Ahad, 28 Februari 2021

Gerhana Manusia - Aminah Mokhtar

Kupasan Cerpen Gerhana Manusia (Aminah Mokhtar)


Sinopsis Gerhana Manusia

Profesor Doktor Juaidi cuba mempengaruhi kakitangannya agar memastikan semua pek darah yang ada di hospital diberikan kepada Tuan Besar Musa. Nusia, iaitu jururawat di wad Unit Rawatan Rapi ditugaskan untuk memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa yang sedang koma dan semakin tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia memberitahu Doktor Murni bahawa bank darah sudah kehabisan stok tabung darah. Doktor Murni mengarahkan Nusia agar menghebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu menderma darahnya kepada Tuan Besar Musa.

Nusia merasakan bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu diselamatkan lagi kerana beliau cuma bergantung pada alat sokongan hayat. Bagi Nusia, dalam keadaan kritikal tersebut, bacaan surah Yasin dan pengucapan Syahadah lebih diperlukan. Nusia turut mempersoalkan waris Tuan Besar Musa yang tidak menjenguknya di hospital. Doktor Murni menyatakan bahawa Profesor Doktor Juaidi mahu Tuan Besar Musa hidup. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi kerana harapan Tuan Besar Musa untuk hidup adalah terlalu nipis. Nusia beranggapan bahawa arahan Profesor Doktor Juaidi supaya dia memasukkan darah ke dalam tubuh Tuan Besar Musa itu suatu pembaziran. Doktor Murni meminta Nusia agar tidak terlalu beremosi dan menurut sahaja arahan itu.

Di wad Unit Rawatan Rapi terdapat pesakit-pesakit lain yang sedang koma dan menunggu bantuan darah untuk membolehkan mereka kembali sihat. Antaranya, Solehah yang tenat dan koma akibat pundi janinnya yang pecah di ovari. Al-Hafiz pula ditimpa kemalangan kereta. Di wad Unit Rawatan Rapi itu juga terdapat bayi buangan yang hampir kekeringan darah, gadis malang yang koma

dan tenat akibat didera, serta mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia. Nusia mengatakan selagi riwayat hidup pesakit di wad itu ditentukan oleh Profesor Doktor Juaidi, maka selama itulah akan berlaku ketidakadilan dalam proses rawatan di situ.

Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni mendapatkan sepuluh pek darah di hospital lain dengan segera setelah diberitahu bahawa bank darah di hospital sudah kehabisan. Profesor Doktor Juaidi memberitahu Nusia bahawa Tuan Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbangkan dana kepada kelab elit hospital itu. Sifat dermawannya yang telah menaja majlis makan malam tahunan yang bernilai beratus-ratus ribu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi berasa amat terhutang budi dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya.

Nusia memberitahu Profesor Doktor Juaidi bahawa tekanan darah Solehah semakin rendah. Profesor Doktor Juaidi menyuruh Nusia memberikan gelafundin bagi menggantikan darah disebabkan bekalan darah tidak mencukupi. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi yang enggan memberikan darah tulen kepada Solehah. Profesor Doktor Juaidi menyoal Nusia tentang status perempuan yang sedang koma itu jika dibandingkan dengan Tuan Besar Musa. Akhirnya Nusia akur akan arahan Profesor Doktor Juaidi. Dia mengambil sebotol gelafundin lalu dimasukkan ke dalam tubuh Solehah yang sedang koma untuk menggantikan darah.

Nusia meluahkan rasa kesalnya kepada Doktor Murni mengenai pek-pek darah dalam bank darah di hospital itu adalah kepunyaan kelab yang boleh dijual. Doktor Murni memujuk Nusia supaya tidak terlalu emosional kerana mereka ialah golongan minoriti di hospital itu. Nusia mengatakan bahawa berlakunya pembaziran darah apabila seratus pek darah diperlukan selama dua hari untuk menyelamatkan Tuan Besar Musa. Walhal, hanya empat pek darah diperlukan untuk menyelamatkan

mahasiswa yang berpenyakit leukemia itu dan setengah pek darah diperlukan untuk menghidupkan bayi buangan yang sedang koma.

Nusia memberitahu juruteknik makmal darah bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk memberikan peluang kepada empat orang yang sedang koma pulih kembali. Nusia mengatakan bahawa juruteknik makmal itu akan menjadi pembunuh jika dia enggan melepaskan pek-pek darah tersebut. Juruteknik makmal darah itu menegaskan bahawa darah itu adalah untuk kegunaan Tuan Besar Musa. Nusia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa sebenarnya sudah mati. Denyutan jantungnya ketika itu hanya dirangsangkan oleh adrenalina, dopamin, dan atropina. Juruteknik makmal darah itu akhirnya termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko dan herdikan atas tindakannya itu.

