Jumaat, 15 Mei 2020

Cerpen: Talia dan Raksasa Qadqad

Kupasan cerpen:
Talia dan Raksasa Qadqad (Zaniffa Azzura Abdullah)

Sinopsis
     Talia dan keluarganya merupakan masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman bersama-sama dengan puaknya. Pada suatu hari, sewaktu bermain-main di sempadan huma berdekatan dengan hutan di lereng Bukit Ungu, Talia telah menjumpai seekor katak raksasa. Bahagian tepi kepala katak itu luka seperti dilibas gergaji. Talia berasa kasihan akan katak raksasa itu. Dia merawat katak itu dengan menggunakan pucuk daun dalut. Katak tersebut pulih dan terus menghilang di dalam hutan. Talia bercerita tentang katak raksasa itu kepada ibunya. Bapa Talia, Dodo menganggap cerita tersebut sebagai khayalan Talia sahaja. Namun begitu, tanggapan ibu dan bapa Talia berubah beberapa minggu selepas itu. Kisah ahli-ahli suku berselisih dengan sekeluarga makhluk seperti yang diceritakan oleh Talia di denai yang sama heboh diperkatakan. Penduduk kampung menggelar katak raksasa tersebut sebagai Raksasa Qadqad bersempena dengan bunyi yang dihasilkan oleh katak tersebut. Penduduk kampung bimbang jika mereka terpaksa berpindah lagi kerana mereka semua baru beberapa bulan berpindah ke Bukit Ungu.

     Pada suatu hari, adik Talia, Jini demam panas. Bapa Talia, Dodo berpendapat bahawa Jini perlu dibawa ke hospital. Dodo mencadangkan agar mereka menumpang kereta api. Dodo mengajak isterinya, Misa dan anaknya, Talia ke bandar. Talia sekeluarga segera meninggalkan rumah mereka. Dodo mendukung Talia. Isterinya, Misa pula membawa Jini di dalam bakul sandang.

     Sewaktu Misa dan Dodo hendak ke stesen kereta api, mereka dijerkah oleh seorang lelaki. Lelaki tersebut bertugas mengawasi bijih yang disorong keluar untuk dipindahkan ke dalam gerabak kereta api. Dodo memberitahu lelaki itu tentang hasratnya yang ingin menumpang kereta api untuk ke bandar. Lelaki itu memarahi Dodo. Pemandu kereta api yang baru keluar memandang mereka dengan kehairanan. Pemandu kereta api itu, iaitu Sidek memberitahu lelaki tadi yang dipanggilnya Tuan Binjah tentang keadaan di kem balak timur yang kacau-bilau. Kekacauan tersebut berpunca daripada serangan kumpulan katak raksasa. Tujuh orang telah meninggal dunia manakala dua puluh orang lagi cedera.

     Pada hari sebelum pembalak-pembalak itu diserang, sebatang balak telah menimpa sarang katak raksasa. Walaupun tidak cedera teruk, keluarga haiwan itu terperangkap. Mandur kem balak berkenaan telah menetak semua katak raksasa yang terperangkap itu. Tindakan tersebut membawa padah kepada pembalak-pembalak di kem berkenaan.
     
     Tiba-tiba sekumpulan katak raksasa muncul dari dalam hutan. Para pekerja lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Binjah dan kebanyakan pekerja termasuklah Sidek masuk ke dalam sebuah bangunan. Qadqad yang paling dekat dengan keluarga Talia melompat lantas mendarat di bahu Dodo. Anehnya, haiwan itu cuma berkelip-kelip memandang Talia. Kepala haiwan itu berparut seperti bekas luka dilibas gergaji. Qadqad di bahu Dodo melompat turun. Ratusan Qadqad yang lain mengikuti jejak Qadqad itu berundur. Binjah berasa hairan apabila melihat keluarga Talia tidak diserang oleh kumpulan katak raksasa tersebut. Dia melihat ada tanah berwarna ungu pada tangan, kuku, kaki dan rambut Talia. Dia membuat rumusan kononnya katak raksasa takut akan tanah yang berwarna ungu. Akhirnya, keluarga Talia dibenarkan menaiki kereta api tersebut untuk ke bandar.

     Tiga hari kemudian, Sidek datang menemui keluarga Talia di hospital. Kebetulan pula, adik Talia, Jini sudah dibenarkan keluar dari hospital. Sidek memberitahu Dodo tentang hasrat Binjah yang mahu melombong di Bukit Ungu. Menurut Sidek, Binjah telah mengarahkan seisi kampung berpindah. Binjah turut membawa samseng ke kampung itu. Sidek membawa keluarga Talia ke sebuah balai polis untuk mengadukan perkara yang berlaku. Sidek turut membawa keluarga Talia pulang ke kampung mereka dengan menaiki sebuah kenderaan.

     Talia sekeluarga dan Sidek tiba di kawasan huma. Mereka mendengar suara Binjah berbalah dengan Tuk Sibat. Binjah dan para pengikutnya membawa jentera berat untuk memusnahkan perkampungan orang asli itu. Binjah menyuruh samseng upahannya membakar sebuah pondok yang terdapat di situ. Dodo dan Sidek menjerit meminta mereka berhenti. Binjah tetap menyuruh samseng upahannya membakar pondok tersebut. Penduduk kampung cuba menghalang perbuatan samseng tersebut. Binjah melepaskan dua das tembakan ke arah mereka. Satu daripadanya menembusi lengan kiri Dodo. Talia menjerit memanggil Raksasa Qadqad. Beratus-ratus ekor Raksasa Qadqad muncul dari dalam hutan. Kumpulan Raksasa Qadqad itu menyerang Binjah dan para pengikutnya. Sementara itu, Talia dan sukunya terus melarikan diri dari tempat tersebut.

     Akhirnya, keadaan di kampung Talia tenang semula. Qadqad sudah ghaib. Beberapa buah pondok musnah terbakar. Puluhan mayat manusia dan bangkai Qadqad bergelimpangan. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.


Tema
Konflik antara manusia dengan alam semula jadi.


Persoalan
(a) Buat baik akan dibalas baik.
(b) Kasih sayang terhadap keluarga.
(c) Sikap tamak segelintir manusia.
(d) Kesusahan masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
(e) Persahabatan antara manusia dengan haiwan.
(f) Kepentingan alam semula jadi kepada manusia.


Watak dan Perwatakan
Talia
(a) Seorang budak perempuan kecil berketurunan orang asli.
(b) Anak kepada Dodo dan Misa.
(c) Bersifat belas kasihan dan suka menolong.
(d) Bersahabat dengan Raksasa Qadqad.
(e) Berani merawat anak Raksasa Qadqad yang tercedera.
(f) Sayang akan keluarga dan ahli sukunya.
(g) Menghormati ibu bapanya.

Raksasa Qadqad
(a) Rupanya mirip katak.
(b) Mempunyai sepasang tanduk kecil di kepala.
(c) Mempunyai taring.
(d) Mampu meloncat tinggi.
(e) Mempunyai sepasang mata berwarna hijau kuning.
(f) Menjadi penghuni dan penjaga hutan di Bukit Ungu.
(g) Menyelamatkan penduduk kaum asli sewaktu Binjah ingin memusnahkan kampung tersebut.
(h) Mengenang budi kerana telah menyelamatkan Talia dan keluarganya.
(i) Mampu menyerang dan membunuh manusia yang jahat.

Dodo
(a) Ayah kepada Talia dan Jini.
(b) Isterinya bernama Misa.
(c) Seorang yang penyayang.
(d) Bapa yang bertanggungjawab.
(e) Sanggup berkorban untuk menjamin keselamatan ahli keluarganya.

Binjah
(a) Seorang saudagar yang tamak.
(b) Kejam dan tidak bertimbang rasa.
(c) Mementingkan kekayaan semata-mata tanpa memikirkan kepentingan alam semula jadi.
(d) Terkorban bersama-sama pengikutnya sewaktu diserang oleh Raksasa Qadqad.

Sidek
(a) Bekerja sebagai pemandu kereta api.
(b) Bekerja dengan Binjah.
(c) Baik hati.


Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – Sewaktu bermain-main di sempadan huma, berdekatan dengan hutan di lereng Bukit Ungu, Talia telah menjumpai seekor katak raksasa. Bahagian tepi kepala katak itu luka seperti dilibas gergaji. Talia berasa kasihan akan katak raksasa itu. Dia merawat katak itu dengan menggunakan pucuk daun dalut. Katak tersebut pulih dan terus menghilang di dalam hutan.

(b) Perkembangan – Adik Talia, Jini demam panas. Bapa Talia, Dodo berpendapat bahawa Jini perlu dibawa ke hospital. Dodo mencadangkan agar mereka menumpang kereta api. Talia sekeluarga pergi ke bandar. Sewaktu Dodo dan isterinya, hendak ke stesen kereta api, mereka dijerkah oleh Binjah. Dodo memberitahu Binjah tentang hasratnya yang ingin menumpang kereta api untuk ke bandar. Binjah memarahi Dodo. Pemandu kereta api itu, iaitu Sidek memberitahu Binjah tentang keadaan di kem balak timur yang kacau-bilau. Kekacauan tersebut berpunca daripada serangan kumpulan katak raksasa. Tiba-tiba sekumpulan katak raksasa muncul dari dalam hutan. Para pekerja lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Binjah berasa hairan apabila melihat keluarga Talia tidak diserang oleh kumpulan katak raksasa tersebut. Dia melihat ada tanah berwarna ungu pada tangan, kuku, kaki, dan rambut Talia. Dia membuat rumusan kononnya katak raksasa takut akan tanah yang berwarna ungu. Akhirnya, keluarga Talia dibenarkan menaiki kereta api tersebut untuk ke bandar. Sidek memberitahu Dodo tentang hasrat Binjah yang mahu melombong di Bukit Ungu. Menurut Sidek, Binjah telah mengarahkan seisi kampung berpindah. Binjah turut membawa samseng ke kampung itu. Sidek membawa keluarga Talia ke sebuah balai polis untuk mengadukan perkara yang berlaku.

(c) Klimaks – Binjah dan para pengikutnya membawa jentera berat untuk memusnahkan perkampungan orang asli tersebut. Binjah menyuruh samseng upahannya membakar sebuah pondok yang terdapat di situ. Dodo dan Sidek menjerit meminta mereka berhenti. Binjah tetap menyuruh samseng upahannya membakar pondok tersebut. Penduduk kampung cuba menghalang perbuatan samseng tersebut. Binjah melepaskan dua das tembakan ke arah mereka. Satu daripadanya menembusi lengan kiri Dodo. 

(d) Peleraian – Talia menjerit memanggil Raksasa Qadqad. Beratus-ratus ekor Raksasa Qadqad muncul dari dalam hutan. Kumpulan Qadqad itu menyerang Binjah dan para pengikutnya. Banyak yang terkorban termasuk Binjah sendiri. Penduduk kampung orang asli itu terselamat. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.


Teknik Plot
(a) Dialog.
(b) Pemerian.
(c) Imbas kembali.


Latar
Latar Tempat
(a) Kawasan Bukit Ungu. 
(b) Rumah Talia. 
(c) Stesen kereta api. 
(d) Kawasan perlombongan.
(e) Hospital.
(f) Balai polis.

Latar Masa
(a) Waktu siang.
(b) Waktu tengah hari.
(c) Tiga hari.
(d) Waktu matahari tergelincir.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat orang asli.
(b) Masyarakat yang menyayangi haiwan.
(c) Masyarakat yang tamak dan kejam.
(d) Masyarakat yang berkonflik dengan alam semula jadi.


Unsur Gaya Bahasa
(a) Simile.
     Contohnya: (i)   Gempal macam disumbat air
                        (ii)   bagaikan bola bertanduk yang terbang laju
                        (iii)  bagai butir gula dihurungi semut manusia.

(b) Personifikasi.
      Contohnya: (i)    ditelan hutan belantara
                         (ii)   Matahari mula tergelincir.

(c) Sinkope
     Contohnya: (i)     Kami ada padi saja
                        (ii)     Tuk Sibat tak mahu terima arahan itu.

(d) Repetisi.
      Contohnya, “Ini, di tangan, di kuku, di kaki, di rambut ...”

(e) Inversi.
     Contohnya, Lewat petang hari yang sama, sampailah mereka ke destinasi.


Nilai
(a) Baik hati. 
(b) Kasih sayang. 
(c) Keberanian. 
(d) Kegigihan.
(e) Tanggungjawab.
(f) Tolong-menolong.


Pengajaran
(a) Kita haruslah bersimpati terhadap semua makhluk yang berada di sekeliling kita.
(b) Kita mestilah menyayangi anggota keluarga kita.
(c) Kita haruslah berani mempertahankan hak kita.
(d) Kita haruslah memberikan pertolongan kepada orang yang ditimpa kesusahan.
(e) Kita hendaklah menjaga alam semula jadi.




Share:

Khamis, 14 Mei 2020

Pelanduk Mengajar Memerang

Kupasan Prosa Tradisional
Pelanduk Mengajar Memerang


Sinopsis
     Pada zaman Nabi Allah Sulaiman semua haiwan ditakdirkan oleh Allah dapat berkata-kata. Nabi Allah Sulaiman mempunyai lima menteri yang terdiri daripada manusia, jin yang bernama Ifrit, unggas, landak, dan pelanduk. Antara kelima-lima menteri itu, Syah Alam di Rimba, iaitu pelanduklah yang paling masyhur kebijaksanaannya.

     Pada suatu hari, Syah Alam di Rimba melawat ke kawasan di wilayah pemerintahannya. Syah Alam di Rimba sampai di sebuah lubang yang menjadi tempat tinggal memerang. Ada tujuh ekor anak memerang di dalam lubang itu. Anakanak memerang itu keluar dari lubang lalu bermain-main.
Syah Alam di Rimba bertanyakan tempat mak dan bapa anak-anak memerang itu pergi. Anak memerang menyatakan bahawa mak dan bapanya pergi mencari ikan untuk dijadikan makanan. Oleh itu, Syah Alam di Rimba terfikir bahawa memerang selalu melakukan penganiayaan terhadap ikanikan di rimba itu. Syah Alam di Rimba runsing memikirkan aduan ikan-ikan itu kepada Nabi Allah Sulaiman. Syah Alam di Rimba mahu membuat pakatan dengan memerang. Tidak berapa lama kemudian, burung bubut berbunyi secara bersahut-sahutan. Apabila mendengar bunyi itu Syah Alam
di Rimba terus bersilat. Tanpa sedar, Syah Alam di Rimba telah memijak anak-anak memerang itu sehingga semuanya mati.

     Setelah hari petang, mak dan bapa memerang pulang ke lubang tersebut. Mak dan bapa memerang melihat semua anak memerang sudah mati. Mak dan bapa memerang mengetahui Syah Alam di Rimbalah yang melakukan perkara tersebut kerana terdapat kesan tapak kakinya di situ. Pada malam itu, mak dan bapa memerang berbincang. Mak dan bapa memerang membuat keputusan untuk
memaklumkan kejadian tersebut kepada Nabi Allah Sulaiman.

     Pada keesokan harinya, mak dan bapa memerang pergi berjumpa dengan Nabi Allah Sulaiman. Mak dan bapa memerang mengadukan perbuatan yang dilakukan oleh Syah Alam di Rimba terhadap anak-anaknya. Setelah baginda mendengar aduan tersebut, baginda berasa hairan akan kelakuan Syah Alam di Rimba. Oleh itu, baginda mahu mengadakan perbicaraan. Baginda meminta Sang Belatuk
memanggil semua haiwan yang terlibat, iaitu haiwan-haiwan yang menyebabkan kematian anak-anak memerang itu. Haiwan-haiwan tersebut ialah Syah Alam di Rimba, Sang Bubut, Sang Biawak, Sang Labi-labi, Sang Udang, dan Sang Sebarau. Semua haiwan tersebut bercerita tentang perkaraperkara
yang telah berlaku dengan jujur.

     Setelah Nabi Allah Sulaiman mendengar cerita Sang Sebarau, maka baginda memerintahkan Sang Memerang bercakap benar. Dengan takut, Sang Memerang mengakui kesalahannya. Nabi Allah Sulaiman memutuskan bahawa Syah Alam di Rimba tidak bersalah. Kematian anak-anak Sang Memerang disebabkan oleh kesalahan Sang Memerang sendiri.


Tema
Balasan terhadap golongan yang menganiayai golongan lain.


Persoalan
(a) Sikap tamak, iaitu mahu mendapatkan sesuatu dengan sebanyak-banyaknya tanpa memikirkan nasib pihak lain.
(b) Aduan dibuat kepada yang pihak yang berkuasa.
(c) Pengadilan memerlukan saksi.
(d) Kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah.
(e) Bercakap benar di hadapan pemerintah.
(f) Sentiasa bersedia untuk menyelamatkan pemerintah.
(g) Mengakui kesalahan yang telah dilakukan.


Watak dan Perwatakan

Pelanduk atau Syah Alam di Rimba
(a) Dilantik oleh Nabi Allah Sulaiman untuk menjadi menteri.
(b) Merupakan menteri yang paling termasyhur kebijaksanaannya.
(c) Pandai bersilat.
(d) Prihatin akan masalah yang dialami oleh rakyatnya.
(e) Taat kepada pemerintah, iaitu Nabi Allah Sulaiman.
(f) Jujur ketika berhadapan dengan Nabi Allah Sulaiman.

Sang Memerang
(a) Mempunyai tujuh orang anak.
(b) Menjadikan ikan sebagai makanan.
(c) Tamak terutamanya dalam hal makanan.
(d) Ibu dan bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak.
(e) Mementingkan diri sendiri.
(f) Taat akan perintah Nabi Allah Sulaiman.
(g) Sedar akan penganiayaan yang telah dilakukan terhadap anak-anak Sang Sebarau.


Nabi Allah Sulaiman
(a) Seorang pemerintah yang rakyatnya terdiri daripada manusia, jin, dan haiwan.
(b) Melantik lima menteri dalam urusan pemerintahan baginda.
(c) Bijak menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh semua rakyatnya.
(d) Tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan.
(e) Pemerintah yang adil.
(f) Tegas dalam membuat keputusan.


Plot

Binaan Plot
(a) Permulaan – Pelanduk yang dipanggil sebagai Syah Alam di Rimba melawat ke kawasan di wilayah pemerintahannya. Syah Alam di Rimba sampai di sebuah lubang yang menjadi tempat tinggal memerang. Ada tujuh ekor anak memerang di dalam lubang itu. Anak-anak memerang itu keluar dari lubang lalu bermain-main. Syah Alam di Rimba bertanyakan tempat mak dan bapa anak-anak memerang itu pergi. Anak memerang menyatakan bahawa mak dan bapanya pergi mencari ikan
untuk dijadikan makanan. Oleh itu, Syah Alam di Rimba terfikir bahawa memerang selalu melakukan penganiayaan terhadap ikan-ikan di rimba itu. Syah Alam di Rimba runsing memikirkan aduan ikan-ikan itu kepada Nabi Allah Sulaiman. Syah Alam di Rimba mahu membuat pakatan dengan memerang. Tidak berapa lama kemudian, burung bubut berbunyi secara bersahut-sahutan. Apabila mendengar bunyi itu Syah Alam di Rimba terus bersilat. Tanpa sedar, Syah Alam di Rimba telah memijak anak-anak memerang itu sehingga semuanya mati.

(b) Perkembangan – Setelah hari petang, mak dan bapa memerang pulang ke lubang tersebut. Mak dan bapa memerang melihat semua anak memerang sudah mati. Mak dan bapa memerang mengetahui Syah Alam di Rimbalah yang melakukan perkara tersebut kerana terdapat kesan tapak kakinya di situ. Mak dan bapa memerang berasa sangat sedih kerana sayang akan anak-anak itu. Pada
malam itu, mak dan bapa memerang berbincang. Mak dan bapa memerang membuat keputusan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada Nabi Allah Sulaiman.


(c) Klimaks – Pada keesokan harinya, mak dan bapa memerang pergi berjumpa dengan Nabi Allah Sulaiman. Mak dan bapa memerang mengadukan perbuatan yang dilakukan oleh Syah Alam di Rimba terhadap anak-anaknya. Setelah baginda mendengar aduan tersebut, baginda berasa hairan
akan kelakuan Syah Alam di Rimba. Oleh itu, baginda mahu mengadakan perbicaraan. Baginda meminta Sang Belatuk memanggil semua haiwan yang terlibat, iaitu haiwanhaiwan yang menyebabkan kematian anak-anak memerang itu. Haiwan-haiwan tersebut ialah Syah Alam di Rimba,  Sang Bubut, Sang Biawak, Sang Labi-labi, Sang Udang, dan Sang Sebarau. Semua haiwan tersebut bercerita tentang perkara-perkara yang telah berlaku dengan jujur.

(d) Peleraian – Setelah Nabi Allah Sulaiman mendengar cerita Sang Sebarau, maka baginda memerintahkan Sang Memerang bercakap benar. Dengan takut, Sang Memerang mengakui kesalahannya. Nabi Allah Sulaiman memutuskan bahawa Syah Alam di Rimba tidak bersalah.  Kematian anak-anak Sang Memerang disebabkan oleh kesalahan Sang Memerang sendiri.


Teknik Plot
(a) Dialog.
(b) Monolog dalaman.
(c) Pemerian.


Latar
Latar Tempat
(a) Hutan rimba.
(b) Dalam lubang.
(c) Kota istana.
(d) Lubuk.

Latar Masa
(a) Pada zaman dahulu.
(b) Waktu siang.
(c) Waktu petang.
(d) Waktu malam.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat haiwan yang tinggal di rimba.
(b) Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
(c) Masyarakat yang berlaku jujur terhadap pemerintah.
(d) Masyarakat yang patuh kepada pemerintah.
(e) Masyarakat yang sentiasa bersedia untuk menjaga keselamatan pemerintah.
(f) Masyarakat yang cepat bertindak.
(g) Masyarakat yang mengakui kesilapan diri.
(h) Masyarakat yang bijak dalam menyelesaikan masalah.


Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Allah Subhanahuwataala; kudrat-Nya; fasal.
(b) Bahasa istana. Contohnya, patik; bersemayam; singgahsana; baginda; bertitah; tuanku; beta.
(c) Bahasa klasik. Contohnya, Sebermula; Hatta; ayapan; pacal.
(d) Sinkope. Contohnya, Sang Biawak membawa pedang tercabut saja berlari-lari.
(e) Repetisi. Contohnya, Kepada fikiran patik tentulah Duli yang Maha Mulia kedatangan musuh yang besar, patik pun bersiaplah akan perisai patik.


Nilai
(a) Keberanian.
(b) Keadilan.
(c) Kejujuran.
(d) Kebijaksanaan.
(e) Keprihatinan.
(f) Tanggungjawab.
(g) Kepatuhan.
(h) Keinsafan.


Pengajaran
(a) Kita hendaklah menjadi pemimpin yang prihatin akan masalah rakyat.
(b) Kita hendaklah menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab.
(c) Kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menghadapi ancaman musuh.
(d) Sebagai rakyat, kita hendaklah patuh akan setiap arahan pemerintah.
(e) Sebagai pemerintah, kita mestilah bijak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
(f) Kita mestilah bercakap jujur apabila kita dihadapkan ke muka pengadilan.
(g) Sebagai pemerintah, kita hendaklah membuat keputusan dengan adil.
(h) Kita hendaklah sedar akan kesalahan yang telah kita lakukan.


Share:

Rabu, 13 Mei 2020

Sajak: Pada Sekuntum Mawar (Mahwa Mohamed)

Kupasan Sajak:
Pada Sekuntum Mawar (Mahwa Mohamed)

Rangkap
Maksud
1
Penyajak mengumpamakan bunga mawar sebagai gadis. Jika maruah seorang gadis tercemar, maka ibunya akan berasa amat sedih dalam menghadapi hari tua.
2
Jika maruah anak gadisnya tercemar, maka ibu akan berasa segala-galanya telah musnah. Dia berasa hidupnya sia-sia atau tidak bemakna lagi. Dia juga berasa segala-galanya telah musnah, dan tidak ada lagi jalan untuk memperbaik keadaan tersebut.
3
Penyajak berpesan agar gadis-gadis tidak membiarkan maruah mereka tercemar dalam menghadapi kehidupan yang serba mencabar ini tetapi sebaliknya hendaklah menjaga diri supaya menjadi gadis yang beriman dan dihormati masyarakat.


Tema
Anak gadis mestilah menjaga martabat atau maruah mereka sebagai gadis.


Persoalan
(a) Ibu akan berasa sedih jika maruah anak gadisnya tercemar.
(b) Kesedihan menyebabkan seseorang ibu akan merasakan hidupnya sudah tidak bermakna lagi.
(c) Kehilangan maruah seorang gadis merupakan satu kemusnahan yang tidak sanggup diterima oleh seseorang ibu.
(d) Seorang gadis hendaklah menjaga diri dengan memiliki pegangan agama yang kukuh, iaitu sebagai gadis yang beriman.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai tiga baris, rangkap kedua mempunyai enam baris, dan rangkap ketiga mempunyai lima baris.
(c) Bilangan katanya dua hingga enam patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lima hingga empat belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Metafora. Contohnya, lipatan usia; pintu kehidupan.

(b) Imej alam. Contohnya, malam; angin; laut; ombak; mawar; lembah.

(c) Simile. Contohnya, seperti telah menutup.

(d) Sinkope. Contohnya, tak.

(e) Asonansi. Contohnya, bukan melontar harum indahmu
      (perulangan vokal u)

(f) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abb, rima akhir bagi rangkap kedua abcdee, dan rima akhir bagi rangkap ketiga abcbd.


Nada
Melankolik.
Melankolik:
Definisi : , melankolis 1. berasa atau mem­perlihatkan perasaan sedih atau dukacita (bkn perasaan, wajah seseorang, dsb), dukacita, sugul: Kassim cuba melepaskan dirinya drpd perasaan yg hiba, sayu atau ~; memang ada nada yg ~ dan putus asa dlm stanza akhir; 2. bernada sedih (hiba) dan meng­harukan (bkn cerita, sajak, dsb): dr segi nada-nya, sajak-sajak awal ini amat romantik dan condong ke arah ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Nilai
(a) Hemah tinggi.
(b) Kasih sayang.
(c) Waspada.
(d) Kesedaran.
(e) Rasional.
(f) Keimanan.


Pengajaran
(a) Kita hendaklah menjaga maruah diri dengan baik agar tidak tercemar.
(b) Kita hendaklah menjaga hati ibu agar ibu tidak menderita.
(c) Kita hendaklah mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah sosial.
(d) Kita mestilah mengukuhkan iman dalam diri supaya maruah diri akan terjaga.


Share:

Cerpen: Banjir di Mata Emak (Che Soo Ismail)

Kupasan Cerpen:
Banjir di Mata Emak (Che Soo Ismail)


Sinopsis
     Watak “saya” hendak menelefon temannya tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah menyangka orang yang membuat panggilan itu ialah anaknya, Nana. Mak Piah memberitahu “Nana” (saya) bahawa dia tidak ada bekalan makanan disebabkan banjir yang melanda kampungnya sudah sampai ke paras dada. Mak Piah berterima kasih kepada “Nana” kerana menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Malangnya, abang Nana yang tinggal berdekatan tidak menjenguk Mak Piah langsung dan tidak menghiraukan keadaan Mak Piah semasa banjir tersebut.

     Belum sempat “saya” hendak memberitahu Mak Piah tentang dirinya yang sebenar, talian telefon sudah terputus. Sudah empat hari empat malam hujan turun. “Saya” cuba menelefon Mak Piah sekali lagi tapi tiada jawapan. “Saya” bimbang akan keadaan Mak Piah. Banjir pada kali ini telah meragut dua nyawa. Mengikut cerita Mak Piah tadi, bekalan makanannya sudah habis. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Mak Piah seorang sahaja yang tidak mahu pergi ke pusat pemindahan. “Saya” tertanya-tanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah. “Saya“ membuat andaian bahawa mungkin Mak Piah sedang menunggu kedatangan anak lelakinya. Namun begitu, menurut Mak Piah, anak lelakinya sudah tiga bulan tidak menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Apatah lagi, pulang untuk menjenguk ibunya itu.

     “Saya” mendail nombor telefon Mak Piah sekali lagi. Mak Piah menjawab panggilan “saya”. Mak Piah meminta “saya” yang disangkakannya Nana agar tidak bimbang tentangnya. Mak Piah sempat berpesan kepada “saya” agar menjaga anak dan suaminya baik-baik.

     “Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira.

     Kerja “saya” menjadi senang kerana Mak Piah sangat peramah. Daripada Mak Piah, “saya” mendapat tahu bahawa Nubhan, abang Nana takut akan isterinya, manakala Nana pula takut akan suaminya. “Saya” bertanyakan sebab Mak Piah tidak berpindah ke pusat pemindahan. Mak Piah mengatakan bahawa semasa banjir dahulu dia berpindah juga ke pusat pemindahan tetapi dia berasa susah. Hal ini berlaku demikian kerana dia kerap membuang air kecil sehinggakan kadang-kadang tidak sempat ke bilik air. “Saya” berjanji akan menemani Mak Piah selagi banjir tidak surut. Mak Piah memeluk “saya” lantas mengucapkan terima kasih.

     “Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. Selepas makan, “saya” menolong Mak Piah mencuci dan menyimpan barang-barang makanan yang dibawanya ke dalam peti sejuk.

     “Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak Piah lagi. Mak Piah meminta “saya” menyampaikan salam kepada anak perempuannya, Nana. “Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Rupa-rupanya Mak Piah telah meninggal dunia. Mak Piah tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Nana dan Nubhan menyesal. Kata Nana dua hari sebelumnya, Mak Piah bercerita kepada jiran-jiran bahawa Nana telah mengirim makanan kepadanya semasa banjir. Mak Piah sangat gembira. Nana menyatakan bahawa dia tidak pernah mengirim apa-apa kepada emaknya. Dia tidak pernah menelefon emaknya juga kerana emaknya tidak berapa dengar. Nana mengakui betapa mulia hati emaknya kerana sanggup berbohong kepada masyarakat untuk menjaga maruah dan namanya. Nana amat menyesal.


Tema
Kehilangan sesuatu yang bermakna meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seseorang.


Persoalan
(a) Nasib ibu tua yang tidak mendapat perhatian daripada anak-anak.
(b) Kasih ibu tidak berbelah bagi.
(c) Menyesal kemudian tiada gunanya.
(d) Anak-anak yang tidak bertanggungjawab.
(e) Rasa simpati yang wujud dalam diri seseorang.


Watak dan Perwatakan
“Saya”
(a) Anak yatim piatu.
(b) Seorang yang sensitif.
(c) Seorang yang prihatin.
(d) Mudah bersimpati.
(e) Baik hati.
(f) Terlalu merindui ibunya.
(g) Mengambil berat terhadap kehidupan Mak Piah.
(h) Sanggup berbohong kerana hendak melihat Mak Piah bahagia.

Mak Piah
(a) Hidup seorang diri di rumah usang di sebuah kampung.
(b) Mempunyai dua orang anak, iaitu Nana dan Nubhan.
(c) Seorang yang peramah.
(d) Seorang ibu yang penyayang.
(e) Seorang yang taat akan perintah Tuhan.
(f) Kurang pendengaran.
(g) Sangat merindui anak-anaknya.

Nana
(a) Anak bongsu Mak Piah.
(b) Takut akan suami.
(c) Tidak bertanggungjawab.


Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – “Saya” hendak menelefon temannya, tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah mengadu kepada “saya” yang disangkakan anak perempuannya, Nana, bahawa orang menjual ikan dan mamak menjual roti sudah tidak masuk ke kampung. Hal ini berlaku demikian kerana air banjir sudah naik ke paras dada. Tanpa sempat “saya” memberikan penjelasan tentang dirinya yang sebenar, Mak Piah sudah memutuskan talian telefon.

(b) Perkembangan – “Saya” mendail nombor telefon Mak Piah tetapi tidak berjawab. “Saya” bimbang akan keselamatan Mak Piah. Hal ini berlaku demikian kerana Mak Piah tinggal seorang diri dalam keadaan banjir. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Akhirnya,
Mak Piah menjawab panggilan telefon “saya”, tetapi hanya sekejap. Hati “saya” mula resah apabila memikirkan Mak Piah. “Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira. “Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. “Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak Piah lagi.

(c) Klimaks – “Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Belum pun sempat “saya” melangkah masuk ke rumah Mak Piah, usungan jenazah dibawa keluar. Saya mengiringi jenazah Mak Piah hingga ke tanah perkuburan.

(d) Peleraian – Anak-anak Mak Piah, Nana dan Nubhan berasa sangat sedih atas kematian Mak Piah. Mereka menyesal kerana tidak pulang menjenguk emak mereka semasa banjir. Emak mereka tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Setelah tubuh Mak Piah kaku, barulah jenazahnya ditemui jirannya.


Teknik Plot
(a) Pemerian.
(b) Dialog.
(c) Saspens.


Latar
Latar Tempat
(a) Kampung.
(b) Rumah “saya”.
(c) Rumah Mak Piah.
(d) Tanah perkuburan.

Latar Masa
(a) Empat hari empat malam.
(b) Ketika banjir.
(c) Waktu zuhur.
(d) Lima hari.
(e) Selepas banjir.
(f) Waktu pagi.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat kampung.
(b) Masyarakat yang prihatin.
(c) Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
(d) Masyarakat yang mementingkan kasih sayang.
(e) Masyarakat yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
(f) Masyarakat yang terlalu merindui ibunya.
(g) Masyarakat yang taat akan perintah agama.


Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Ya Allah; zuhur; assalamualaikum; alhamdulillah; insya-Allah.

(b) Metafora. Contohnya, lembah kepiluan; bungkusan takdir; lautan fikir.

(c) Simile. Contohnya, Ataukah agaknya dia bimbangkan bil telefon “anak” ini akan menjadi seperti harga ikan di pasar kami?

(d) Personifikasi. Contohnya, banjir kali ini menelan dua nyawa; getar suaranya menggegarkan perasaan.

(e) Peribahasa. Contohnya, isi hati.

(f) Sinkope. Contohnya, Tak apa Mak Piah, selagi banjir tak surut, insya-Allah, saya akan temankan Mak Piah.

(g) Repetisi. Contohnya, Saya yakin sungguh. Benar-benar yakin!


Nilai
(a) Kasih sayang.
(b) Keprihatinan.
(c) Baik hati.
(d) Simpati.


Pengajaran
(a) Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap ibu bapa kita.
(b) Kita mestilah menghargai kasih sayang ibu bapa terhadap kita.
(c) Kita hendaklah mengamalkan sikap perikemanusiaan dan tolong-menolong sesama manusia.
(d) Kita hendaklah menjaga nama baik seseorang, terutamanya nama baik ahli keluarga sendiri.
(e) Kita mestilah berpendirian tegas dalam hal-hal tertentu terutamanya tentang hak terhadap ibu bapa kita.

Share:

Sajak: Kucari Damai di Sini

Kupasan Sajak
Kucari Damai di Sini (A. Hamid Jemain)

Rangkap
Maksud
1
Penyajak menyatakan bahawa dia mencari kedamaian di negaranya yang makmur dan merdeka. Kemerdekaan tersebut dianggap berada antara kenyataan dan impian. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya perasaan
ketidakpuasan hati antara rakyat. Namun demikian, penyajak menyatakan bahawa perasaan negatif itu perlu diubati dengan bersangka baik, iaitu dengan menjadikan sejarah persaudaraan untuk membina rasa kemanusiaan.
2
Penyajak menyatakan bahawa kedamaian juga dicari dengan rasa kasih sayang dan dengan keperibadian mulia rakyat Malaysia. Perasaan kasih-mengasihi yang tulen perlu disemaikan dalam sanubari.
3
Penyajak menyatakan bahawa walaupun negara kita ada masalah, tetapi kita masih boleh berdamai dan hidup dengan aman di negara ini. Penyajak berharap agar kemerdekaan yang dicapai akan berkekalan. Segala  masalah perlulah diatasi dengan bijak supaya kejayaan yang tercipta menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Tema
Penghargaan terhadap kedamaian dan kesejahteraan negara.


Persoalan
(a) Kedamaian hendaklah diusahakan kerana kedamaian tidak akan datang dengan sendirinya.
(b) Negara kita ialah negara yang aman dan makmur.
(c) Kemerdekaan hendaklah diperjuangkan agar beroleh kemajuan.
(d) Kedamaian akan wujud dengan adanya nilai kasih sayang.
(e) Harapan agar kemerdekaan negara kita akan menjadi kebanggaan generasi akan datang.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai enam baris, rangkap kedua mempunyai lima baris, dan rangkap ketiga mempunyai empat baris.
(c) Bilangan katanya tiga hingga lapan patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada enam hingga lapan belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Paradoks. Contohnya, antara realiti dan mimpi.

(b) Hiperbola. Contohnya, membebat perasaan kehidupan.

(c) Metafora. Contohnya, laman sukma.

(d) Repetisi. Contohnya, (perulangan frasa Kucari damai di sini dalam rangkap 1, baris 1 dan rangkap 2, baris 1).

(e) Asonansi. Contohnya, dengan sejarah persaudaraan
     (perulangan vokal a).

(f) Aliterasi. Contohnya, Kucari damai di sini
     (perulangan konsonan d).

(g) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abaccc dan rima akhir bagi rangkap kedua aabca, dan rima akhir bagi rangkap ketiga abbb.


Nada
Patriotik.


Nilai
(a) Kesyukuran.
(b) Hormat-menghormati.
(c) Patriotisme.
(d) Keinsafan.


Pengajaran
(a) Kita mestilah berusaha mendapatkan dan mengekalkan kedamaian.
(b) Kita hendaklah menghargai kemerdekaan negara.
(c) Kita hendaklah memastikan kedamaian negara terus berkekalan.
(d) Kita hendaklah menyelesaikan sebarang krisis dengan bijaksana.
(e) Kita perlulah menjaga negara kita dengan baik untuk diwariskan kepada generasi akan datang.




Share:

Isnin, 11 Mei 2020

Istilah Dalam Komponen Sastera (Komsas)

Istilah-istilah berikut sering kali digunakan dalam komponen sastera atau dalam kupasan-kupasan sastera.


1. Aliterasi – pengulangan bunyi atau huruf konsonan dalam baris-baris puisi dan prosa
- selalunya huruf m , k , n , t dan kadang-kadang p
2. amanat / pengajaran / mesej – perutusan yang ingin disampaikan kepada orang ramai / pembaca oleh pengarang
3. anapora – pengulangan sesuatu kata atau frasa pada permulaan ayat ( dalam puisi atau prosa )
4. antagonis – watak jahat atau watak terlalu kuat yang menentang watak utama
5. antologi – kumpulan karya prosa atau sajak atau kedua-daunya yang dihasilkan oleh seseorang atau sekumpulan penulisa dan yang telah dibukkan
6. asonsansi – pengulangan bunyi atau huruf vokal dalam barus -baris puisi dan prosa

7. babak – bahagian dalam drama atau lakonan / adegan
8. bait – bahagian sajak / rangkap
9. balada – lagu atau puisi panjang yang mengisahkan cerita yang romantis atau sentimental
10. bentuk – binaan puisi yang terdiri daripada jumlah bait atau rangkap , jumlah p[erlarataan , jumlah suku kata , bunyi rima akhir

11. cereka – kependekan untuk cerita rekaan atau fiksyen
12. cerpen – kependekan untuk cerita pendek

13. dialog – pertuturan watak-watak dalam drama dan fiksyen
14. didaktik – unsur pengajaran / nasihat / pendidikan yang terkandung dalam karya-karya
15. diksi – pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan
16. dilema – keadaan yang menyebabkan sukarnya membuat keputusan antara dua perkara
17. dinihari – pagi-pagi benar ( antara pukul 3 hingga 5 pagi )
18. drama – karya yang dipersembahkan oleh pelakon yang mengandungi dialog (percakapan ) dan aksi ( gelagat / kelakuan )

19. elegi –puisi bernada sedih atau sayu
20. epik – puisi kepahlawanan yang menceritakan tentang pahlawan yang gagah
21. episode –satu bahagian daripada sesebuah karya yang mengandungi beberapa peristiwa atau persoalan

22. gaya bahasa – corak , bentuk atau rupa sesuatu bahasa meliputi aspek kesemua penggunaan perkataan , frasa dan ayat
23. genre – jenis karya sastera seperti sajak , novel , cerpen dan lain-lain

24. hiperbola – perbandingan yan berlebih-lebihan
25. humor – unsur jenaka atau kelucuan yang menimbulkan rasa seronok

26. imbas kembali – peristiwa atau kejadian yang digambarkan melalui penceritaan semula
27. imbas muka – ramalan atau jangkaan sesuatu peristiwa yang akan berlaku dalam plot
28. intonasi – turun naik tinggi rendah nada suara
29. inverse – pembalikan susunan kata yang menyimpang daripada susunan biasa / tatabahasa ( dibalikkan )

30. jeda – berhenti sebentar

31. ketegangan / suspens – keadaan tertunggu-tunggu untuk mengetahui sesuatu perkara yang akan berlaku seterusnya
32. klimaks – bahagian dalam cerita lebih hebat genting mencemaskan dan lain-laian daripada bahagian lain dalam sesebuah cerita
33. konflik – unsur- unsur ketegangan / pertentangan sehingga menimbulkan konflik yang memerlukan penyelsaiannya

34. latar – menyatakan tentang masa , ruang dan suasana dalam sesebuah karya

35. mesej – pemikiran atau pengajaran yang hendak disampaikan dalam sesebuah karya
36. metafora – perbandingan yang menggunakan kata-kata yang lain daripada makna biasa

37. nada – bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu sikap
38. nilai – sesuatu perbuatan atau tingkah laku yang digeamari atau dibenci

39. peleraian – penyelesaian sesebuah scerita dalam sesuatu karya sastrea
40. pemikiran – idea yang dikelmukakan dalam sesebuah karya
41. personafikasi – unsure yang digunakan untuk memberikan sifat manusia kepada benda yang tidak bernyawaa atau sesuatu yang abstrak
42. perwatakan – sifat watak dalam cerita . dapat dinilai melalui gambaran oleh pengarang , aksi , dialog dan monolog watak
43. plot – urutan atau jalinan peristiwa dalam sesebuah cerita
44. prosa – karya novel dan cerpen
45. protagonis – watak utama dalam cerita
46. puisi- karangan berbentuk sajak , syarir , pantun gurindam dll

47. rangkap – beberapa baris dalam pantun , sajak atau syair yang disatukan
48. rima – bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akakhir dalam sesebuah rangkap / puisi atau sajak

49. simile – kiasan yg menggunakan kata-kataperbandingan seperti seumpama bagai bak macam
50. sinkof – pemendekan atau penyingkatan sesuatu kata dengan menghilangkan huruf atau suku kata ( sahaja – saja , tidak – tak , hendak – nak )
Share:

Sajak: Roti (Ahmad Syahrul Wahid) Maksud Rangkap

Kupasan Sajak:Roti (Ahmad Syahrul Wahid)


Rangkap
Maksud
1
Roti yang dibuat di dapur membangkitkan selera. Selera itu bangkit kerana baunya yang harum.
2
Selera untuk makan roti bertambah apabila melihat roti
dibakar, kemudian melihat roti yang rangup itu terhidang.
3
Apabila roti sudah dihidangkan di hadapan mata, selera kian meningkat. Protagonis makan roti itu sampai kenyang dan bersendawa.
4
Bagi orang yang beriman dan mempunyai perikemanusiaan yang tinggi, selepas berasa kenyang mereka teringat akan orang miskin yang tidak mendapat makanan seperti mereka. Orang yang beriman memikirkan tugas untuk membela orang miskin.
5
Jika banyak orang yang beriman, maka berkuranglah orang yang menderita di dunia ini. Orang yang susah akan bersyukur kerana mereka dibantu oleh golongan yang berada dan beriman.


Tema
Orang yang beriman, ketika kenyang tidak melupakan golongan miskin.


Persoalan
(a) Apabila roti dibakar, baunya membangkitkan selera.
(b) Ketika lapar manusia tidak dapat menahan nafsu makan.
(c) Apabila makan makanan yang sedap, manusia akan makan sampai kenyang dan bersendawa.
(d) Orang yang beriman tidak akan melupakan orang miskin ketika mereka berasa kenyang.
(e) Bersyukur apabila mendapat sesuatu merupakan tanda keimanan.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada lima rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai empat baris dan rangkap kedua hingga kelima mempunyai lima baris.
(c) Bilangan katanya dua hingga enam patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lima hingga empat belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Hiperbola. Contohnya, nafsu makan pun bergelora; melangit damai dirasa.

(b) Metafora: Contohnya, percikan iman.

(c) Personifikasi. Contohnya, selera kian menggelepar.

(d) Simile. Contohnya, terhidang seumpama permaidani terhampar.

(e) Asonansi. Contohnya, Bagi pemilik iman di dada
     (perulangan vokal i)

(f) Aliterasi. Contohnya, Bila begitu selamanya
     (perulangan konsonan b).

(g) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah ialah abaa
      dan rima akhir bagi rangkap kedua hingga kelima aaaaa.


Nada
Didaktik.
Maksud Didaktik: unsur pengajaran / nasihat / pendidikan yang terkandung dalam karya-karya

Nilai
(a) Kesabaran.
(b) Baik hati.
(c) Kesyukuran.
(d) Keimanan.
(e) Kesederhanaan.


Pengajaran
(a) Kita hendaklah bersabar ketika menunggu untuk mendapatkan sesuatu.
(b) Kita hendaklah memikirkan orang lain agar orang lain turut mendapat rezeki.
(c) Kita hendaklah ingat akan keadaan orang lain yang kurang bernasib baik.
(d) Kita hendaklah melatih diri agar menjadi orang beriman.
(e) Sebagai manusia kita mestilah bersyukur atas nikmat kurniaan Tuhan.
Share:

Sajak: Dalam Persekitaran Kata-kata (Baha Zain)

Kupasan sajak:
Dalam Persekitaran Kata-kata (Baha Zain)


Rangkap
Maksud
1
Tuhan menjadikan bahasa untuk manusia, disertai akal.
Manusia menggunakan akal dan bahasa dari zaman ke
zaman, bersesuaian dengan perubahan yang berlaku
2
Tuhan menjadikan orang Melayu dengan warna kulitnya
sawo matang. Bangsa ini menjadi pengembara di lautan,
mengembara jauh ke pulau-pulau dan pantai-pantai.
3
Setiap yang ditemui dalam pengembaraan ialah ilmu,
iaitu setiap benda disertai perkataan yang menerangkan
benda itu. Perkataan-perkataan yang sering disebut oleh
manusia ialah langit, bumi, laut, gunung, awan, hujan, dan pohon. Manusia mendapat manfaat daripada kesemua ciptaan Allah dan manusia hendaklah beriman. Manusia berpeluang untuk menambahkan ilmu dan meningkatkan keimanan melalui pembacaan kitab-kitab yang dikarang pada masa silam. Kitab-kitab tersebut memuatkan ilmu-ilmu agama.
4
Bahasa ialah alat untuk manusia menambahkan ilmu. Dengan ilmu, manusia dapat memahami kewujudan alam semesta.


Tema
Manusia dan alam ialah ciptaan Allah.


Persoalan
(a) Bahasa ialah anugerah Tuhan yang penting untuk manusia.
(b) Sesuatu ilmu yang dipelajari bersesuaian mengikut tempat dan suasana.
(c) Bangsa Melayu pada masa lalu merupakan bangsa pelayar.
(d) Ilmu akan diperoleh dengan banyak membaca.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada empat rangkap.
(b) Rangkap pertama dan rangkap kedua mempunyai lima baris, rangkap ketiga mempunyai sembilan baris, dan rangkap keempat mempunyai tiga baris.
(c) Bilangan katanya dua hingga empat patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lapan hingga tiga belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Bahasa Arab. Contohnya, istilah.

(b) Bahasa klasik. Contohnya, samudera.

(c) Unsur alam. Contohnya, samudera; pulau-pulau; pantai-pantai; langit; bumi; laut; gunung; awan; pohon; buah-buahan; alam.

(d) Anafora. Contohnya, kata dari pada rangkap pertama baris 4 dan 5.

(e) Repetisi. Contohnya, frasa kata-kata diulang pada rangkap pertama baris 1; rangkap ketiga baris 1; rangkap keempat baris 1.

(f) Asonansi. Contohnya, Kami pindahkan makna
     (perulangan vokal a).

(g) Aliterasi. Contohnya, Engkau beri kami kata-kata
     (perulangan konsonan k).

(h) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah ialah aaabc,
      rima akhir bagi rangkap kedua ialah abccd,
      rima akhir bagi rangkap ketiga ialah abcaaadda,
      dan rima akhir bagi rangkap keempat ialah aba.


Nada
Keagamaan.


Nilai
(a) Kesedaran.
(b) Keberanian.
(c) Kebanggaan.
(d) Kerajinan.


Pengajaran
(a) Kita hendaklah mempelajari bahasa dengan sungguh-sungguh.
(b) Kita hendaklah berani ke tempat yang jauh untuk mencari ilmu dan rezeki.
(c) Kita hendaklah memikirkan dan menghayati ciptaan Allah.
(d) Kita mestilah mempelajari ilmu daripada kita-kitab agama.
(e) Kita diseru supaya rajin berusaha mendapatkan pengalaman untuk hidup yang bermakna.




Share:

Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)

Kupasan puisi tradisional:
Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)

Rangkap
Maksud
1
Penyair telah tamat mengarang kitab supaya dapat dijadikan panduan.
2
Ayah berharap agar anaknya akan menjaga tingkah laku dan menjadi insan yang berakhlak mulia.
3
Ayah menasihati anaknya agar tidak bersikap malas.
4
Menurut ayah lagi, jika anaknya itu menjadi raja, dia hendaklah bertindak dengan betul dan rajin bekerja.
5
Ayah menasihati anaknya supaya rajin berbuat kebajikan.
Dalam masa yang sama, hati perlulah ikhlas dan bersih.
6
Ayah menasihati anaknya supaya tidak malas menuntut ilmu. Ilmu yang dituntut itu perlulah ilmu yang betul seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
7
Ayah menasihati anaknya agar rajin mengaji dan hal ini perlu diberi keutamaan daripada hal yang lain. Hukum syarak pula tidak boleh dilanggar kerana akan menyebabkannya mendapat malu.
8
Sebarang tindakan perlu didasarkan kepada ilmu pengetahuan agar membawa kebaikan. Ayah juga menasihati anaknya agar berhati-hati dalam melakukan setiap perkara agar tidak terjerumus dalam perkara yang membawa kemudaratan.
9
Ilmu itu banyak manfaatnya kerana dengan ilmu, perkara
yang benar dengan yang tidak benar dapat dibezakan.
Dengan adanya ilmu, pemimpin dapat mengetahui sama ada rakyat benar atau salah dan dapat menjatuhkan hukuman yang adil kepada mereka.
10
Selanjutnya, jika ilmu pengetahuan itu dianggap remeh, hal ini tentu akan membawa masalah kepada anaknya jika menjadi pemerintah. Jika ada rakyat yang datang untuk menyatakan masalah, anaknya tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan.
11
Anaknya tidak tahu untuk menjatuhkan hukuman dan tidak
mahu pula berdiam sahaja. Anaknya itu cuma mampu
berpeluk tubuh dan menyebut nama Allah SWT.
12
Akhirnya, anaknya tidak dapat berkata apa-apa. Setelah penat duduk dan bangun, anaknya itu akan menyembunyikan diri di dalam istana.
13
Orang yang ingin mendapatkan pengadilan akan menjadi
marah kerana perbicaraan belum pasti dapat dilakukan.
14
Sebarang hukuman tidak boleh diambil mudah. Jalan
yang terbaik ialah kembali merujuk hukum syarak untuk
mendapatkan ketenangan hati.
15
Jika perbicaraan tidak dijalankan mengikut hukum, maka
pemimpin pasti akan dikeji oleh rakyat.
16
Jika perbicaraan dijalankan mengikut hukum Allah, maka
kejian atau pujian daripada rakyat bawahan tidak perlulah
dihiraukan oleh mereka.
17
Ayah berpesan lagi, jika anaknya menjadi menteri, dia
digalakkan untuk berdamping dengan orang yang berilmu
supaya dapat memudahkan segala kerja.
18
Ketua haruslah memerhatikan tingkah laku pegawai
bawahannya supaya penyelewengan tidak berlaku.


Tema
Nasihat bapa kepada anak tentang kepentingan menuntut ilmu pengetahuan jika anaknya dilantik sebagai raja/menteri supaya dapat memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.


Persoalan
(a) Setiap pemimpin diwajibkan menuntut ilmu pengetahuan.
(b) Kerja kebajikan harus dilakukan dengan penuh keikhlasan.
(c) Ilmu yang dituntut mestilah ilmu yang benar seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
(d) Pengadilan dan perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan ilmu pengetahuan supaya tidak tersilap dalam menjatuhkan hukuman.
(e) Ketaatan dan kepatuhan rakyat terhadap pemimpin.


Bentuk dan Ciri-ciri Syair
(a) Terdiri daripada lapan belas rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lapan hingga empat belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya terikat.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Inversi. Contohnya, nasihat kebajikan ayahanda beri; Kerja
kebajikan janganlah malas.

(b) Anafora. Contohnya, Hendak menghukumkan tiada tahu,
hendak diam hati tak mahu,

(c) Bahasa Arab. Contohnya, ikhlas; syarak; batil; Allahu; Allah.

(d) Responsi. Contohnya, Kerja kebajikan janganlah malas, zahir dan batin janganlah culas,

(e) Simile. Contohnya, seperti air di dalam gelas.

(f) Sinkope. Contohnya, tak.

(g) Asonansi. Contohnya, Segala perbuatan dengan berilmu
      (perulangan vokal e).

(h) Aliterasi. Contohnya, maka kebajikan boleh bertemu
     (perulangan konsonan b).

(i) Rima akhirnya sama, iaitu aaaa.


Nilai
(a) Keadilan.
(b) Berilmu.
(c) Keikhlasan.
(d) Kepatuhan.
(e) Kebijaksanaan.
(f) Bertawakal.
(g) Hati-hati.
(h) Persaudaraan.
(i) Kerajinan.
(j) Berakhlak mulia.


Pengajaran
(a) Pemerintah haruslah bersikap adil dan tidak boleh bertindak zalim terhadap rakyat.
(b) Seorang pemimpin mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup agar dapat memudahkan urusan pentadbiran.
(c) Kita hendaklah menuntut ilmu yang benar dan menghindarkan diri daripada menuntut ilmu yang sesat.
(d) Kita mestilah rajin melakukan setiap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita.
(e) Kita hendaklah ikhlas dalam melakukan setiap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita.
(f) Sebagai anak kita perlulah patuh akan nasihat ibu dan bapa agar hidup beroleh keberkatan.
(g) Kita hendaklah berani menegakkan kebenaran.
(h) Kita haruslah bertawakal dan berserah kepada Allah setelah membuat apa-apa keputusan.


Share:

Popular Posts

Pages