Kupasan Drama:
Mahkamah (Awang Abdullah)
Sinopsis
Setelah semua hadir di dalam mahkamah itu, hakim memulakan perbicaraan. Pegawai meminta Tertuduh I masuk. Tertuduh I mengangkat sumpah. Pendakwa raya membaca pertuduhan terhadap Tertuduh I, iaitu Bulat bin Leper. Dia telah dituduh menyebabkan kematian seorang nenek tua, iaitu Mek Teh binti Jali yang berumur 99 tahun di Taman Gagak Putih.
Bulat bin Leper memahami pertuduhan yang dibaca oleh pendakwa raya tersebut. Namun begitu, dia tidak mengaku bersalah. Peguam bela dipanggil masuk ke ruang perbicaraan untuk membela Bulat bin Leper. Bulat bin Leper mengaku bahawa dia berada di Taman Gagak Putih ketika itu. Dia telah makan sebiji pisang dan membuang kulitnya. Pendakwa raya menyatakan bahawa seorang nenek yang sedang berjoging telah terpijak kulit pisang yang dibuang oleh Bulat bin Leper itu.
Nenek tersebut tergelincir dan jatuh. Kejadian itu menyebabkan pinggang nenek tua itu patah. Malah, nenek tua itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Pendakwa raya mendesak Bulat bin Leper supaya mengaku bahawa pernyataan tersebut benar. Bulat bin Leper tetap tidak mahu mengaku. Peguam bela bangun lalu membantah tindakan pendakwa raya yang seolah-olah cuba menekan anak guamnya. Peguam bela menyatakan bahawa pada waktu tersebut Bulat bin Leper telah makan sebiji pisang berangan. Kulit pisang itu dibuang oleh Bulat bin Leper ke dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak berwajib, tetapi pintunya sudah rosak.
Bulat bin Leper mengaku bahawa kenyataan tersebut benar. Peguam bela menyambung kenyataan bahawa Bulat bin Leper sedar bahawa tugas membaiki pintu tong sampah itu bukan tugasnya. Tambah peguam bela lagi, tindakan membuang kulit pisang itu ke dalam tong sampah sudah cukup memperlihatkan kesedaran sivik Bulat bin Leper. Malah, Bulat bin Leper telah menunjukkan contoh yang baik.
Pendakwa raya membantah hujah peguam bela dengan menyatakan bahawa peguam bela cuba memutarbelitkan kenyataan. Peguam bela menyambung hujahnya dengan menyatakan bahawa Bulat bin Leper telah membuang kulit pisang itu ke dalam tong sampah. Seekor kambing yang sangat kurus dan lapar telah makan sisa buangan di dalam tong sampah itu dengan rakusnya sehingga kulit pisang tersebut tercampak ke jalan raya. Oleh sebab kambing tersebut terlalu letih, matanya menjadi kabur dan berpinarpinar. Kambing itu tidak nampak kulit pisang sehingga kulit pisang itu terkais ke atas jalan raya. Ketika nenek tua melalui jalan itu, dia terpijak kulit pisang itu lalu terjatuh. Seterusnya, nenek tua itu meninggal dunia. Dengan itu, jelaslah bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah. Yang bersalah ialah kambing yang kurus itu. Oleh itu, kambing tersebutlah yang perlu dihukum bukannya Bulat bin Leper. Peguam bela merayu agar mahkamah membebaskan Bulat bin Leper daripada tuduhan membunuh secara tidak sengaja, tanpa syarat.
Pendakwa raya pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat terhadap Bulat bin Leper. Pendakwa raya menyatakan bahawa mahkamah adalah untuk manusia, bukan untuk binatang. Peguam bela tidak bersetuju dengan kenyataan pendakwa raya. Peguam bela menyatakan bahawa setiap binatang peliharaan mesti ada tuannya. Oleh itu, tuan empunya kambing itulah yang perlu dihukum. Jika tidak ada yang mahu mengaku, maka kambing itu harus menjadi milik pihak berwajib. Setelah meneliti hujah pendakwa raya dan peguam bela, hakim membuat keputusan bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah.
Mahkamah berhenti rehat. Selepas dua minit, mahkamah bersidang semula. Tertuduh II dipanggil masuk. Tertuduh II tidak pandai berbahasa Melayu. Seisi mahkamah kecuali hakim ketawa apabila Tertuduh II mengangkat sumpah dalam bahasa yang tidak difahami. Hakim menyuruh pegawai memanggil penterjemah. Pendakwa raya membaca pertuduhan terhadap Tertuduh II, iaitu Akinomoto. Pada 20 Mac 1988, Akinomoto telah dituduh mencuri seekor beruk subsidi milik kerajaan Malaysia dari stor JKK Ulu Dungun. Akinomoto tidak faham akan istilah beruk subsidi. Oleh itu, hakim meminta pendakwa raya memperincikan istilah beruk subsidi tersebut. Pendakwa Raya memberi penjelasan tentang istilah tersebut dengan menggunakan Bahasa Inggeris seperti yang tercatat dalam kamus The Advance Dictionary of the Modern English for the Malaysian World.
Akinomoto menyatakan bahawa dia semakin tidak faham dan meminta pendakwa raya menggunakan bahasa Melayu. Hakim bersetuju bahawa bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan seharusnya digunakan di dalam mahkamah tersebut. Beliau meminta pendakwa raya menghuraikan istilah beruk subsidi tersebut dalam bahasa Melayu. Akinomoto memahami penjelasan tentang istilah beruk subsidi itu dan mengaku bersalah atas tuduhan tersebut. Akinomoto turut menyatakan bahawa ibu beruk itu sudah hamil. Dia mahu mengembalikan ibu beruk itu kepada yang berhak dan dia mahu membela anaknya.
Hakim memerintahkan Akinomoto memelihara ibu beruk itu sehingga selamat melahirkan anaknya. Sebagai dendanya, Akinomoto perlu menjaga anak beruk itu sehingga mencapai umur akil baligh. Akinomoto juga dipaksa memanjat pokok kelapa dengan anak beruk itu menjadi tuannya.
Tema
Keadilan dan kebenaran ketika membuat sesuatu keputusan.
Persoalan
(a) Kemiskinan menghalang seseorang itu mengambil peguam untuk membela dirinya.
(b) Keadilan mesti ditegakkan dalam apa-apa cara sekalipun.
(c) Kehidupan golongan yang terlibat dengan kerja-kerja untuk menegakkan keadilan dan kebenaran sama seperti kehidupan orang biasa.
(d) Isu bahasa Melayu di mahkamah.
(e) Denda akan dikenakan terhadap pihak yang bersalah.
Watak dan Perwatakan
Hakim
(a) Golongan intelektual.
(b) Pandai bergurau.
(c) Adil dan saksama.
(d) Amanah dalam menjalankan tugas.
Pendakwa raya
(a) Golongan intelektual.
(b) Tegas dengan hujahnya.
(c) Menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab.
Peguam bela
(a) Tegas.
(b) Menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
(c) Sanggup berkhidmat secara percuma untuk orang susah.
(d) Yakin ketika berhujah.
Tertuduh I (Bulat bin Leper)
(a) Orang miskin.
(b) Dituduh membunuh nenek tua.
(c) Berani berdepan dengan pendakwa raya.
(d) Seorang yang bertanggungjawab.
Tertuduh II (Akikino-komokotoko)
(a) Dipanggil Akinomoto.
(b) Dituduh mencuri beruk subsidi milik kerajaan Malaysia.
(c) Tidak fasih berbahasa Melayu.
(d) Prihatin terhadap keadaan beruk yang telah dicurinya itu.
Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – Setelah semua hadir di dalam mahkamah itu, hakim memulakan perbicaraan. Pegawai meminta Tertuduh I masuk. Tertuduh I mengangkat sumpah. Pendakwa raya membaca pertuduhan terhadap Tertuduh I, iaitu Bulat bin Leper. Dia telah dituduh menyebabkan kematian seorang nenek tua, iaitu Mek Teh binti Jali yang berumur 99 tahun di Taman Gagak Putih. Peguam bela dipanggil masuk ke ruang perbicaraan untuk membela Bulat bin Leper. Peguam bela diberi tempoh seminit untuk berunding dengan anak guamnya.
(b) Perkembangan – Bulat bin Leper mengaku bahawa dia berada di Taman Gagak Putih ketika itu. Dia telah makan sebiji pisang dan membuang kulitnya. Namun begitu, dia tidak mengaku bahawa dia yang menyebabkan kematian Mek Teh. Pendakwa raya dan peguam bela saling berbalas hujah. Peguam bela membangkitkan isu tentang seekor kambing yang sangat kurus dan lapar. Kambing itu telah makan sisa buangan di dalam tong sampah itu dengan rakusnya. Akibatnya, kulit pisang yang dibuang oleh Bulat bin Leper tercampak ke jalan raya. Ketika nenek tua melalui jalan itu, dia terpijak kulit pisang itu lalu terjatuh. Seterusnya, nenek tua itu meninggal dunia. Dengan itu, jelaslah bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah. Peguam bela merayu agar mahkamah membebaskan Bulat bin Leper daripada tuduhan membunuh secara tidak sengaja, tanpa syarat. Setelah meneliti hujah pendakwa raya dan peguam bela, hakim membuat keputusan bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah.
(c) Klimaks – Tertuduh II dipanggil masuk. Tertuduh II tidak pandai berbahasa Melayu. Hakim menyuruh pegawai memanggil penterjemah. Pendakwa raya membaca pertuduhan terhadap Tertuduh II, iaitu Akinomoto. Pada 20 Mac 1988, Akinomoto telah dituduh mencuri seekor beruk subsidi milik kerajaan Malaysia dari stor JKK Ulu Dungun. Akinomoto tidak faham akan istilah beruk subsidi. Oleh itu, hakim meminta pendakwa raya memperincikan istilah beruk subsidi tersebut. Pendakwa
raya memberikan penjelasan tentang istilah tersebut dengan menggunakan bahasa Inggeris. Akinomoto semakin tidak faham dan meminta pendakwa raya menggunakan bahasa Melayu. Hakim meminta pendakwa raya menghuraikan istilah beruk subsidi tersebut dalam bahasa Melayu. Akinomoto memahami penjelasan tentang istilah beruk subsidi itu dan mengaku bersalah atas tuduhan tersebut. Akinomoto turut menyatakan bahawa ibu beruk itu sudah hamil. Dia mahu mengembalikan ibu beruk itu kepada yang berhak dan dia mahu membela anaknya.
(d) Peleraian – Hakim memerintahkan Akinomoto memelihara ibu beruk itu sehingga selamat melahirkan anaknya. Sebagai dendanya, Akinomoto perlu menjaga anak beruk itu sehingga mencapai umur akil baligh. Akinomoto juga dipaksa memanjat pokok kelapa dengan anak beruk itu menjadi tuannya.
Teknik Plot
(a) Dialog. (b) Pemerian.
Latar
Latar Tempat
(a) Mahkamah.
(b) Taman Gagak Putih.
(c) Stor JKK Ulu Dungun.
Latar Masa
(a) Waktu pagi.
(b) 10 Januari 1988.
(c) 20 Mac 1988.
(d) 1 minit.
(e) 2 minit.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat intelektual.
(b) Masyarakat yang hidup miskin.
(c) Masyarakat yang baik hati.
(d) Masyarakat yang prihatin terhadap haiwan.
Unsur Gaya Bahasa
(a) Penggunaan bahasa Inggeris. Contohnya, The Advance Dictionary of the Modern English for the Malaysians World.
(b) Peribahasa. Contohnya, Malang tak berbau.
(c) Sinkope. Contohnya, Oh, itu tak jadi masalah; tapi sikit saja, tau.
Nilai
(a) Keadilan.
(b) Tanggungjawab.
(c) Ketegasan.
(d) Keyakinan.
(e) Rasional.
(f) Simpati.
(g) Keberanian.
(h) Keprihatinan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah tegas dalam menjalankan sesuatu tugas.
(b) Kita mestilah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
(c) Kita hendaklah bersimpati terhadap golongan miskin.
(d) Kita hendaklah bersikap rasional ketika menjalankan tugas.
(e) Kita mestilah menggunakan bahasa Melayu terutamanya dalam urusan rasmi.
(f) Kita mestilah berani kerana benar.
Persoalan?
BalasPadam
BalasPadam;;]\\
mengapakah mek teh perlu diadili di mahkamah
BalasPadamMak teh diadili di liang lahad
PadamBULAT MAIN PUBG X?
BalasPadamwkwkwwkw dia main mobile legend
Padam