Khamis, 11 Februari 2021

Erti Hidup Bererti - Teo Wei Sing

 Kupasan sajak:

Erti Hidup Bererti - Teo Wei Sing


Maksud setiap rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Penyajak berasa kesunyian kerana malam yang dilaluinya begitu sepi. Walau bagaimanapun, keadaan itu tetap tidak berubah pada keesokan harinya kerana tiada sesiapa yang datang untuk menziarahinya yang sudah tua.

2

Keheningan tasik dan kehijauan rumput hanyalah bayangan lalu. Kini, cinta yang tersemai sejak di dalam rahim telah dilupakan oleh anak-anaknya, iaitu daripada anak yang sulung hingga anak yang bongsu. Lantas, penyajak mencari erti hidup sewaktu dirinya menderita sakit dan keseorangan.

3

Penyajak berasa bahawa dirinya tidak bermakna kepada anak-anaknya. Namun demikian, penyajak berdoa agar anak-anaknya diberi keinsafan supaya duka di hatinya terubat. Penyajak sedar bahawa tiada yang kekal kecuali Tuhan.

 

Tema

Sajak “Erti Hidup Bererti” bertemakan kesunyian hidup yang dilalui oleh golongan warga tua.

 

Persoalan

(a) Kehidupan seorang tua yang tidak dijenguk dan tidak dipedulikan oleh anak-anak.

(b) Kasih dan sayang orang tua yang tidak dihargai oleh anak-anak.

(c) Kegembiraan ibu atau bapa pada masa lalu hanya tinggal kenangan.

(d) Sikap anak-anak yang saling menolak tanggungjawab untuk menjaga orang tua mereka.

(e) Harapan orang tua yang tetap sayang akan anak-anaknya.

(f) Orang tua berharap agar anak-anaknya diberi keinsafan.

(g) Kesedaran bahawa Tuhan sahaja yang kekal abadi.

 

Bentuk Sajak

(a) Terdiri daripada tiga rangkap.

(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap pertama: tujuh baris, rangkap kedua: sepuluh baris, dan rangkap ketiga: sebelas baris.

(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.

(d) Bilangan suku katanya antara empat hingga tiga belas suku kata.

(e) Rima akhir sajak ini ialah rangkap pertama: aabcaca, rangkap kedua: abccdeafgh, dan rangkap ketiga: aabacdefdgc.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Anafora. Contoh:

 ada yang mati

 ada yang hidup.

(b) Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan.

Contoh: dari sulung ditendang ke bongsu; berdiri tanpa ruang; semoga disirami benih keinsafan.

(c) Hiperbola. Contoh: cinta dalam rahim dilupai; embun cinta atasi angin dingin.

(d) Metafora. Contoh: benih keinsafan.

(e) Simile. Contoh: bagai kalung.

(f) Unsur alam. Contoh: malam; tasik; rumput; angin.

(g) Asonansi. Contoh: Aku selalu didatangi (perulangan bunyi vokal a).

(h) Aliterasi. Contoh: menderita mengerang sakit (perulangan bunyi konsonan m).

 

Nada

Sajak “Erti Hidup Bererti” bernada melankolik.

 

Nilai

(a)    Kasih sayang – kasih sayang seorang tua terhadap anaknya tetap utuh walaupun anaknya itu melupakannya.

(b)    Ketabahan – ketabahan dalam mengharungi kehidupan seorang diri dan kesunyian tanpa dihiraukan oleh anak-anak.

(c)     Keinsafan – penyajak sedar dan insaf bahawa yang kekal hanyalah Tuhan.

(d)    Bertanggungjawab – sikap tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya dengan mendoakan mereka agar dikurniakan keinsafan.

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka dan menjaga ibu bapa sehingga hari tua mereka.

(b)    Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri, terutamanya menghadapi usia yang tua.

(c)     Kita haruslah taat kepada ibu bapa dan tidak melupakan mereka selepas berpindah dari rumah ibu bapa, malah sentiasa menjenguk mereka.

(d)    Kita mestilah berdikari sewaktu hidup di bandar seorang diri supaya tidak terlalu bergantung pada orang lain, walaupun sewaktu tua.

(e)    Kita mestilah sabar menghadapi apa-apa cabaran yang menimpa kita agar dapat menjadikan diri kita lebih kental.

(f)      Kita haruslah menjadi anak yang bertanggungjawab dengan menjaga kebajikan ibu bapa dan menyejahterakan serta membahagiakan mereka


Share:

Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus - Sazalee Yacob

Kupasan sajak:

Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis  Kampus - Sazalee Yacob


Maksud setiap rangkap 

Rangkap

Maksud

1

Penyajak menghantar anak dara suntinya ke tempat baharu yang jauh berbeza kehidupannya supaya anaknya itu menimba ilmu dan pengalaman di menara gading.

2

Penyajak melepaskan anak gadisnya untuk mengenali kehidupan yang banyak dugaan dan cabaran serta memerlukan pertimbangan akal yang waras.

3

Penyajak mengingatkan anak gadisnya bahawa kehidupan di kampus bukan sahaja penuh dengan ilmu pengetahuan, bahkan juga sarat dengan dugaan yang mampu menghanyutkan budi pekerti dan meninggikan ego.

4

Penyajak menasihati anak gadisnya agar pandai membawa diri dalam mengharungi kehidupan baharu. Penyajak berharap agar anaknya itu tidak pulang dengan kedukaan dan kegagalan.

 

Tema

Sajak “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus” bertemakan nasihat ibu bapa kepada anak gadis yang akan melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi.

 

Persoalan

(a) Perbezaan antara kehidupan di desa dengan kehidupan di kampus.

(b) Harapan bapa supaya anaknya dapat menikmati peluang untuk menimba ilmu di menara gading.

(c) Keberanian bapa yang melepaskan anak gadis suntinya untuk menuntut ilmu di menara gading.

(d) Kehidupan di kampus yang banyak cabaran.

(e) Keegoan yang mengetepikan pekerti.

(f) Kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dan dugaan di kampus.

 

Bentuk Sajak

(a) Terdiri daripada empat rangkap.

(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama, iaitu rangkap

pertama: lapan baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: enam baris, dan rangkap keempat: lima baris.

(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris antara tiga hingga enam patah kata dalam satu baris.

(d) Bilangan suku katanya antara lima hingga lima belas suku kata.

(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: aabcaade, rangkap kedua: abcdef, rangkap ketiga: abcdeb, dan rangkap keempat: abacd.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Bahasa klasik atau Sanskrit. Contoh: bumantara; azimat; tangkal.

(b) Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan.

Contoh: memesrai azimat dan tangkal; menongkah awan perak dan kabut dingin; tumbuh gunung ego, menghalau pekerti.

(c) Hiperbola. Contoh: hadir sihir angin bernafas api.

(d) Unsur alam. Contoh: angin; burung putih; kabut; kabus.

(e) Asonansi. Contoh: Kulepaskan kau menjadi burung putih (perulangan bunyi vokal u).

(f) Aliterasi. Contoh: dengan suasana suntimu (perulangan bunyi konsonan s).

 

Nada

Sajak “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus” bernada melankolik.

 

Nilai

(a)    Kasih sayang. Contoh: penyajak amat menyayangi anak gadisnya yang menuntut di institut pengajian tinggi memberikan pesanan agar anak gadisnya bijak membawa diri di tempat baru yang berlainan dengan kehidupannya di desa

(b)    Kesungguhan. Contoh: Penyajak menasihati anak gadisnya supaya menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan peluang kejayaan hidup di bandar.

(c)     Kegigihan. Contoh: Penyajak menasihati anaknya supaya gigih menghadapi cabaran hidup di bandar yang amat berbeza dengan cabaran hidup di luar bandar.

(d)    Ketabahan. Contoh. Penyajak menasihati anaknya supaya tabah menghadapi cabaran hidup di bandar.

(e)    Ketaatan. Contoh: Penyajak berharap agar anak gadisnya taat dengan nasihat yang diberinya supaya dapat mencapai kejayaan yang diimpikannya.

(f)      Hemah tinggi. Contoh: Penyajak menasihati anak gadisnya supaya   menjaga budi pekerti walaupun sudah bergelar siswi

(g)    Kebijaksanaan. Contoh: Penyajak menasihati anak gadisnya supaya pandai membawa diri di perantauan agar tidak menemui kekecewaan dan kegagalan mengejar cita-cita .

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

(b)    Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam melakukan apa-apa yang kita sukai.

(c)     Kita haruslah gigih menimba ilmu dan pengalaman demi kegunaan pada masa depan.

(d)    Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri.

(e)    Kita haruslah taat kepada ibu bapa dan tidak melupakan mereka selepas berpindah ke bandar.

(f)      Kita haruslah menjaga maruah diri dan mengekalkan jati diri yang mulia di mana-mana sahaja kita berada.

(g)    Kita mestilah berdikari sewaktu hidup di bandar seorang diri supaya tidak terlalu bergantung pada orang lain.

(h)    Kita mestilah sabar menghadapi apa-apa cabaran yang menimpa kita agar dapat menjadikan diri kita lebih kental.

(i)      Kita haruslah bijak menyesuaikan diri dalam apa-apa keadaan agar dapat menghadapi cabaran dalam kehidupan

Share:

Sejadah Rindu - Mohd. Haikal Aminuddin

Kupasan Sajak:

Sejadah Rindu - Mohd. Haikal Aminuddin



Maksud setiap rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Penyajak terkedu di atas sejadah sewaktu mengungkapkan kalimah syahdu yang menyentuh kalbu dan menginsafi dosa-dosa yang lalu.

2

Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon agar dibukakan ruang keampunan sebelum dia meninggal dunia.

3

Dengan bersaksikan air mata dan keikhlasan sebagai bukti, penyajak bersujud untuk melafazkan taubat dengan nafas yang sebak dalam suasana yang bening.

4

Hati penyajak luluh dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta yang disusun rapi sewaktu memohon keampunan daripada Pencipta dengan perasaan gemuruh.

5

Penyajak berdoa kepada Yang Esa agar mengizinkannya menjadi manusia yang sentiasa taat akan perintah-Nya dan sedar bahawa dunia ini hanya bersifat sementara.

 

Tema

Sajak “Sejadah Rindu” bertemakan ketuhanan dan ketaatan kepada agama.

 

Persoalan

(a) Keinsafan atas segala dosa-dosa lalu yang menghantui hidup.

(b) Pengharapan terhadap pengampunan daripada Pencipta sebelum meninggal dunia.

(c) Keikhlasan dalam memohon keampunan daripada Yang Esa.

(d) Taubat yang dilakukan dengan ikhlas hati sehingga menitiskan air mata.

(e) Keampunan yang diharapkan hanyalah daripada Pencipta.

(f) Dunia ini cuma bersifat sementara.

 

Bentuk Sajak

(a) Terdiri daripada lima rangkap.

(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama, iaitu rangkap pertama: enam baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: tujuh baris, rangkap keempat: enam baris, dan rangkap kelima: enam baris.

(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris antara satu hingga enam patah kata.

(d) Bilangan suku katanya antara tiga hingga empat belas suku kata.

(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: aaaaaa, rangkap kedua: aaaaaa, rangkap ketiga: aabaaaa, rangkap keempat: aaaaaa, dan rangkap kelima: aaaaaa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Bahasa Arab. Contoh: kalimah; Ilahi; taubat.

(b) Inversi. Contoh: Terkedu aku (sepatutnya: Aku terkedu).

(c) Metafora. Contoh: sejadah rindu.

(d) Personifikasi. Contoh: Air mata menjadi saksi.

(e) Asonansi. Contoh: keikhlasan menjadi bukti (perulangan bunyi vokal i).

(f) Aliterasi. Contoh: kupohon kembali nafas kehidupan (perulangan bunyi konsonan k).

 

Nada

Sajak “Sejadah Rindu” bernada melankolik.

 

Nilai

(a)    Keinsafan − Penyajak insaf terhadap dosa yang dilakukan dan berharap Allah SWT menerima taubatnya.

(b)    Kesyukuran – Penyajak bersyukur kerana berpeluang untuk memohon keampunan.

(c)     Keikhlasan − Penyajak mengalirkan air mata tanda keikhlasan memohon keampunan  agar dosa yang pernah dilakukan diampunkan oleh Allah SWT.

(d)    Kejujuran – Penyajak jujur dengan Tuhan bahawa dia banyak melakukan dosa pada masa silam.

(e)    Keberanian – Penyajak berani mengaku segala kesalahannya.

(f)      Ketaatan − Penyajak berdoa kepada Allah SWT agar dia menjadi manusia yang taat akan didikan agama.

 

Pengajaran

(a)    Kita mestilah insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar −  penyajak insaf terhadap dosa yang dilakukan dan berharap Allah SWT menerima taubatnya.

(b)    Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita − Penyajak masih bersyukur oleh sebab masih diberikan peluang untuk hidup.

(c)     Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.

(d)    Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup − Penyajak berharap segala dosanya diampunkan sebelum dia menemui ajal.

(e)    Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang − Penyajak mengalirkan air mata tanda keikhlasan memohon keampunan agar dosa yang pernah dilakukan diampunkan oleh Allah SWT.


Share:

Berbuat Istana Zaman Dahulu - Za'ba

Kupasan Puisi Tradisional:

Berbuat Istana Zaman Dahulu (Za'ba)


Maksud Rangkap

Rangkap

Maksud

1

Raja menitahkan orang besar berempat supaya membina sebuah istana yang dikelilingi parit dan tembok. Keempat-empat orang besar yang setia dan taat terhadap perintah raja itu pun memanggil Pawang Raja. Kemudian, Pawang Raja telah mengerahkan empat puluh empat orang tukang yang mahir bekerja siang dan malam untuk menyiapkan sebuah istana.

2

Setelah mengambil masa selama tujuh bulan dan tujuh purnama, akhirnya istana yang dilengkapi dengan segala kemudahan itu siap dibina. Istana yang besar tersergam itu mempunyai sembilan ruang utama, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong, dan dua belas anjung tinggi.

3

Istana yang dibina itu juga mempunyai tiga sudut yang

menempatkan lapan orang menteri. Sudut itu mempunyai reka bentuk dan seni ukiran yang amat unik buatannya, iaitu bertiang panjang maharaja lela dan bertiang tengah syukur menanti. Selain itu, galang-galang istana bermotifkan ular berang, kasau kecil bermotifkan puteri menyembah, dan kasau lentik bermotifkan helang terbang.

4

Keunikan seni ukiran dinding istana itu terletak pada corak hiasan dindingnya yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan berbunga dan unsur semula jadi. Ukiran seni bina Jawa dan Cina turut digunakan di samping motif haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti ular, layang-layang, dan sebuku garam.

5

Setelah istana itu siap dibina, semua tukang yang ditugaskan membina istana itu telah dibunuh agar tiada seorang pun tukang yang lain dapat meniru kehalusan corak dan keunikan seni bina istana tersebut. Istana baharu yang tersergam indah itupun dipersembahkan kepada raja dan permaisuri.

 

Tema

Seloka "Berbuat Istana Zaman Dahulu" bertemakan sindiran terhadap pemerintah yang mengutamakan kepentingan diri untuk kegemilangan peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyat bagi memenuhi kehendak dan cita-cita.

 

Persoalan

(a) Kegigihan dalam melakukan tugas.

(b) Kesetiaan rakyat tanpa berbelah bahagi kepada pemerintah.

(c) Kehalusan seni ukiran dan keunikan seni bina.

(d) Tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah.

(e) Ketelitian dalam reka bentuk istana.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Seloka

(a) Terdiri daripada lima rangkap.

(b) Bilangan baris dalam rangkap tidak sama, iaitu rangkap pertama: enam baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: enam baris, rangkap keempat: lapan baris, dan rangkap kelima: tiga baris.

(c) Setiap baris mengandungi dua hingga enam patah perkataan.

(d) Bilangan suku katanya antara lapan hingga tujuh belas suku kata.

(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: abbbcd, rangkap kedua: aabcde, rangkap ketiga: abcdeb, rangkap keempat: abcddefa, dan rangkap kelima: aba.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Anafora. Contoh:

 Tiang panjang maharaja lela,

 Tiang tengah syukur menanti.

(b) Kata arkaik. Contoh: utas; berbega; bersedelinggam.

(c) Inversi. Contoh: Garam sebuku sisa jeragan (sepatutnya Sisa jeragan sebuku garam).

(d) Metafora. Contoh: anjung tinggi; Tiang tengah.

(e) Personifikasi. Contoh: Tiang tengah syukur menanti; Lilit-melilit akar Cina.

(f) Repetisi. Contoh:

 Empat puluh empat tukang dan utas,

 Tujuh bulan tujuh purnama.

(g) Responsi. Contoh: Sepuluh dengan rembat guntung,

 Sebelas dengan pancung serong, Dua belas dengan anjung tinggi.

(h) Asonansi. Contoh: Galang-galangnya ular berang

(perulangan bunyi vokal a).

(i) Aliterasi. Contoh: Kasau kecil puteri menyembah

(perulangan bunyi konsonan k).

 

Nilai

1) Kepatuhan, Tanggungjawab

Raja menitahkan orang besar empat untuk membina istana berkota. Orang besar empat lalu memanggil Pawang Raja dan beliau mengerahkan empat puluh empat tukang yang pandai, bekerja tidak berhenti siang dan malam

 

2) Kegigihan

Selepas tujuh bulan, siaplah istana dengan segala kelengkapannya. Istana itu sangat besar dan mempunyai Sembilan ruang, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong dan dua belas anjung tinggi.

 

3) Ketelitian

Terdapat juga tiga sudut menteri delapan, tiang panjang maharaja lela dan tiang tengah syukur menanti. Galang-galangnya ular berang, kasau kecil puteri menyembah dan kasau lentik helang berbega

 

Pengajaran

(a) Kita sepatutnya taat akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian sesebuah negara.

(b) Kita hendaklah gigih berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah.

(c) Sebagai rakyat, kita mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.

(d) Kita perlu rajin bekerja dengan sungguh-sungguh untuk  memastikan segala perancangan yang dibuat berjaya membuahkan hasil.

(e) Kita haruslah mengamalkan sikap kerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Share:

Beberapa Petua Hidup - Za'ba

 Kupasan Puisi Tradisional:

Beberapa Petua Hidup - Za'ba


Maksud Setiap Rangkap:

Rangkap

Maksud

1

Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

2

Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

3

Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan akan memudaratkan masyarakat.

4

Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata pedas dan kurang sopan, dia akan mengalami masalah yang besar.

5

Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa

bermasalah.

6

Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

7

Jika ilmu tidak dipelajari dengan sempurna, pasti ilmu itu kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

8

Ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat dituntut selagi rajin mahu menuntut ilmu.

9

Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya terdapat berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

10

Sifat budi pekerti seseorang dapat dikenali melalui rakan taulan yang didampinginya.

11

Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

12

Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang tinggi.

13

Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat memikat hati semua orang di kelilingnya.

14

Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

15

Seseorang yang membuat jasa, namanya akan disanjung pada setiap masa.

16

Saranan agar pembaca memperbaiki kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia.

17

Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah akan

menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

18

Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti melaknati orang yang berbuat demikian.


Tema

Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.

 

Persoalan

(a) Kegigihan untuk membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian manusia.

(b) Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.

(c) Rasional dalam membuat sebarang tindakan.

(d) Ketekunan dalam menuntut ilmu.

(e) Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.

(f) Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.

(g) Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

 

Bentuk dan Ciri-ciri Gurindam

(a) Terdiri daripada lapan belas rangkap.

(b) Setiap rangkap mempunyai dua baris.

(c) Setiap baris mempunyai tiga hingga enam patah perkataan.

(d) Bilangan suku kata antara sembilan hingga dua belas suku kata sebaris.

(e) Rima akhirnya sama, iaitu aa.

 

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Bahasa Arab. Contoh: khianat; laknat.

(b) Inversi. Contoh: Tentu dirimu kelak tersesat (sepatutnya Dirimu tentu tersesat kelak).

(c) Kata arkaik. Contoh: upas.

(d) Metafora. Contoh: taman pergaulan; mulut tajam dan kasar.

(e) Peribahasa. Contoh: Telunjuk lurus kelengkeng berkait.

(f) Repetisi. Contoh: Kurang fikir, kurang siasat.

(g) Simile. Contoh: Ibarat beringin, racun dan upas.

(h) Asonansi. Contoh: Perkataan tajam jika dilepas (perulangan bunyi vokal a).

(i) Aliterasi. Contoh: Dengan dilihat siapa kawannya (perulangan bunyi konsonan d).


Nilai

(a) Baik hati.

      Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.

(b) Kebijaksanaan.

      Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan

(c) Kerajinan.

     Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.

(d) Kerjasama.

      Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.

(e) Kesopanan.

      Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.

(f) Mengenang jasa.

     Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.

(g) Rasional.

      Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

(h) Setia kawan.

      Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.


Pengajaran

(a) Kita hendaklah berfikir secara rasional sebelum menuturkan kata-kata.

(b) Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.

(c) Kita sepatutnya menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain bagi mengelakkan sengketa.

(d) Kita perlu rajin belajar untuk menambah pengetahuan.

(e) Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga menjejaskan hubungan baik sesama manusia.




Share:

Popular Posts

Pages