S inopsis Hipertensi
Aiman
berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang sudah
gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah. Kemudian, cerita
berkisar tentang peristiwa masa lalu yang ditempuhi sepanjang perjalanan hidup
Aiman. Aiman teringat tentang Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac Newton,
saintis berbangsa Inggeris. Dalam sesi pengajaran subjek Sains pula, berlaku
perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga suasana di dalam
kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelarkan Aiman sebagai profesor disebabkan
kepintarannya dan mempunyai daya berfikir yang tinggi. Dia juga lebih matang
berbanding dengan rakannya yang lain.
Aiman
teringat akan kisahnya sebagai anak sulung. Dia mempunyai dua orang adik perempuan,
iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah. Ketika di rumah, Aiman selalu menyindir
adik-adiknya yang kurang bijak menyelesaikan masalah matematik. Ketika menuntut
di sekolah rendah, Aiman teringat perbuatannya yang selalu ponteng sekolah
akibat berasa bosan dan jelak dengan silibus sekolah rendah yang dikatakan
tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik pada waktu itu. Disebabkan
Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia gemar menyakat kawan-kawannya yang
agak lambat menyelesaikan latihan terutamanya mata pelajaran Matematik.
Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu
menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelasnya. Beliau melaporkan perkara
itu kepada ibu bapa Aiman. Bapa Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul
sehingga lebam.
Aiman
ponteng kelas kerana lebam pada pinggulnya masih belum hilang. Kesempatan itu
digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia penerokaan sains angkasa
lepas. Dalam imaginasinya itu, usia sedia adanya waktu itu ditambah sepuluh
tahun. Sebatang pohon nyiur dara di penjuru banglonya diandaikan sebagai tempat
berlepas ke angkasa dan sebuah kapal angkasa Soyuz. Sikap peliknya terhadap
dunia penerokaan sains angkasa lepas dengan menjadikan pohon kelapa dara
sebagai lokasi imaginasi telah diketahui oleh ibu bapanya. Kesudahannya, pinggul
Aiman dirotan oleh bapanya lagi. Ibunya hanya mampu memprotes tindakan bapanya
itu di dalam hati.
Aiman
semakin galak membayangkan dirinya sebagai angkasawan yang telah diberi peluang
mengikuti latihan intensif di bawah program aeroangkasa bersama dengan pihak
Rusia. Aiman membayangkan dirinya sebagai angkasawan yang akan mendarat di
bulan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari Stesen Angkasa Antarabangsa. Aiman
berpendapat bahawa dia perlu membuat kajian saintifik di Stesen Angkasa
Antarabangsa itu terlebih dahulu sebelum dia meneroka bulan. Seterusnya, daya
imaginasi Aiman semakin meluas apabila dia membayangkan dirinya berada di ruang
udarakasa bulan tanpa udara. Dengan berpakaian lengkap sebagai angkasawan, dia
dapat melihat ciri-ciri fizikal dan keadaan bulan yang sebenarnya.
Setelah
Aiman meningkat remaja, daya imaginasinya terhadap dunia penerokaan sains
angkasa lepas itu masih kuat. Keadaan tersebut menyebabkan bapanya yang tegas
dan kasar itu sering kali menampar Aiman yang kuat berangan-angan sehingga
menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap dalam
pertuturan, ibu bapa Aiman telah membawa Aiman menjalani latihan intensif dan
latihan terapi. Aiman terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di
bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya sendiri dalam kehidupan yang realiti dan
lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Aiman beranggapan bahawa ibu bapanya tidak
perlu membawanya untuk mengikuti latihan intensif dan latihan terapi itu.
Akhirnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu
memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.
Tema
Cerpen “Hipertensi” bertemakan
keinginan yang tinggi dalam bidang sains angkasa sehingga menyebabkan Aiman
Aqil membayangkan dirinya berada dalam suasana di angkasa.
Persoalan
(a) Tanggungjawab
ibu bapa terhadap anaknya.
