Khamis, 11 Februari 2021

Beberapa Petua Hidup - Za'ba

 Kupasan Puisi Tradisional:

Beberapa Petua Hidup - Za'ba


Maksud Setiap Rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

2

Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

3

Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan akan memudaratkan masyarakat.

4

Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata pedas dan kurang sopan, dia akan mengalami masalah yang besar.

5

Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa

bermasalah.

6

Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

7

Jika ilmu tidak dipelajari dengan sempurna, pasti ilmu itu kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

8

Ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat dituntut selagi rajin mahu menuntut ilmu.

9

Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya terdapat berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

10

Sifat budi pekerti seseorang dapat dikenali melalui rakan taulan yang didampinginya.

11

Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

12

Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang tinggi.

13

Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat memikat hati semua orang di kelilingnya.

14

Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

15

Seseorang yang membuat jasa, namanya akan disanjung pada setiap masa.

16

Saranan agar pembaca memperbaiki kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia.

17

Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah akan

menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

18

Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti melaknati orang yang berbuat demikian.


Tema

Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.

 

Persoalan

(a) Kegigihan untuk membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian manusia.

(b) Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.

(c) Rasional dalam membuat sebarang tindakan.

(d) Ketekunan dalam menuntut ilmu.

(e) Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.

(f) Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.

(g) Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Gurindam

(a) Terdiri daripada lapan belas rangkap.

(b) Setiap rangkap mempunyai dua baris.

(c) Setiap baris mempunyai tiga hingga enam patah perkataan.

(d) Bilangan suku kata antara sembilan hingga dua belas suku kata sebaris.

(e) Rima akhirnya sama, iaitu aa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Bahasa Arab. Contoh: khianat; laknat.

(b) Inversi. Contoh: Tentu dirimu kelak tersesat (sepatutnya Dirimu tentu tersesat kelak).

(c) Kata arkaik. Contoh: upas.

(d) Metafora. Contoh: taman pergaulan; mulut tajam dan kasar.

(e) Peribahasa. Contoh: Telunjuk lurus kelengkeng berkait.

(f) Repetisi. Contoh: Kurang fikir, kurang siasat.

(g) Simile. Contoh: Ibarat beringin, racun dan upas.

(h) Asonansi. Contoh: Perkataan tajam jika dilepas (perulangan bunyi vokal a).

(i) Aliterasi. Contoh: Dengan dilihat siapa kawannya (perulangan bunyi konsonan d).


Nilai

(a) Baik hati.

      Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.

(b) Kebijaksanaan.

      Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan

(c) Kerajinan.

     Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.

(d) Kerjasama.

      Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.

(e) Kesopanan.

      Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.

(f) Mengenang jasa.

     Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.

(g) Rasional.

      Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

(h) Setia kawan.

      Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.


Pengajaran

(a) Kita hendaklah berfikir secara rasional sebelum menuturkan kata-kata.

(b) Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.

(c) Kita sepatutnya menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain bagi mengelakkan sengketa.

(d) Kita perlu rajin belajar untuk menambah pengetahuan.

(e) Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga menjejaskan hubungan baik sesama manusia.




Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages