Sabtu, 4 Jun 2022

Kupasan Novel - Hempasan Ombak (Zailiani Taslim)

Hempasan Ombak (Zailiani Taslim)

Edisi: Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Sinopsis Hempasan Ombak

Farid yang baru berusia 19 tahun terpaksa menerajui Perusahaan Syarikat Batik Nusantara yang telah diusahakan selama 20 tahun apabila pemiliknya, Haji Badrul meninggal dunia akibat barah dalam perut. Ibunya, Hajah Zaoyah terpaksa menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Farid kerana anak-anaknya yang lain tidak mampu memikul tugas tersebut. Farid menerima tugas itu dengan penuh

tanggungjawab. Sebagai tugasan pertama, Farid melawat bengkel untuk melihat kerja-kerja mengecap batik. Pak Nik, pekerja syarikat itu menerangkan keadaan syarikat, iaitu batik keluaran syarikat tidak laku dan wujudnya sebuah syarikat yang mahu menggerhanakan syarikat mereka. Untuk

mengukuhkan kewangan syarikat, Hajah Zaoyah bercadang mahu menggadaikan emas dan tanah miliknya. Seterusnya, Farid meluahkan keinginannya untuk membesarkan bengkel sekiranya kewangan syarikat semakin kukuh.

 

Farid mengadakan mesyuarat syarikat buat kali yang pertama dengan pekerja-pekerjanya. Dalam mesyuarat tersebut, Farid mahu syarikat menjual batik dalam bentuk pakaian siap dengan jenama tersendiri dan Farid mencadangkan bengkel diperbesar dan mesin baharu perlu dibeli. Pada satu hari, Farid mengunjungi pejabat pemborong binaan Nadi Zaman kepunyaan Mokhsein, bekas pekerja

ayahnya satu ketika dahulu. Mokhsein memaklumkan, terdapat sebuah syarikat pesaing di Kuala Terengganu yang mahu memonopoli pengeluaran batik dengan menjual batik dengan harga yang murah untuk memastikan syarikat yang sedia ada muflis. Mokhsein kemudian menerangkan akan

perlunya Farid menjalankan “strategi terkunci” jika mahu syarikatnya kukuh kembali.

 

Zuraida berniaga pakaian di bazar MARA di Jalan Banggol sejak tujuh tahun lalu. Farid, rakan sekelasnya ketika berada di tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Budiman datang berkunjung untuk bertanya khabar. Dalam pertemuan yang lain, Zuraida berjanji mahu membantu Farid dengan menjualkan batik di gerainya tanpa mengenakan sebarang komisen, namun dia mencadangkan Farid mengeluarkan batik corak baharu untuk menarik perhatian pembeli. Farid bertemu Mokhsein ntuk mendapatkan pandangannya. Hasilnya dia dapat menyiapkan kertas kerja “Projek Pembesaran Keupayaan Pengeluaran Batik Cap dan Perintis Batik Lukis Syarikat Batik Nusantara” dan seterusnya, Farid membina bengkel tambahan dengan modal sebanyak RM75 ribu. Hal berkaitan tenaga pengajar batik moden akan diuruskan oleh Mokhsein. Sebagai seorang usahawan yang berjaya, Mokhsein diundang untuk merasmikan bangunan bengkel batik moden. Pada hari tersebut, Hartini Noor, adik sepupu Mokhsein datang. Zuraida melahirkan rasa cemburu terhadap kehadiran Hartini Noor. Farid mengunjungi Zuraida di gerainya. Farid menjelaskan bahawa Hartini Noor sudah bertunang dengan pereka bentuk dalaman dan bekerja selama sebulan sahaja di syarikatnya. Zuraida melihat kerja-kerja mencanting di bengkel.

 

Selanjutnya, pemilik Syarikat Batik Rajawali, Mukhtar begitu marah apabila batik keluaran syarikatnya tidak mendapat sambutan dengan alasan batik keluarannya bercorak lama. Mukhtar yakin, batik pilihan pengguna sekarang adalah keluaran syarikat pesaingnya, Syarikat Batik Nusantara. Mukhtar kemudiannya pergi ke gerai anak saudaranya, Zuraida dan mendapati batik bercorak baharu dijual di gerai Zuraida. Mukhtar memberi amaran agar Zuraida tidak menjual batik itu dan jika masih degil, dia akan merobohkan gerai Zuraida. Farid pula menerima amaran keras dalam bentuk surat layang. Dia diingatkan agar memutuskan hubungannya dengan Zuraida dan memastikan batik keluarannya tidak

menguasai pasaran. Jika amaran tersebut tidak dipandang serius, padah yang lebih besar akan menanti. Hajah Zaoyah mahu perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

 

Farid mendapat panggilan telefon daripada Zuraida. Zuraida menjelaskan akan larangan bapa saudaranya agar tidak menjual batik moden yang dikeluarkan oleh syarikat Farid. Di bengkel membuat batik moden kepunyaan Farid, Mahmood, pekerja Mukhtar mencari Azmi dan Masri. Mahmood tidak berpuas hati kerana dua-dua lelaki itu telah meninggalkan Syarikat Batik Rajawali. Azmi dan Masri memberi alasan meninggalkan syarikat kerana tidak dibayar gaji walaupun sudah bekerja selama dua bulan. Berlaku pertengkaran. Mahmood yang hilang sabar kemudiannya mencekik leher baju Azmi. Disebabkan Masri tiada pilihan lain untuk menyelamatkan Azmi, dia menerpa ke arah Mahmood lalu mencurahkan lilin panas dari canting ke muka Mahmood.