(b) Kebijaksanaan
dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
(c) Rasional
dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan.
(d) Pengorbanan
seorang guru terhadap anak murid.
(e) Impian
dan angan-angan yang tidak kesampaian.
(f) Perasaan
dendam akibat kesalahan bapa pada masa lampau.
Watak dan Perwatakan
Aiman Aqil
(a) Berumur
hampir 20 tahun.
(b) Berwajah
agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan yang kurus runcing.
(c) Anak
sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah
Atiqah.
(d) Gagap,
iaitu mulutnya ternganga lebar dahulu sebelum keluar kata-kata.
(e) Mementingkan
pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
(f) Pintar
dalam pelajaran terutamanya subjek Matematik dan Sains.
(g) Menyimpan
angan-angan untuk menjadi angkasawan seperti Neil Armstrong.
(h) Gemar
menyakat orang lain.
(i) Suka
memberontak dan marah-marah.
(j) Menyimpan
dendam terhadap kebengisan bapanya yang sering merotan dan menamparnya.
(k) Insaf
akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan
harapannya ke hadrat Ilahi.
Bapa Aiman
(a) Bapa
kepada Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
(b) Bertugas
sebagai jurutera mekanikal.
(c) Dipanggil
dengan gelaran “babah” oleh Aiman dan anak-anaknya.
(d) Bertanggungjawab
membesarkan tiga orang anaknya di sebuah rumah.
(e) Pembengis
dan garang.
(f) Bapa
yang penyayang.
(g) Berusaha
merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan
intensif dan terapi.
Ibu Aiman
(a) Ibu
kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
(b) Saintis
dalam bidang geologi.
(c) Bersifat
penyayang.
(d) Isteri
yang taat dan patuh akan suami.
(e) Tetap
bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak.
Cikgu Faridah
(a) Guru
Sains di sekolah Aiman.
(b) Guru
yang dedikasi.
(c) Cepat
marah.
(d) Bijak
melihat potensi murid.
Latar
Latar Tempat
(a) Sekolah.
(b) Rumah
banglo Aiman.
(c) Stesen
Angkasa Antarabangsa.
(d) Ruang
udarakasa bulan.
(e) Pohon
kelapa dara di penjuru banglo.
Latar Masa
(a) Waktu
pagi.
(b) Zaman
sekolah rendah.
(c) Zaman
remaja.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat
yang bercita-cita tinggi.
(b) Masyarakat
yang bijak dalam pelajaran.
(c) Masyarakat
yang bekerja sebagai pendidik.
(d) Masyarakat
yang penyayang terhadap anggota keluarga.
(e) Masyarakat
yang bertanggungjawab terhadap penyakit anaknya.
(f) Masyarakat
yang bengis.
(g) Masyarakat
yang insaf akan kesilapan lalu.
(h) Masyarakat
yang berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
(i) Masyarakat
pendendam yang masih mengingati kisah lalu.
Plot
Binaan Plot
(a) Plot
cerpen ini disusun mengikut kronologi.
(b) Pengenalan
– Aiman berehat di rumah banglo keluarganya. Banglo tersebut terletak di lereng
bukit yang sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah.
(c) Perkembangan
– Aiman teringat tentang Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac Newton,
saintis berbangsa Inggeris itu. Dalam sesi pengajaran subjek Sains pula, berlaku
perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga mencetuskan suasana
riuh di dalam kelas itu. Cikgu Faridah menggelarkan Aiman sebagai profesor
disebabkan kepintarannya, ketinggian daya berfikirnya, dan kematangannya
berbanding dengan murid-murid lain.
(d) Perumitan
– Aiman teringat akan perbuatannya yang selalu ponteng sekolah kerana bosan
dengan silibus sekolah rendah yang tidak setanding dengan daya pemikirannya
pada waktu itu. Oleh hal yang demikian, Aiman gemar menyakat kawan-kawannya yang
agak lambat menyiapkan latihan. Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya
dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru
kelasnya. Beliau melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Akibatnya, Aiman
dirotan oleh bapanya pada bahagian pinggul sehingga lebam.
