Isnin, 11 Mei 2015

Biodata Pengarang : Leftenan Adnan Wira Bangsa

Pak Latip - Penulis Leftenan Adnan Wira Bangsa

Biodata Pengarang


Abdul Latip bin Talib yang juga sinonim dengan panggilan Pak Latip dilahirkan di Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan pada 2hb Jun 1954. Kini menetap di Jelebu Negeri Sembilan. Beliau seorang penulis sepenuh masa yang menulis sajak, cerpen, rencana, drama televisyen dan novel. Sebanyak 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa telah diterbitkan. Sejak tahun 2007, beliau lebih banyak menumpukan pada penulisan novel sejarah dengan Syarikat Penerbitan PTS, kini lebih 30 buah novel telah dihasilkan.


Beliau telah menerima pelbagai anugerah, antaranya Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Perpaduan, Hadiah Sastera Utusan dan Sayembara Cerpen dan Puisi Negeri Sembilan, Sayembara Menulis Novel Sarawak 2005, hadiah sayembara menulis novel sejarah Johor 2007, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dan 2007 serta Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2007.


Dalam senarai 'Top 100 Penerima Royalti Tertinggi Bagi Jualan 2011 PTS', beliau menduduki tempat pertama dalam senarai tersebut. Pada tahun yang sama, jualan buku-buku beliau yang mengkompilasikan beberapa novel yang telah diterbitkan iaitu Imam-imam yang Benar, Khalifah-khalifah yang Benardan Perang-perang yang Benar telah mencecah lebih sejuta ringgit. Dua yang pertama daripada tiga kompilasi novel itu pula tersenarai dalam 'Top 10 Judul Buku Paling Tinggi Sepanjang Tahun 2011 Berdasarkan Perolehan Ringgit'.


Selain terlibat dalam bidang penulisan, Pak Latip juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan. Beliau gigih dalam kempen membantu masyarakat Islam Kemboja yang daif. Melalui laman Facebook beliau, Pak Latip berusaha meminta masyarakat dan peminat beliau untuk menyumbangkan wang bagi membantu minoriti Muslim Kemboja. Antara bantuan yang dihulurkan melalui dana yang dikumpul adalah bantuan persekolahan, elaun kepada guru-guru, menderma naskhah-naskhah Al-Quran serta membina perigi di kampung Trapiang Bralit dan Ratanatkiri, Kemboja.


Sumber :
http://abdullatip.blogspot.com
http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Latip_bin_Talib
http://pts.com.my/penulis/abdul_latip_bin_talib/
Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Popular Posts

Pages