Memaparkan catatan dengan label Puisi Tradisional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi Tradisional. Papar semua catatan

Selasa, 2 Mac 2021

Syair Burung Nuri

Kupasan Puisi Tradisional: Syair Burung Nuri


Maksud Setiap Rangkap

Rangkap

Maksud

1

Penyair menceritakan sebuah warkah yang ditulis oleh seorang yang dipandang hina sehinggakan kata-kata yang ditulisnya itu mungkin dianggap salah berdasarkan buah fikirannya yang kurang sempurna.

2

Menurut penyair, seseorang itu dianggap hina jika dia tidak berakal, bersikap kurang sopan, berakhlak rendah, dan hidup dalam keadaan miskin.

3

Penyair juga memohon maaf sekiranya perkara yang ditulis daripada perasaan kecewanya itu menghasilkan kata-kata yang kurang menarik dalam warkah tersebut.

4

Penyair menulis lembaran yang jelas tentang adab kepada pasangan yang sedang bercinta agar mereka tidak kecewa dan menjadikan surat sebagai saluran meluahkan perasaan.

5

Penyair menceritakan nasib malang yang ditempuhinya secara berulang kali sehingga boleh membawa kemudaratan dan menyebabkan dirinya sentiasa dalam keadaan sedih dan kecewa.

6

Penyair mengisahkan kehidupannya terumbang-ambing tanpa arah tuju, tidak terurus hingga melupakan makan dan minum.

7

Namun penyair tersedar bahawa tiada guna hidup dalam kekecewaan sehingga boleh menyebabkan kehidupannya menjadi hancur.

8

Penyair sedar apabila berada dalam keadaan yang sangat kecewa boleh menyebabkan fikirannya tidak waras. Sekiranya dituruti perasaan kecewa itu, penyair berfikir lebih baik mati daripada hidup dalam keadaan sebegitu.

 

Tema

Adab dalam kehidupan seseorang.

 

Persoalan

(a)    Kepentingan memiliki ilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

(b)    Kekecewaan yang boleh merosakkan kehidupan seseorang.

(c)     Kebijaksanaan dalam mengawal diri ketika bercinta.

(d)    Rasional dalam berfikir dan membuat tindakan.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Terdiri daripada lapan rangkap.

(b)    Berisi empat baris dalam setiap rangkap.

(c)     Semua baris merupakan maksud.

(d)    Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.

(e)    Terdiri daripada sepuluh hingga tiga belas suku kata sebaris.

(f)      Bentuknya terikat.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Inversi. Contohnya, Dituliskan sahifah supaya nyata.

(b)    Simile. Contohnya, Laksana cermin jatuh ke batu.

(c)     Sinkope. Contohnya, Sajak dan nazam banyak tak kena.

(d)    Repetisi. Contohnya, Hanyutlah badan ke sana ke mari.

(e)    Asonansi. Contohnya, Bermula warkah surat rencana. (perulangan vokal a).

(f)      Aliterasi. Contohnya, Gundahlah fikir tiada tertentu. (perulangan konsonan t).

 

Nilai

(a)    Kesedaran.

(b)    Merendah diri.

(c)     Rasional.

(d)    Hemah tinggi.

 

Pengajaran

(a)    Kita sepatutnya bersikap merendah diri .

(b)    Kita haruslah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.

(c)     Kita janganlah mementingkan percintaan dalam kehidupan.

(d)    Kita tidak boleh berputus asa.

(e)    Kita janganlah bertindak mengikut kata hati.

Share:

Khamis, 11 Februari 2021

Berbuat Istana Zaman Dahulu - Za'ba

Kupasan Puisi Tradisional:

Berbuat Istana Zaman Dahulu (Za'ba)


Maksud Rangkap

Rangkap

Maksud

1

Raja menitahkan orang besar berempat supaya membina sebuah istana yang dikelilingi parit dan tembok. Keempat-empat orang besar yang setia dan taat terhadap perintah raja itu pun memanggil Pawang Raja. Kemudian, Pawang Raja telah mengerahkan empat puluh empat orang tukang yang mahir bekerja siang dan malam untuk menyiapkan sebuah istana.

2

Setelah mengambil masa selama tujuh bulan dan tujuh purnama, akhirnya istana yang dilengkapi dengan segala kemudahan itu siap dibina. Istana yang besar tersergam itu mempunyai sembilan ruang utama, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong, dan dua belas anjung tinggi.

3

Istana yang dibina itu juga mempunyai tiga sudut yang

menempatkan lapan orang menteri. Sudut itu mempunyai reka bentuk dan seni ukiran yang amat unik buatannya, iaitu bertiang panjang maharaja lela dan bertiang tengah syukur menanti. Selain itu, galang-galang istana bermotifkan ular berang, kasau kecil bermotifkan puteri menyembah, dan kasau lentik bermotifkan helang terbang.

4

Keunikan seni ukiran dinding istana itu terletak pada corak hiasan dindingnya yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan berbunga dan unsur semula jadi. Ukiran seni bina Jawa dan Cina turut digunakan di samping motif haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti ular, layang-layang, dan sebuku garam.

5

Setelah istana itu siap dibina, semua tukang yang ditugaskan membina istana itu telah dibunuh agar tiada seorang pun tukang yang lain dapat meniru kehalusan corak dan keunikan seni bina istana tersebut. Istana baharu yang tersergam indah itupun dipersembahkan kepada raja dan permaisuri.

 

Tema

Seloka "Berbuat Istana Zaman Dahulu" bertemakan sindiran terhadap pemerintah yang mengutamakan kepentingan diri untuk kegemilangan peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyat bagi memenuhi kehendak dan cita-cita.

 

Persoalan

(a) Kegigihan dalam melakukan tugas.

(b) Kesetiaan rakyat tanpa berbelah bahagi kepada pemerintah.

(c) Kehalusan seni ukiran dan keunikan seni bina.

(d) Tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah.

(e) Ketelitian dalam reka bentuk istana.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Seloka

(a) Terdiri daripada lima rangkap.

(b) Bilangan baris dalam rangkap tidak sama, iaitu rangkap pertama: enam baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: enam baris, rangkap keempat: lapan baris, dan rangkap kelima: tiga baris.

(c) Setiap baris mengandungi dua hingga enam patah perkataan.

(d) Bilangan suku katanya antara lapan hingga tujuh belas suku kata.

(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: abbbcd, rangkap kedua: aabcde, rangkap ketiga: abcdeb, rangkap keempat: abcddefa, dan rangkap kelima: aba.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Anafora. Contoh:

 Tiang panjang maharaja lela,

 Tiang tengah syukur menanti.

(b) Kata arkaik. Contoh: utas; berbega; bersedelinggam.

(c) Inversi. Contoh: Garam sebuku sisa jeragan (sepatutnya Sisa jeragan sebuku garam).

(d) Metafora. Contoh: anjung tinggi; Tiang tengah.

(e) Personifikasi. Contoh: Tiang tengah syukur menanti; Lilit-melilit akar Cina.

(f) Repetisi. Contoh:

 Empat puluh empat tukang dan utas,

 Tujuh bulan tujuh purnama.

(g) Responsi. Contoh: Sepuluh dengan rembat guntung,

 Sebelas dengan pancung serong, Dua belas dengan anjung tinggi.

(h) Asonansi. Contoh: Galang-galangnya ular berang

(perulangan bunyi vokal a).

(i) Aliterasi. Contoh: Kasau kecil puteri menyembah

(perulangan bunyi konsonan k).

 

Nilai

1) Kepatuhan, Tanggungjawab

Raja menitahkan orang besar empat untuk membina istana berkota. Orang besar empat lalu memanggil Pawang Raja dan beliau mengerahkan empat puluh empat tukang yang pandai, bekerja tidak berhenti siang dan malam

 

2) Kegigihan

Selepas tujuh bulan, siaplah istana dengan segala kelengkapannya. Istana itu sangat besar dan mempunyai Sembilan ruang, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong dan dua belas anjung tinggi.

 

3) Ketelitian

Terdapat juga tiga sudut menteri delapan, tiang panjang maharaja lela dan tiang tengah syukur menanti. Galang-galangnya ular berang, kasau kecil puteri menyembah dan kasau lentik helang berbega

 

Pengajaran

(a) Kita sepatutnya taat akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian sesebuah negara.

(b) Kita hendaklah gigih berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah.

(c) Sebagai rakyat, kita mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.

(d) Kita perlu rajin bekerja dengan sungguh-sungguh untuk  memastikan segala perancangan yang dibuat berjaya membuahkan hasil.

(e) Kita haruslah mengamalkan sikap kerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Share:

Beberapa Petua Hidup - Za'ba

 Kupasan Puisi Tradisional:

Beberapa Petua Hidup - Za'ba


Maksud Setiap Rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

2

Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

3

Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan akan memudaratkan masyarakat.

4

Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata pedas dan kurang sopan, dia akan mengalami masalah yang besar.

5

Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa

bermasalah.

6

Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

7

Jika ilmu tidak dipelajari dengan sempurna, pasti ilmu itu kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

8

Ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat dituntut selagi rajin mahu menuntut ilmu.

9

Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya terdapat berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

10

Sifat budi pekerti seseorang dapat dikenali melalui rakan taulan yang didampinginya.

11

Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

12

Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang tinggi.

13

Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat memikat hati semua orang di kelilingnya.

14

Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

15

Seseorang yang membuat jasa, namanya akan disanjung pada setiap masa.

16

Saranan agar pembaca memperbaiki kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia.

17

Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah akan

menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

18

Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti melaknati orang yang berbuat demikian.


Tema

Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.

 

Persoalan

(a) Kegigihan untuk membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian manusia.

(b) Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.

(c) Rasional dalam membuat sebarang tindakan.

(d) Ketekunan dalam menuntut ilmu.

(e) Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.

(f) Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.

(g) Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Gurindam

(a) Terdiri daripada lapan belas rangkap.

(b) Setiap rangkap mempunyai dua baris.

(c) Setiap baris mempunyai tiga hingga enam patah perkataan.

(d) Bilangan suku kata antara sembilan hingga dua belas suku kata sebaris.

(e) Rima akhirnya sama, iaitu aa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Bahasa Arab. Contoh: khianat; laknat.

(b) Inversi. Contoh: Tentu dirimu kelak tersesat (sepatutnya Dirimu tentu tersesat kelak).

(c) Kata arkaik. Contoh: upas.

(d) Metafora. Contoh: taman pergaulan; mulut tajam dan kasar.

(e) Peribahasa. Contoh: Telunjuk lurus kelengkeng berkait.

(f) Repetisi. Contoh: Kurang fikir, kurang siasat.

(g) Simile. Contoh: Ibarat beringin, racun dan upas.

(h) Asonansi. Contoh: Perkataan tajam jika dilepas (perulangan bunyi vokal a).

(i) Aliterasi. Contoh: Dengan dilihat siapa kawannya (perulangan bunyi konsonan d).


Nilai

(a) Baik hati.

      Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.

(b) Kebijaksanaan.

      Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan

(c) Kerajinan.

     Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.

(d) Kerjasama.

      Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.

(e) Kesopanan.

      Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.

(f) Mengenang jasa.

     Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.

(g) Rasional.

      Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

(h) Setia kawan.

      Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.


Pengajaran

(a) Kita hendaklah berfikir secara rasional sebelum menuturkan kata-kata.

(b) Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.

(c) Kita sepatutnya menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain bagi mengelakkan sengketa.

(d) Kita perlu rajin belajar untuk menambah pengetahuan.

(e) Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga menjejaskan hubungan baik sesama manusia.




Share:

Popular Posts

Pages