(e) Klimaks
– Daya imaginasi Aiman terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih
begitu kuat setelah Aiman meningkat remaja. Keadaan tersebut menyebabkan
bapanya sering menampar Aiman yang kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia
menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap, ibu bapa Aiman telah
membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
(f) Peleraian
– Akhirnya Aiman sedar daripada imaginasi dan angan-angannya selama ini. Hal
ini demikian kerana dia terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di
bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya dalam kehidupan yang realiti dan lebih
mendekatkan diri kepada Ilahi.
Teknik Plot
(a) Teknik
dialog. Contohnya, dialog antara Aiman dengan Cikgu Faridah berhubung dengan
Teori Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton.
(b) Teknik
imbas kembali. Contohnya. Aiman teringat kembali kisahnya ketika belajar di
sekolah rendah. Dia selalu ponteng sekolah dengan alasan berasa bosan dengan pengajaran
guru di dalam kelas.
(c) Teknik
imbas muka. Contohnya, Aiman membayangkan dirinya sudah lulus dalam peperiksaan
pada peringkat pengajian tinggi dengan memperoleh ijazah kelas pertama dalam
bidang aeroangkasa.
(d) Teknik
monolog dalaman. Contohnya, Aiman bermonolog bahawa dia tidak akan berasa
hairan dengan Teori Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton sekiranya dia
lahir pada tahun yang sama dengan beliau.
(e) Teknik
pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Aiman sewaktu dia dilahirkan.
(f) Teknik
saspens. Contohnya, peristiwa percanggahan pendapat antara Aiman dengan Cikgu
Faridah benar-benar menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca
tentang penyelesaian pendapat mereka itu.
Gaya Bahasa
(a) Bahasa
Inggeris. Contoh: IQ; genius.
(b) Inversi.
Contoh: Keterujaan Aiman terus melonjak (sepatutnya: Aiman terus melonjak
keterujaan).
(c) Istilah
sains angkasa lepas. Contoh: orbit; aeroangkasa; planet.
(d) Metafora.
Contoh: dedaun kemaafan; tasik hati; pentas halusinasinya.
(e) Personifikasi.
Contoh: Sang Suria memuncaki ubun-ubun; Keriangan sudah tercantas; Tamparan
selalu singgah di pipiku.
(f) Repetisi.
Contoh: Tidak ada udara. Tidak ada air.
(g) Simile.
Contoh: terlompat-lompat macam beruk dan kera di bulan; seperti
Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya.
Nilai
(a) Nilai
kebijaksanaan. Contohnya, Aiman dapat menyelesaikan masalah matematik murid
Tingkatan Lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
(b) Nilai
kasih sayang. Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman
Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
(c) Nilai
belas kasihan/bersimpati. Contohnya, ibu Aiman berasa kasihan setiap kali
melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
(d) Nilai
dedikasi. Contohnya, Cikgu Faridah menerangkan Teori Graviti dengan
bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
(e) Nilai
tanggungjawab. Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya
dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
(f) Nilai
kesabaran. Contohnya, ibu Aiman bersabar dengan sikap garang suaminya dalam
mendidik anak-anak terutamanya Aiman.
(g) Nilai
keinsafan. Contohnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh
berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.
Pengajaran
(a) Kita
sepatutnya menyayangi anggota keluarga kita.
(b) Kita
hendaklah bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
(c) Kita
mestilah dedikasi dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan.
(d) Kita
perlu bertanggungjawab terhadap aspek kesihatan anggota keluarga.
(e) Kita
hendaklah bersabar apabila berdepan dengan masalah.
(f) Kita
mestilah rasional dalam melaksanakan sesuatu tindakan.
(g) Kita
harus mementingkan kebersihan mental dan fizikal untuk menjalani kehidupan yang
sihat dan berkualiti.
0 ulasan:
Catat Ulasan