Cinta Ahmad Mutawakkil
Sinopsis
Ahmad
Mutawakkil muncul secara tiba-tiba dalam keadaan cedera parah. Pakaiannya
dipenuhi darah serta lumpur di pintu surau kampungnya sebaik sahaja para makmum
selesai menunaikan solat maghrib. Situasi yang mencemaskan itu menimbulkan kejutan
dan tanda tanya kepada Imam Ngah Deraman, Penghulu Ibrahim Sigap, dan seluruh
makmum di surau kampung mengenai punca kejadian itu berlaku. Ahmad mutawakkil
yang cedera parah telah dibaringkan oleh Penghulu Ibrahim Sigap. Dalam keadaan
nafasnya tercungap-cungap, dia rebah lalu pengsan.
Melalui
teknik imbas kembali, penulis menceritakan kisah penerokaan kampungnya sejak
tiga generasi yang lalu. Mereka telah meneroka tanah kebun dan sawah padi.
Selepas itu, bermula pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga telah
datang ke kampung itu untuk meneroka belukar. Tuan Booth mengupah beratus-ratus
orang buruh termasuklah penduduk kampung penulis untuk menanam pokok-pokok
getah. Kemudian, Tuan Booth telah membawa masuk 15 buah keluarga buruh
berketurunan India untuk bekerja di estet getahnya. Seterusnya, kisah riwayat
hidup Ahmad Mutawakkil yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya, Wak
Sadir. Ahmad Mutawakkil terpaksa menumpang hidup dengan Tuan Booth selama tiga
tahun.
Pendaratan
askar Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 ternyata mengubah suasana damai di
kampung penulis. Penulis mengimbas kembali kisah Tuan Booth sekeluarga yang
terpaksa meninggalkan banglo di estetnya seminggu sebelum kemaraan askar Jepun
dan kisah kesulitan seluruh penduduk kampung pada zaman pendudukan Jepun itu.
Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga telah menyebabkan Ahmad Mutawakkil hidup
terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam Ngah Deraman telah
menjadikan Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Sejak itu, Imam Ngah
Deraman selalu menceritakan perihal Ahmad Mutawakkil kepada penduduk kampung
termasuklah kepandaiannya membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Pada tahun
1943, Ahmad Mutawakkil telah bekerja di bandar.
Pada tahun
1945, Ahmad Mutawakkil memberitahu Imam Ngah Deraman bahawa bandar Hiroshima
dan Nagasaki di Jepun telah dibom dan askar Jepun terpaksa menyerah kalah dalam
perang dunia kedua. Ketika Ahmad Mutawakkil berusia 17 tahun, ketokohan dan
kehebatan Ahmad Mutawakkil sebagai pejuang nasionalis Melayu muda terserlah
apabila setiap tutur kata dan tindak-tanduknya sangat berpengaruh dan disegani
sama ada di kampung atau di seluruh daerah. Tuan Booth kembali banglo di
estetnya semula ke selepas Jepun menyerah kalah. Sikap peramah dan baik hati
Tuan Booth sekeluarga terhadap penduduk kampung telah mengeratkan hubungan
antara mereka.
Ketokohan
Ahmad Mutawakkil sebagai pejuang nasionalis Melayu amat ketara apabila beliau
secara lantang menolak perjuangan komunis dan menentang penjajahan Inggeris
melalui sesi pidato dan penulisannya dalam surat khabar. Pembabitan Ahmad
Mutawakkil sebagai wartawan telah berjaya meluaskan pengaruhnya sehingga
terpilih sebagai pemimpin nombor dua dalam parti peringkat daerah pada tahun
1952 yang dianggotainya. Pada masa yang sama, Sandra, iaitu anak gadis Tuan
Booth menyimpan perasaan kasihnya terhadap Ahmad Mutawakkil. Hubungan mereka
telah mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat kampung.
Pada tahun
1948, Parti Komunis Malaya mula menggila di Perak. Ahmad Mutawakkil pula
semakin rancak berkempen untuk menggesa rakyat menolak ideologi komunis yang
songsang itu. Keadaan itu telah menyebabkan lima orang pengganas komunis
menyerbu banglo Tuan Booth. Beliau diminta menyampaikan amaran mereka kepada
Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat membenci ideologi komunis.
Sungguhpun begitu, Ahmad Mutawakkil tidak mengendahkan nasihat Tuan Booth dan
Penghulu Ibrahim Sigap, malah dia semakin berani bersuara dengan lantang.
