Isnin, 11 Mei 2015

Sajak Gelanggang

Ini gelanggang kita
yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.
Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat
berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan.
       
Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.
Marilah pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah
elakkan pertelingkahan sesama sendiri.
       
Kitalah pewaris abadi yang menjunjung amanah ini
agar kecemerlangan tercerna di persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah harga jati diri
membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat hingga ke akhir hayat.
MAKSUD SAJAK GELANGGANG

Rangkap pertama
Penyajak menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang ditubuhkan oleh generasi terdahulu iaitu kira-kira 50 tahun yang lalu. Malaysia terbentuk hasil perpaduan setiap kaum demi masa depan generasi seterusnya.

Rangkap kedua
Kita ialah generasi yang mewarisi Malaysia yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Mereka bekerja keras dan bersusah payah untuk mendapatkan kemerdekaan negara. Kemakmuran negara dapat dinikmati apabila rakyat bersatu padu. Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara. Cara ini telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai kaum di negara kita.

Rangkap ketiga
Penyajak berpendapat bahawa pemimpin kini harus berani melawan tuduhan melulu yang dilemparkan demi mempertahankan kedaulatan negara. Pendapat yang dikemukakan oleh sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan Malaysia harus kita tentang tanpa tolak ansur supaya tidak menggugat kedaulatan negara. Pihak tersebut tidak harus melakukan tindakan untuk mencabar Malaysia kerana perbuatan mereka akan menyusahkan diri mereka.

Rangkap keempat
Penyajak menyeru rakyat yang benar-benar cinta akan negara supaya mengukuhkan tali persaudaraan agar pertelingkahan sesama rakyat dapat dihindari.

Rangkap kelima
Penyajak menyatakan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab memikul amanah yang diberi untuk memastikan kecemerlangan negara di peringkat dunia dengan mencapai kejayaan demi kejayaan. Hal ini demikian kerana kejayaan yang diperoleh rakyat Malaysia melambangkan maruah Malaysia dan jati diri mereka. Kita bertanggungjawab dalam meneruskan kesinambungan Malaysia sebagai negara yang harmoni dan dihormati oleh semua pihak. Malaysia wajib kita hargai, hormati dan muliakan sampai akhir hayat kita.


PERSOALAN

1.         Perjuangan generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan
Contoh : Generasi dahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan negara dengan keringat dan air mata.

2.         Kepentingan perpaduan dalam menjaga keamanan negara
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.
     
3.         Tanggungjawab rakyat dalam mendaulatkan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

BENTUK SAJAK

1. Terdiri daripada lima rangkap
2. Terdiri daripada dua hingga lapan baris dalam satu rangkap
3. Terdiri daripada satu hingga Sembilan perkataan dalam satu baris
4. Terdiri daripada tiga hingga 22 suku kata dalam satu baris
5. Rima akhir mempunyai bentuk bebas / tidak terikat.
Rangkap pertama : abccd
Rangkap kedua : abcdefgh
Rangkap ketiga : abcadef
Rangkap keempat : ab
Rangkap kelima : abcde

GAYA BAHASA
1. anafora
Contoh :
kitapelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kitamempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat

2. hiperbola
Contoh :
Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata

3. inversi
Contoh :
jangan sekali bermain apikelak membinasakan diri sendiri
kita pelihara gelanggang inidengan kejap sepenuh hati
Marilah para pahlawan setia kita kukuhkan ukhwah

4. personifikasi
Contoh :
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini

5. kata ganda
Contoh :
yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
suara-suaramomokan sumbang memperlekehkan menyentuh

NILAI

1.  Nilai keberanian
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani berani berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

2.  Nilai perpaduan
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

3.  Nilai tanggungjawab
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

PENGAJARAN

1.  Kita mestilah bersatu padu
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

2.  Kita mestilah berani bertindak
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani  berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

3.  Kita mestilah bertanggungjawab atas kedaulatan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.
Share:

18 ulasan:

  1. Apakah dua unsur keindahan Gaya Bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut ?

    BalasPadam
  2. Nyatakan dua larangan penyajak terhadap pembaca untuk memelihara keamanan megara??

    BalasPadam

Popular Posts

Pages