 

Ketika jam menunjukkan pukul 2:00 pagi, seisi rumah Hajah Zaoyah dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bengkel tempat pengeluaran batik moden dijilat api. Bengkel tersebut tinggal rangka. Lebih 75 peratus peralatan dan bahan mentah untuk membuat batik musnah. Farid menerima dugaan yang menimpanya sebagai takdir. Pihak polis yakin kebakaran bermotifkan jenayah lalu meminta Farid mengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan. Di balai polis, Inspektor Rusman menjelaskan, pihaknya telah memberkas Mahmood di sebuah klinik ketika lelaki itu sedang menerima rawatan kerana tersiram lilin batik. Mahmood mempunyai rekod jenayah dan merupakan pekerja Syarikat Batik Rajawali. Pemilik syarikat tersebut ialah Mukhtar bin Yusof dan kini pihak polis berusaha untuk memberkasnya.

 

Tiga hari selepas peristiwa kebakaran bengkel, Mokhsein datang ke bengkel Farid sekembalinya dari Singapura. Mokhsein berjanji akan membantu Farid menjadi pembekal pakaian siap. Kata-kata itu memberi semangat semula ke dalam jiwa Farid. Zuraida pula menjelaskan, kerana kekurangan ilmu dalam bidang perniagaan, dia mengikuti kursus luar kampus dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di UiTM. Zuraida mencadangkan Farid menimba ilmu lagi kerana terdapat banyak kolej di Kuala Terengganu. Mukhtar kini berada di Penjara Marang dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahannya mengupah tiga orang samseng untuk membakar bengkel perusahaan batik Farid. Kemudian Farid dan Zuraida mengikuti Mokhsein serta isterinya menghadiri majlis perkahwinan Hartini Noor di Kuantan.

 

Inti Pati Bab

 

Bab 1: Warisan?

– Apabila Haji Badrul meninggal dunia akibat barah dalam perut, Farid yang baru berusia 19 tahun terpaksa menerajui Perusahaan Batik Nusantara.

– Ibunya, Hajah Zaoyah terpaksa menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Farid kerana kakak sulungnya Latifah yang beranak lima tidak dilatih untuk mewarisi perniagaan ayahnya, Lotfi sudah 10 tahun hidup di atas kerusi roda kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya, manakala Farhan meninggal dunia, juga terlibat dalam kemalangan jalan raya.

– Hari pertama masuk ke pejabat syarikat yang terletak tidak jauh dari rumah, Farid sudah berasa risau. Fail menimbun, kewangan syarikat tidak kukuh, dan terdapat ejen yang tidak mahu membayar hutang.

– Tomsiah, kerani syarikat yang bekerja lebih 10 tahun menerangkan kedudukan syarikat. Menurut Tomsiah, kewangan syarikat masih mampu membayar gaji pekerja, tetapi pengeluaran batik dikurangkan kerana permintaan yang semakin kurang.

– Tomsiah kemudiannya menyerahkan nombor telefon kepada Farid. Farid segera menghubungi lelaki itu menerusi telefon untuk meminta pandangan daripadanya.

 

Bab 2: Menggapai Awan

– Bagi Farid, kematian ayahnya kerana ketentuan Allah, bukan kerana buatan orang yang dengki terhadap syarikat.

– Dia kemudian melawat bengkel untuk melihat kerja-kerja mengecap batik. Pak Nik, pekerja syarikat itu menerangkan keadaan syarikat batik keluaran syarikat tidak laku dan wujudnya sebuah syarikat yang mahu menggerhanakan syarikat mereka, tetapi Pak Nik tidak menjelaskan syarikat pesaing tersebut.

– Kemudian Tomsiah menunjukkan kepada Farid akan bil hutang yang perlu dijelaskan segera untuk mengelakkan saman daripada mahkamah.

– Memikirkan hutang syarikat yang banyak, Farid memikirkan kemungkinan menjual untuk harta syarikat seperti lori dan dua buah van.

 

Bab 3: Titian Niaga

– Kedudukan syarikat yang tidak stabil telah menghilangkan selera Farid untuk makan. Masalah syarikat diluahkan kepada ibunya.

– Bagi Farid, syarikat tidak akan mampu membayar hutang kepada ejen pembekal bahan-bahan mentah sekiranya gagal mengutip hutang daripada ejen yang menjual batik syarikat.

– Lotfi menyalahkan dirinya yang lumpuh hingga menyebabkan dia tidak mampu membantu menguruskan syarikat.

– Pada malam hari, Farid berbincang dengan ahli keluarganya untuk menyelesaikan masalah syarikat. Farid tidak mahu syarikat ditutup kerana akan menyebabkan kakitangan yang setia seperti Tomsiah dan Pak Nik kehilangan mata pencarian.

– Untuk mengukuhkan kewangan syarikat, Hajah Zaoyah bercadang mahu menggadaikan emas dan tanah miliknya. Baginya, tidak ada maknanya jika harta tersebut disimpan jika masalah syarikat tidak dapat diselesaikan.

 

Bab 4: Azam Usahawan Muda

– Sejak jam 7:00 pagi lagi Farid sudah berada di pejabat. Kemudian dia meninjau bengkel batik. Diperhatikan sekitar bengkel masih luas, keseluruhannya seluas dua hektar.

– Apabila Pak Nik tiba, diluahkan keinginannya untuk membesarkan bengkel sekiranya kewangan syarikat semakin kukuh.

– Kemudian, dia teringat rakannya Abdul Kabeer dan Chew Teck yang gigih menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan. Kejayaan mereka berdua memberi kekuatan kepada Farid untuk memajukan syarikat.

– Pada jam 9:00 pagi, Farid mengadakan mesyuarat syarikat buat kali yang pertama. Selain Farid, Tomsiah, dan Pak Nik, lima orang yang hadir dalam mesyuarat tersebut termasuk drebar, dua orang jurujual, dan ketua pembatik.

– Tujuan penubuhan syarikat pada peringkat awal adalah untuk membekalkan batik ke kedai kecil, gerai pakaian, arked di Pantai Timur, serta memenuhi permintaan pemborong batik untuk dibekalkan kepada badan-badan pertubuhan.

– Bagi Farid, jika tujuan penubuhan tidak diubah, jumlah pengeluaran tidak akan bertambah. Farid mencadangkan pengeluaran batik dalam bentuk pakaian siap dengan jenama tersendiri dan dijual melalui peruncit di bandar besar di Pantai Barat, selain menyertai pelbagai pameran dan ekspo.

– Farid mencadangkan bengkel diperbesar dan mesin baharu perlu dibeli. Usaha tersebut melibatkan kewangan yang besar dan masalah tersebut dapat diatasi dengan bantuan ibunya yang sanggup menggadai emas dan tanah.

 

Bab 5: Langkah Pertama

– Farid mengunjungi pejabat pemborong binaan Nadi Zaman kepunyaan Mokhsein, bekas pekerja ayahnya satu ketika dahulu. Mokhsein pernah bekerja dengan Haji Badrul lebih 10 tahun dan terhutang budi kepada Haji Badrul kerana mendidiknya dalam dunia perniagaan.

– Beliau meninggalkan Syarikat Batik Nusantara untuk memulakan perniagaan sendiri ketika syarikat dalam kedudukan kewangannya yang mantap dan terkenal. Farid menceritakan keadaan aliran tunai syarikatnya yang tidak lancar.

– Mokhsein memaklumkan, terdapat sebuah syarikat pesaing di Kuala Terengganu yang mahu memonopoli pengeluaran batik dengan menjual batik dengan harga yang murah untuk memastikan syarikat yang sedia ada muflis.

– Mokhsein kemudian menerangkan akan perlunya Farid menjalankan “strategi terkunci” jika mahu syarikatnya kukuh kembali, iaitu mengadakan promosi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, mengadakan demonstrasi batik di Kuala Lumpur, mendapatkan kontrak dengan agensi kerajaan yang bertujuan membekalkan pakaian rasmi persatuan atau pertubuhan, dan akhir sekali mengadakan pameran bertaraf antarabangsa.

– Seterusnya, Mokhsein berjanji untuk membantu Farid jika dia menghadapi masalah.

 

Bab 6: Ilham daripada Zuraida

– Zuraida berniaga pakaian di bazar MARA di Jalan Banggol sejak tujuh tahun lalu. Sejak bangku sekolah lagi dia berniaga untuk membantu ibunya, seorang janda anak lima. Sebelum mendapat gerai, selama tiga tahun dia berniaga menjual minuman dan makanan ringan tanpa lesen sehinggakan sering diburu oleh penguat kuasa.

– Kini dia mengetuai pengurusan gerai tersebut dengan dibantu adik-adiknya. Farid, rakan sekelasnya ketika berada di tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Budiman datang berkunjung untuk bertanya khabar.

– Zuraida menjelaskan bahawa ibunya mengajar supaya menggunakan modal semula jadi untuk menjalankan perniagaan, iaitu kesabaran dan bermanis muka ketika melayan pelanggan. Setelah tiga jam bersembang, Farid kembali ke pejabatnya.

 

Bab 7: Batik, Cinta

– Seminggu kemudian, Farid berkunjung lagi di gerai Zuraida. Dia mengajak gadis itu makan tengah hari. Ketika mereka berdua makan, gerai tersebut dijaga oleh adik Zuraida, Zaharah.

– Sewaktu bersembang, Zuraida melahirkan rasa bangga terhadap Farid kerana daripada seramai 40 orang murid Tingkatan 5 Sastera 1, Farid sahaja yang menjadi pengarah syarikat.

– Seterusnya, Zuraida berjanji mahu membantu Farid dengan menjualkan batik di gerainya tanpa mengenakan sebarang komisen. Pakaian di gerainya berjaya dijual lebih daripada 400 helai pada hari biasa, namun dia mencadangkan Farid mengeluarkan batik corak baharu untuk menarik perhatian pembeli.

– Pelancong yang berkunjung ke Kuala Terengganu juga boleh singgah untuk melihat proses menghasilkan batik, seiring dengan minat pelancong.

 

Bab 8: Corak Baharu

– Farid membelek-belek batik asli Cap Sarang keluaran syarikatnya di pejabatnya. Dia juga mengakui kehebatan batik asli, namun kemahuan pelanggan juga juga harus diutamakan.

– Dalam pertemuan ketiga dengan Zuraida, gadis itu mencadangkan dia mengeluarkan batik canting (batik lukis). Idea tersebut mendapat respons baik daripada Tomsiah.

– Masalahnya kos pengeluaran agak tinggi kerana batik itu perlu dibuat di atas kain sutera. Farid bertemu Mokhsein untuk meminta pandangannya.

– Farid menyiapkan kertas kerja “Projek Pembesaran Keupayaan Pengeluaran Batik Cap dan Perintis Batik Lukis Syarikat Batik Nusantara”.

– Seterusnya, setelah meneliti penyata akaun Syarikat Batik Nusantara, Mokhsein mengagumi usaha yang dilakukan oleh Farid kerana hutang-hutang dapat dikutip secara maksimum dan modal meningkat hasil jualan kenderaan, gadaian tanah, dan barang kemas.

– Mokhsein meyakini usaha Farid akan membuahkan hasil. Projek itu kelak akan menjadi rantai ekonomi dan seterusnya meningkatkan martabat industri kampung. Pengetahuan untuk  mengembangkan projek boleh diperoleh menerusi khidmat nasihat daripada MARA dan MIDA.

– Mokhsein berjanji akan membantu Farid daripada aspek pemasaran. Seterusnya, Farid membina bengkel tambahan dengan modal sebanyak RM75 ribu. Hal berkaitan tenaga pengajar batik moden akan diuruskan oleh Mokhsein.

 

Bab 9: Batik Sumber Rezeki

– Sebagai seorang usahawan yang berjaya, Mokhsein diundang untuk merasmikan bangunan bengkel batik moden. Majlis dijalankan secara sederhana dengan doa selamat dan jamuan makan yang turut dihadiri oleh 200 orang penduduk kampung. Pada hari tersebut, Hartini Noor, adik sepupu Mokhsein datang. Hartini Noor diberi tanggungjawab untuk mereka corak batik, selain membimbing pekerja baharu berkaitan batik canting.

– Zuraida melahirkan rasa cemburu terhadap kehadiran Hartini Noor.

– Seterusnya, Mokhsein mencadangkan kepada Farid agar mencari pekerja tempatan, sebagai tambahan kepada 50 orang pekerjanya yang sedia ada.

– Pada hari yang lain, Farid meninjau kerja-kerja di bengkel. Dia berasa kagum melihat hasil lukis yang dibuat oleh Hartini Noor. Menurut Hartini Noor, kerja-kerja mencanting oleh pekerja baharu seramai tujuh orang itu amat membanggakan.

– Pak Nik pula mengingatkan Farid tentang gaji Hartini Noor yang sewajarnya setimpal dengan usaha yang dilakukan.

– Hartini Noor menghabiskan masa selama lapan jam di bengkel. Banyak corak batik moden telah dihasilkan. Lima orang pekerja ditambah. Farid mahu memasarkan batik tersebut menerusi ejen baharu.

 

Bab 10: Maafkan Aku, Eda

– Farid mengunjungi Zuraida di gerainya untuk menghilangkan rasa cemburu di jiwa rakannya itu. Farid menjelaskan bahawa Hartini Noor sudah bertunang dengan pereka bentuk dalaman dan bekerja selama sebulan sahaja di syarikatnya.

– Kemudian Farid mengajak Zuraida mengelilingi beberapa negeri untuk memperkenalkan dan seterusnya melantik ejen baharu untuk memasarkan batik keluaran syarikatnya.

– Pada hari yang lain, jam 5:00 petang, Zuraida melihat kerja-kerja mencanting di bengkel. Dia menutup gerainya pada hari itu. Pada kesempatan itu, Zuraida bersembang dengan Hartini Noor. Zuraida berasa kagum melihat hasil kerja seni Hartini Noor yang pelbagai corak untuk pelbagai kegunaan seperti skarf, sapu tangan, alas meja, dan sarung kusyen.

– Selepas itu, Zuraida berkenal mesra dengan keluarga Farid. Lewat petang, Farid menghantar Zuraida balik dengan kereta Peugeot peninggalan arwah ayahnya.

 

Bab 11: Bara Dendam

– Mukhtar berasa marah apabila mendapat laporan daripada ejennya di Seremban bahawa batik keluaran syarikatnya, Syarikat Batik Rajawali tidak mendapat sambutan dengan alasan batik keluarannya bercorak lama. Sebelum ini dilaporkan batiknya tidak dapat dijual di Johor Bahru.

– Modal sudah banyak dikeluarkan, stok batik masih banyak yang tidak dijual, dan ejen pula diberi keuntungan jualan sebanyak 35 peratus. Jika masalah itu tidak diselesaikan, Syarikat Batik Rajawali boleh bankrap.

– Selama ini dia berjaya memecahkan monopoli batik keluaran Syarikat Batik Nusantara. Menurut seorang ejennya, jika syarikat memberi komisen 50 peratus sekalipun, batik tidak dapat dijual kerana pengguna lebih tertarik dengan batik bercorak baharu.

– Mukhtar yakin, batik pilihan pengguna sekarang adalah keluaran pesaingnya, Syarikat Batik Nusantara.

– Mukhtar kemudiannya pergi ke gerai anak saudaranya, Zuraida. Dia mendapati terdapat batik bercorak baharu dijual di gerai Zuraida. Setelah didesak, akhirnya Zuraida mengakui bahawa dia menjadi ejen menjual batik syarikat Farid.

– Mukhtar melarang Zuraida menjual batik tersebut. Berlaku pertengkaran. Akhirnya, Mukhtar memberi amaran agar Zuraida tidak menjual batik itu dan jika masih degil, dia akan merobohkan gerai Zuraida.

– Farid pula menerima amaran keras dalam bentuk surat layang. Dia diingatkan agar memutuskan hubungannya dengan Zuraida dan memastikan batik keluarannya tidak menguasai pasaran. Diingatkan juga, jika amaran tersebut tidak dipandang serius, padah yang lebih besar akan menanti.

– Surat layang tersebut kemudian ditunjukkan kepada ibu dan abangnya. Hajah Zaoyah mahu perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

 

Bab 12: Samseng

– Farid mendapat panggilan telefon daripada Zuraida yang meminta Farid segera ke gerainya. Ada hal mustahak untuk dibincangkan. Apabila Farid tiba di gerai Zuraida, gadis itu meminta Farid ke rumahnya. Farid dalam keadaan tertanya-tanya akur mengikut cadangan Zuraida ke rumahnya di Kampung Tanjung.

– Setelah menikmati hidangan yang ala kadar, Zuraida menceritakan larangan bapa saudaranya agar tidak menjual batik moden yang dikeluarkan oleh syarikat Farid. Zuraida menjelaskan perasaan serba salahnya.

– Di bengkel membuat batik moden kepunyaan Farid, Mahmood, pekerja Mukhtar mencari Azmi dan Masri. Mahmood tidak berpuas hati kerana dua lelaki itu telah meninggalkan Syarikat Batik Rajawali.

– Apabila dua lelaki itu ditemui, Mahmood memarahi Azmi dan Masri. Namun Azmi dan Masri memberi alasan meninggalkan syarikat kerana tidak dibayar gaji walaupun sudah bekerja selama dua bulan. Berlaku pertengkaran antara mereka.

– Hartini Noor meminta Mahmood meninggalkan tempat itu jika mahu membuat kacau, namun Mahmood tidak berganjak. Hartini Noor mencari Farid kerana bimbang berlaku sesuatu yang buruk, tetapi Farid tidak ditemui.

– Apabila bertemu Pak Nik, Hartini Noor menjelaskan kejadian yang berlaku. Apabila Pak Nik bertemu Mahmood, Mahmood dengan lagak samseng memarahi Pak Nik kerana mencuri pekerja syarikat milik majikannya.

– Mahmood yang hilang sabar kemudiannya mencekik leher baju Azmi. Mahmood yang seakan-akan hilang akal mahu memasukkan kepala Azmi ke dalam kawah yang mengandungi lilin panas.

– Disebabkan Masri tiada pilihan lain untuk menyelamatkan Azmi, dia menerpa ke arah Mahmood lalu mencurahkan lilin panas dari canting ke muka Mahmood. Mahmood menjerit kepanasan.

– Pak Nik mahu menangkap Mahmood tetapi lelaki itu berlari menuju ke pintu pagar untuk menyelamatkan diri. Apabila Farid pulang, Pak Nik segera menceritakan kejadian yang baru berlaku.

 

Bab 13: Api

– Ketika jam menunjukkan pukul 2:00 pagi, seisi rumah Hajah Zaoyah dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat. Penghuni rumah terjaga. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bengkel tempat pengeluaran batik moden dijilat api.

– Farid berusaha memadamkan kemaraan api dengan alat pemadam api, tetapi gagal. Jiran tetangga datang dan cuba membantu. Menurut Farid, terdapat banyak tong gas di dalam bengkel itu.

– Pasukan Bomba dan Penyelamat datang memadamkan api tersebut. Kakitangan Tenaga Nasional juga datang untuk memutuskan bekalan elektrik untuk mengelakkan api merebak ke seluruh bangunan. Akhirnya, bengkel tersebut tinggal rangka. Lebih 75 peratus peralatan dan bahan mentah

untuk membuat batik musnah.

– Farid terpaku di hadapan bengkel hingga azan subuh berkumandang. Farid menerima dugaan yang menimpanya sebagai takdir.

– Apabila pekerja tiba, Farid mengarahkan pekerja batik asli bekerja seperti biasa kerana bengkel batik asli tidak terjejas. Sementara itu, mereka yang bekerja di bengkel batik moden diarahkan membantu mana-mana kerja yang perlu.

– Pasukan polis, Pasukan Bomba dan Penyelamat, dan kakitangan Bahagian Forensik dari Jabatan Kimia Malaysia datang untuk menyiasat. Kemudian pegawai penyiasat daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat merumuskan bahawa kebakaran berlaku angkara perbuatan sabotaj.

– Ketika itu, Farid teringat surat layang dan ancaman daripada lelaki yang membuat kacau di bengkelnya. Pihak polis yakin kebakaran itu bermotifkan jenayah lalu meminta Farid mengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan.

– Di balai polis, Inspektor Rusman menjelaskan, pihaknya telah memberkas Mahmood di sebuah klinik ketika lelaki itu sedang menerima rawatan kerana tersiram lilin batik.

– Mahmood mempunyai rekod jenayah dan merupakan pekerja Syarikat Batik Rajawali. Pemilik syarikat tersebut ialah, Mukhtar bin Yusof dan kini pihak polis berusaha untuk memberkasnya.

– Pulang dari balai polis, Zuraida sudah berada di rumahnya. Apabila Farid memaklumkan kebakaran dirancang oleh Mukhtar, ibunya dan Zuraida amat terkejut.

 

Bab 14: Ombak

– Penangkapan Mukhtar atas tuduhan membakar bengkel kepunyaan Farid telah disiarkan oleh akhbar. Mukhtar didakwa mengupah tiga orang samseng untuk melakukan perbuatan tersebut. Rayuan Mukhtar untuk diikat jamin telah ditolak oleh hakim.

– Tiga hari selepas peristiwa kebakaran bengkel, Mokhsein datang ke bengkel Farid sekembalinya dari Singapura. Mokhsein memberitahu bahawa dia juga menerima surat ugutan daripada Mukhtar agar tidak membantu perniagaan Farid.

– Kemudian Mokhsein memberitahu khabar gembira, iaitu dua buah butik di Singapura dan Ampang Park mahu melanggani batik moden keluaran Farid. Mokhsein berjanji akan membantu Farid menjadi pembekal pakaian siap.

– Kata-kata itu memberi semangat semula ke dalam jiwa Farid. Zuraida pula menjelaskan, kerana kekurangan ilmu dalam bidang perniagaan, dia mengikuti kursus luar kampus dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di UiTM Dungun pada setiap hujung minggu.

– Zuraida mencadangkan, agar Farid menimba ilmu lagi memandangkan terdapat banyak kolej di Kuala Terengganu.

– Seterusnya, ketika Farid tertidur pada siang hari, dia bermimpi Mahkamah Rendah Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman terhadap Mukhtar. Farid pula membeli syarikat kepunyaan Mukhtar yang hampir dilelong oleh bank. Kemudian Farid menemui Mukhtar dan memaafkan kesalahan lelaki itu.

– Apabila dia terjaga, ibunya memaklumkan bahawa Mukhtar kini berada di Penjara Marang dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun.

– Kemudian Farid dan Zuraida mengikuti Mokhsein serta isterinya menghadiri majlis perkahwinan Hartini Noor di Kuantan.

 

Tema

Kegigihan remaja dalam usaha untuk memajukan syarikat.

 

Persoalan

(a)    Jatuh bangun dalam mengharungi dunia perniagaan.

(b)    Kegigihan dalam memajukan dunia perniagaan.

(c)     Kesederhanaan dalam kehidupan.

(d)    Kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan warisan keluarga.

(e)    Sikap manusia yang sanggup membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.

(f)      Ketaatan dan kepatuhan seorang anak terhadap ibu dan ajaran agama.

 

Watak dan Perwatakan

Farid

(a)    Berusia 19 tahun dan bertubuh sederhana.

(b)    Bertanggungjawab menerajui Syarikat Batik Nusantara.

(c)     Bersikap sederhana.

(d)    Penyayang terhadap ahli keluarga dan rakan baik.

(e)    Bersikap rasional dalam mengambil tindakan.

(f)      Mengamalkan semangat bermasyarakat.

(g)    Rajin berusaha untuk memajukan syarikat.

(h)    Taat pada ajaran agama.

(i)      Berani dalam membuat tindakan.

(j)      Bersifat tabah dan penyabar.

 

Mokhsein

(a)    Bertubuh gelap, berwajah bulat dan tampan.

(b)    Pemilik Syarikat Nadi Zaman.

(c)     Mengenang budi.

(d)    Baik hati dan berhemah tinggi.

(e)    Bijak dalam menyusun strategi pemasaran perniagaan.

 

Hajah Zaoyah

(a)    Hajah Zaoyah berusia 56 tahun dan balu kepada Allahyarham Haji Badrul, pemilik Syarikat Batik Nusantara.

(b)    Dia mempunyai enam orang anak.

(c)     Seorang ibu yang penyayang.

(d)    Seorang yang gigih dalam mengharungi cabaran dan masalah dalam perniagaan.

(e)    Seorang yang berani menanggung risiko dalam menguruskan perniagaan.

(f)      Seorang ibu yang sanggup berkorban untuk memajukan perniagaan.

(g)    Seorang yang bijak dan rasional dalam membuat tindakan.

 

Zuraida

(a)    Zuraida berusia 19 tahun dan merupakan rakan sekelas Farid dari tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Budiman.

(b)    Dia berniaga pakaian di bazar MARA di Jalan Banggol sejak tujuh tahun lalu dengan dibantu oleh adik-adiknya.

(c)     Seorang yang gigih dalam perniagaan.

(d)    Seorang yang mudah cemburu.

(e)    Seorang yang berpandangan jauh dalam mencorak masa depan.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Permulaan – Farid yang baru berusia 19 tahun terpaksa menerajui Perusahaan Batik Nusantara yang telah diusahakan selama 20 tahun. Ibunya, Hajah Zaoyah menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Farid. Farid mengadakan mesyuarat syarikat buat kali yang pertama dengan pekerja-pekerjanya.

 

(b)    Perkembangan – Zuraida berjanji mahu membantu Farid dengan menjualkan batik di gerainya tanpa mengenakan sebarang komisen, namun dia mencadangkan Farid mengeluarkan batik bercorak baharu untuk menarik perhatian pembeli. Farid bertemu Mokhsein untuk meminta pandangannya. Mokhsein diundang untuk merasmikan bangunan bengkel batik moden. Pada hari tersebut, Hartini Noor, jurulukis batik datang. Zuraida melahirkan rasa cemburu terhadap kehadiran Hartini Noor. Farid mengunjungi Zuraida di gerainya untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

 

(c)     Perumitan – Pemilik Syarikat Batik Rajawali, Mukhtar begitu marah apabila batik keluaran syarikatnya tidak mendapat sambutan dengan alasan batik keluarannya bercorak lama. Mukhtar yakin, batik pilihan pengguna sekarang adalah keluaran pesaingnya, Syarikat Batik Nusantara. Mukhtar memberi amaran agar Zuraida tidak menjual batik itu dan jika masih degil, dia akan merobohkan gerai Zuraida. Farid pula menerima amaran keras dalam bentuk surat layang agar memutuskan hubungannya dengan Zuraida dan memastikan batik keluarannya tidak menguasai pasaran. Di bengkel membuat batik moden kepunyaan Farid, Mahmood, pekerja Mukhtar mencari Azmi dan Masri. Berlaku pertengkaran antara mereka.

 

(d)    Klimaks – Berlaku kebakaran di bengkel tempat pengeluaran batik moden. Farid menerima dugaan yang menimpanya sebagai takdir. Pihak polis yakin kebakaran itu bermotifkan jenayah lalu meminta Farid mengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan. Di balai polis, Inspektor Rusman menjelaskan, pihaknya telah memberkas Mahmood di sebuah klinik ketika lelaki itu sedang menerima rawatan kerana tersiram lilin batik. Mahmood mempunyai rekod jenayah dan merupakan pekerja Syarikat Batik Rajawali. Pemilik syarikat tersebut ialah Mukhtar bin Yusof dan kini pihak polis berusaha untuk memberkasnya.

 

(e)    Peleraian – Tiga hari selepas peristiwa kebakaran bengkel, Mokhsein datang ke bengkel Farid sekembalinya dari Singapura. Mokhsein berjanji akan membantu Farid menjadi pembekal pakaian siap. Kata-kata itu memberi semangat semula ke dalam jiwa Farid iailah Mukhtar kini berada di Penjara Marang dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun. Kemudian Farid dan Zuraida mengikuti Mokhsein serta isterinya menghadiri majlis perkahwinan Hartini Noor di Kuantan.

 

Teknik Plot

(a)    Pemerian.

Contohnya, pengarang menggambarkan aktiviti yang dilakukan oleh keluarga Hajah Zaoyah pada waktu malam.

(b)    Dialog.

Contohnya, perbualan antara Farid dengan Tomsiah mengenai kedudukan kewangan Syarikat Batik Nusantara yang bergerak perlahan dan kurang memberangsangkan.

(c)     Imbas kembali.

Contohnya, Farid teringat kembali akan kata-kata bapanya bahawa dunia perniagaan tidak ubah seperti gelanggang persilatan yang dipenuhi dengan sepak terajang dan dipenuhi faktor politik dalam mengaut laba.

(d)    Imbas muka.

Contohnya, Mukhtar membayangkan wajah Farid yang hanya menangis ketika berdepan dengan masalah kurangnya pengalaman dan ilmu pengurusan perniagaan dalam menguruskan perniagaan batik milik keluarganya itu.

(e)    Saspens.

Contohnya, pembaca tertanya-tanya dan ingin mengetahui pemilik nombor telefon yang diberikan olehTomsiah kepada Farid. Pembaca juga tertanya-tanya sebab Tomsiah memberikan nombor telefon itu kepada Farid.

(f)      Kejutan.

Contohnya, pembaca terkejut dan tidak menyangka Masri akan bertindak menerpa ke arah Mahmood dan mencurahkan lilin panas dari canting batik ke muka Mahmood yang sedang mencekik leher baju Azmi untuk membenamkan kepalanya ke dalam kawah lilin yang panas itu.

(g)    Monolog.

Contohnya, Farid bermonolog sendirian apabila memikirkan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan setelah dia dilantik untuk menerajui Syarikat Batik Nusantara yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Kampung Losong, Kuala Terengganu.

(b)    Pejabat Pemborong Binaan Nadi Zaman.

(c)     Pejabat Syarikat Batik Nusantara.

(d)    Bangunan bengkel batik moden baharu.

(e)    Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

(f)      Pekarangan rumah keluarga Farid.

(g)    Sebuah gerai di bazar MARA di Jalan Banggol.

 

Latar Masa

(a)    Waktu subuh.

(b)    Waktu pagi.

(c)     Waktu tengah hari.

(d)    Waktu petang.

(e)    Waktu malam.

(f)      Pada hujung tahun 60-an.

(g)    Sejak tiga bulan yang lalu.

(h)    Lebih 20 tahun yang lalu.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang menjalankan perniagaan.

(b)    Masyarakat yang menyayangi ahli keluarga.

(c)     Masyarakat yang bertanggungjawab dalam menguruskan syarikat.

(d)    Masyarakat yang baik hati dan berhati mulia.

(e)    Masyarakat yang mengenang budi.

(f)      Masyarakat yang saling bekerjasama dalam memajukan syarikat.

(g)    Masyarakat yang penyabar berdepan dengan pelbagai kerenah manusia.

(h)    Masyarakat yang berani menghadapi cabaran dalam perniagaan.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab.

Contohnya, Assalamualaikum; Astaghfirullah.

(b)    Bahasa Inggeris.

Contohnya, window shopping; classmate.

(c)     Hiperbola.

Contohnya, Lidah api menjilat ganas apa-apa sahaja yang tercapai.

(d)    Personifikasi.

Contohnya, Rasa serba salah mula mencekik dirinya.

(e)    Repetisi.

Contohnya, “Kerja, kerja. Makan, makan,” ujar Hajah Zaoyah tegas.

(f)      Simile.

Contohnya, Syarikat yang ditubuhkan sejak hujung 60-an itu bagai pelita yang meliuk-liuk apinya.

(g)    Sinkope.

Contohnya, “Tak kisahlah tu,” tangkis Farid, tersenyum.

(h)    Peribahasa.

Contohnya, putih mata; gulung tikar; genggam bara api biar sampai jadi arang; diluah mati emak, ditelan mati bapa; kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

 

Nilai

(a)     Baik hati.

Contohnya, Mokhsein bersikap murah hati apabila bersedia membantu Farid memajukan Syarikat Batik Nusantara dan menerangkan perlunya Farid menjalankan “strategi terkunci” jika mahu syarikatnya kukuh kembali. 

(b)     Hormat-menghormati.

Contohnya, Farid selaku pengurus Syarikat Batik Nusantara dan para pekerjanya seramai 57 orang saling menghormati antara satu dengan yang lain ketika sama-sama memajukan perniagaan batik di syarikatnya itu.

(c)      Kasih sayang.

Contohnya, Hajah Zaoyah amat menyayangi anak-anaknya. Sebagai ibu, dia sanggup berkorban menjaga anaknya, Lotfi yang sudah 10 tahun hidup di atas kerusi roda kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

(d)     Keberanian.

Contohnya, Farid berani menanggung risiko untuk mengembangkan pemasaran syarikat batiknya dengan membina bengkel baharu yang bermodalkan RM75 ribu.

(e)     Ketaatan.

Contohnya, sebagai seorang muslim yang taat akan ajaran agama Islam, Farid tidak pernah mengabaikan solat lima waktu.

(f)       Ketabahan.

Contohnya, Farid tabah menerima dugaan kebakaran bengkel batik moden baharu itu dan menganggapnya sebagai takdir.

(g)     Semangat bermasyarakat.

Contohnya, Farid telah mengundang 200 orang penduduk kampung untuk merapatkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat ketika perasmian bengkel batik moden baharu.

(h)     Tanggungjawab.

Contohnya, Farid menjalankan tanggung-jawabnya menguruskan Syarikat Batik Nusantara dengan begitu baik setelah ibunya, Hajah Zaoyah meletakkan kepercayaan kepadanya untuk menguruskan syarikat tersebut selepas kematian bapa mereka.

 

Pengajaran

(a)    Kita perlulah bersikap sederhana dalam menjalani kehidupan.

Contohnya, Farid bersederhana dalam menjalani kehidupannya walaupun dia memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara.

(b)    Kita hendaklah mencurahkan kasih sayang terhadap ahli keluarga.

Contohnya, sebagai seorang ibu, Hajah Zaoyah sanggup berkorban menjaga anaknya, Lotfi yang sudah 10 tahun hidup di atas kerusi roda kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terlibat dalam kemalangan jalan aya.

(c)     Kita mestilah bersikap baik hati dengan membantu orang yang memerlukan.

Contohnya, Mokhsein bersikap baik hati apabila bersedia membantu Farid untuk memajukan Syarikat Batik Nusantara. Dia menyarankan agar Farid melaksanakan ‘strategi terkunci’ untuk membaik pulih keadaan syarikatnya.

(d)    Kita mestilah mengamalkan semangat bermasyarakat.

Contohnya, Farid telah mengundang 200 orang penduduk kampung semasa majlis perasmian bengkel batik moden yang baharu bagi merapatkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat.

(e)    Kita hendaklah tabah apabila diuji dengan musibah dan masalah.

Contohnya, Farid tabah menerima dugaan apabila bengkel batik moden baharunya terbakar dan menganggapnya sebagai takdir Tuhan.

(f)      Kita hendaklah bersabar apabila berdepan dengan pelanggan yang berbagai-bagai ragam.

Contohnya, Farid kagum akan kesabaran Zuraida melayani pelanggan yang pelbagai kerenah ketika berurus niaga di gerai pakaiannya di bazar MARA, Jalan Banggol.

Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages