Jumaat, 15 Mei 2020

Cerpen: Talia dan Raksasa Qadqad

Kupasan cerpen:
Talia dan Raksasa Qadqad (Zaniffa Azzura Abdullah)

Sinopsis
     Talia dan keluarganya merupakan masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman bersama-sama dengan puaknya. Pada suatu hari, sewaktu bermain-main di sempadan huma berdekatan dengan hutan di lereng Bukit Ungu, Talia telah menjumpai seekor katak raksasa. Bahagian tepi kepala katak itu luka seperti dilibas gergaji. Talia berasa kasihan akan katak raksasa itu. Dia merawat katak itu dengan menggunakan pucuk daun dalut. Katak tersebut pulih dan terus menghilang di dalam hutan. Talia bercerita tentang katak raksasa itu kepada ibunya. Bapa Talia, Dodo menganggap cerita tersebut sebagai khayalan Talia sahaja. Namun begitu, tanggapan ibu dan bapa Talia berubah beberapa minggu selepas itu. Kisah ahli-ahli suku berselisih dengan sekeluarga makhluk seperti yang diceritakan oleh Talia di denai yang sama heboh diperkatakan. Penduduk kampung menggelar katak raksasa tersebut sebagai Raksasa Qadqad bersempena dengan bunyi yang dihasilkan oleh katak tersebut. Penduduk kampung bimbang jika mereka terpaksa berpindah lagi kerana mereka semua baru beberapa bulan berpindah ke Bukit Ungu.

     Pada suatu hari, adik Talia, Jini demam panas. Bapa Talia, Dodo berpendapat bahawa Jini perlu dibawa ke hospital. Dodo mencadangkan agar mereka menumpang kereta api. Dodo mengajak isterinya, Misa dan anaknya, Talia ke bandar. Talia sekeluarga segera meninggalkan rumah mereka. Dodo mendukung Talia. Isterinya, Misa pula membawa Jini di dalam bakul sandang.

     Sewaktu Misa dan Dodo hendak ke stesen kereta api, mereka dijerkah oleh seorang lelaki. Lelaki tersebut bertugas mengawasi bijih yang disorong keluar untuk dipindahkan ke dalam gerabak kereta api. Dodo memberitahu lelaki itu tentang hasratnya yang ingin menumpang kereta api untuk ke bandar. Lelaki itu memarahi Dodo. Pemandu kereta api yang baru keluar memandang mereka dengan kehairanan. Pemandu kereta api itu, iaitu Sidek memberitahu lelaki tadi yang dipanggilnya Tuan Binjah tentang keadaan di kem balak timur yang kacau-bilau. Kekacauan tersebut berpunca daripada serangan kumpulan katak raksasa. Tujuh orang telah meninggal dunia manakala dua puluh orang lagi cedera.

     Pada hari sebelum pembalak-pembalak itu diserang, sebatang balak telah menimpa sarang katak raksasa. Walaupun tidak cedera teruk, keluarga haiwan itu terperangkap. Mandur kem balak berkenaan telah menetak semua katak raksasa yang terperangkap itu. Tindakan tersebut membawa padah kepada pembalak-pembalak di kem berkenaan.
     
     Tiba-tiba sekumpulan katak raksasa muncul dari dalam hutan. Para pekerja lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Binjah dan kebanyakan pekerja termasuklah Sidek masuk ke dalam sebuah bangunan. Qadqad yang paling dekat dengan keluarga Talia melompat lantas mendarat di bahu Dodo. Anehnya, haiwan itu cuma berkelip-kelip memandang Talia. Kepala haiwan itu berparut seperti bekas luka dilibas gergaji. Qadqad di bahu Dodo melompat turun. Ratusan Qadqad yang lain mengikuti jejak Qadqad itu berundur. Binjah berasa hairan apabila melihat keluarga Talia tidak diserang oleh kumpulan katak raksasa tersebut. Dia melihat ada tanah berwarna ungu pada tangan, kuku, kaki dan rambut Talia. Dia membuat rumusan kononnya katak raksasa takut akan tanah yang berwarna ungu. Akhirnya, keluarga Talia dibenarkan menaiki kereta api tersebut untuk ke bandar.

     Tiga hari kemudian, Sidek datang menemui keluarga Talia di hospital. Kebetulan pula, adik Talia, Jini sudah dibenarkan keluar dari hospital. Sidek memberitahu Dodo tentang hasrat Binjah yang mahu melombong di Bukit Ungu. Menurut Sidek, Binjah telah mengarahkan seisi kampung berpindah. Binjah turut membawa samseng ke kampung itu. Sidek membawa keluarga Talia ke sebuah balai polis untuk mengadukan perkara yang berlaku. Sidek turut membawa keluarga Talia pulang ke kampung mereka dengan menaiki sebuah kenderaan.

     Talia sekeluarga dan Sidek tiba di kawasan huma. Mereka mendengar suara Binjah berbalah dengan Tuk Sibat. Binjah dan para pengikutnya membawa jentera berat untuk memusnahkan perkampungan orang asli itu. Binjah menyuruh samseng upahannya membakar sebuah pondok yang terdapat di situ. Dodo dan Sidek menjerit meminta mereka berhenti. Binjah tetap menyuruh samseng upahannya membakar pondok tersebut. Penduduk kampung cuba menghalang perbuatan samseng tersebut. Binjah melepaskan dua das tembakan ke arah mereka. Satu daripadanya menembusi lengan kiri Dodo. Talia menjerit memanggil Raksasa Qadqad. Beratus-ratus ekor Raksasa Qadqad muncul dari dalam hutan. Kumpulan Raksasa Qadqad itu menyerang Binjah dan para pengikutnya. Sementara itu, Talia dan sukunya terus melarikan diri dari tempat tersebut.

     Akhirnya, keadaan di kampung Talia tenang semula. Qadqad sudah ghaib. Beberapa buah pondok musnah terbakar. Puluhan mayat manusia dan bangkai Qadqad bergelimpangan. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.


Tema
Konflik antara manusia dengan alam semula jadi.


Persoalan
(a) Buat baik akan dibalas baik.
(b) Kasih sayang terhadap keluarga.
(c) Sikap tamak segelintir manusia.
(d) Kesusahan masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
(e) Persahabatan antara manusia dengan haiwan.
(f) Kepentingan alam semula jadi kepada manusia.


Watak dan Perwatakan
Talia
(a) Seorang budak perempuan kecil berketurunan orang asli.
(b) Anak kepada Dodo dan Misa.
(c) Bersifat belas kasihan dan suka menolong.
(d) Bersahabat dengan Raksasa Qadqad.
(e) Berani merawat anak Raksasa Qadqad yang tercedera.
(f) Sayang akan keluarga dan ahli sukunya.
(g) Menghormati ibu bapanya.

Raksasa Qadqad
(a) Rupanya mirip katak.
(b) Mempunyai sepasang tanduk kecil di kepala.
(c) Mempunyai taring.
(d) Mampu meloncat tinggi.
(e) Mempunyai sepasang mata berwarna hijau kuning.
(f) Menjadi penghuni dan penjaga hutan di Bukit Ungu.
(g) Menyelamatkan penduduk kaum asli sewaktu Binjah ingin memusnahkan kampung tersebut.
(h) Mengenang budi kerana telah menyelamatkan Talia dan keluarganya.
(i) Mampu menyerang dan membunuh manusia yang jahat.

Dodo
(a) Ayah kepada Talia dan Jini.
(b) Isterinya bernama Misa.
(c) Seorang yang penyayang.
(d) Bapa yang bertanggungjawab.
(e) Sanggup berkorban untuk menjamin keselamatan ahli keluarganya.

Binjah
(a) Seorang saudagar yang tamak.
(b) Kejam dan tidak bertimbang rasa.
(c) Mementingkan kekayaan semata-mata tanpa memikirkan kepentingan alam semula jadi.
(d) Terkorban bersama-sama pengikutnya sewaktu diserang oleh Raksasa Qadqad.

Sidek
(a) Bekerja sebagai pemandu kereta api.
(b) Bekerja dengan Binjah.
(c) Baik hati.


Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – Sewaktu bermain-main di sempadan huma, berdekatan dengan hutan di lereng Bukit Ungu, Talia telah menjumpai seekor katak raksasa. Bahagian tepi kepala katak itu luka seperti dilibas gergaji. Talia berasa kasihan akan katak raksasa itu. Dia merawat katak itu dengan menggunakan pucuk daun dalut. Katak tersebut pulih dan terus menghilang di dalam hutan.

(b) Perkembangan – Adik Talia, Jini demam panas. Bapa Talia, Dodo berpendapat bahawa Jini perlu dibawa ke hospital. Dodo mencadangkan agar mereka menumpang kereta api. Talia sekeluarga pergi ke bandar. Sewaktu Dodo dan isterinya, hendak ke stesen kereta api, mereka dijerkah oleh Binjah. Dodo memberitahu Binjah tentang hasratnya yang ingin menumpang kereta api untuk ke bandar. Binjah memarahi Dodo. Pemandu kereta api itu, iaitu Sidek memberitahu Binjah tentang keadaan di kem balak timur yang kacau-bilau. Kekacauan tersebut berpunca daripada serangan kumpulan katak raksasa. Tiba-tiba sekumpulan katak raksasa muncul dari dalam hutan. Para pekerja lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Binjah berasa hairan apabila melihat keluarga Talia tidak diserang oleh kumpulan katak raksasa tersebut. Dia melihat ada tanah berwarna ungu pada tangan, kuku, kaki, dan rambut Talia. Dia membuat rumusan kononnya katak raksasa takut akan tanah yang berwarna ungu. Akhirnya, keluarga Talia dibenarkan menaiki kereta api tersebut untuk ke bandar. Sidek memberitahu Dodo tentang hasrat Binjah yang mahu melombong di Bukit Ungu. Menurut Sidek, Binjah telah mengarahkan seisi kampung berpindah. Binjah turut membawa samseng ke kampung itu. Sidek membawa keluarga Talia ke sebuah balai polis untuk mengadukan perkara yang berlaku.

(c) Klimaks – Binjah dan para pengikutnya membawa jentera berat untuk memusnahkan perkampungan orang asli tersebut. Binjah menyuruh samseng upahannya membakar sebuah pondok yang terdapat di situ. Dodo dan Sidek menjerit meminta mereka berhenti. Binjah tetap menyuruh samseng upahannya membakar pondok tersebut. Penduduk kampung cuba menghalang perbuatan samseng tersebut. Binjah melepaskan dua das tembakan ke arah mereka. Satu daripadanya menembusi lengan kiri Dodo. 

(d) Peleraian – Talia menjerit memanggil Raksasa Qadqad. Beratus-ratus ekor Raksasa Qadqad muncul dari dalam hutan. Kumpulan Qadqad itu menyerang Binjah dan para pengikutnya. Banyak yang terkorban termasuk Binjah sendiri. Penduduk kampung orang asli itu terselamat. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.


Teknik Plot
(a) Dialog.
(b) Pemerian.
(c) Imbas kembali.


Latar
Latar Tempat
(a) Kawasan Bukit Ungu. 
(b) Rumah Talia. 
(c) Stesen kereta api. 
(d) Kawasan perlombongan.
(e) Hospital.
(f) Balai polis.

Latar Masa
(a) Waktu siang.
(b) Waktu tengah hari.
(c) Tiga hari.
(d) Waktu matahari tergelincir.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat orang asli.
(b) Masyarakat yang menyayangi haiwan.
(c) Masyarakat yang tamak dan kejam.
(d) Masyarakat yang berkonflik dengan alam semula jadi.


Unsur Gaya Bahasa
(a) Simile.
     Contohnya: (i)   Gempal macam disumbat air
                        (ii)   bagaikan bola bertanduk yang terbang laju
                        (iii)  bagai butir gula dihurungi semut manusia.

(b) Personifikasi.
      Contohnya: (i)    ditelan hutan belantara
                         (ii)   Matahari mula tergelincir.

(c) Sinkope
     Contohnya: (i)     Kami ada padi saja
                        (ii)     Tuk Sibat tak mahu terima arahan itu.

(d) Repetisi.
      Contohnya, “Ini, di tangan, di kuku, di kaki, di rambut ...”

(e) Inversi.
     Contohnya, Lewat petang hari yang sama, sampailah mereka ke destinasi.


Nilai
(a) Baik hati. 
(b) Kasih sayang. 
(c) Keberanian. 
(d) Kegigihan.
(e) Tanggungjawab.
(f) Tolong-menolong.


Pengajaran
(a) Kita haruslah bersimpati terhadap semua makhluk yang berada di sekeliling kita.
(b) Kita mestilah menyayangi anggota keluarga kita.
(c) Kita haruslah berani mempertahankan hak kita.
(d) Kita haruslah memberikan pertolongan kepada orang yang ditimpa kesusahan.
(e) Kita hendaklah menjaga alam semula jadi.




Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages