Kupasan Cerpen:
Banjir di Mata Emak (Che Soo Ismail)
Sinopsis
Watak “saya” hendak menelefon temannya tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah menyangka orang yang membuat panggilan itu ialah anaknya, Nana. Mak Piah memberitahu “Nana” (saya) bahawa dia tidak ada bekalan makanan disebabkan banjir yang melanda kampungnya sudah sampai ke paras dada. Mak Piah berterima kasih kepada “Nana” kerana menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Malangnya, abang Nana yang tinggal berdekatan tidak menjenguk Mak Piah langsung dan tidak menghiraukan keadaan Mak Piah semasa banjir tersebut.
Belum sempat “saya” hendak memberitahu Mak Piah tentang dirinya yang sebenar, talian telefon sudah terputus. Sudah empat hari empat malam hujan turun. “Saya” cuba menelefon Mak Piah sekali lagi tapi tiada jawapan. “Saya” bimbang akan keadaan Mak Piah. Banjir pada kali ini telah meragut dua nyawa. Mengikut cerita Mak Piah tadi, bekalan makanannya sudah habis. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Mak Piah seorang sahaja yang tidak mahu pergi ke pusat pemindahan. “Saya” tertanya-tanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah. “Saya“ membuat andaian bahawa mungkin Mak Piah sedang menunggu kedatangan anak lelakinya. Namun begitu, menurut Mak Piah, anak lelakinya sudah tiga bulan tidak menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Apatah lagi, pulang untuk menjenguk ibunya itu.
“Saya” mendail nombor telefon Mak Piah sekali lagi. Mak Piah menjawab panggilan “saya”. Mak Piah meminta “saya” yang disangkakannya Nana agar tidak bimbang tentangnya. Mak Piah sempat berpesan kepada “saya” agar menjaga anak dan suaminya baik-baik.
“Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira.
Kerja “saya” menjadi senang kerana Mak Piah sangat peramah. Daripada Mak Piah, “saya” mendapat tahu bahawa Nubhan, abang Nana takut akan isterinya, manakala Nana pula takut akan suaminya. “Saya” bertanyakan sebab Mak Piah tidak berpindah ke pusat pemindahan. Mak Piah mengatakan bahawa semasa banjir dahulu dia berpindah juga ke pusat pemindahan tetapi dia berasa susah. Hal ini berlaku demikian kerana dia kerap membuang air kecil sehinggakan kadang-kadang tidak sempat ke bilik air. “Saya” berjanji akan menemani Mak Piah selagi banjir tidak surut. Mak Piah memeluk “saya” lantas mengucapkan terima kasih.
“Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. Selepas makan, “saya” menolong Mak Piah mencuci dan menyimpan barang-barang makanan yang dibawanya ke dalam peti sejuk.
“Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak Piah lagi. Mak Piah meminta “saya” menyampaikan salam kepada anak perempuannya, Nana. “Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Rupa-rupanya Mak Piah telah meninggal dunia. Mak Piah tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Nana dan Nubhan menyesal. Kata Nana dua hari sebelumnya, Mak Piah bercerita kepada jiran-jiran bahawa Nana telah mengirim makanan kepadanya semasa banjir. Mak Piah sangat gembira. Nana menyatakan bahawa dia tidak pernah mengirim apa-apa kepada emaknya. Dia tidak pernah menelefon emaknya juga kerana emaknya tidak berapa dengar. Nana mengakui betapa mulia hati emaknya kerana sanggup berbohong kepada masyarakat untuk menjaga maruah dan namanya. Nana amat menyesal.
Tema
Kehilangan sesuatu yang bermakna meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seseorang.
Persoalan
(a) Nasib ibu tua yang tidak mendapat perhatian daripada anak-anak.
(b) Kasih ibu tidak berbelah bagi.
(c) Menyesal kemudian tiada gunanya.
(d) Anak-anak yang tidak bertanggungjawab.
(e) Rasa simpati yang wujud dalam diri seseorang.
Watak dan Perwatakan
“Saya”
(a) Anak yatim piatu.
(b) Seorang yang sensitif.
(c) Seorang yang prihatin.
(d) Mudah bersimpati.
(e) Baik hati.
(f) Terlalu merindui ibunya.
(g) Mengambil berat terhadap kehidupan Mak Piah.
(h) Sanggup berbohong kerana hendak melihat Mak Piah bahagia.
Mak Piah
(a) Hidup seorang diri di rumah usang di sebuah kampung.
(b) Mempunyai dua orang anak, iaitu Nana dan Nubhan.
(c) Seorang yang peramah.
(d) Seorang ibu yang penyayang.
(e) Seorang yang taat akan perintah Tuhan.
(f) Kurang pendengaran.
(g) Sangat merindui anak-anaknya.
Nana
(a) Anak bongsu Mak Piah.
(b) Takut akan suami.
(c) Tidak bertanggungjawab.
Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – “Saya” hendak menelefon temannya, tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah mengadu kepada “saya” yang disangkakan anak perempuannya, Nana, bahawa orang menjual ikan dan mamak menjual roti sudah tidak masuk ke kampung. Hal ini berlaku demikian kerana air banjir sudah naik ke paras dada. Tanpa sempat “saya” memberikan penjelasan tentang dirinya yang sebenar, Mak Piah sudah memutuskan talian telefon.
(b) Perkembangan – “Saya” mendail nombor telefon Mak Piah tetapi tidak berjawab. “Saya” bimbang akan keselamatan Mak Piah. Hal ini berlaku demikian kerana Mak Piah tinggal seorang diri dalam keadaan banjir. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Akhirnya,
Mak Piah menjawab panggilan telefon “saya”, tetapi hanya sekejap. Hati “saya” mula resah apabila memikirkan Mak Piah. “Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira. “Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. “Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak Piah lagi.
(c) Klimaks – “Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Belum pun sempat “saya” melangkah masuk ke rumah Mak Piah, usungan jenazah dibawa keluar. Saya mengiringi jenazah Mak Piah hingga ke tanah perkuburan.
(d) Peleraian – Anak-anak Mak Piah, Nana dan Nubhan berasa sangat sedih atas kematian Mak Piah. Mereka menyesal kerana tidak pulang menjenguk emak mereka semasa banjir. Emak mereka tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Setelah tubuh Mak Piah kaku, barulah jenazahnya ditemui jirannya.
Teknik Plot
(a) Pemerian.
(b) Dialog.
(c) Saspens.
Latar
Latar Tempat
(a) Kampung.
(b) Rumah “saya”.
(c) Rumah Mak Piah.
(d) Tanah perkuburan.
Latar Masa
(a) Empat hari empat malam.
(b) Ketika banjir.
(c) Waktu zuhur.
(d) Lima hari.
(e) Selepas banjir.
(f) Waktu pagi.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat kampung.
(b) Masyarakat yang prihatin.
(c) Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
(d) Masyarakat yang mementingkan kasih sayang.
(e) Masyarakat yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
(f) Masyarakat yang terlalu merindui ibunya.
(g) Masyarakat yang taat akan perintah agama.
Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Ya Allah; zuhur; assalamualaikum; alhamdulillah; insya-Allah.
(b) Metafora. Contohnya, lembah kepiluan; bungkusan takdir; lautan fikir.
(c) Simile. Contohnya, Ataukah agaknya dia bimbangkan bil telefon “anak” ini akan menjadi seperti harga ikan di pasar kami?
(d) Personifikasi. Contohnya, banjir kali ini menelan dua nyawa; getar suaranya menggegarkan perasaan.
(e) Peribahasa. Contohnya, isi hati.
(f) Sinkope. Contohnya, Tak apa Mak Piah, selagi banjir tak surut, insya-Allah, saya akan temankan Mak Piah.
(g) Repetisi. Contohnya, Saya yakin sungguh. Benar-benar yakin!
Nilai
(a) Kasih sayang.
(b) Keprihatinan.
(c) Baik hati.
(d) Simpati.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap ibu bapa kita.
(b) Kita mestilah menghargai kasih sayang ibu bapa terhadap kita.
(c) Kita hendaklah mengamalkan sikap perikemanusiaan dan tolong-menolong sesama manusia.
(d) Kita hendaklah menjaga nama baik seseorang, terutamanya nama baik ahli keluarga sendiri.
(e) Kita mestilah berpendirian tegas dalam hal-hal tertentu terutamanya tentang hak terhadap ibu bapa kita.
0 ulasan:
Catat Ulasan