Isnin, 15 Februari 2021

Cinta Ahmad Mutawakkil - Zainal Rashid Ahmad

Kupasan Cerpen:

Cinta Ahmad Mutawakkil

(Zainal Rashid Ahmad)

Sinopsis

Ahmad Mutawakkil muncul secara tiba-tiba dalam keadaan cedera parah. Pakaiannya dipenuhi darah serta lumpur di pintu surau kampungnya sebaik sahaja para makmum selesai menunaikan solat maghrib. Situasi yang mencemaskan itu menimbulkan kejutan dan tanda tanya kepada Imam Ngah Deraman, Penghulu Ibrahim Sigap, dan seluruh makmum di surau kampung mengenai punca kejadian itu berlaku. Ahmad mutawakkil yang cedera parah telah dibaringkan oleh Penghulu Ibrahim Sigap. Dalam keadaan nafasnya tercungap-cungap, dia rebah lalu pengsan.

Melalui teknik imbas kembali, penulis menceritakan kisah penerokaan kampungnya sejak tiga generasi yang lalu. Mereka telah meneroka tanah kebun dan sawah padi. Selepas itu, bermula pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga telah datang ke kampung itu untuk meneroka belukar. Tuan Booth mengupah beratus-ratus orang buruh termasuklah penduduk kampung penulis untuk menanam pokok-pokok getah. Kemudian, Tuan Booth telah membawa masuk 15 buah keluarga buruh berketurunan India untuk bekerja di estet getahnya. Seterusnya, kisah riwayat hidup Ahmad Mutawakkil yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya, Wak Sadir. Ahmad Mutawakkil terpaksa menumpang hidup dengan Tuan Booth selama tiga tahun.

Pendaratan askar Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 ternyata mengubah suasana damai di kampung penulis. Penulis mengimbas kembali kisah Tuan Booth sekeluarga yang terpaksa meninggalkan banglo di estetnya seminggu sebelum kemaraan askar Jepun dan kisah kesulitan seluruh penduduk kampung pada zaman pendudukan Jepun itu. Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga telah menyebabkan Ahmad Mutawakkil hidup terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam Ngah Deraman telah menjadikan Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Sejak itu, Imam Ngah Deraman selalu menceritakan perihal Ahmad Mutawakkil kepada penduduk kampung termasuklah kepandaiannya membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 1943, Ahmad Mutawakkil telah bekerja di bandar.

Pada tahun 1945, Ahmad Mutawakkil memberitahu Imam Ngah Deraman bahawa bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun telah dibom dan askar Jepun terpaksa menyerah kalah dalam perang dunia kedua. Ketika Ahmad Mutawakkil berusia 17 tahun, ketokohan dan kehebatan Ahmad Mutawakkil sebagai pejuang nasionalis Melayu muda terserlah apabila setiap tutur kata dan tindak-tanduknya sangat berpengaruh dan disegani sama ada di kampung atau di seluruh daerah. Tuan Booth kembali banglo di estetnya semula ke selepas Jepun menyerah kalah. Sikap peramah dan baik hati Tuan Booth sekeluarga terhadap penduduk kampung telah mengeratkan hubungan antara mereka.

Ketokohan Ahmad Mutawakkil sebagai pejuang nasionalis Melayu amat ketara apabila beliau secara lantang menolak perjuangan komunis dan menentang penjajahan Inggeris melalui sesi pidato dan penulisannya dalam surat khabar. Pembabitan Ahmad Mutawakkil sebagai wartawan telah berjaya meluaskan pengaruhnya sehingga terpilih sebagai pemimpin nombor dua dalam parti peringkat daerah pada tahun 1952 yang dianggotainya. Pada masa yang sama, Sandra, iaitu anak gadis Tuan Booth menyimpan perasaan kasihnya terhadap Ahmad Mutawakkil. Hubungan mereka telah mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat kampung.

Pada tahun 1948, Parti Komunis Malaya mula menggila di Perak. Ahmad Mutawakkil pula semakin rancak berkempen untuk menggesa rakyat menolak ideologi komunis yang songsang itu. Keadaan itu telah menyebabkan lima orang pengganas komunis menyerbu banglo Tuan Booth. Beliau diminta menyampaikan amaran mereka kepada Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat membenci ideologi komunis. Sungguhpun begitu, Ahmad Mutawakkil tidak mengendahkan nasihat Tuan Booth dan Penghulu Ibrahim Sigap, malah dia semakin berani bersuara dengan lantang.

Pada malam Jumaat selepas dia selesai menyampaikan ceramahnya, Ahmad Mutawakkil telah didatangi oleh seorang budak lelaki di surau kampungnya. Ahmad Mutawakkil minta diri untuk mengikut budak lelaki itu. Keesokan harinya, kehilangan Ahmad Mutawakkil menimbulkan tanda tanya dan kegelisahan dalam kalangan penduduk kampung apabila seharian dia tidak muncul di surau kampung itu. Tiga kumpulan termasuk Tuan Booth telah dibentuk untuk mencari Ahmad Mutawakkil di seluruh pelosok kampung, namun usaha mereka menemukan kegagalan.

Sesudah solat maghrib, segala kerunsingan dan keresahan penduduk kampung terjawab apabila Ahmad Mutawakkil muncul di surau kampungnya dalam keadaan cedera parah. Dia meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman sambil menggenggam tangan Penghulu Ibrahim Sigap akibat tembakan tiga butir peluru yang menembusi belakang bahunya. Kematian Ahmad Mutawakkil amat dirasai oleh penduduk kampung termasuklah penulis. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung telah mengadakan majlis doa kesyukuran sebagai tanda meraikan kemerdekaan tanah air. Majlis bacaan tahlil turut diadakan untuk mengenang jasa dan pengorbanan arwah Ahmad Mutawakkil itu.

Tuan Booth sekeluarga telah pulang ke England seminggu selepas kemerdekaan negara. Setahun kemudian, Sandra kembali ke banglo peninggalan bapanya di estet getah itu. Lantaran kenangannya yang tidak pernah lenyap atau demi kecintaannya terhadap Ahmad Mutawakkil, dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.

 

Tema

Cerpen “Cinta Ahmad Mutawakkil” bertemakan kegigihan seorang pemuda yang menghadapi pelbagai cabaran dan tentangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

 

Persoalan

(a)    Kasih sayang sebagai tali pengikat hubungan sesama anggota keluarga.

(b)    Ketabahan dalam mengharungi pelbagai kesulitan semasa zaman perang.

(c)     Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri pejuang.

(d)    Kisah percintaan yang mendalam.

(e)    Kerjasama yang erat dalam masyarakat dapat mengeratkan perpaduan dan keselamatan penduduk.

(f)      Kekejaman dan kezaliman pihak pengganas terhadap masyarakat.

 

Watak dan Perwatakan

Ahmad Mutawakkil

(a)    Berusia 25 tahun ketika dia meninggal dunia akibat ditembak oleh pengganas komunis.

(b)    Anak tunggal Wak Sadir dan menjadi yatim piatu selepas kematian ayahnya.

(c)     Mampu membaca dan menulis bahasa Inggeris dengan baik.

(d)    Bermisai nipis seperti bulu roma.

(e)    Bekerja sebagai wartawan akhbar.

(f)      Nasionalis muda yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

(g)    Petah berpidato dan berani bersuara untuk menegak kebenaran melalui penulisannya dalam surat khabar.

(h)    Menghargai jasa dan budi orang lain.

(i)      Berhemah tinggi.

(j)      Sangat berpengaruh sehingga dihormati oleh penduduk di kampungnya dan di seluruh daerah.

(k)    Pemimpin parti yang berjiwa besar, iaitu dipilih memegang jawatan pemimpin nombor dua di peringkat daerah walaupun ketika itu beliau baru berusia 24 tahun.

 

Tuan Booth

(a)    Pengurus ladang getah di estetnya.

(b)    Berbangsa Inggeris.

(c)     Berasal dari England.

(d)    Mempunyai seorang isteri dan seorang anak perempuan bernama Sandra.

(e)    Berkulit putih, gemar berseluar pendek, dan bertopi bulat.

(f)      Majikan kepada lima belas buah keluarga keturunan India yang bekerja sebagai buruh di ladang getahnya.

(g)    Murah dengan senyuman.

(h)    Baik hati, peramah, dan pandai menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan.

(i)      Bersifat penyayang dan suka berterus terang.

 

 

Sandra

(a)    Anak tunggal kepada Tuan Booth.

(b)    Berusia 27 tahun.

(c)     Bermata biru lembut dan berambut perang.

(d)    Gadis berbangsa Inggeris yang fasih berbahasa Melayu.

(e)    Menyimpan perasaan cinta terhadap Ahmad Mutawakkil secara diam-diam.

(f)      Baik hati dan penyayang.

(g)    Setia dalam percintaan.

 

Imam Ngah Deraman

(a)    Imam surau di kampung penulis.

(b)    Taat akan ajaran agama Islam.

(c)     Bertanggungjawab, rasional, dan berprasangka baik.

(d)    Bersifat penyayang.

 

 

Latar

 

Latar Tempat

(a)    Surau kampung penulis.

(b)    Banglo estet Tuan Booth.

(c)     Estet Ephill dan Estet Sungai Siput.

(d)    Kampung penulis.

(e)    Estet Tuan Booth.

(f)      Kebun kampung penulis.

(g)    Sawah.

(h)    England.

 

Latar Masa

(a)    Pertengahan  tahun 30-an.

(b)    Waktu pagi, petang, dan malam.

(c)     Seminggu sebelum Jepun mendarat di Tanah Melayu.

(d)    Malam Jumaat, bulan Ogos tahun 1953.

(e)    31 Ogos 1957.

(f)      31 Ogos 1958.

 

Latar Masyarakat

(a)    Masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

(b)    Masyarakat berbangsa Melayu yang tinggal di kawasan perkampungan yang terpencil.

(c)   Masyarakat yang mengenang jasa pemuda yang telah banyak berkorban untuk membebaskan tanah air daripada musuh.

(d)    Masyarakat yang menjadi mangsa keganasan pihak pengganas.

