Kupasan Drama Bukan Gila (Sharif Shaary)
Sinopsis Bukan Gila
Azmir sedang dirawat di wad pesakit
jiwa Hospital Besar. Sewaktu berada di wad tersebut, Azmir telah berkhayal akan
kehadiran kekasihnya, iaitu Ani. Azmir meminta Ani membawanya keluar dari situ
tetapi Ani memberitahu Azmir bahawa mereka bahagia di tempat itu.
Kemudian, Azmir berkhayal lagi
tentang kehadiran ayahnya. Beliau bertanyakan khabar Azmir tetapi Azmir memanggil
Ani untuk mengusir ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa beliau sayang akan Azmir
tetapi Azmir menganggap ayahnya berbohong lalu berlaku pertelingkahan antara
Azmir dengan ayahnya. Kemudian, Azmir berkhayal tentang Pak Haji yang datang
melawatnya dan memberi salam. Azmir bertengkar pula dengan Pak Haji tentang
namanya yang bukan nama orang Melayu dan sikap manusia yang dikatakan oleh
Azmir bercakap lain tetapi berbuat lain.
Ani muncul semula. Azmir bertanya
tentang sebab Ani masih di sisinya. Sewaktu itu, Azmir dan Ani bercakap tentang
cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa cinta Ani masih bersifat
luaran.
Selepas memeriksa Azmir, doktor
membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad. Kesempatan itu diambil oleh Azmir
untuk keluar dari wad Hospital Besar. Azmir tiba di lokasi sekumpulan pelakon
drama yang sedang berlatih drama yang bertajuk Sasau. Azmir mengatakan bahawa
pelakon-pelakon drama Sasau itu sesat. Malah, Azmir memberikan pendapatnya
tentang sistem dalam kehidupan, iaitu sistem prorakyat.
Sewaktu Azmir memberikan pendapatnya
tentang sistem tersebut kepada para pelakon drama yang sedang berlatih itu,
kepalanya berasa sakit. Setelah sakitnya reda, Azmir memberitahu
pelakon-pelakon tersebut bahawa syarahannya dan penyakitnya adalah betul. Azmir
menjelaskan bahawa dia datang untuk membetulkan pelakon-pelakon itu bahawa
tidak ada yang sasau tetapi yang ada ialah ketidakbenaran, kepalsuan, dan
kepura-puraan. Azmir juga ditanya tentang gila. Sebaliknya, Azmir menjelaskan
bahawa bukan gila tetapi suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya.
Kemudian, Azmir menghantuk-hantukkan kepalanya sehingga berdarah. Azmir
menjelaskan bahawa tindakannya menghantukkan kepala itu adalah bukan disebabkan
dia gila tetapi akibat menderita suatu kesakitan yang tidak tertanggung dan tidak
terucap oleh kata-kata.
Doktor datang lagi dan menjelaskan
kedudukan sebenar Azmir. Doktor membawa Azmir pulang ke wad pesakit jiwa
semula. Setelah itu, Arif dan rakan-rakan pelakon mengunjungi ibu bapa Azmir.
Ibu bapa Azmir menjelaskan bahawa Azmir berkeadaan begitu sejak tingkatan enam
dan semakin teruk ketika di universiti. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar
bersama-sama membantu Azmir. Arif memberitahu ibu bapa Azmir bahawa Azmir
memerlukan kasih sayang, semangat, dan perangsang, bukannya cemuhan atau
penghinaan. Pelakon II memberitahu mereka bahawa dia melihat Azmir sedang
menghadapi suatu penderitaan yang sudah tidak tertanggung. Arif menasihati ibu
bapa Azmir agar segera mengunjungi Azmir sebelum terlambat.
Di wad pesakit jiwa, Azmir berkhayal
dan mengimbas kembali tentang kisah cintanya dengan Ani dan kisah hidupnya.
Ketika dia sedang berkhayal, dia menjadi lemah dan rebah ke lantai. Ani yang
berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad.
Kematiannya dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Berita itu
membuatkan Ani berasa bersalah dan bersikap kejam terhadap Azmir.
Tema
Drama “Bukan Gila” bertemakan ketabahan seorang
anak muda yang terpaksa melawan penyakit barah otak bersendirian.
Persoalan
(a)
Penghargaan
anak terhadap ibu bapanya.
(b)
Penghargaan
terhadap manusia budiman seperti petani, nelayan, serta buruh yang telah
membangunkan kesejahteraan rakyat dan negara.
(c)
Kesetiaan
seseorang terhadap kekasihnya.
(d)
Sikap
tidak ambil peduli masyarakat terhadap kesusahan dan kesakitan orang lain.
(e)
Kebenaran
hanya bersifat luaran dan terbit dalam kata-kata.
(f)
Kepentingan
wang dalam kehidupan.
Watak dan Perwatakan
Azmir
(a)
Menghidap
penyakit barah otak.
(b)
Mengalami
sakit jiwa.
(c)
Menerima
rawatan pesakit jiwa di Hospital Besar.
(d)
Bersikap
gila-gila sejak tingkatan enam.
(e)
Gagal
menghabiskan tahun akhir pengajiannnya di universiti.
(f)
Enggan
mengikut nasihat ibunya.
(g)
Bercinta
dengan Ani tetapi Ani telah meninggalkannya sewaktu dia berhadapan dengan
penyakit barah otak.
(h)
Mampu
bercakap loghat Indonesia.
Arif
(a)
Pengarah
drama Sasau.
(b)
Prihatin
terhadap keadaan Azmir.
(c)
Menasihati
ibu Azmir berkaitan dengan kasih sayang ibu terhadap anaknya.
(d)
Berjiwa
besar, iaitu sanggup belajar daripada Azmir untuk membantunya membikin drama
Sasau.
Doktor Razi
(a)
Merawat
Azmir yang dikatakan menghidap sakit jiwa.
(b)
Tidak
memahami penyakit yang dialami oleh Azmir.
(c)
Bersikap
baik terhadap Azmir kerana telah membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad.
Ibu Azmir
(a)
Beliau
mengesan sikap gila-gila Azmir sejak anaknya itu di tingkatan enam.
(b)
Tidak
mampu mengurus Azmir.
(c)
Tidak
menjaga anaknya kerana Azmir lebih suka tinggal di rumah neneknya.
(d)
Berasa
malu dengan sikap anaknya yang gila-gila.
Latar
Latar Tempat
(a)
Wad
pesakit jiwa, Hospital Besar.
(b)
Pentas.
Latar Masa
(a)
Waktu
siang.
(b)
Waktu
latihan.
(c)
Waktu
tingkatan enam.
(d)
Waktu
belajar di universiti.
Latar Masyarakat
(a)
Masyarakat
yang prihatin terhadap keadaan sebenar yang dihadapi oleh orang lain.
(b)
Masyarakat
yang tidak setia.
(c)
Masyarakat
yang tidak ambil peduli akan orang lain.
(d)
Golongan
ibu dan bapa yang tidak memberikan kasih sayang yang cukup kepada anak mereka.
(e)
Masyarakat
yang menderita sakit secara bersendirian.
Plot
Binaan Plot
(a)
Plot
drama ini disusun secara kronologi.
(b)
Pengenalan
– Azmir berada di wad pesakit jiwa di Hospital Besar seorang diri dan berada
dalam khayalan.
(c)
Perkembangan
– Azmir sentiasa berkhayal akan kehadiran Ani, kekasihnya yang sudah
meninggalkannya kerana Azmir dikatakan gila. Azmir juga berkhayal akan
kehadiran ayahnya yang menziarahinya di wad. Azmir bertelingkah dengan ayahnya
kerana dia beranggapan ayahnya tidak sayangkannya. Kemudian, Azmir berkhayal
pula tentang Pak Haji melawatnya di wad. Dia bertengkar dengan Pak Haji tentang
namanya dan sikap manusia yang tidak bertindak seperti yang dikatakan oleh
mereka. Azmir kembali berkhayal bahawa Ani datang mengunjunginya. Azmir
mempertikaikan kata-kata cinta Ani terhadap dirinya. Selepas itu, doktor melawat
Azmir di wad. Doktor memeriksa Azmir dan membenarkan Azmir bersiar-siar di luar
wad.
(d)
Perumitan
– Arif dan pelakon-pelakon lain ingin memantapkan kefahaman tentang tajuk drama
mereka, iaitu Sasau. Tiba-tiba Azmir datang dan mencelah sewaktu Arif dan
pelakon-pelakon lain membuat latihan drama. Azmir mempertikaikan dialog drama
Sasau yang mengagungkan kuasa. Azmir mengatakan bahawa sistem terbaik ialah
sistem yang prorakyat. Para pelakon berbincang dengan Azmir tentang sistem
tersebut. Tiba-tiba Azmir berasa sakit dan meminta pelakon memicit kepalanya.
(e)
Klimaks
– Azmir menghantuk-hantukkan kepala ke lantai sehingga berdarah. Azmir
berguling-guling di lantai kerana kesakitan dan darah masih mengalir di
pipinya. Arif dan pelakon-pelakon lain membantu Azmir. Selepas itu, doktor
membawa Azmir ke hospital semula. Arif cuba menerangkan kepada doktor bahawa Azmir
sedang menderita suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya. Doktor
mengatakan bahawa orang gila sememangnya pandai berkata-kata.
(f)
Peleraian
– Arif dan pelakon-pelakon lain mengunjungi ibu bapa Azmir di rumah. Mereka
menerangkan keadaan Azmir kepada Arif. Arif menjelaskan bahawa Azmir bukan
buat-buat gila tetapi sedang menderita suatu penderitaan. Pelakon 1 meminta ibu
bapa Azmir agar memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya. Arif
mencadangkan ibu bapa Azmir berjumpa dengan Azmir di hospital sebelum
terlambat. Di wad pesakit jiwa, Azmir mengimbau kenangan lalu antaranya dengan
Ani. Akhirnya, Azmir semakin lemah dan jatuh ke lantai. Ani yang berada di
rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad yang
dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Ani berasa bersalah dan
bersikap kejam terhadap Azmir.
Teknik Plot
(a)
Teknik
dialog. Contohnya, dialog antara Azmir dengan Ani semasa Azmir berkhayal akan
kehadiran kekasihnya itu ketika dirawat di wad pesakit jiwa, Hospital Besar.
(b)
Teknik
imbas kembali. Contohnya, bapa Azmir teringat akan waktu penyakit gila-gila
Azmir berlaku.
(c)
Teknik
monolog. Contohnya, Azmir bercakap seorang diri di wad pesakit jiwa.
Gaya Bahasa
(a)
Bahasa
Arab. Contoh: Assalamualaikum; Astaghfirullah; bertafakur.
(b)
Bahasa
Inggeris. Contoh: realistik; sensitif; profesionalisme; rasional; realiti.
(c)
Hiperbola.
Contoh: Saban hari manusia membunuh kemanusiaan; Sebuah cinta ialah sebuah
sengketa.
(d)
Imbuhan
pinjaman bahasa Inggeris. Contoh: prorakyat; pascaperang.
(e)
Metafora.
Contoh: angin kemudaan; angkasa kewujudan; padang kehidupan.
(f)
Repetisi.
Contoh: Hukum. (Sinis). Hukum pada hari ini hanya wujud pada nama
saja. Orang sering melanggar hukum. Hukum kata ada kasih sayang.
(g)
Simile.
Contoh: sistem yang baik adalah bagaikan segala nilai dan norma; Boleh jadi
lakonannya tu realistik, macam betul-betul.
Nilai
(a)
Nilai
keprihatinan. Contohnya, Arif, iaitu pengarah drama Sasau prihatin akan
kesakitan dan penderitaan yang ditanggung oleh Azmir. Arif juga memahami bahawa
Azmir tidak gila.
(b)
Nilai
kesetiaan. Contohnya, Azmir setia dengan cintanya terhadap Ani sehingga dia
terbayang-bayang Ani datang kepadanya walaupun hakikatnya, Ani telah
meninggalkannya.
(c)
Nilai
bertanggungjawab. Contohnya, Doktor Razi bertanggungjawab dalam menjalankan
tugasnya dengan mencari dan membawa Azmir ke wad pesakit jiwa semula.
(d)
Nilai
ilmu pengetahuan. Contohnya, Arif sanggup belajar daripada Azmir yang dikatakan
gila bagi memantapkan drama “Sasau”.
(e)
Nilai
menghargai. Contohnya, Azmir menghargai petani, nelayan, dan buruh yang telah
banyak memberi sumbangan demi kesejahteraan hidup orang lain.
(f)
Nilai
kasih sayang. Contohnya, bapa Azmir menziarahi Azmir yang dirawat di wad pesakit
jiwa.
(g)
Nilai
ketabahan. Contohnya, Azmir tabah melawan penyakit barah otak secara sendirian
sahaja.
Pengajaran
(a)
Kita
hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita dapat
membantu mereka.
(b)
Kita
hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan khianat.
(c)
Kita
haruslah bertanggungjawab terhadap semua tugas agar kita dapat memberikan
perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.
(d)
Kita
mestilah berilmu dan berpengetahuan untuk memahami kebenaran dan kesalahan.
(e)
Kita
haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak.
(f)
Kita
hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup agar kita tidak berputus asa atau mengalami
kekecewaan dalam hidup.
0 ulasan:
Catat Ulasan