Pada malam
Jumaat selepas dia selesai menyampaikan ceramahnya, Ahmad Mutawakkil telah
didatangi oleh seorang budak lelaki di surau kampungnya. Ahmad Mutawakkil minta
diri untuk mengikut budak lelaki itu. Keesokan harinya, kehilangan Ahmad
Mutawakkil menimbulkan tanda tanya dan kegelisahan dalam kalangan penduduk
kampung apabila seharian dia tidak muncul di surau kampung itu. Tiga kumpulan
termasuk Tuan Booth telah dibentuk untuk mencari Ahmad Mutawakkil di seluruh
pelosok kampung, namun usaha mereka menemukan kegagalan.
Sesudah
solat maghrib, segala kerunsingan dan keresahan penduduk kampung terjawab
apabila Ahmad Mutawakkil muncul di surau kampungnya dalam keadaan cedera parah.
Dia meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman sambil menggenggam tangan
Penghulu Ibrahim Sigap akibat tembakan tiga butir peluru yang menembusi
belakang bahunya. Kematian Ahmad Mutawakkil amat dirasai oleh penduduk kampung
termasuklah penulis. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung telah mengadakan
majlis doa kesyukuran sebagai tanda meraikan kemerdekaan tanah air. Majlis
bacaan tahlil turut diadakan untuk mengenang jasa dan pengorbanan arwah Ahmad
Mutawakkil itu.
Tuan Booth
sekeluarga telah pulang ke England seminggu selepas kemerdekaan negara. Setahun
kemudian, Sandra kembali ke banglo peninggalan bapanya di estet getah itu. Lantaran
kenangannya yang tidak pernah lenyap atau demi kecintaannya terhadap Ahmad
Mutawakkil, dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.
Tema
Cerpen “Cinta Ahmad
Mutawakkil” bertemakan kegigihan seorang pemuda yang menghadapi pelbagai
cabaran dan tentangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Persoalan
(a) Kasih
sayang sebagai tali pengikat hubungan sesama anggota keluarga.
(b) Ketabahan
dalam mengharungi pelbagai kesulitan semasa zaman perang.
(c) Semangat
patriotisme yang tinggi dalam diri pejuang.
(d) Kisah
percintaan yang mendalam.
(e) Kerjasama
yang erat dalam masyarakat dapat mengeratkan perpaduan dan keselamatan
penduduk.
(f) Kekejaman
dan kezaliman pihak pengganas terhadap masyarakat.
Watak dan Perwatakan
Ahmad Mutawakkil
(a) Berusia
25 tahun ketika dia meninggal dunia akibat ditembak oleh pengganas komunis.
(b) Anak
tunggal Wak Sadir dan menjadi yatim piatu selepas kematian ayahnya.
(c) Mampu
membaca dan menulis bahasa Inggeris dengan baik.
(d) Bermisai
nipis seperti bulu roma.
(e) Bekerja
sebagai wartawan akhbar.
(f) Nasionalis
muda yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
(g) Petah
berpidato dan berani bersuara untuk menegak kebenaran melalui penulisannya
dalam surat khabar.
(h) Menghargai
jasa dan budi orang lain.
(i) Berhemah
tinggi.
(j) Sangat
berpengaruh sehingga dihormati oleh penduduk di kampungnya dan di seluruh
daerah.
(k) Pemimpin
parti yang berjiwa besar, iaitu dipilih memegang jawatan pemimpin nombor dua di
peringkat daerah walaupun ketika itu beliau baru berusia 24 tahun.
Tuan Booth
(a) Pengurus
ladang getah di estetnya.
(b) Berbangsa
Inggeris.
(c) Berasal
dari England.
(d) Mempunyai
seorang isteri dan seorang anak perempuan bernama Sandra.
(e) Berkulit
putih, gemar berseluar pendek, dan bertopi bulat.
(f) Majikan
kepada lima belas buah keluarga keturunan India yang bekerja sebagai buruh di
ladang getahnya.
(g) Murah
dengan senyuman.
(h) Baik
hati, peramah, dan pandai menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan.
(i) Bersifat
penyayang dan suka berterus terang.
Sandra
(a) Anak
tunggal kepada Tuan Booth.
(b) Berusia
27 tahun.
(c) Bermata
biru lembut dan berambut perang.
(d) Gadis
berbangsa Inggeris yang fasih berbahasa Melayu.
(e) Menyimpan
perasaan cinta terhadap Ahmad Mutawakkil secara diam-diam.
(f) Baik
hati dan penyayang.
(g) Setia
dalam percintaan.
Imam Ngah Deraman
(a) Imam
surau di kampung penulis.
(b) Taat
akan ajaran agama Islam.
(c) Bertanggungjawab,
rasional, dan berprasangka baik.
(d) Bersifat
penyayang.
Latar
Latar Tempat
(a) Surau
kampung penulis.
(b) Banglo
estet Tuan Booth.
(c) Estet
Ephill dan Estet Sungai Siput.
(d) Kampung
penulis.
(e) Estet
Tuan Booth.
(f) Kebun
kampung penulis.
(g) Sawah.
(h) England.
Latar Masa
(a) Pertengahan tahun 30-an.
(b) Waktu
pagi, petang, dan malam.
(c) Seminggu
sebelum Jepun mendarat di Tanah Melayu.
(d) Malam
Jumaat, bulan Ogos tahun 1953.
(e) 31
Ogos 1957.
(f) 31
Ogos 1958.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat
yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
(b) Masyarakat
berbangsa Melayu yang tinggal di kawasan perkampungan yang terpencil.
(c) Masyarakat
yang mengenang jasa pemuda yang telah banyak berkorban untuk membebaskan tanah
air daripada musuh.
(d) Masyarakat
yang menjadi mangsa keganasan pihak pengganas.
(e) Masyarakat
tempatan yang bertindak kejam dan sanggup menjadi pembelot terhadap negara.
(f) Masyarakat
penjajah asing yang mengaut keuntungan ekonomi tanah air.
(g) Masyarakat
yang menaruh perasaan cinta tanpa sempadan bangsa dan adat resam.
(h) Masyarakat
kampung yang gigih bertani demi keperluan sara hidup.
Plot
Binaan Plot
(a) Peristiwa-peristiwa
dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi.
(b) Pengenalan
– Penulis memperkenalkan watak Ahmad Mutawakkil yang muncul secara tiba-tiba di
pintu surau kampungnya sebaik sahaja para makmum selesai menunaikan solat
maghrib. Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah dan pakaiannya dipenuhi
darah serta lumpur.
(c) Perkembangan
– Penulis menceritakan kembali kisah kampungnya yang telah diteroka oleh
poyangnya sejak tiga generasi yang lalu. Pada pertengahan tahun 30-an, Tuan
Booth sekeluarga telah datang ke kampung itu untuk meneroka belukar dengan
mengupah beratus-ratus orang buruh dan ditanami dengan pokok getah. Kemudian,
lima belas buah keluarga buruh berketurunan India dibawa masuk untuk bekerja di
estet getah milik Tuan Booth itu. Seterusnya, diriwayatkan kisah hidup Ahmad
Mutawakkil yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya, Wak Sadir.
Penulis turut mengisahkan Ahmad Mutawakkil terpaksa menumpang hidup dengan Tuan
Booth selama tiga tahun.
(d) Perumitan
– Pendaratan askar Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 ternyata mengubah
suasana damai di kampung penulis. Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga menyebabkan
Ahmad Mutawakkil hidup terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam
Ngah Deraman menjadikan Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Tuan Booth
kembali ke banglo di estetnya semula selepas Jepun menyerah kalah. Sandra,
iaitu anak gadis Tuan Booth telah menyimpan perasaan terhadap Ahmad Mutawakkil.
Hal ini mengundang pelbagai persoalan mengenai hubungan mereka dalam kalangan masyarakat
kampung. Lima orang pengganas komunis telah menyerbu banglo Tuan Booth. Mereka mendesak
Tuan Booth supaya menasihati Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat
membenci ideologi komunis.
(e) Klimaks
– Ahmad Mutawakkil telah didatangi oleh seorang budak lelaki di surau pada
malam Jumaat selepas dia selesai menyampaikan ceramahnya. Keesokan harinya,
kehilangan Ahmad Mutawakkil menimbulkan tanda tanya dan kegelisahan dalam
kalangan masyarakat kampung. Gerakan mencari Ahmad Mutawakkil di segenap
pelosok kampung telah dijalankan oleh tiga kumpulan pencari termasuklah Tuan
Booth. Ahmad Mutawakkil gagal ditemukan.
(f) Peleraian
– Ahmad Mutawakkil meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman akibat
tembakan tiga butir peluru yang menembusi belakang bahunya. Pada malam 31 Ogos
1957, penduduk kampung telah mengadakan majlis doa kesyukuran untuk meraikan
kemerdekaan
tanah air
dan majlis bacaan tahlil sebagai tanda mengenang jasa arwah Ahmad Mutawakkil.
Setahun kemudian, Sandra kembali ke banglo peninggalan bapanya di estet getah
itu lantaran kenangannya yang tidak pernah lenyap terhadap Ahmad Mutawakkil.
Dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.
Teknik Plot
(a) Teknik
dialog. Contohnya, dialog antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra. Ahmad
Mutawakkil berasa terhutang budi atas kesudian Sandra mengajarnya menulis dan
membaca.
(b) Teknik
imbas kembali. Contohnya, penulis mengimbas kembali peristiwa kedatangan sebuah
keluarga Orang Putih ke kampungnya.
(c) Teknik
imbas muka. Contohnya, penulis membayangkan ketiadaan Sandra, anak gadis Tuan
Booth pada malam penyampaian pidato oleh Ahmad Mutawakkil di kampungnya
berkemungkinan disebabkan faktor kesihatan atau faktor merajuk.
(d) Teknik
kejutan. Contohnya, kemunculan Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah di
pintu surau pada permulaan cerita menimbulkan kejutan kepada pembaca sedangkan
dialah watak utama dalam cerpen ini.
(e) Teknik
monolog dalaman. Contohnya, penulis melahirkan rasa kesyukuran dalam hatinya
atas dua perkara walaupun ketika itu Jepun sedang menjajah negerinya itu.
(f) Teknik
pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Ahmad Mutawakkil sewaktu dia
muncul secara tiba-tiba di pintu surau kampungnya.
(g) Teknik
saspens. Contohnya, peristiwa kemaraan askar Jepun yang menyerang Tanah Melayu
pada tahun 1941 telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang nasib
penduduk kampung penulis.
Gaya Bahasa
(a) Bahasa
Arab. Contoh: solat maghrib; Alhamdulillah; syahadah.
(b) Metafora.
Contoh: wajah kampung; garisan perang; sayap parti.
(c) Paradoks.
Contoh: Suaranya bersahaja, tetapi setiap patah perkataan yang disebutnya cukup
untuk menyemarakkan hati sanubari kami.
(d) Peribahasa.
Contoh: anak angkatnya; menjaga tepi kain orang; minta diri.
(e) Personifikasi.
Contoh: diratah atau dirobek peluru; ketegangan merayap ke seluruh negara.
(f) Repetisi.
Contoh: Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.
(g) Simile.
Contoh: laksana lautan emas kala musim menuai; Darah membuak-buak bagai mata
air.
(h) Sinkope.
Contoh: “Dari dulu, saya tau awak bijak ... tapi saya tak sangka, awak akan
sehebat ini.”.
Nilai
(a) Nilai
kasih sayang. Contohnya, Tuan Booth amat menyayangi isteri dan anak
perempuannya, Sandra apabila dia bertindak membawa mereka meninggalkan banglo
di estetnya seminggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.
(b) Nilai
patriotisme. Contohnya, Ahmad Mutawakkil meniupkan api semangat patriotik
melalui penulisannya dalam surat khabar dan melalui ceramah yang disampaikannya
kepada masyarakat kampung.
(c) Nilai
keberanian. Contohnya, Ahmad Mutawakkil berani bersuara dengan lantang dan
secara terang-terangan membidas serta mengkritik perjuangan pihak komunis.
(d) Nilai
ketabahan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil tabah berdepan dengan pelbagai cabaran
dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan negara.
(e) Nilai
kebijaksanaan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil bijak memanfaatkan peluang semasa
menumpang di banglo Tuan Booth selama tiga tahun dengan belajar membaca dan
menulis bahasa Inggeris daripada Sandra.
(f) Nilai
bertanggungjawab. Contohnya, Imam Ngah Deraman bertanggungjawab mencari dan
membawa Ahmad Mutawakkil pulang ke rumahnya selepas Tuan Booth sekeluarga
meninggalkan banglonya seminggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.
(g) Nilai
kerjasama. Contohnya, tiga kumpulan pencari bekerjasama mencari jejak Ahmad
Mutawakkil yang hilang.
(h) Nilai
hormat-menghormati. Contohnya, Tuan Booth sekeluarga amat menghormati
masyarakat kampung penulis yang berbangsa Melayu.
(i) Nilai
mengenang jasa. Contohnya, penduduk kampung menganjurkan majlis doa kesyukuran
dan bacaan tahlil bagi mengenang segala pengorbanan Ahmad Mutawakkil sebagai
nasionalis muda yang telah banyak berjasa kepada penduduk kampung.
Pengajaran
(a) Kita
harus berani dalam melakukan sebarang tindakan.
(b) Kita
mestilah memupuk semangat cinta akan negara untuk memerdekakan tanah air
daripada anasir pengganas dan penjajah.
(c) Kita
perlu bekerjasama dan bantu-membantu dalam melakukan sesuatu perkara.
(d) Kita
hendaklah tabah menghadapi pelbagai kesulitan dan keperitan hidup pada zaman
perang.
(e) Kita
mestilah mengenang budi seseorang yang telah banyak berjasa kepada agama,
bangsa, dan tanah air.
(f) Kita
hendaklah mempererat ikatan kasih sayang sesama anggota keluarga sekali gus melindungi
mereka daripada sebarang bahaya atau ancaman.
(g) Kita
sepatutnya bijak merebut peluang untuk menambah ilmu.
0 ulasan:
Catat Ulasan