(e)    Masyarakat tempatan yang bertindak kejam dan sanggup menjadi pembelot terhadap negara.

(f)      Masyarakat penjajah asing yang mengaut keuntungan ekonomi tanah air.

(g)    Masyarakat yang menaruh perasaan cinta tanpa sempadan bangsa dan adat resam.

(h)    Masyarakat kampung yang gigih bertani demi keperluan sara hidup.

 

Plot

Binaan Plot

 

(a)    Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi.

(b)    Pengenalan – Penulis memperkenalkan watak Ahmad Mutawakkil yang muncul secara tiba-tiba di pintu surau kampungnya sebaik sahaja para makmum selesai menunaikan solat maghrib. Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah dan pakaiannya dipenuhi darah serta lumpur.

(c)     Perkembangan – Penulis menceritakan kembali kisah kampungnya yang telah diteroka oleh poyangnya sejak tiga generasi yang lalu. Pada pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga telah datang ke kampung itu untuk meneroka belukar dengan mengupah beratus-ratus orang buruh dan ditanami dengan pokok getah. Kemudian, lima belas buah keluarga buruh berketurunan India dibawa masuk untuk bekerja di estet getah milik Tuan Booth itu. Seterusnya, diriwayatkan kisah hidup Ahmad Mutawakkil yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya, Wak Sadir. Penulis turut mengisahkan Ahmad Mutawakkil terpaksa menumpang hidup dengan Tuan Booth selama tiga tahun.

(d)    Perumitan – Pendaratan askar Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 ternyata mengubah suasana damai di kampung penulis. Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga menyebabkan Ahmad Mutawakkil hidup terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam Ngah Deraman menjadikan Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Tuan Booth kembali ke banglo di estetnya semula selepas Jepun menyerah kalah. Sandra, iaitu anak gadis Tuan Booth telah menyimpan perasaan terhadap Ahmad Mutawakkil. Hal ini mengundang pelbagai persoalan mengenai hubungan mereka dalam kalangan masyarakat kampung. Lima orang pengganas komunis telah menyerbu banglo Tuan Booth. Mereka mendesak Tuan Booth supaya menasihati Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat membenci ideologi komunis.

(e)    Klimaks – Ahmad Mutawakkil telah didatangi oleh seorang budak lelaki di surau pada malam Jumaat selepas dia selesai menyampaikan ceramahnya. Keesokan harinya, kehilangan Ahmad Mutawakkil menimbulkan tanda tanya dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kampung. Gerakan mencari Ahmad Mutawakkil di segenap pelosok kampung telah dijalankan oleh tiga kumpulan pencari termasuklah Tuan Booth. Ahmad Mutawakkil gagal ditemukan.

(f)      Peleraian – Ahmad Mutawakkil meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman akibat tembakan tiga butir peluru yang menembusi belakang bahunya. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung telah mengadakan majlis doa kesyukuran untuk meraikan kemerdekaan

tanah air dan majlis bacaan tahlil sebagai tanda mengenang jasa arwah Ahmad Mutawakkil. Setahun kemudian, Sandra kembali ke banglo peninggalan bapanya di estet getah itu lantaran kenangannya yang tidak pernah lenyap terhadap Ahmad Mutawakkil. Dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.

 

Teknik Plot

(a)    Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra. Ahmad Mutawakkil berasa terhutang budi atas kesudian Sandra mengajarnya menulis dan membaca.

(b)    Teknik imbas kembali. Contohnya, penulis mengimbas kembali peristiwa kedatangan sebuah keluarga Orang Putih ke kampungnya.

(c)     Teknik imbas muka. Contohnya, penulis membayangkan ketiadaan Sandra, anak gadis Tuan Booth pada malam penyampaian pidato oleh Ahmad Mutawakkil di kampungnya berkemungkinan disebabkan faktor kesihatan atau faktor merajuk.

(d)    Teknik kejutan. Contohnya, kemunculan Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah di pintu surau pada permulaan cerita menimbulkan kejutan kepada pembaca sedangkan dialah watak utama dalam cerpen ini.

(e)    Teknik monolog dalaman. Contohnya, penulis melahirkan rasa kesyukuran dalam hatinya atas dua perkara walaupun ketika itu Jepun sedang menjajah negerinya itu.

(f)      Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Ahmad Mutawakkil sewaktu dia muncul secara tiba-tiba di pintu surau kampungnya.

(g)    Teknik saspens. Contohnya, peristiwa kemaraan askar Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941 telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang nasib penduduk kampung penulis.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contoh: solat maghrib; Alhamdulillah; syahadah.

(b)    Metafora. Contoh: wajah kampung; garisan perang; sayap parti.

(c)     Paradoks. Contoh: Suaranya bersahaja, tetapi setiap patah perkataan yang disebutnya cukup untuk menyemarakkan hati sanubari kami.

(d)    Peribahasa. Contoh: anak angkatnya; menjaga tepi kain orang; minta diri.

(e)    Personifikasi. Contoh: diratah atau dirobek peluru; ketegangan merayap ke seluruh negara.

(f)      Repetisi. Contoh: Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.

(g)    Simile. Contoh: laksana lautan emas kala musim menuai; Darah membuak-buak bagai mata air.

(h)    Sinkope. Contoh: “Dari dulu, saya tau awak bijak ... tapi saya tak sangka, awak akan sehebat ini.”.

 

Nilai

(a)    Nilai kasih sayang. Contohnya, Tuan Booth amat menyayangi isteri dan anak perempuannya, Sandra apabila dia bertindak membawa mereka meninggalkan banglo di estetnya seminggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.

(b)    Nilai patriotisme. Contohnya, Ahmad Mutawakkil meniupkan api semangat patriotik melalui penulisannya dalam surat khabar dan melalui ceramah yang disampaikannya kepada masyarakat kampung.

(c)     Nilai keberanian. Contohnya, Ahmad Mutawakkil berani bersuara dengan lantang dan secara terang-terangan membidas serta mengkritik perjuangan pihak komunis.

(d)    Nilai ketabahan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil tabah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan negara.

(e)    Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil bijak memanfaatkan peluang semasa menumpang di banglo Tuan Booth selama tiga tahun dengan belajar membaca dan menulis bahasa Inggeris daripada Sandra.

(f)      Nilai bertanggungjawab. Contohnya, Imam Ngah Deraman bertanggungjawab mencari dan membawa Ahmad Mutawakkil pulang ke rumahnya selepas Tuan Booth sekeluarga meninggalkan banglonya seminggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.

(g)    Nilai kerjasama. Contohnya, tiga kumpulan pencari bekerjasama mencari jejak Ahmad Mutawakkil yang hilang.

(h)    Nilai hormat-menghormati. Contohnya, Tuan Booth sekeluarga amat menghormati masyarakat kampung penulis yang berbangsa Melayu.

(i)      Nilai mengenang jasa. Contohnya, penduduk kampung menganjurkan majlis doa kesyukuran dan bacaan tahlil bagi mengenang segala pengorbanan Ahmad Mutawakkil sebagai nasionalis muda yang telah banyak berjasa kepada penduduk kampung.

 

Pengajaran

(a)    Kita harus berani dalam melakukan sebarang tindakan.

(b)    Kita mestilah memupuk semangat cinta akan negara untuk memerdekakan tanah air daripada anasir pengganas dan penjajah.

(c)     Kita perlu bekerjasama dan bantu-membantu dalam melakukan sesuatu perkara.

(d)    Kita hendaklah tabah menghadapi pelbagai kesulitan dan keperitan hidup pada zaman perang.

(e)    Kita mestilah mengenang budi seseorang yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa, dan tanah air.

(f)      Kita hendaklah mempererat ikatan kasih sayang sesama anggota keluarga sekali gus melindungi mereka daripada sebarang bahaya atau ancaman.

(g)    Kita sepatutnya bijak merebut peluang untuk menambah ilmu.

Share:

Jumaat, 12 Februari 2021

Burung Terbang Dipipiskan Lada

Kupasan Prosa Tradisional:

Burung Terbang Dipipiskan Lada


Sinopsis Burung Terbang Dipipis Lada:

Kedengaran ke benua Siam bahawa negeri Melaka sebuah negeri yang besar dan tidak ditakluki oleh mana-mana empayar. Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya pun menyuruh utusan ke Melaka untuk meminta surat sembah. Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah raja Siam. Raja Siam berasa amat marah lalu memerintah-kan hulubalangnya, iaitu Awi Cakri untuk menyerang Melaka.

Berita Siam hendak menyerang Melaka telah didengari oleh Sultan Muzaffar Syah. Lantas, baginda memerintahkan rakyat dihimpunkan di Melaka. Sehubungan dengan itu, semua rakyat lelaki dibawa berhimpun di Melaka. Bagaimanapun, Tun Perak telah menghimpunkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan mereka berperang dengan sungguh-sungguh demi isteri dan anak-anak mereka. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian Sultan Melaka. Selepas Melaka menang ke atas Siam, Tun Perak diperintahkan agar menetap di Melaka dan dilantik sebagai bentara.

Kemudian, ada seorang orang Kelang mengadu kepada Sultan Melaka bahawa Tun Perak telah menganiayai dirinya. Sultan Melaka pun memerintahkan Tun Perak supaya menghadap baginda. Tun Perak menyatakan bahawa dia tahu akan tanggungjawabnya untuk menjaga negeri Melaka. Tun Perak mahu dia dipecat lebih dahulu sekiranya dia ingin dicerca disebabkan orang yang mengadu hal tersebut. Kata-kata Tun Perak itu memikat hati Sultan Melaka. Tun Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja. Tun Perak duduk setara dengan Seri Nara Diraja di seri balai.

Sementara itu, orang Melayu pun terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagiannya mengikut Paduka Raja dan sebahagian lagi mengikut Seri Nara Diraja. Kedua-dua pembesar ini tidak bermuafakat dan sering berselisih faham. Sultan Melaka berasa dukacita kerana sikap kedua-dua pembesar itu akan membinasakan negeri Melaka. Baginda bercadang untuk mendamaikan Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Oleh hal yang demikian, Seri Nara Diraja telah dikahwinkan dengan Tun Kudu, iaitu anak Bendahara Seri Wak Raja yang bersaudara pula dengan Paduka Raja. Tun Kudu ialah isteri Sultan Melaka tetapi telah diceraikan oleh baginda. Tun Kudu dipelihara oleh Paduka Raja. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Melaka. Setelah Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun Kudu, Seri Nara Diraja telah berbaik-baik dengan Paduka Raja. Malah Seri Nara Diraja memberikan sokongannya terhadap Paduka Raja untuk dilantik sebagai bendahara. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja setara dengan Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di Pasai. Seri Nara Diraja pula menjadi penghulu bendahari di Melaka.

Setelah beberapa lama kemudian, orang Siam, iaitu di bawah panglima Awi Dicu mahu menyerang Melaka lagi. Sultan Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja agar bersiap sedia untuk menentang orang Siam. Seri Bija Diraja turut diperintahkan membantu Bendahara Paduka Raja untuk mengusir orang Siam yang telah menghampiri Batu Pahat. Bendahara Paduka Raja telah memerintah Tun Umar supaya menaiki perahu untuk memeriksa perahu Siam. Tun Umar yang berani itu telah melanggar beberapa buah perahu Siam sehingga mereka kalah. Tindakan Tun Umar membuatkan orang Siam berasa sungguh hairan.

Setelah hari malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan agar pohon-pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan tersebut telah dilihat oleh orang Siam. Hulubalangnya berpendapat bahawa kelengkapan Melaka sungguh banyak. Dengan itu, orang Siam menjadi takut dan tidak jadi berperang lalu kembali ke Siam.

Di Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah meraikan tenteranya dengan memberikan persalinan yang mulia-mulia. Sebaliknya di Siam pula, Paduka Bubunnya berasa terlalu marah. Lantas baginda sendiri ingin menyerang Melaka. Sebaliknya, Cau Pandan, iatu anak Paduka Bubunnya mahu dia diperlengkapkan untuk mengalahkan Melaka. Paduka Bubunnya berasa sangat gembira dan mengarahkan anaknya itu diperlengkapkan dengan Pra Kelong lapan ratus sum dan perahu-perahu kecil yang tidak terbilang banyaknya.

Khabar tentang tentera Siam yang dipimpin oleh Cau Pandan akan menyerang telah kedengaran di Melaka. Namun begitu, Tuan Sidi Arab yang menetap di Melaka dan pandai bermain panah lasykar telah menghalakan panahnya ke benua Siam sambil melaungkan kata-kata bahawa Cau Pandan akan mati. Sultan Muzaffar Syah mengatakan bahawa Tuan Sidi Arab itu benar-benar warak sekiranya Cau Pandan betul-betul mati.

Di benua Siam pula, Cau Pandan berasa dadanya seperti terkena panah. Cau Pandan jatuh sakit dan muntah darah lalu mati. Oleh hal yang demikian, rancangan Siam untuk menyerang Melaka tidak diteruskan. Kematian Cau Pandan telah tersebar ke Melaka. Sultan Muzaffar Syah yang mendengar khabar tersebut mengakui Tuan Sidi Arab seorang yang warak, lalu memberikan pujian dan anugerah kepada beliau.

Selepas 42 tahun menaiki takhta, akhirnya Sultan Muzaffar Syah pun mangkat. Takhta Melaka telah digantikan oleh anakanda baginda, iaitu Raja Abdullah. Baginda digelar Sultan Mansur Syah. Usia baginda sewaktu menaiki takhta itu ialah 27 tahun. Sultan Mansur Syah seorang yang kacak, adil, dan pemurah. Baginda telah berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.

Tema

Tema prosa tradisional “Burung Terbang Dipipiskan Lada” ialah kebijaksanaan seorang raja dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kalangan pembesar negeri.

 

Persoalan

(a)    Kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah.

Contoh: Sultan Muzaffar menggunakan strategi mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu untuk mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.

(b)    Perpecahan dalam kalangan pembesar akan mengancam kedaulatan negara.

Contoh: Perbalahan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menyebabkan orang Melayu berpecah dua dan Melaka dalam keadaan bahaya.

(c)     Bersiap siaga dengan ancaman musuh

Contoh: Paduka Raja sentiasa bersiap sedia dengan strategi awal yang bijak untuk mengalahkan askar Siam.

(d)    Kepentingan ilmu dalam kehidupan.

Contoh: Tun Sidi Arab memiliki ilmu yang tinggi hingga boleh membunuh Cau Pandan di Siam hanya dengan menggunakan panahnya dari Melaka.

(e)    Keberanian dalam menghadapi cabaran.

Contoh: Tun Perak tidak takut apabila dipanggil sultan setelah orang Kelang menuduhnya menganiaya sultan sebaliknya beliau berani memberi jawapan yang baik hingga sultan melantiknya sebagai perdana menteri.

(f)      Taat setia kepada pemimpin dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara.

Contoh: Rakyat Melaka setia dan memberikan daulat kepada sultan Muzaffar hingga menjadikan Melaka sebuah negeri yang kuat dan maju.

 

 

Watak dan Perwatakan

Tun Perak

(a)    Pembesar Melaka yang menjaga daerah Kelang.

(b)    Dinaikkan pangkat daripada pembesar Kelang kepada Paduka Raja.

(c)     Diperintahkan untuk menetap di Melaka.

(d)    Berani dan baik hati, dan bijaksana.

(e)    Sangat berpengaruh.

(f)      Dilantik menjadi bendahara yang bergelar Bendahara Paduka Raja oleh Sultan Muzaffar Syah setelah mendapat sokongan daripada Seri Nara Diraja.

(g)    Bijak dalam strategi perang.

 

Sultan Muzaffar Syah

(a)    Mementingkan keharmonian Melaka.

(b)    Bijaksana dan prihatin.

(c)     Tidak terburu-buru dalam bertindak.

(d)    Memerintah Melaka selama 42 tahun.

(e)    Raja yang menghargai rakyat.

 

Seri Nara Diraja

(a)    Penghulu bendahari di Melaka.

(b)    Sudah tua sehingga bulu kening dan bulu matanya telah bercantum.

(c)     Berkahwin dengan Tun Kudu, iaitu bekas isteri Sultan Melaka.

(d)    Mempunyai anak daripada hubungannya dengan gundik, iaitu Tun Nina Madi.

(e)    Bapa saudara kepada Bendahara Paduka Raja apabila beliau berkahwin dengan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Bendahara Paduka Raja.

 

Sultan Mansur Syah

(a)    Anak kepada Sultan Muzaffar Syah.

(b)    Menjadi sultan ketika berusia 27 tahun.

(c)     Kacak, adil, dan pemurah.

(d)    Berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.

(e)    Mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Puteri Bakal, iaitu hasil hubungannya dengan gundik.

 

Latar

Latar Tempat

(a)    Melaka: cerita berkisar di negeri Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.

(b)    Muar: askar Siam di bawah pimpinan Awi Dicu berada di Muar selepas menyerang Melaka.

(c)     Batu Pahat: askar Siam berada di Batu Pahat untuk menyerang Melaka di bawah Awi Dicu.

(d)    Hulu Muar

(e)    Kelang: tempat tinggal Tun Perak sebelum dilantik menjadi bendahara Melaka.

(f)      Siam: tempat tinggal Paduka Babunnya.

(g)    Istana Siam

(h)    Seri balai.

 

Latar Masa

(a)    Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka - semasa Melaka sedang maju dan kuat.

(b)    Zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah - Sultan Muzaffar memerintah Melaka selama 42 tahun dan Melaka menjadi negeri yang makmur.

(c)     Zaman Tun Perak menjadi Bendahara Melaka - Tun Perak dilantik menjadi bendahara dengan gelaran Paduka Raja. Ketika itu Melaka sangat kuat.

 

Latar Masyarakat

(a)    Golongan istana yang terdiri daripada pemerintah, menteri, dan hulubalang.

(b)    Masyarakat yang mengamalkan ilmu.

(c)     Masyarakat yang tidak bersatu hati.

(d)    Masyarakat yang takut akan isteri.

(e)    Masyarakat yang bijaksana.

(f)      Masyarakat yang baik hati.

 

Plot

Binaan Plot

(a)    Peristiwa-peristiwa dalam cerita ini dijalin secara kronologi.

(b)    Pengenalan – Raja Siam memerintahkan Melaka agar menghantar surat sembah. Namun begitu, Sultan Melaka tidak mahu memberikan surat sembah tersebut. Oleh itu, Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya memerintahkan tenteranya di bawah pimpinan Awi Cakri supaya menyerang Melaka. Sultan Melaka mengarahkan rakyatnya dikumpulkan untuk menghadapi ancaman tentera Siam. Tun Perak mengumpulkan semua lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak masing-masing. Akhirnya, Siam berjaya dikalahkan di Muar.

(c)     Perkembangan – Tun Perak diperintahkan oleh Sultan Melaka supaya menetap di Melaka dan dijadikan bentara. Kebijaksanaan dan kata-kata Tun Perak sewaktu menyelesaikan dakwaan bahawa dia membuat aniaya telah membuatkan Sultan Muzaffar Syah menaikkan pangkat beliau sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.

(d)    Perumitan – Seri Nara Diraja dan Paduka Raja tidak sefahaman. Orang Melayu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu sebahagian menjadi pengikut Seri Nara Diraja dan sebahagiannya pengikut Paduka Raja. Sultan Muzaffar Syah bimbang jika perbalahan antara pembesar itu akan memudaratkan negeri Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah mengahwinkan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk menyatukan mereka berdua. Paduka Raja pula dijadikan bendahara.

(e)    Klimaks – Raja Siam menghantar tenteranya di bawah pimpinan Awi Dicu untuk menyerang Melaka. Sultan Muzaffar Syah mengarahkan Bendahara Paduka Raja dengan dibantu oleh Seri Bija Diraja untuk mengusir tentera Siam. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja yang mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar menyebabkan tentera Siam tersalah anggap dan kembali ke Siam kerana ketakutan. Selepas itu, anakanda Raja Siam, iaitu Cau Pandan diperlengkapkan untuk menyerang Melaka. Berita Siam ingin menyerang Melaka telah diketahui oleh Raja Melaka. Tuan Sidi Arab yang mempunyai ilmu pengetahuam yang tinggi telah menghalakan panahnya ke benua Siam untuk membunuh Cau Pandan. Cau Pandan berasa dadanya seperti dipanah dan muntah darah lalu mati.

(f)      Peleraian – Sultan Muzaffar Syah mangkat selepas memerintah Melaka selama 42 tahun. Takhta Melaka digantikan oleh Raja Abdullah, iaitu anakanda Sultan Muzaffar Syah dengan gelaran Sultan Mansur Syah.

 

Teknik Plot

(a)    Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Sultan Muzaffar Syah dengan Seri Nara Diraja.

(b)    Teknik imbas kembali. Contohnya, Seri Nara Diraja teringat akan peristiwa bapanya membeli azimat.

(c)     Teknik monolog dalaman. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bermonolog dalaman ketika baginda mendengar penjelasan daripada Tun Perak.

(d)    Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan perwatakan Seri Amerta.

 

Gaya Bahasa

(a)    Bahasa Arab. Contoh: idah; ditalak; keramat.

(b)    Bahasa istana. Contoh: baginda; titah; tuanku; mangkat.

(c)     Bahasa Melayu klasik. Contoh: terpermanai lagi; kemakanan matanya.

(d)    Hiperbola. Contoh: Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.

(e)    Penggunaan lagu. Contoh:

Cau Pandan anak Bubunnya,

Hendak menyerang ke Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si air mata.

(f)      Repetisi. Contoh: Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu.

(g)    Simile. Contoh: seperti dewal orang berzikir; dadanya seperti kena panah.

 

Nilai

(a)    Kebijaksanaan. Contohnya, Tun Perak bijaksana dalam menghadapi ancaman Siam ke atas negeri Melaka. Beliau mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan beliau ini telah menggerunkan tentera Siam sehingga menyebabkan mereka kembali ke Siam semula.

(b)    Baik hati. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bersikap baik hati dengan menganugerahkan persalinan kepada Tun Perak dan tenteranya selepas mereka berjaya mengusir tentera Siam.

(c)     Berilmu pengetahuan. Contohnya, Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh sahaja.

(d)    Bersatu padu. Contohnya, Seri Nara Diraja yang bersepakat dengan Bendahara Paduka Raja telah menjadikan rakyat Melaka bersatu padu dan terus kukuh untuk berhadapan dengan ancaman Siam.

(e)    Keikhlasan. Contohnya, Seri Nara Diraja dengan ikhlas hati menyokong pelantikan Paduka Raja sebagai Bendahara Melaka.

(f)      Keberanian. Contohnya, Tun Perak bersama-sama dengan tentera Melaka berani menentang tentera Siam yang dipimpin oleh Awi Cakri dan Awi Dicu sehingga kedua-dua gerombolan tentera musuh dapat dikalahkan.

(g)    Pengorbanan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah sanggup berkorban, iaitu baginda menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja demi kebaikan negeri Melaka.

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh negara.

Contoh: Tun Perak dan tentera-tenteranya berani menentang tentera Siam.

(b)    Kita perlu bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.

Contoh: Sultan Muzaffar Syah bijaksana dalam menyelesaikan konflik antara Seri Nara Diraja dengan Padka Raja. Tindakan baginda mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu, iaitu saudara Tun Perak telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara dua pembesar dan membawa kepada keharmonian neger Melaka.

(c)     Kita hendaklah ikhlas semasa melakukan sesuatu tindakan.

Contoh: Seri Nara Diraja ikhlas menyokong pelantikan Paduka Raja sebgai Bendahara Melaka.

(d)    Kita sepatutnya sanggup berkorban untuk memperoleh kebaikan.

Contoh: Sultan Muzaffar sanggup berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tindakan tersebut dilakukan supaya Seri Nara Diraja berbaik-baik dengan Tun Perak.

(e)    Kita haruslah bersatu padu untuk menikmati kehidupan yang harmoni.

Contoh: Seri Nara Diraja dan Bendahara Paduka Raja hidup bermuafakat dengan bersatu padu sehingga membolehkan Melaka menghadapi ancaman Siam.

(f)      Kita mestilah menghargai jasa dan usaha yang telah dilakukan oleh orang lain kepada kita.

Contoh: Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.

(g)    Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul dan tepat.

Contoh: Tuan Sidi Arab menggunakan ilmu pengetahuannya yang tinggi untuk membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh demi memastikan keamanan Melaka tidak tergugat.


Share:

Khamis, 11 Februari 2021

Kudup Perang - Tuah Sujana

Kupasan sajak

Kudup Perang - Tuah Sujana

Maksud setiap rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Penyajak mengingatkan bahawa seseorang yang masih bergelar panglima perang akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, penyajak masih berterima kasih kerana berpeluang untuk menikmati kehidupan sambil mencari pahlawan sejati.

2

Penyajak sedar bahawa dia tidak sempat hidup pada zaman perbalahan dan penuh angkara. Oleh itu, dalam kekeliruan, penyajak tertanya-tanya akan orang yang membunuh pendusta.

3

Penyajak tidak mahu menyanjung Tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan Tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun wujud pendustaan sehingga dia sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.

4

Penyajak juga tidak menganggap Jebat sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuangan Jebat dalam mempertahankan keadilan. Oleh itu, Jebat dianggap suci.

5

Penyajak sedar bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Justeru, usaha untuk memulihkan sisa-sisa kehidupan yang damai amatlah sukar.

6

Sehingga kini, masyarakat masih terus bertengkar untuk menentukan pahlawan sebenar antara Tuah dengan Jebat.

 

Tema

Sajak “Kudup Perang” bertemakan kepentingan kewibawaan dan ketokohan pemimpin dalam menerajui sesebuah organisasi.

 

Persoalan

(a) Peperangan hanya akan mewujudkan perasaan dendam sesama manusia.

(b) Usaha untuk mencari kebenaran tentang pahlawan dan pengkhianat yang sebenarnya.

(c) Kekeliruan dalam mengenal pasti orang sebenar yang telah membunuh pendusta.

(d) Sikap tidak mahu memuji dan berpihak antara Tuah yang setia dengan Jebat yang menuntut keadilan.

(e) Keadilan dan kesaksamaan selalu digugat oleh pendustaan.

(f) Peperangan menyemarakkan pelbagai dakyah palsu yang menghapuskan kebenaran.

(g) Peperangan membawa kepada kesengsaraan yang sukar dipulihkan.

 

Bentuk Sajak

(a) Terdiri daripada enam rangkap.

(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap pertama: sebelas baris, rangkap kedua: sepuluh baris, rangkap ketiga: sepuluh baris, rangkap keempat: enam baris, rangkap kelima: lapan baris, dan rangkap keenam: empat baris.

(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.

(d) Bilangan suku katanya antara empat hingga tujuh belas suku kata.

(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: abcdefaggag, rangkap kedua: abcdedddfd, rangkap ketiga: abcdddddd, rangkap keempat: abcdbb, rangkap kelima: abccccdc, dan rangkap keenam: abaa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Bahasa klasik atau Sanskrit. Contoh: kesumat; keramat; perawan.

(b) Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan.

Contoh: mengudupkan putik dendam; menumbuhkan kelopak rahsia; melekatlah selumbar sengsara.

(c) Hiperbola. Contoh: jari-jemari takdir; daerah angkara; selumbar sengsara; menjungkitkan amarah.

(d) Inversi. Contoh: sesekali turut direntakan daki pendusta (sepatutnya: daki pendusta sesekali turut direntakan).

(e) Metafora. Contoh: peta keadilan.

(f) Simile. Contoh: seperti perawan.

(g) Unsur alam. Contoh: putik; fajar; selumbar; bayu.

(h) Asonansi. Contoh: Memang kita tidak sempat menjenguk (perulangan bunyi vokal e).

(i) Aliterasi. Contoh: bercabang lalu bertemu bayu palsu (perulangan bunyi konsonan b).

 

Nada

Sajak “Kudup Perang” bernada patriotik.

 

Nilai

1) Keadilan –

Penyajak mengatakan bahawa pemimpin perang yang sedang berkuasa akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, penyajak masih bersyukur kerana berpeluang menikmati kehidupan sambil mencari-cari pahlawan sejati.

 

2) Rasional –

Penyajak sedar bahawa kita yang hidup pada zaman ini tidak berpeluang menjadi saksi pertelingkahan antara mereka. Perlbagai kekeliruan tentang kepahlawanan sebenar menyebabkan manusia tertanta-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berkewibawaan mencipta sejarah.

 

3) Keberanian –

Penyajak tidak mahu menyanjung tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun adanya pendustaan sehingga sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.

 

4) Keadilan –

Penyajak juga tidak menganggap Jebat sebagai sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuangan Jebat mempertahankan keadilan. Namun, pengikut Jebat telah beranggapan bahawa Jebatlah pemimpin yang sebenar.

 

5) Keinsafan –

Penyajak menginsafi bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Oleh itu, usaha untuk membangunkan negara amatlah sukar.

 

 

Pengajaran

(a) Kita mestilah berani meluahkan perasaan dan hujah tentang sesuatu perkara yang benar.

 (b) Kita mestilah bijak memilih pemimpin yang benar-benar berkewibawaan dan memiliki ketokohan untuk menerajui

 (f) Kita mestilah adil dan saksama dalam segala perbuatan demi memastikan kesempurnaan sesuatu organisasi yang kita pimpin, sesebuah organisasi waima negara.

 (c) Kita mestilah menjadi seorang pemimpin yang berkewibawaan demi menjaga maruah diri dan keluarga.

 (d) Kita mestilah bertanggungjawab menyelesaikan segala tugasan yang diberikan kepada kita sebagai seorang pemimpin.

 (e) Kita mestilah amanah dalam usaha menjalankan tanggungjawab sebagai seorang yang memimpin sesuatu organisasi.


Share:

Popular Posts

Pages