Nusia berasa bahawa bantuan darah-darah itu mampu menyelamatkan Solehah, mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia, dan menyembuhkan al-Hafiz yang boleh mengajar beratus-ratus tahfiz kecil. Bagi Nusia, sekiranya lima pek darah itu dimasukkan ke dalam tubuh Tuan Besar Musa, nilai pembaziran yang amat besar dilakukan oleh Profesor Doktor Juaidi.

Profesor Doktor Juaidi pula berusaha menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalina, dopamin, dan atropina. Namun begitu, Tuan Besar Musa gagal diselamatkan dan meninggal dunia. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan kerana kematiannya menyebabkan kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu.

Doktor Murni menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu yang mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan terhadap pesakit. Keadaan tersebut menyebabkan Profesor Doktor Juaidi tercengang dengan keputusan Doktor Murni. Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat menderma darah untuk disalurkan kepada semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu.

 

Tema

Cerpen “Gerhana Manusia” bertemakan sikap mementingkan ganjaran material ketika merawat pesakit sehingga membatasi nilai kemanusiaan.

 

Persoalan

(a)    Pengabaian nilai kemanusiaan akibat ganjaran material.

(b)    Ketabahan pesakit melawan penyakit yang dihadapi.

(c)     Perasaan belas simpati sesama manusia.

(d)    Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah.

(e)    Bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas.

(f)      Rasional dalam membuat tindakan.

(g)    Percaya kepada qada dan qadar.

 

Watak dan Perwatakan

Nusia

(a)    Jururawat yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital.

(b)    Akur akan perintah ketua.

(c)     Bersifat penyayang

(d)    Mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.

(e)    Jururawat yang bertanggungjawab.

(f)      Mudah bersimpati dan berhati mulia.

(g)    Pandai memujuk.

 

Doktor Murni

(a)    Pegawai perubatan muda di sebuah hospital.

(b)    Merawat pesakit di wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital.

(c)     Mementingkan aspek kemanusiaan pesakit.

(d)    Prihatin dan bertanggungjawab.

(e)    Bersifat tenang ketika merawat pesakit.

(f)      Berpendirian tegas.

(g)    Rasional dalam membuat tindakan.

 

Profesor Doktor Juaidi

(a)    Pegawai perubatan senior di sebuah hospital.

(b)    Ketua jabatan kepada Doktor Murni dan Nusia.

(c)     Sudah berumur, bermata bulat, dan berkening lebat.

(d)    Lebih mengutamakan ganjaran material daripada nilai-nilai kemanusiaan.

(e)    Bijak dalam menyelesaikan masalah.

(f)      Tidak bertanggungjawab.

(g)    Mementingkan aktiviti sosial.

 

Tuan Besar Musa

(a)    Ahli korporat dan teknokrat yang memiliki gedung perniagaan yang besar.

(b)    Bersifat dermawan.

(c)     Suami kepada wanita jelita yang tidak setia.

(d)    Berperut buncit.

(e)    Mengambil minuman keras selama bertahun-tahun.

(f)      Pesakit yang sedang koma, namun akhirnya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi tubuhnya yang mengalami kehilangan darah yang banyak.

(g)    Penyumbang utama dana kepada kelab elit hospital.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Wad Unit Rawatan Rapi.

(b)    Bank darah.

(c)     Hospital.

 

Latar Masa

(a)    Dua hari.

(b)    Hari ini.

(c)     Hari semalam/kelmarin.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang amat bersimpati atau prihatin terhadap pesakit.

(b)    Masyarakat yang tidak berperikemanusiaan terhadap kesihatan pesakit.

(c)     Masyarakat yang hanya mementingkan ganjaran material semata-mata.

(d)    Masyarakat yang akur akan perintah ketua.

(e)    Masyarakat yang bertugas di hospital.

(f)      Masyarakat yang berhati mulia dan murah hati.

(g)    Masyarakat yang bijak dalam menyelesaikan masalah.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara kronologi.

(b)    Pengenalan – Tuan Besar Musa sedang koma dan tenat akibat perbuatannya yang mengambil minuman keras selama bertahun-tahun. Pada waktu itu, Nusia, Doktor Murni, dan Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawanya yang berada di ambang maut.

(c)     Perkembangan – Nusia telah memberitahu Doktor Murni bahawa stok tabung darah di bank darah yang sudah kehabisan. Doktor Murni mengarahkan Nusia menghebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu mendermakan darahnya kepada Tuan Besar Musa.

(d)    Perumitan – Nusia berasa bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu diselamatkan lagi kerana dia hanya bergantung pada alat sokongan hayat. Nusia membantah tindakan Profesor Doktor Juaidi yang memintanya memasukkan darah tulen ke dalam tubuh Tuan Besar Musa kerana 50 pek darah yang dimasukkan ke dalam tubuhnya sebelum itu telah keluar semula. Selepas itu, Nusia memujuk juruteknik makmal darah agar memberikan lima pek darah tulen yang sejuk itu untuk kegunaan pesakit-pesakit lain. Juruteknik makmal darah itu termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko dan herdikan atas tindakannya itu.

(e)    Klimaks – Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalina, dopamin, dan atropina.(f) Peleraian – Tuan Besar Musa gagal diselamatkan dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan atas kematian Tuan besar Musa kerana kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu. Doktor Murni pula menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu. Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat mendermakan darah untuk semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu.

 

Teknik Plot

(a)    Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Profesor Doktor Juaidi dengan Nusia berkaitan keadaan Solehah yang mengalami tekanan darah yang semakin rendah.

(b)    Teknik imbas muka. Contohnya, Nusia membayangkan bahawa lima pek darah sejuk yang berada di tangannya mampu menyembuhkan penyakit Solehah, mahasiswa leukemia, dan al-Hafiz.

(c)     Teknik monolog dalaman. Contohnya, Nusia bermonolog dalaman dengan mempersoalkan pesakit yang akan diberikan bekalan darah apabila mendengar arahan Profesor Doktor Juaidi supaya Doktor Murni mendapatkan bekalan darah daripada hospital lain.

(d)    Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Tuan Besar Musa yang sedang koma akibat penyakitnya itu dan masih hidup dengan bantuan alat sokongan hayat.

(e)    Teknik saspens. Contohnya, peristiwa tindakan Nusia yang berjaya memujuk juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah tulen sejuk kepadanya menimbulkan tanda tanya dan perasaan ingin tahu kepada pembaca tentang perkara selanjutnya yang akan berlaku akibat tindakannya itu.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contoh: Syahadah; Yasin; Masya-Allah.

(b)    Inversi. Contoh: Darah dan manusia itu, berbezakah nilainya? (sepatutnya Berbezakah nilainya darah dan manusia itu?)

(c)     Istilah sains perubatan. Contoh: alveolus paru-paru; Platelet; atropina.

(d)    Metafora. Contoh: layar rakaman hayat.

(e)    Paradoks. Contoh: Aku cuba tersenyum walaupun hati terasa pedih.

(f)      Personifikasi. Contoh: renungan mata Doktor Murni menikam anak mataku; Tajam mata liar garangnya menangkap wajah lembut Doktor Murni.

(g)    Repetisi. Contoh: Dua pek darah daripada awak, dua pek darah daripada saya...”.

(h)    Simile. Contoh: Firasat itu umpama mimpi barangkali; memancut bagai paip bocor.

(i)      Simpulan bahasa. Contoh: nyawa-nyawa ikan; kurang ajar; lintah darat.

 

Nilai

(a)    Nilai belas kasihan. Contohnya, Nusia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah.

(b)    Nilai bertanggungjawab. Contohnya, sebagai seorang jururawat, Nusia bertanggungjawab merawat semua pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.

(c)     Nilai kasih sayang. Contohnya, Nusia amat menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.

(d)    Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi bijak mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di bank darah dengan mengarahkan Doktor Murni mendapatkan bekalan darah tersebut daripada hospital lain.

(e)    Nilai menghargai nyawa. Contohnya, Nusia mengatakan bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk menyelamatkan empat nyawa pesakit yang sedang koma.

(f)      Nilai baik hati. Contohnya, Doktor Murni bersedia mendermakan darahnya untuk bekalan darah yang kehabisan di bank darah.

(g)    Nilai murah hati. Contohnya, Tuan Besar Musa merupakan dermawan yang prihatin terhadap kebajikan kakitangan hospital.

(h)    Nilai keberanian. Contohnya, Nusia berani menanggung risiko berhubung tindakannya yang mendesak juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah sejuk kepadanya.

(i)      Nilai rasional. Contohnya, Nusia mendesak juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah sejuk kepadanya untuk menyelamatkan empat nyawa pesakit yang sedang koma.

(j)      Nilai keyakinan. Contohnya, Doktor Murni menyerahkan surat peletakan jawatannya kerana dia yakin ada hospital lain yang akan mengambilnya sebagai doktor perubatan.

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah bersifat penyayang sesama insan tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.

(b)    Kita hendaklah bersimpati terhadap orang yang bernasib malang.

(c)     Kita perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.

(d)    Kita hendaklah bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

(e)    Kita sepatutnya bersedia menderma darah untuk menyelamatkan nyawa pesakit/insan yang memerlukan-nya.

(f)      Kita mestilah berani bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menghindari perbuatan yang mungkar.

(g)    Kita harus bersikap rasional dan mengetepikan kepentingan material serta mengutamakan nyawa manusia.

(h)    Kita sepatutnya bersikap adil terhadap semua pesakit.

Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages