknya yang hilang. Jawapan tersebut telah menyebabkan Cikgu Sunan berasa sangat marah dan menengking Alias. Alias yang terkejut telah terjatuh dan telinga kanan Alias terkena bucu meja rakannya sebelum dia jatuh terlentang di atas lantai.

(d)    Klimaks – Cikgu Sunan datang ke rumah Alias dengan bantuan Som. Semasa sedang memeriksa telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta hingga rantainya putus lalu menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias mengambil lembing, kemudian merodok perut Chot. Chot terkulai dan mati dalam pelukan Alias.

(e)    Peleraian – Cikgu Sunan berjanji untuk membiayai Alias sehingga ke universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis, “Tunggu aku di pintu universiti, Chot”. Alias bertekad untuk ke sekolah.

 

Teknik Plot

(a)    Dialog.

Contohnya, perbualan antara Alias dengan ibunya yang mengadu Chot, iaitu beruk peliharaannya hilang ketika Alias ingin ke sekolah. Ibu Alias menasihatinya agar dia tidak risau akan beruknya itu dan segera pergi ke sekolah sebelum terlewat. Ibunya juga bimbang Som akan menunggunya lama di persimpangan jalan.

(b)    Monolog.

Contohnya, Alias bermonolog sewaktu dia tidak mahu ke sekolah kerana berbelah bahagi untuk memberitahu ibunya tentang telinganya yang sakit selepas peristiwa dia dimarahi oleh Cikgu Sunan. Alias membatalkan niatnya untuk memberitahu perkara itu kerana bimbang ibunya akan mengatakan bahawa dia murid yang nakal dan malas.

(c)     Imbas kembali.

Contohnya, Alias teringat semula tentang pesanan yang disampaikan oleh Som pada tiga hari lalu, iaitu Pak Din menyuruhnya memetik buah kelapa sebanyak yang mungkin.

(d)    Imbas muka.

Contohnya, Som membayangkan perkara yang akan dilakukan oleh rakan-rakan sekelasnya kepada Alias apabila tamatnya waktu rehat selepas peristiwa Alias ditengking oleh Cikgu Sunan.

(e)    Saspens.

Contohnya, peristiwa seekor beruk yang merosakkan kebun pisang Budin telah ditembak mati. Badan Alias menjadi lemah kerana menyangkakan beruk yang ditembak mati itu ialah Chot. Pembaca tertanya-tanya sama ada beruk yang ditembak itu Chot ataupun bukan.

(f)      Kejutan.

Contohnya, peristiwa Alias yang lewat datang ke sekolah kerana mencari beruknya yang hilang. Cikgu Sunan telah menengking Alias kerana berasa marah apabila Alias memberikan alasan bahawa dia mencari beruknya yang hilang hingga dia lewat datang ke sekolah. Pembaca tidak menyangka bahawa Cikgu Sunan akan menengking Alias sehingga menyebabkan Alias terjatuh dan telinganya terkena bucu meja rakannya.

 

Latar

 

Latar Tempat

(a)    Rumah Alias.

(b)    Pokok langsat.

(c)     Kampung Dingin.

(d)    Kebun kelapa Pak Din.

(e)    Sungai.

(f)      Kedai Ah Chai.

 

Latar Masa

(a)    Waktu pagi.

(b)    Waktu tengah hari.

(c)     Waktu petang.

(d)    Lima tahun yang lalu.

(e)    Lapan hari.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang sayang akan haiwan peliharaan.

(b)    Masyarakat yang terlalu mengikut perasaan.

(c)     Masyarakat yang berdikari.

(d)    Masyarakat yang bekerjaya sebagai pendidik.

(e)    Masyarakat yang bersimpati terhadap orang lain.

(f)      Masyarakat yang mementingkan pelajaran.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab.

Contohnya, qunut; al-Quran; al-Kafirun; assalamualaikum; waalaikumussalam.

(b)    Bahasa Inggeris.

Contohnya, jeans; netball.

(c)     Peribahasa.

Contohnya, berat mulut; naik minyak; besar hati.

(d)    Simile.

Contohnya, Jiwa Cikgu Sunan tersentak bagai ditikam lembing yang berkarat.

(e)    Sinkope.

Contohnya, “Kenapa kamu tak datang kelmarin?” herdik Cikgu Sunan.

(f)      Personifikasi.

Contohnya, Angin malam di kampung itu bagaikan mati.

 

Nilai

(a)    Kasih sayang.

Contohnya, Alias sanggup datang lewat ke sekolah dan dimarahi oleh Cikgu Sunan kerana mencari Chot yang hilang pada pagi itu.

(b)    Bertanggungjawab.

Contohnya, Alias merupakan seorang anak yang bertanggungjawab.

(c)     Simpati.

Contohnya, Mak Su Kiah amat simpati akan nasib keluarga Alias.

(d)    Kesabaran.

Contohnya, Alias sabar apabila diherdik oleh Cikgu Sunan dan diejek oleh rakan-rakannya.

(e)    Rasional.

Contohnya, Pak Din bertindak secara rasional dalam menyelesaikan masalah Miah dan Budin yang menuduh Chot merosakkan setandan pisang mereka.

(f)      Kebijaksanaan.

Contohnya, Alias seorang pelajar yang bijak terutamanya dalam mata pelajaran Matematik. Selepas mengaji, Som akan meminta bantuan Alias untuk menjawab soalan Matematik yang tidak diketahuinya.

(g)    Berdikari.

Contohnya, Alias mencari duit untuk membeli barangan dapur, ubat batuk ibunya, dan pisang untuk Chot dengan bekerja sebagai pemetik buah kelapa.

 

Pengajaran

(a)    Kita haruslah bersikap jujur supaya tidak berlakunya salah faham.

Contohnya, Alias berterus-terang kepada Cikgu Sunan dengan mengatakan bahawa dia mencari beruknya yang hilang sehingga menyebabkan dia lewat datang ke sekolah.

(b)    Kita tidak sepatutnya bertindak mengikut kata hati dan perlulah mengawal emosi.

Contohnya, Cikgu Sunan telah memarahi Alias di hadapan rakan-rakan Alias apabila dia tidak dapat mengawal perasaan marahnya terhadap Alias.

(c)     Kita perlulah sedar dan insaf akan kesilapan yang dilakukan.

Contohnya, Cikgu Sunan sedar dan insaf atas tindakannya yang telah memarahi Alias sehingga menyebabkan Alias tidak mahu ke sekolah kerana telinganya bernanah dan berbau busuk.

(d)    Kita hendaklah mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.

Contohnya, ibu Alias mahu anaknya lebih mengutamakan pelajaran walaupun menyedari Alias perlu memetik buah kelapa untuk menyara kehidupan mereka.

(e)    Kita tidak seharusnya menyimpan perasaan dendam.

Contohnya, Alias tidak pernah berdendam dengan Cikgu Sunan walaupun telinganya sakit kerana jatuh dan terkena bucu meja akibat dimarahi oleh Cikgu Sunan.

(f)      Kita hendaklah mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu dengan yang lain.

Contohnya, Mak Su Kiah selalu menolong Alias dan ibunya dengan menghantar makanan ke rumah mereka.

(g)    Kita hendaklah berdikari dan tidak mengharapkan belas ihsan daripada orang lain.

Contohnya, Alias telah mengambil upah memetik buah kelapa di kebun Pak Din untuk menyara kehidupannya dan ibunya yang lumpuh.

Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages