Rabu, 13 Mei 2020

Sajak: Kucari Damai di Sini

Kupasan Sajak
Kucari Damai di Sini (A. Hamid Jemain)

Rangkap
Maksud
1
Penyajak menyatakan bahawa dia mencari kedamaian di negaranya yang makmur dan merdeka. Kemerdekaan tersebut dianggap berada antara kenyataan dan impian. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya perasaan
ketidakpuasan hati antara rakyat. Namun demikian, penyajak menyatakan bahawa perasaan negatif itu perlu diubati dengan bersangka baik, iaitu dengan menjadikan sejarah persaudaraan untuk membina rasa kemanusiaan.
2
Penyajak menyatakan bahawa kedamaian juga dicari dengan rasa kasih sayang dan dengan keperibadian mulia rakyat Malaysia. Perasaan kasih-mengasihi yang tulen perlu disemaikan dalam sanubari.
3
Penyajak menyatakan bahawa walaupun negara kita ada masalah, tetapi kita masih boleh berdamai dan hidup dengan aman di negara ini. Penyajak berharap agar kemerdekaan yang dicapai akan berkekalan. Segala  masalah perlulah diatasi dengan bijak supaya kejayaan yang tercipta menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Tema
Penghargaan terhadap kedamaian dan kesejahteraan negara.


Persoalan
(a) Kedamaian hendaklah diusahakan kerana kedamaian tidak akan datang dengan sendirinya.
(b) Negara kita ialah negara yang aman dan makmur.
(c) Kemerdekaan hendaklah diperjuangkan agar beroleh kemajuan.
(d) Kedamaian akan wujud dengan adanya nilai kasih sayang.
(e) Harapan agar kemerdekaan negara kita akan menjadi kebanggaan generasi akan datang.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai enam baris, rangkap kedua mempunyai lima baris, dan rangkap ketiga mempunyai empat baris.
(c) Bilangan katanya tiga hingga lapan patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada enam hingga lapan belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Paradoks. Contohnya, antara realiti dan mimpi.

(b) Hiperbola. Contohnya, membebat perasaan kehidupan.

(c) Metafora. Contohnya, laman sukma.

(d) Repetisi. Contohnya, (perulangan frasa Kucari damai di sini dalam rangkap 1, baris 1 dan rangkap 2, baris 1).

(e) Asonansi. Contohnya, dengan sejarah persaudaraan
     (perulangan vokal a).

(f) Aliterasi. Contohnya, Kucari damai di sini
     (perulangan konsonan d).

(g) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abaccc dan rima akhir bagi rangkap kedua aabca, dan rima akhir bagi rangkap ketiga abbb.


Nada
Patriotik.


Nilai
(a) Kesyukuran.
(b) Hormat-menghormati.
(c) Patriotisme.
(d) Keinsafan.


Pengajaran
(a) Kita mestilah berusaha mendapatkan dan mengekalkan kedamaian.
(b) Kita hendaklah menghargai kemerdekaan negara.
(c) Kita hendaklah memastikan kedamaian negara terus berkekalan.
(d) Kita hendaklah menyelesaikan sebarang krisis dengan bijaksana.
(e) Kita perlulah menjaga negara kita dengan baik untuk diwariskan kepada generasi akan datang.




Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages