Khamis, 11 Mac 2021

Bahagia Sesudah Derita

Kupasan prosa tradisional Bahagia Sesudah Derita


Sinopsis Bahagia Sesudah Derita

Cerita dimulakan dengan kisah sepasang suami isteri yang miskin telah berjalan-jalan mengelilingi negeri lalu pergi berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa. Setelah dilihat oleh orang ramai akan pasangan yang memakai pakaian carik itu, mereka telah melemparkan kayu dan batu ke arah pasangan miskin tadi hingga menyebabkan tubuh suami isteri itu bengkak-bengkak dan berdarah. Betara Angkasa Indera Dewa telah mengarahkan mereka mengusir pasangan miskin itu. Hal ini telah menyebabkan pasangan miskin tadi melarikan diri ke dalam hutan. Dalam perjalanan pulang, pasangan itu telah terjumpa tempat orang membuang sampah. Takdir Allah telah menentukan mereka untuk berjumpa dengan sebiji ketupat basi dan buku tebu lalu dimakannya. Pasangan miskin ini mengambil keputusan untuk tidur di sana. Pada hari yang berikutnya, pasangan ini mencuba nasib lagi untuk meminta makanan tetapi masih gagal.

Melihat isterinya yang sakit, Si Miskin masuk ke dalam hutan untuk mencari ubat dan pucuk kayu untuk dimakan. Tidak lama selepas itu, isterinya telah hamil tiga bulan dan mengidam hendak makan buah mangga. Si Miskin pergi ke sebuah kedai menjual buah-buahan lalu meminta buah yang telah dibuang daripada peniaga itu. Hal ini telah menyebabkan peniaga-peniaga itu berasa amat kasihan kepadanya lalu memberikan buah, juadah, nasi dan kain. Namun, si isteri menangis lagi kerana dia masih mengidam buah mangga yang ditanam dalam taman raja.

Si suami terus berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa untuk menyatakan hasratnya meminta sebiji buah mangga. Setelah mendengar permintaan itu, baginda menyuruh orangnya memberikan setangkai buah mangga kepada Si Miskin itu. Buah mangga itu telah dibawa pulang lalu diberi kepada isterinya. Selang tiga hari, si isteri mengidam lagi hendak makan buah nangka di taman raja. Sekali lagi dia telah berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa untuk menyatakan tujuannya tetapi hanya meminta sehelai daun nangka. Namun begitu, baginda telah memberikan sebiji buah nangka kepada si miskin itu. Kehidupan pasangan ini menjadi senang apabila sering diberi barangan keperluan

oleh orang ramai.

Pada malam empat belas haribulan, isteri Si Miskin telah melahirkan seorang bayi lelaki lalu dinamakan Marakarma. Pasangan ini akhirnya berpindah ke sebuah pondok. Pada suatu hari, si suami telah menggali tanah untuk mendirikan tiang rumah. Dia telah terjumpa tajau yang mengandungi emas. Emas itu dibawa oleh Si Miskin kepada saudagar di negeri Anta Beranta. Si Miskin hanya mahukan saudagar di negeri Anta Beranta itu memberikannya sepasang kasut, tetapi apabila melihat emas yang terlalu banyak saudagar itu meminta tempoh selama tujuh tahun untuk menunaikan permintaan Si Miskin. Kemudian, Si Miskin pergi berjumpa dengan saudagar lain lalu meminta mereka membelikan tongkat, payung, pedang, otar-otar, keris, pelana kuda dan kain.

Si Miskin balik ke rumah lalu mandi. Kemudian dia memangku anaknya itu sambil menyeru jika benar anaknya itu ialah anak dewa, maka dia mahu dibinakan sebuah negeri di dalam hutan itu yang lengkap dengan sebuah kota, istana, menteri, hulubalang dan rakyat. Dengan takdir Allah Taala, jadilah sebuah negeri yang lengkap lalu dia menjadi Maharaja Indera Angkasa di negeri Pura bernama Puspa Sari dan isterinya bernama Tuan Puteri Ratna Dewi. Tidak lama selepas itu. Ratna Dewi telah mengandung lagi lalu melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Tuan Puteri Nila Kesuma. Sambutan kelahiran secara besar-besar telah dilakukan selama empat puluh hari empat puluh malam mengikut adat istiadat istana.

 

Tema

Ketabahan hidup sepasang suami isteri yang miskin tinggal di negeri Anta Beranta.

 

Persoalan

(a)    Kecekalan hati menghadapi cabaran hidup.

(b)    Sikap memandang hina terhadap orang miskin.

(c)     Kasih sayang seorang suami terhadap isteri.

(d)    Kesetiaan isteri terhadap suami.

(e)    Sikap belas kasihan terhadap golongan miskin.

 

Watak dan Perwatakan

Maharaja Indera Angkasa

(a)    Suami Tuan Puteri Ratna Dewi.

(b)    Berasal dari raja keinderaan.

(c)     Disumpah oleh Betara Guru kerana membawa isteri turun ke bumi tanpa memberitahunya.

(d)    Seorang yang miskin sebelum menjadi seorang raja.

(e)    Seorang yang tabah mengharungi cabaran hidup dalam kemiskinan.

(f)      Seorang yang sayang akan isteri.

(g)    Maharaja Indera Angkasa juga merupakan seorang yang bijak.

 

Tuan Puteri Ratna Dewi

(a)    Isteri Maharaja Indera Angkasa.

(b)    Berasal dari raja keinderaan.

(c)     Disumpah menjadi miskin oleh Betara Guru kerana mengikut suaminya turun ke bumi.

(d)    Seorang yang tabah mengharungi cabaran hidup dalam kemiskinan.

(e)    Tuan Puteri Ratna Dewi juga seorang yang setia akan suaminya.

(f)      Seorang yang mementingkan diri sendiri.

 

Maharaja Indera Dewa

(a)    Raja di negeri Anta Beranta.

(b)    Seorang yang berhati mulia.

 

Betara Angkasa Indera Dewa

(a)    Salah seorang raja di negeri Anta Beranta.

(b)    Seorang yang tidak berperikemanusiaan.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Permulaan – Pasangan suami isteri yang miskin telah mencari rezeki dengan meminta sedekah di negeri Anta Beranta.

(b)    Perkembangan – Pasangan ini pergi ke istana Maharaja Indera Dewa. Namun begitu, mereka telah diusir oleh Betara Angkasa Indera Dewa dan dilempar dengan batu serta kayu oleh orang di istana itu hingga menyebabkan badan pasangan itu bengkak dan berdarah. Mereka melarikan diri ke dalam hutan. Pasangan suami isteri itu akhirnya mengambil keputusan untuk tinggal di kawasan pembuangan sampah. Mereka makan ketupat basi dan buku tebu sahaja.

(c)     Klimaks – Maharaja Indera Dewa telah memberi setangkai buah mangga dan sebiji buah nangka kepada Si Miskin itu. Begitu juga dengan peniaga-peniaga yang lain telah banyak memberi barangan keperluan harian kepada pasangan itu. Semasa membina pondok, Si Miskin telah menjumpai tajau berisi emas. Setelah Marakarma lahir, dia telah menyeru kuasa anaknya itu untuk membina kota yang lengkap. Si Miskin telah menjadi raja dan digelar Maharaja Indera Angkasa manakala isterinya Tuan Puteri Ratna Dewi.

(d)    Peleraian – Kehidupan pasangan ini amat bahagia dan lahir pula seorang puteri, iaitu Tuan Puteri Nila Kesuma. Baginda telah mengadakan acara keramaian selama empat puluh hari empat puluh malam.

 

Teknik Plot

(a)    Dialog.

(b)    Imbas kembali.

(c)     Monolog.

(d)    Pemerian.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Negeri Anta Beranta.

(b)    Hutan.

(c)     Tempat pembuangan sampah.

(d)    Pasar.

(e)    Kedai menjual buah.

(f)      Taman Maharaja Indera Dewa.

(g)    Puspa Sari.

 

Latar Masa

(a)    Waktu siang.

(b)    Waktu petang.

(c)     Waktu malam.

(d)    Tiga bulan.

(e)    Selang tiga hari.

(f)      Malam empat belas haribulan.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang memandang hina terhadap orang miskin.

(b)    Masyarakat yang mengamalkan sikap kasih sayang.

(c)     Masyarakat yang setia terhadap pasangan.

(d)    Masyarakat yang memiliki sikap belas kasihan.

(e)    Masyarakat yang percaya akan kuasa sakti.

(f)      Masyarakat yang suka berhibur.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contohnya, masyhur; Allah Taala; Wallahualam.

(b)    Bahasa istana. Contohnya, baginda; titah; kakanda; patik; berputeralah.

(c)     Bahasa klasik. Contohnya, hatta; cetera; adapun.

(d)    Simile. Contohnya, ...rupa kainnya carik-carik berjurai-jurai seperti ubur-uburlah rupanya.

(e)    Repetisi. Contohnya, Maka ada yang memberi buah,

ada yang memberi juadah;

ada yang memberi nasi,

ada yang memberi kain,

ada yang memberi buah-buahan.

 

Nilai

(a)    Kasih sayang.

(b)    Kegigihan.

(c)     Baik hati.

(d)    Ketaatan.

(e)    Berdikari.

(f)      Belas kasihan.

 

Pengajaran

(a)    Kita perlulah gigih berusaha untuk mencapai sesuatu.

(b)    Kita hendaklah taat akan suami.

(c)     Kita haruslah mengamalkan sikap belas kasihan terhadap orang lain.

(d)    Kita mestilah sayang akan isteri.

(e)    Kita janganlah memandang hina terhadap orang lain.

Share:

Rabu, 10 Mac 2021

Sajak Bintang - Siti Zaleha M. Hashim

Kupasan Sajak Bintang (Siti Zaleha M. Hashim)



Maksud Sajak

Rangkap

Maksud

1

Pada suatu malam, penyajak duduk di halaman rumahnya sambil memerhatikan gugusan bintang di langit. Penyajak ingin terbang ke langit untuk mengambil bintang-bintang itu dan memberikan bintang-bintang itu kepada ayah dan ibunya. Penyajak merasakan perbuatannya itu akan membuatkan ibunya gembira dan ayahnya bahagia apabila melihat rumah mereka diterangi oleh cahaya bintang tersebut.

2

Namun begitu, ibu penyajak mengatakan bahawa penyajak tidak perlu berbuat demikian kerana ayah dan ibu penyajak sudah mempunyai bintang yang bercahaya di rumah dan dalam jiwa mereka. Hal ini demikian kerana penyajak ialah bintang hati ayah dan ibunya.

 

Tema

Kasih sayang yang utuh antara anak dengan ibu bapanya.

 

Persoalan

(a)    Kasih sayang yang mendalam sesama ahli keluarga.

(b)    Pengorbanan dan jasa ibu bapa yang tiada nilainya.

(c)     Tanggungjawab seorang anak untuk membahagiakan ibu bapanya.

(d)    Kebahagiaan ibu bapa terhadap anak yang taat dan bertanggungjawab.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Terdiri daripada dua rangkap.

(b)    Rangkap pertama mempunyai sepuluh baris dan rangkap kedua mempunyai lapan baris.

(c)     Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata.

(d)    Terdiri daripada enam hingga sepuluh suku kata.

(e)    Bentuknya bebas.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Anafora. Contohnya, bintang itu adalah aku

   bintang hati ayah dan ibu.

(b)    Metafora. Contohnya, bintang hati.

(c)     Personifikasi. Contohnya, menghias langit yang terbentang.

(d)    Kata ganda. Contohnya, bintang-bintang.

(e)    Asonansi. Contohnya, begitu juga ibu (perulangan vokal u).

(f)      Aliterasi. Contohnya, begitu juga jiwa mereka (perulangan konsonan j).

(g)    Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abccdcdded dan rima akhir bagi rangkap kedua ialah aabaccaa.

 

Nada

Romantis

 

Nilai

(a)    Kasih sayang

(b)    Mengenang jasa

(c)     Ketaatan

(d)    Tanggungjawab

(e)    Kejujuran

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah mengamalkan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga.

(b)    Kita hendaklah mengenang jasa ibu dan bapa yang banyak berbudi kepada kita.

(c)     Kita perlulah taat akan ajaran dan perintah kedua-dua ibu bapa yang membesarkan kita sejak kecil.

(d)    Kita hendaklah bertanggungjawab dalam membahagiakan dan menggembirakan hati ibu bapa pada setiap masa.

(e)    Kita seharusnya jujur dalam berkata-kata untuk menyatakan kebenaran.

Share:

Sajak Senja di Palang Besi - Pena Alam

Kupasan Sajak Senja di Palang Besi (Pena Alam)

 

Maksud Rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Suatu senja menyaksikan tebaran cahayanya yang makin suram dan hanya dapat dilihat oleh penyajak melalui celah-celah lubang sel penjara yang memisahkannya dengan dunia luar yang terpaksa diisi dengan suasana yang sepi dan penuh kekesalan di hati.

2

Waktu senja yang dahulunya membawa bahagia kepada penyajak kini bertukar sayu tatkala menjelang malam kerana penyajak terpaksa hidup di dalam sel penjara yang menyakitkan, terbuang, dan terasing dari dunia luar.

3

Dalam sel penjara yang bersambung antara palang besi, penyajak resah berteleku dalam suasana hening akibat dipenjarakan tanpa ditemani suasana bising. Pada waktu senja yang semakin menghampiri malam, penyajak merasakan jiwanya semakin sunyi dan merasakan itulah hukuman kemanusiaan terhebat yang perlu ditempuhinya.

 
Tema

Kesengsaraan dan kesepian seorang banduan yang hidup di dalam sel penjara.

 

Persoalan

(a)    Penyesalan hidup yang tiada berpenghujung.

(b)    Kehidupan di dalam sel penjara yang amat memilukan.

(c)     Penderitaan hidup yang terpaksa ditempuhi sendirian.

(d)    Harga kebebasan bagi sebuah kehidupan.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Terdiri daripada tiga rangkap.

(b)    Rangkap pertama dan kedua mempunyai enam baris, dan rangkap ketiga mempunyai lapan baris.

(c)     Bilangan katanya tiga hingga sembilan patah kata.

(d)    Terdiri daripada tujuh hingga lapan belas suku kata.

(e)    Berbentuk bebas.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Anafora. Contohnya, dalam keterbuangan yang merangkumdalam keterasingan yang mencengkam

(b)    Responsi. Contohnya, dalam keterbuangan yang merangkum dalam keterasingan yang mencengkam

(c)     Metafora. Contohnya, jemari malam, samudera jiwa.

(d)    Personifikasi. Contohnya, Senja mula menangis.

(e)    Kata ganda. Contohnya, kuntum-kuntum, dedawai.

(f)      Inversi. Contohnya, Pilu wajahmu sang senja.

(g)    Asonansi. Contohnya, hukuman terhebat hikayat kemanusiaan (perulangan vokal a).

(h)    Aliterasi. Contohnya: Tanpa pasir pantai atau silir angin (perulangan konsonan p).

(i)      Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abcdef, rima akhir bagi rangkap kedua ialah aabcbb, dan rima akhir bagi rangkap ketiga ialah abcddedd.

 

Nada

Melankolik

 

Nilai

(a)    Ketabahan

(b)    Kebebasan

(c)     Keredaan

 

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif yang boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam penjara.

(b)    Kita hendaklah menghargai nikmat kebebasan hidup yang dikurniakan oleh Tuhan.

(c)     Kita mestilah menjadi orang yang mematuhi undang-undang negara.

(d)    Kita hendaklah berfikir secara rasional dalam membuat sebarang tindakan agar tidak tersilap langkah melakukan perkara yang negatif.

Share:

Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu - Rahman Shaari

Kupasan Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu (Rahman Shaari)


 Maksud rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Setiap anak mempunyai seorang ibu sahaja tetapi terdapat banyak pesanan ibu kepada anak dalam menghadapi kehidupan.

2

Pesanan ibu kepada anak meliputi keseluruhan kehidupan anaknya. Ibu berpesan agar anaknya rajin belajar supaya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan berhati-hati dalam memilih kawan. Ibu juga berpesan agar anaknya mencari rakan yang baik dan menjauhi rakan yang boleh mempengaruhi anaknya melakukan perkara yang negatif. Ibu berpesan lagi agar si anak berwaspada ketika keluar dari rumah kerana bimbang akan bahaya yang mungkin menimpa diri. Walaupun si anak berasa jemu dengan setiap pesanan ibu namun ibu tidak pernah berhenti berpesan. Pesanannya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari, termasuklah pesanan agar menjaga kesihatan diri.

3

Suatu hari penyajak melihat rakannya bersedih kerana ditinggalkan oleh kekasihnya. Dia baru menyedari bahawa kekasihnya ialah seorang penipu dan telah ditangkap.

4

Ketika itu rakan penyajak telah menyedari bahawa dia telah mengabaikan pesanan ibunya agar berhati-hati  dalam memilih sahabat. Setelah itu, penyajak mula menerima hakikat kebenaran pesanan ibunya dan merindui pesanan-pesanan ibunya.

5

Akhirnya, penyajak mengakui bahawa ibunya lebih arif dalam menilai perkara yang baik dan yang buruk. Penyajak sanggup menerima lebih banyak pesanan ibunya kerana dia tidak akan bosan mendengarnya. Penyajak sedar bahawa sempurnanya tanggungjawab seorang ibu apabila beliau dapat menyampaikan pesanan yang baik kepada anaknya.

 

Tema

Seorang ibu yang tidak pernah jemu berpesan dan memberi nasihat kepada anak kesayangannya.

 

Persoalan

(a)    Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

(b)    Sikap berhati-hati dalam memilih sahabat.

(c)     Kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan sebagai penyuluh kehidupan.

(d)    Sikap tidak ambil peduli terhadap pesanan ibu akan membawa musibah kepada diri anak-anak.

(e)    Pengalaman yang mengajar manusia tentang erti kehidupan.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a)    Terdiri daripada lima rangkap.

(b)    Rangkap pertama mempunyai tiga baris, rangkap kedua mempunyai lapan belas baris, rangkap ketiga mempunyai sembilan baris, rangkap keempat mempunyai lapan baris, dan rangkap kelima mempunyai sepuluh baris.

(c)     Bilangan katanya satu hingga tujuh patah kata.

(d)    Terdiri daripada dua hingga enam belas suku kata.

(e)    Bentuknya bebas.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)    Anafora. Contohnya, yang mana permata, yang mana kaca yang mana budaya, yang mana buaya.

(b)    Repetisi. Contohnya, tapi ibu tetap ibu.

(c)     Hiperbola. Contohnya, kawan berhantu.

(d)    Asonansi. Contohnya, setiap langkah kita diiringi pesanan ibu (perulangan vokal i).

(e)    Aliterasi. Contohnya, kerana kehilangan kekasih (perulangan konsonan k).

(f)      Rima akhir bagi rangkap pertama ialah aaa, rima akhir bagi rangkap kedua ialah aaaabbccaaaaaaaaaa, rima akhir bagi rangkap ketiga ialah abbacdddd, rima akhir bagi rangkap keempat ialah aabbbbbb dan rima akhir bagi rangkap kelima ialah abccaaaaaa.

 

Nada

Melankolik


Nilai

(a)    Kasih sayang

(b)    Kesungguhan

(c)     Kebijaksanaan

(d)    Berhati mulia

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah sentiasa patuh dan mendengar nasihat ibu bapa.

(b)    Kita hendaklah rajin dalam menuntut ilmu pengetahuan.

(c)     Kita disarankan untuk menjaga kesihatan supaya tidak memudaratkan diri sendiri.

(d)    Kita hendaklah menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.

(e)    Kita perlulah bijak dalam memilih sahabat yang boleh memberi tunjuk ajar kepada kita.

Share:

Popular Posts

Pages