Ahad, 1 Mac 2015

Novel Tingkatan 1 - Sejambak Bakti | Watak dan Perwatakan

Perwatakan bagi watak-watak dalam novel Sejambak Bakti

Razali
Razali merupakan watak utama dalam novel Sejambak Bakti. Razali ialah anak kepada Mak Sopiah dan anak tiri kepada Pak Zakaria. Sebagai penolong setiausaha lembaga pengarah Koperasi sekolah, Razali sentiasa menjalankan tugasnya dengan amanah. Sebagai pelajar, Razali sangat rajin dan belajar bersungguh-sungguh. Dia sering mengulang di pondok yang terletak di tengah sawah.

Dia juga bersikap suka membantu. Contohnya dia telah membantu Ramlah, Swee Lan, dan Saridevi dalam pelajaran. Selain itu, Razali juga sayang dan hormat kepada ibunya. Contohnya walaupun sangat ingin mengetahui keadaan ayah kandungnya, Razali tidak sanggup menyakiti hati ibunya semasa ibunya enggan memberitahukan ayahnya.

Razali juga bersikap sedia memaafkan. Misalnya ketika Munir meminta maaf kepadanya, Razali segera bersalam dengannya dan memeluk badan Munir sebagai tanda memaafkan segala kesalahan Munir terhadapnya. Razali juga bersikap ikhlas. Dia sanggup menerima Munir sebagai sahabat walaupun Munir pernah memukulnya dan membuat fitnah terhadapnya, malahan sanggup membantu Munir dalam pelajaran setelah Munir insaf akan kesalahannya.


Munir
Munir berasal daripada keluarga yang berada. Dia juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah koperasi sekolah. Munir bersikap sombong dan angkuh. Dia suka memacu motosikal di jalan raya. Munir merupakan ahli lembaga pengarah yang tidak bertanggungjawab. Contohnya dia sanggup ponteng dalam tugas di kedai koperasi sekolah dan bermain bola di padang. Munir juga bersikap pendendam dan iri hati. Contohnya dia cemburu apabila melihat Ramlah sering bersama dengan Razali. Dia sanggup memukul Razali di tengah jalan ke rumah. Dia juga membuat fitnah bahawa Razali telah mencerobohi kedai koperasi. Bagaimanapun Munir telah insaf akan kesalahan dirinya setelah dirotan di depan perhimpunan. Dia telah meminta maaf kepada Razali dan keluarga Razali.


Mak Sopiah
Ibu kepada Razali dan isteri kepada Pak Zakaria. Dia juga bekas isteri kepada Pak Ramli. Dia telah bercerai dengan Pak Ramli 16 tahun yang lalu, iaitu Razali baru berumur satu tahun. Mak Sopiah bersikap penyayang. Dia sangat sayang akan anaknya Razali. Sebagai contoh, dia sangat membela Razali malah mengikut Razali keluar dari rumah jika suaminya hendak menghalau Razali keluar dari rumah itu. Dia tidak mahu memberitahu keadaan ayah kandung Razali kepada Razali kerana tidak mahu Razali meninggalkannya. Mak Sopiah juga seorang yang mesra. Contohnya dia melayani kawan-kawan Razali dengan ramah-tamah dan menghilangkan minuman dan pisang goreng untuk mereka.


Cikgu Zulkifli
Cikgu Zulkifli ialah guru yang bertanggungjawab terhadap Koperasi Sekolah. Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah, Cikgu Zulkifli sentiasa memberikan perhatian dan bantuan untuk memajukan kegiatan koperasi sekolah. Beliau seorang guru yang dedikasi dan bertanggungjawab. Beliau sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menguruskan perniagaan kedai koperasi dan projek ternakan ayam telur di sekolah itu. Cikgu Zulkifli juga seorang guru yang mengambil berat terhadap pelajaran dan tingkah laku pelajar. Contohnya dia sentiasa memberikan nasihat kepada Munir supaya bersikap positif terhadap pelajar dan tugas dalam koperasi sekolah.


Cikgu Syamsudin
Cikgu Syamsudin merupakan pengetua Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Cikgu Syamsudin bersikap tegas dan sentiasa mengambil berat akan disiplin pelajar. Oleh itu beliau sanggup mengambil keputusan untuk merotan dan merotan di hadapan perhimpunan pelajar terhadap Munir yang sering melanggar peraturan sekolah. Beliau berbuat demikian demi meningkatkan disiplin pelajar. Beliau sentiasa prihatin terhadap kokurikulum pelajar. Contohnya, beliau memberikan sokongan yang sepenuh terhadap kegiatan koperasi sekolah dan penyertaan Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah.


Pak Zakaria
Pak Zakaria ialah bapa tiri kepada Razali dan suami kepada Mak Sopiah. Dia bersikap prejudis. Contohnya, dia sering menganggap bahawa anak tirinya bersikap sombong dan angkuh. Semasa melihat keadaan Razali yang telah dipukul, dia terus mendakwa bahawa Razali suka bergaduh dengan orang lain. Apabila diberitahu oleh Munir dan Leong, Pak Zakaria terus mempercayai kata-kata mereka, iaitu Razali telah mencerobohi kedai koperasi dan mencuri wang di dalam kedai koperasi itu. Tanpa usul periksa, Pak Zakaria hendak menghalau Razali keluar dari rumah. Bagaimanapun dia juga bersikap sedia memaafkan, iaitu dia terus memaafkan Munir apabila Munir meminta maaf atas kesalahannya yang memfitnah Razali sehingga nama keluarga merekaterjejas.


Ramlah
Ramlah seorang gadis yang bersikap sopan dan lemah lembut. Keayuannya telah memikat hati Munir. Sebagai ahli lembaga pengarah koperasi sekolah, Ramlah aktif menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab. Dia seorang pelajar yang suka membantu orang. Contohnya dia telah membantu Razali untuk membuat minit mesyuarat lembaga pengarah koperasi sekolah. Selain itu, Ramlah seorang pelajar yang tekun dalam pelajaran. Oleh itu, dia dan Swee Lan serta Saridevi meminta Razali supaya dapat berulang kaji tentang pelajaran yang tidak difahami. Dia juga bersikap setia kawan. Contohnya dia percaya sepenuhnya terhadap Razali bahawa Razali tidak terlibat dalam kes kecurian dalam kedai koperasi sekolah.


Selain itu terdapat watak-watak samping yang lain seperti:
Swee Lan , Saridevi, Harun, Norlela, Cikgu Robeah, Cikgu Hassan, Leong, Silvam, Cikgu Saiful, Pak Ramli, Encik Ali dan sebagainya.
Share:

6 ulasan:

Popular Posts

Pages